Nuffnang

Friday, May 18, 2012

BILA ?

Sepanjang bulan lepas dan sehingga pertengahan bulan ini, iaitu April dan Mei, saya telah melawat dua keluarga di mana salah seorang ahlinya telah meninggal dunia, atau dalam bahasa lain disebut pulang ke rahmatullah. Kedua-duanya adalah merupakan kakak dan abang di tempat saya bekerja (umur mereka jauh lebih tua daripada saya). Dan kedua-duanya juga kehilangan ayah yang tercinta.

Kedua-duanya ini kembali mengingatkan saya sebuah janji yang pasti, setelah beberapa ketika leka dengan urusan duniawi, iaitu setiap yang hidup pasti akan mati. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripadanya. Cuma, yang menjadi bezanya panjang atau pendek umur seseorang sebelum ajal menjemputnya pulang. Ada yang telahpun meninggal dunia ketika umurnya masih bayi. Ada pula yang meninggal dunia ketika umurnya masih remaja. Ada yang meninggal dunia ketika umurnya terlampau tua, sehingga menjangkau ratusan tahun. Kesemuanya terpulang kepada ketetapan Tuhan sendiri. Kita tidak ada kuasa menentukan umur melainkan kita senantiasa meminta kepada Tuhan agar dipanjangkan umur kita supaya semakin banyak amal yang dapat kita kerjakan ketika di dunia ini. Tidak bolehlah kita meminta panjang umur hanya kerana kita rasa sayang hendak tinggalkan dunia, tinggalkan isteri yang cantik, tinggalkan harta benda dan tinggalkan pangkat yang tinggi. Kesemuanya itu tidak ada nilainya di sisi Tuhan melainkan amal yang kita kerjakan di sebalik kesemuanya itu.

Apakah dengan pangkat kita yang besar itu, kita benar-benar berbakti kepada mereka yang berhak ?
Apakah dengan harta kita yang banyak itu, kita telah sempurnakan ibadat haji, bersedekah dan membayar zakat secukupnya ?
Apakah dengan isteri yang cantik itu, kita telah didiknya supaya senantiasa menjaga dirinya sebagai seorang wanita yang solehah dan tidak menyusahkan orang lain di kemudian hari.

Kita telah sedia maklum bahawa kesemuanya akan dipertanggungjawabkan kelak di hadapan pengadilan Tuhan.

Secara jujurnya, kita manusia selalu jarang bersedia untuk menghadapi kematian. Bahkan, ada orang-orang yang kononnya alim sendiri menjual agama untuk keuntungan dunia. Macamlah dia tahu dan yakin bahawa matinya nanti adalah mati dalam keadaan yang baik. Kita tidak pernah tahu. Oleh kerana itu, kita dituntut untuk senantiasa berdoa semuga kita mati dalam keadaan baik (ertinya bukan dalam keadaan diri kita ini penuh kemaksiatan kepada Tuhan). Nauzubillah. Kerana itulah baginda nabi pernah sabdakan bahawa sesungguhnya manusia yang bijak itu adalah manusia yang banyak mengingati mati.

Ada manusia yang lancang mempersoalkan, "Macam mana kita nak maju kalau asyik fikir mati saja ?" Sebenarnya bukan itu tujuan nabi menyuruh kita banyak mengingati mati. Tidak ada satu ayat pun yang menghalang Muslim daripada maju dalam urusan duniawi. Bahkan sekian ramai ulama bersetuju bahawa Muslim perlu maju demi membuka mata orang bukan Islam bahawa Islam bukanlah agama yang semata-mata nak letakkan penganutnya setaraf dengan manusia zaman batu yang langsung tak peduli dengan kemajuan dunia (perbandingan ini pun tidak berapa tepat kerana orang zaman batu pun sedaya upaya membina kehidupannya ke arah kemajuan). Namun, ada hakikat lain mengapa disuruh kita banyak mengingati mati.

Ini adalah pendapat saya. Dengan banyak mengingati mati, hidup kita akan lebih cermat dan berhati-hati. Orang yang banyak mengingati mati akan senantiasa berasa takut untuk melakukan dosa kerana khuatir ketika sedang melakukan dosa, saat itu jugalah nyawanya diambil Tuhan. Sungguh dalam kehidupan dunia ini, kita banyak menipu diri sendiri. Kerana itulah dengan mengingati mati, kita akan sentiasa sedar bahawa Tuhan dan para malaikat-Nya sedang memerhatikan kita sepanjang masa, mencatat segala amal perbuatan kita. Kesannya, dalam urusan duniawi, kita akan berhati-hati supaya tidak melampaui batas-batas agama. Dan jiwa kita sendiri akan tenang kerana kita sedar dan tahu bahawa kita senantiasa berikhtiar untuk tidak melampaui batas. Bak kata orang Melayu, lebih sudu dari kuah, cacing naik ke mata dan juga si kaduk naik junjung. Kerana ramai manusia yang telah melampaui batas di dalam hidupnya, sehingga pada awalnya niatnya adalah baik bertukar menjadi buruk sama sekali.

Oleh yang demikian, perlulah sentiasa kita fikirkan, "Entah BILA agaknya saat kita nanti ?" Saya tertarik dengan kenyataan seseorang, "Kita sibuk memikirkan bila jodoh kita akan sampai, tetapi kurang pula memikirkan bila ajal kita akan sampai." Hal itu adalah benar, tetapi kita tetap diajar untuk berpada-pada. Janganlah sampai terlalu banyak berfikir sehingga segala urusan terbantut. Kehidupan di dunia tetap perlu diteruskan, di samping hati dijaga supaya tidak mudah 'dibeli' oleh dunia. Insya Allah, jiwa akan tenang, dan pada masa yang sama kita berusaha meningkatkan amal ibadah kita. Selalulah juga berdoa semuga ketika ajal kita sampai, amal ibadah kita adalah dalam keadaan yang baik. Semuga mati kita adalah khusnul khatimah . Wallahua'lam...