Nuffnang

Sunday, June 22, 2008

NAIK TARAF

KULAI 21 Jun - Daerah Kecil Kulai kini dinaik taraf menjadi daerah penuh dan serentak itu ia diberi nama baru iaitu Kulaijaya.

Pengisytiharan itu dibuat oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Johor, Sultanah Zanariah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan isteri, Raja Zarith Sofiah serta Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abd. Latiff Yusof dan Pegawai Daerah Kulaijaya, Elias Hasran.

Dengan penaiktarafan daerah kecil Kulai kepada daerah penuh, Johor kini mempunyai 10 daerah.

Sultan Iskandar dalam titah baginda menyifatkan penaiktarafan daerah kecil itu kepada daerah penuh merupakan satu sejarah baru bagi negeri ini.

Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapannya memberitahu, penubuhan daerah penuh itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup rakyat di kawasan berkenaan.

"Kerajaan Persekutuan pada 1 Ogos 2007 telah bersetuju dengan cadangan menaik taraf tersebut dan Daerah Kecil Kulai ini telah ditadbir sebagai sebuah pentadbiran daerah penuh mulai 1 Januari tahun ini," katanya.

Menurutnya, ekoran itu persempadanan semula dilakukan antara Kulaijaya dan Daerah Johor Bahru dengan sebahagian besar kawasan yang sebelum ini di bawah Daerah Johor Bahru dimasukkan ke dalam Daerah Kulaijaya.

Beliau berkata, Kulaijaya yang berkeluasan 75,345 hektar mempunyai lebih 192,000 orang penduduk meliputi empat mukim iaitu Mukim Senai, Kulai, Bukit Batu dan Sedenak yang merangkumi 14 buah kampung induk, 14 kampung rangkaian, 11 kampung baru dan empat rancangan Felda.

Abdul Ghani berkata, sebagai sebuah daerah yang terletak di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia, Kulaijaya kini pesat membangun sebagai pusat perdagangan, perusahaan, pengangkutan dan perniagaan serta dijana oleh tiga kaedah pengangkutan utama iaitu udara, jalan raya dan kereta api yang diterajui perkembangan pesat Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI), Senai.

"Kepesatan pembangunan di daerah ini dapat dilihat daripada pelaburan lebih RM2 bilion yang diterima sepanjang tahun 2007 dan sehingga kini," katanya.

Monday, June 16, 2008

PEJABAT POS - DESTINASI TUMPUAN SEMASA

Hmm...mak aku suruh aku barukan lesen memandu dia yang akan tamat tak lama lagi. Hah...,malasnya aku. Sebab aku tau, pejabat pos mesti sesak punya. Aku malas nak menunggu. Tapi, mak aku paksa jugak, terpaksalah aku pergi.

Pergi pukul 2 petang. Orang masih ramai. Sampai ke luar pejabat pos orang menunggu giliran. Aku masuk, picit butang kat mesin nombor tu, keluar nombor yang amat banyak sekali, 1800. Mak kau, berapa lama nak tunggu ? Aku tengok kat skrin tu, baru sampai 1500. Huh...

Tapi, aku tunggu jugak.

Sempat aku berbual-bual dengan abang yang jugak hendak menuntut 'haknya' itu. Tiba-tiba, dia dapat idea nak 'potong baris'. Macam mana ? Dia cari nombor-nombor yang bersepah kat lantai. Manalah tau, ada nombor yang masih belum dipanggil. Heh, nasib dia baik. Dapat nombor 1630.

Alamak...ruginya. Kenapa aku tak cari tadi. Tapi, nasib aku pun baik jugak. Aku terserempak dengan cikgu aku. Dia pun bagi nombor lebih kat aku. Nombor 1692. Dia pulak dapat 1649, ada pakcik beri. Hahaha...dapat jugak 'potong baris'. Nombor 1800 tu aku beri kat apek tua yang dah terlambat nak ambil nombor sebab dah sampai 'limit' untuk hari ni.

Selesai urusan aku dengan pejabat pos, aku pun menapak balik. Hm...orang Malaysia masih sudi bertolak ansur dengan kerajaan walaupun jelas ianya membebankan.

Buat masa terdekat ini, pejabat pos memang menjadi destinasi tumpuan.

KALKULATOR

Usin tengah menduduki peperiksaan Ekonomi STPM. Berkerut-kerut dahi dia mencari jawapan bagi soalan-soalan yang dikemukakan di kertas soalan itu.

"Hi....geramnye aku....kenapa susah sangat soalannya ni ?"

Usin menekan-nekan kalkulatornya itu.

Tap
Tap
Tap
Tap
Tap
Tap

Usin tekan butang sama dengan (=), jawapannye :

SYNTAX ERROR

Warrrgghhhhh.....!!!!!!!!!!

Celaka. Beriya-iya aku mengira, salah rupanya.

Sunday, May 25, 2008

SEDERHANA

Saya baru sahaja pulang dari majlis perkahwinan abang sepupu saya yang bertuah ini. Beristerikan seorang guru. Alangkah beruntungnya ! Saya tiba di rumah pengantin jam 2.00 petang. Beberapa minit sahaja sebelum beliau bersanding. Semasa dalam perjalanan, saya membayangkan sebuah majlis yang mewah dan hebat. Dipenuhi dengan segala macam hiasan perkahwinan yang mengancam. Namun, bayangan saya meleset sama sekali.

Apa yang saya lihat hanyalah sebuah majlis perkahwinan yang sederhana. Tidak terlalu mewah. Tetapi cukup membangkitkan rasa kesyukuran kerana meraikan hari yang bahagia. Sesungguhnya, saya setuju dengan pendekatan bersederhana begini. Ya, sebenarnya kita tidak perlu terlalu mewah dalam mengadakan majlis perkahwinan. Kebelakangan ini, saya perhatikan banyak pihak mengadakan majlis perkahwinan secara berlebih-lebihan. Dalam erti kata yang lain ialah membazir. Bagaimana ini ? Hendak meraikan hari yang bahagia tetapi dengan cara yang dibenci ALlah, iaitu membazir. Lalu di mana keberkatannya ? Sedangkan manusia yang membazir itu sahabat syaitan.

Satu contoh mudah. Artis kita cukup suka memberi hantaran yang terlalu mahal. Hingga 5 angka jumlahnya. Saya tertanya-tanya, untuk apa hantaran yang semahal itu ? Sedangkan dalam Islam, hantaran itu sewajarnya tidak terlalu membazir. Paling menarik, hantaran yang mahal, majlis yang mewah, pakaian perkahwinan yang mengancam, kemudian penyudahnya bercerai kerana salah sendiri. Kemudian menyalahkan jodoh yang kononnya sudah habis dan bermacam-macam alasan lagi.

Bukankah dalam Islam itu menyuruh kita bersederhana ? Bersederhana itu penawar. Itukan hakikat.

Kepada pasangan pengantin, saya doakan semoga kalian berbahagia hingga ke akhir hayat. Kepada pihak keluaga yang mengadakan majlis perkahwinan, tahniah saya ucapkan kerana bersederhana. Bersederhana itu penawar. Majlis anda tetap meriah dan gembira walaupun sederhana.

Friday, May 23, 2008

ANTARA AQ DAN AF

"Eeh..., janganlah samakan AQ dengan AF. AQ itu rancangan agama. AF pula rancangan hiburan."

"Apakah hiburan mesti dipisahkan daripada agama ?"

Berhibur juga perlu dipandu oleh agama. Andai berhibur tanpa batasan syariat, hah, itu yang jadinya si lelaki mendukung perempuan semasa persembahan. Berpeluk-pelukan antara lelaki dan perempuan jika salah seorang tersingkir. Macam nak pergi berjihad menangis sampai teresak-esak. Padahal cuma ditendang keluar daripada sebuah akademi yang langsung tidak menyumbang kepada pembangunan agama apatah lagi penyatuan ummah. Resminya hanya untuk berhibur sahaja. Kebetulan pula, pada tahun 2005, ada seorang 'pelajar' AF yang namanya Mawi itu agak 'mahir' ilmu agama. Boleh membaca al-Quran dengan berlagu, boleh berzanji, boleh membaca doa dan sebagainya. Namun, sekarang ini nampaknya Mawi macam dah tak peduli semua itu. Sibuk dengan bakal isterinya. Entahkan jadi entahkan tidak. Itulah produk 'berkualiti' AF. Musim keenam ini hanya menjadi bahan kutukan sahajalah. Saya sudah agak, rancangan yang entah membawa matlamat apa kepada bangsa, agama dan tanah air seperti ini tidak akan kekal menyengat seperti musim terdahulu. Letaklah si 'pengetua' yang ada Phd sekalipun, tidak akan menjadi.

Mari kita jenguk AQ pula. Semasa ia mula-mula disiarkan dahulu, sambutan tidak sehebat AF yang pertama. Yelah, rancangan seperti ini mana boleh terlonjak-lonjak, terjerit-jerit, berlagu pilu dan berpakaian seksi. Malah jurinya sendiri bukan sembarangan orang. Tak ada pulak undian SMS. Kepala otak nak bubuh undi SMS. Ini rancangan memperelokkan bacaan al-Quran, bukan nak cari selebriti. Ingat al-Quran itu apa ? Kitab suci, tau tak ? Dipelihara kesuciannya hingga hari kiamat. Lagipun, nak undi macam mana ? Undi pasal penampilan ? Undi pasal suara sedap ? Undi pasal tarannum bagus ? Undi pasal tajwid fasih ? Undi pasal qiraat tepat ? Undi pasal muka handsome ? Tak boleh semua tu. Lalu ditampilkan 3 orang juri yang akan mengadili 3 bahagian, iaitu tajwid dan fasohah, tarannum dan qiraat. Ketiga-tiganya ini bersangkut-paut antara satu sama lain. Hebat bertarannum, tapi tajwid hancur, rosaklah bacaan. Hebat tajwid, tarannum sengau, tak jadi jugak. Hebat tarannum dan tajwid, qiraat bersepah, tak boleh jugak. Kita sebagai penonton memang kurang arif pasal qiraat. Ada riwayat Susi, Khalaf, Qalun dan lain-lain. Nah, sekurang-kurangnya, dengan menonton rancangan seperti ini, banyak pengetahuan boleh ditimba. kalau menonton AF, entah dapat apa ? Menghabiskan duit mengundi mereka-mereka yang akhirnya tak ingat anda langsung. Menambahkan pengetahuan ? Pengetahuan apa ? Pitching ? Penampilan seksi dan mencolok mata ? Bagaimana nak tebal muka atas pentas bila menyanyi ? Panduan menangis bila kawan keluar AF ? Panduan nak hafal lirik yang sering terlupa ? Panduan nak tarik suara bila part tinggi ? Bolehkah semua itu diaplikasikan dalam pembacaan al-Quran ? Tidak boleh. Sebaliknya, mereka yang melatih suara untuk mengalun ayat-ayat suci ini seraya memperbaiki bacaan boleh sahaja menyanyi dengan suara yang cukup merdu. Namun, lebih baik digunakan nikmat suara itu untuk kebaikan hakiki. Bukan hiburan lagha.

Jurang antara AQ dan AF begitu ketara. Andai anda cuba memisahkan hiburan dengan agama, anda silap besar. Hiburan tidak dapat lari daripada panduan syariat. Ingat doktrin Innalillahi waiina ilaihiraaji'uun (Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali). Justeru, segala aspek kehidupan terikat dengan peraturan Allah s.w.t. Begitu juga dengan hiburan.

Tuesday, May 20, 2008