Nuffnang

Thursday, July 22, 2010

PERTAMA RAMADHAN NANTI...


Apa yang anda mahukan ketika pertama Ramadhan nanti ? Bazar Ramadhan ? Makan sahur yang sedap ? Ya, itu tidak salah. Kerana memang resmi orang kita di Malaysia ini, bulan Ramadhan juga ialah bulan menambah rezeki dengan berniaga juadah berbuka dan juga bulan mengumpul pahala dengan menyediakan makan sahur untuk keluarga mahupun rakan-rakan. Baguslah begitu.

Itu dari sudut lahiriahnya. Dari sudut batiniahnya ? Apa pula yang kita mahukan pada pertama Ramadhan nanti ? Sengaja saya pilih frasa itu kerana kebiasaan umat Islam, apabila malam sebelum bermulanya hari berpuasa, segala macam itu-ini diniatkan. Nanti aku nak baca Al-Quran tiap Subuh, nanti aku nak berzikir sepanjang siang, nanti aku nak bersedekah setiap minggu, nanti aku nak tahan pandangan aku daripada perkara yang haram, nanti aku nak dekatkan diri dengan masjid, nanti aku nak bertarawih bersama jemaah, nanti aku nak itu-ini dan segala macam benda lagi yang diniatkan bersabit dengan bulan Ramadhan kelak. Ya, memang kebiasaannya tidak semua dapat kita buat dengan baik, kerana setelah beberapa bulan dari bulan 1 sehinggalah sebulan sebelum Ramadhan, perkara-perkara itu jarang-jarang dilakukan. Tiba-tiba hendak pulun selama sebulan, laratkah kita ? Tentunya tidak.

Oleh kerana itu, digalakkan kita melatih diri sekitar bulan Rejab lagi, supaya badan tidak kekok dan lelah melakukan amal ibadah. Ketika bulan Rejab lagilah kita hendak membaca Al-Quran selepas solat Subuh, mengurangkan berkata yang sia-sia dan banyak lagi amal ibadah yang mampu menyucikan jiwa. Apabila pertama Ramadhan telah tiba, maka diri kita sudah bersedia dengan kekuatan lahir dan batin yang kita latih dua bulan yang lalu. Makanya, Ramadhan adalah bulan kenikmatan untuk memperbanyakkan amal sunat dan menguatkan amal wajib. Jangan terlalu rajin bercerita tentang ibadah sunat jika ibadah wajib tunggang-langgang. Meskipun kata orang yang sunat itu menampung kekurangan amal wajib, namun seeloknyalah, yang wajib itu kita cantikkan dan sempurnakan terlebih dahulu.

Sebetulnya, kita wajar merasa cemburu dengan cara orang-orang alim menyambut ramadhan mereka yang pertama. Mereka bahkan menangis dalam kerinduan, menitis air mata dalam ketaatan. Ramadhan bagi mereka adalah bulan mengumpul pahala demi menyucikan dosa. Namun, kita ini ramainya masih lagi senang melambatkan solat ketika Ramadhan. Senang lagi berkata-kata perkataan kotor dan keji berbanding melembutkan lidah dengan zikrullah. Senang lagi berdua-duaan dengan kekasih pujaan hati sedangkan ada cinta Tuhan sedang menanti. Cinta sementara dikejar, cinta hakiki dipersiakan. Alangkah ruginya. Ramadhan datang bukan untuk menyambut manusia yang leka, bahkan Ramadhan datang untuk mereka yang bersedia menantinya dengan tenang dan sabar serta penuh kerinduan. Kata orang, bulan Ramadhan adalah bulan pesta ibadah. Erti pesta di sini ialah manusia berduyun-duyun memperbanyakkan amal ibadah demi meraih pahala yang dilipatgandakan oleh Allah Taala. Sekaligus bulan Ramadhan ini membuktikan kecintaan Tuhan kepada para hamba-Nya yang daif serta senantiasa memerlukan pertolongan Tuhan.

Bagi perantauan seperti pelajar dan sebagainya, pertama Ramadhan mengundang rasa syahdu kepada mereka lantaran tidak dapat bersahur bersama-sama dengan ibu ayah di rumah seperti waktu kecil dahulu. Maka, tidaklah hairan kalau ada pelajar sanggup pulang untuk berpuasa pertama Ramadhan di rumah kerana merindukan sahur bersama-sama. Nah, kiranya bulan Ramadhan ini juga berupaya menyatukan hati sebuah keluarga yang bahagia. Itulah petanda ianya bulan rahmat. Bersuka-rialah orang miskin kerana ramai pula orang bersedekah pada bulan rahmat ini lantaran mahu mengejar pahala sedekah yang banyak. Itu kita belum kira wang zakat yang dikumpul untuk diagihkan kepada fakir miskin.

Pertama Ramadhan ini, ramai manusia mengharapkan sesuatu yang baik. Semoga kebaikan itu datang ke dalam diri kita. Kepada mereka yang buat tak endah sahaja, ketahuilah ada benda berharga yang telah anda lepaskan dari dalam hidup anda.

Oh ya, ada satu untaian kata yang menarik untuk direnungkan,

Pertama Ramadhan ini, 
Aku tidak berlapar lagi,
Kerna mengingati-Mu,

Pertama Ramadhan ini,
Aku tidak kehausan lagi,
Kerna merindui-Mu,

Aku telah tahu segala-galanya,
Erti sebenarnya puasa...

Wallahua'lam...

Thursday, July 08, 2010

HADIS NABI TENTANG AKHLAK YANG BURUK

MEMUTUSKAN TALIAN PERSAHABATAN

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
"Tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan (memutuskan hubungan persaudaraan) saudaranya melebihi tiga hari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

TALAM DUA MUKA

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
"Kamu mendapati antara manusia yang terjahat adalah yang 'bermuka dua', ia mendatangi kelompok ini dengan satu wajah dan mendatangi kelompok yang lain dengan wajah yang lain." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

BERMUSUHAN

Daripada Aishah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda:
"Insan yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang amat keras permusuhannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

BERBOHONG DAN MEMBUAT PERANCANGAN JAHAT

Daripada Abdullah bin Mas'ud al-Ansari r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang menipu kami bukanlah daripada golongan kami; dan balasan bagi perancangan jahat dan tipu-daya adalah neraka." (Riwayat al-Tabrani)


Apa sahaja yang Nabi melarang kita daripada melakukannya, maka jauhilah ia sehabis daya kita, meskipun kita mendapat banyak keuntungan dunia dengan melakukan perbuatan keji itu. Semoga kita beroleh rahmat Tuhan dalam kehidupan dan dijauhi daripada sebarang bala bencana akibat daripada nafsu kita sendiri. Wallahua'lam.

Friday, July 02, 2010

NASI AMBANG @ AMBENG - CERITA MAKAN SEDULANG


Di mana ada orang Jawa, di situlah ada hidangan nasi ambang. Ini pendapat saya. Dan rasanya memang betul begitu. Hidangan nasi ambang bukan sekadar nasi biasa yang ditabur kuah di atasnya, bahkan ianya unik sekali kerana cara kita orang Jawa memakannya.

Oh ya, anda yang bukan orang Jawa memanggilnya Nasi Ambang, tapi kami memanggilnya Nasi Ambeng. Perkataan 'beng' itu bukan main sebut melainkan ada intonasi jawanya. Pun begitu, saya bukanlah orang jawa yang sejati atau disebut orang sebagai 'pure' seperti seorang rakan saya dari Selangor itu. Saya bahkan tidak reti berbahasa Jawa melainkan beberapa patah ayat yang dipelajari daripada orang-orang Rengit dan Parit Sulong yang bersekolah dengan saya satu ketika dulu. Namun, darah yang mengalir itu tetap ada jawanya. Buktinya, seorang anak jawa sejati pernah bertanya sama ada saya orang jawa ataupun tidak. Saya tanya mengapa bertanya begitu ? Jawabnya kerana dia dapat mendengar pelat Jawa sedikit dalam pertuturan saya. Hehehe...

Baiklah, nasi ambang@ambeng ini merupakan makanan orang-orang Jawa yang paling popular. Rasanya nasi ayam penyet pun tidak sepopular nasi ambang.

Ingat tak anda pada satu dialog dalam filem Pendekar Bujang Lapok ? Pendekar Mustar ada berkata:

"Nasi ambeng ? Nanti pak cik suruh mak ciknya masak kita makan ramei-ramei..."

Haa...kata kuncinya ialah 'ramei-ramei' atau 'ramai-ramai'. Nasi ambang amat istimewa kerana cara kita memakannya. Mengapa ? Kerana kita memakannya dalam satu dulang besar atau talam jawa secara beramai-ramai.

Satu ketika dahulu, saya hidup di dalam kalangan masyarakat Jawa yang ramai sekali di Daerah Kecil Labis. Di Kampung Sungai Gatom itu, ada ramai orang Jawa. Sehinggakan imam masjid itu sendiri namanya Haji Tukiran dan imam sambilannya pula bernama Haji Wagiman. Orang jawalah tu. Seorang cikgu sekolah agama saya pula namanya Jusman bin Masijan. Cikgu Matematik saya pula namanya Masnon bin Amat. Guru Penolong Kanan HEM pula Zahid bin Rahmat. Memang semuanya berdarah Jawa.

Kalau ada majlis di masjid, selalu benar dihidangkan kami dengan hidangan nasi ambang ini. Ertinya, kami akan makan di dalam dulang yang agak besar.

Caranya, satu dulang untuk 2-3 orang atau 4 orang. Kemudian, seorang akan membaca doa makan dan kemudian membahagikan lauk-pauk yang ada kepada orang yang lain. Lauk yang 'common' dalam hidangan nasi ambang adalah seperti ayam masak kicap, ikan masin, bihun goreng, tauhu goreng dan tempe goreng. Kadangkala, kami bernakal-nakal juga di mana kami akan 'membedal' lauk orang lain. Tapi tak apa, kami anggapnya sebagai gurauan sahaja dan kita akan saling bertukar lauk. Yang penting, tempe mesti ada kerana ianya 'makanan hakiki' kami. Seperti mana orang Kelantan dengan budu mereka, kami juga dengan tempe kami. Hehehe...

Untuk majlis peringkat daerah seperti maulidur rasul juga kadangkala dihidangkan dengan hidangan nasi ambang ini. Saya rasa salah satu sebabnya ialah ianya mudah disediakan memandangkan kesemuanya dhidangkan di dalam talam dan makan berkumpulan, maka kerja mencuci jadi sedikit mudah dan pinggan mangkuk tidak berlambak. Makanya, semua hadirin akan duduk di lantai beralaskan tikar, termasuklah para VIP. Namun, kita semua tidak kisah tentang itu, asalkan perut kenyang. Dan selalunya, memang kami kekenyangan meskipun makan beramai-ramai gitu. Mungkin kerana penyatuan hati, senyuman di antara kami membuatkan hidangan itu nampak banyak dan berseri-seri pula. Gelak ketawa tak usah cerita.

Sekarang ini, nasi ambang banyak dijual dalam bentuk bungkusan dan lauknya terhad. Untuk bertemu dengan hidangan talam sebegitu agak sukar jika tidak ada orang yang tahu menghidangkannya. Percaya atau tidak, hidangan nasi ambang tidak akan menjadi jika tukang atur lauknya tidak pandai meletakkan lauk di atas nasi itu.


Atuk dan nenek saya di Batu Pahat juga sering membawa balik nasi ambang dari masjid sekiranya ada majlis tahlil di masjid itu. Masalahnya, atuk selalu bawa sebungkus sahaja, padahal yang nak makannya ada dua-tiga orang yang dah lama tak nampak nasi ambang. Jadinya, berebut-rebutlah.

Pada mulanya, saya fikir tidak akan bertemu lagi dengan hidangan nasi ambang setelah berpindah ke Kulai. Rupanya tidak. Pejabat ayah saya juga ada memasak nasi ambang untuk hidangan maulidur rasul peringkat daerah. Ertinya, ada orang Jawa dalam kalangan tukang masak di situ. Hehehe... Kalau tidakpun, mungkin ramai yang sudah tahu dan belajar tentang cara hendak memasak nasi ambang ini. Kerana lauknya biasa sahaja, cuma hidangannya sahaja yang unik dan berbeza.

Begitulah saya yang membesar dalam kalangan masyarakat Jawa yang harmoni. Seperti yang pernah saya ceritakan dahulu, orang Jawa terkenal dengan sikap lemah-lembut dan bersopan-santun dengan tetamu. Mungkin dari situ, semangat nasi ambang yang menyatukan hati antara kami membuatkan kami terasa seperti satu keluarga. Bayangkan, kalau anda bermusuh, mahukah anda makan sedulang dengan musuh anda itu ? Tentulah tidak mahu, bukan ? Begitulah hidangan nasi ambang yang merupakan sebahagian daripada ikhtiar orang-orang Jawa untuk menyatupadukan masyarakatnya. Dan semangat itu amat baik sekali dan harus kita contohi dalam kehidupan seharian kita.

Saya pernah menyaksikan orang meninggalkan makanan dalam keadaan marah. Pada hemat saya, itu tidak elok sama sekali kerana berhadapan dengan rezeki perlulah dalam keadaan yang tenang serta penuh rasa syukur. Jadinya, kalaulah anda sedang makan sedulang nasi ambang begitu dan marah-marah, kita akan tenangkan anda dan beri anda banyak lauk untuk dimakan. Itu sebahagian daripada hikmahnya.Saya percaya tak akan ada orang yang ingin makan berkumpulan dalam keadaan marah-marah. Tentu sahaja orang yang marah-marah akan duduk jauh-jauh dan melayan kemarahannya sendiri.

Kesimpulannya, makanan dan minuman merupakan nikmat Allah yang amat berharga. Kita lihat saudara kita di kejauhan sana yang kelaparan kerana kekurangan makanan, namun kita di sini ada banyak makanan. Sewajarnya kita bersyukur atas pemberian Allah ini. Salah satu cara kita bersyukur dengan nikmat makanan dan minuman ini tentunya dengan menghidangkannya baik-baik sama ada untuk diri sendiri, keluarga mahupun tetamu yang bertandang. Ianya satu pahala. Hidangan yang baik tentunya mendatangkan rasa tenang di hati dan lapang dada serta berselera pula hendak memakannya. Itulah nikmat kesyukuran. Pun begitu, janganlah kita terlalu banyak makan kerana ianya akan membuatkan kita malas beribadah. Wallahua'lam.

P/s: Ada kawan saya cakap, dia tidak suka makan ramai-ramai dalam satu dulang...entah kenapa, saya pun tak tahu. Yang penting, dia bukan orang Jawa...hehehe...

Sunday, June 27, 2010

PUTRA-PUTRI RAUDHAH










Kalau ada anak-anak muda yang lainnya asyik mengejar hiburan duniawi, nyanyian-nyanyian mendewa-dewakan dunia, wanita dan perhiasan sementara, tarian-tarian lemah-gemalai membangkit syahwat, fesyen-fesyen yang mengghairahkan, filem-filem yang melalaikan dan segala macam perkara dunia yang merosakkan, terdapat segolongan anak muda yang sedaya-upaya menyuburkan kemurnian agama dalam diri mereka, menghadirkan rasa cinta kepada agama, mendatangkan rasa sayang kepada nabi, merimbunkan rasa kasih kepada para ulama (bukan ulama yang menjual agama demi kuasa dan kepentingan dunia) dan membuang rasa cinta kepada dunia.

Berkhidmat untuk dunia ? Ya, sebagai jambatan utama ke syurga. Namun ada juga manusia yang membina banyak jambatan untuk mereka ke neraka, padahal Tuhan sudah redha menyediakan jalan kemuliaan, iaitu Islam.

Mahukah anda bersama-sama dengan putra-putri Raudhah ini ?









P/s: Putra-putri Raudhah ini hanya bayangan saja. Dipetik daripada nama yang diberikan kepada anak-anak Raudhah dari filem Syukur 21. Gambar-gambar tersebut diambil di merata tempat, dan kesemuanya merupakan pelajar tahfiz Al-Quran. Semoga mereka dirahmati Allah. Dan semoga anak-anak kita juga mencontohi mereka.

Tuesday, June 15, 2010

SAYA KLIK, MEREKA BAYAR...

Cuti yang panjang ini membuatkan ramai pelajar membuat keputusan untuk bekerja sambilan. Ada juga yang sengaja mencuba nasib untuk membuat latihan praktikal, meskipun tidak diwajibkan. Saya pula, dengan kemalasan dan beban peperiksaan yang baru saja terlerai membuatkan saya tidak berminat hendak membuat semua itu.

Tetapi, hendak duduk di rumah saja tanpa berbuat apa-apa pun membosankan juga. Justeru, sengaja saya berlegar-legar di ruang maya internet untuk mencari perkara-perkara yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang kepada saya. Jadi, saya melawat beberapa laman iklan percuma. Nah, seperti biasa, hampir setiap iklan mengenai buat duit cara senang di internet dipaparkan. Ada yang perlu keluar modal hingga ratusan ringgit sebagai permulaan, dan ada juga yang sedikit, malah ada juga yang percuma terus.

Kebiasaannya, program yang memerlukan kita untuk mengeluarkan modal sehingga ratusan ringgit akan menyuruh kita menjual produk tertentu atau kita sendiri diberi Resell Right untuk menjualnya atas nama kita sendiri. Hal itu memerlukan kebijaksanaan promosi, pengiklanan dan sebagainya. Contohnya Laporan Jutawan Mohd Nizam ini.


Ada juga program yang bercorak Affiliate, di mana kita seolah-olah menjadi agen jualan bagi satu-satu produk yang ditawarkan di internet. Kemudian, mereka akan membayar komisen kepada kita. Komisen ini tertakluk kepada tuan punya produk itu. Ada yang membayar kita dengan komisen yang agak tinggi sehingga RM100. Bayangkan sahaja kalau anda berjaya menjual produk tersebut sebanyak 100 dalam tempoh sebulan, berapa komisen yang anda akan peroleh ? Ya, RM10000 ! Oleh sebab itu, ramai juga kaki internet yang menjadi affiliate bagi banyak produk. Oh ya, hal ini juga memerlukan kesabaran dan kejujuran.


Contoh mudah laman bercorak affiliate adalah seperti Laman Belajar Bahasa Arab ini. Apa yang menariknya mengenai laman Affiliate ini, kita seolah-olah sedang melatih diri sendiri untuk memasarkan sesuatu produk mengikut kreativiti sendiri dan paling penting, ianya dilakukan di internet. Mungkin juga kita boleh mengedarkan risalah di tempat-tempat tertentu atau pun mempromosikan secara terus kepada rakan-rakan terdekat kita ataupun ahli keluarga kita sendiri.

Pun begitu, ada satu kaedah buat duit cara senang yang amat menarik perhatian saya, iaitu Paid-To-Click. Dalam Bahasa Melayu mungkin kita boleh terjemahkan sebagai klik dan dibayar. Ertinya program ini menyuruh kita mengklik iklan-iklan tertentu yang dipaparkan di dalam laman web mereka dan mereka akan membayar kita !

Begitu mudah ? Ya, begitu mudah.

Untuk pengetahuan, ada banyak sekali laman Paid-to-click yang didapati Scam ataupun penipuan sama sekali di mana kita hanya membuang masa mengklik namun satu sen pun tak ada. Kebiasaannya, laman itu tidak bertahan lama. Pun begitu, ada juga laman yang memang disahkan pembayaran mereka kepada kita. Ada program yang membayar kita dalam tempoh beberapa hari atau minggu dan ada juga yang 'instant payment' atau pembayaran segera. Maknanya, anda klik butang 'request payout', duit tersebut akan terus masuk ke dalam akaun anda.

Oleh kerana itu, saya mengambil langkah untuk mencuba program ini memandangkan saya tidak perlu membayar satu sen pun sebagai permulaan (ya, program ini percuma). Dua laman web Paid-To-Click yang telah disahkan banyak pihak sebagai jujur dan memang terbukti membayar pelanggannya, iaitu Bux.To dan juga Neobux. Perkataan 'Bux' itu barangkali berakar umbi daripada perkataan 'bucks' yang bermaksud duit. Saya merujuk laman Youtube dan beberapa laman web lain untuk memastikan kesahihan dua program ini dan ternyata dua laman inilah yang paling dipercayai oleh para pengiklan (advertisers) dan juga para pengklik (members).


Di atas merupakan antaramuka laman Bux.To yang saya sertai. Di situ dengan jelas dipaparkan jumlah laman iklan (ads) yang telah saya klik dan memperoleh bayaran daripadanya. Suka diingatkan di sini, bayarannya adalah dalam matawang USD.


Ini pula merupakan iklan-iklan yang telah saya klik. Perhatikan garisan merah itu. Itu tandanya iklan tersebut telahpun diklik dan tidak boleh diklik untuk kali kedua. Untuk Standard Member seperti saya, iklannya hanya sedikit sahaja. Pun begitu, tetap mendatangkan hasil. Ini belum kira anda naik taraf keahlian anda kepada Premium Member di mana iklan-iklan untuk diklik lebih banyak dan jumlah bayaran juga lebih tinggi.


Aha, gambar di atas menunjukkan iklan yang sudah dibaca. Perhatikan perkataan 'DONE' di atas itu. Ertinya anda telahpun menerima komisen daripada iklan itu. Hanya mengambil masa beberapa saat sahaja. Mudah kan ?

Tempoh pembayaran bagi program Bux.To ini adalah sekitar 2-5 hari atau mungkin lebih, bergantung kepada sistem itu. Kita hanya perlu sabar menunggu (ya, apa-apa kerja pun mesti mahu sabar). Pembayaran akan dimasukkan ke dalam akaun Alert Pay. Oh ya, oleh itu anda perlulah membuka satu akaun Alert Pay yang percuma sahaja. Tak perlu bayar apa-apa pun. Ianya merupakan sebuah akaun elektronik yang menyimpan duit kita di dalam internet bagi tujuan membeli-belah di pasaran luar negara dan sebagainya. Kemudian, duit itu kita boleh pindahkan ke dalam akaun bank kita di Malaysia seperti CIMB dan Maybank.

Program kedua yang saya ikuti ialah Neobux. Neobux merupakan sebuah program yang amat dihormati kerana kepantasannya membayar kepada pelanggannya iaitu 'instant payments' ! Ertinya, anda minta duit anda dikeluarkan, terus ia masukkan ke dalam akun Alert Pay anda tanpa perlu menunggu beberapa hari. Mengikut laman forumnya, ada ahli yang mengeluarkan sebanyak USD2000 dalam satu masa. Bayangkan sahaja kalau ditukar ke matawang Malaysia. Fuh...



Di atas merupakan antaramuka akaun saya di Neobux. Anda lihat saya baru dibayar beberapa sen sahaja kerana saya hanya masuk sebagai standard member sahaja dan beberapa kekurangan yang akan saya baiki dari hari ke hari.


Di atas pula merupakan iklan-iklan yang telah saya klik. Ya, di Neobux hanya menyediakan 4 iklan sahaja dalam satu-satu masa. Pun begitu, kesabaran yang jitu akan membuahkan hasil yang luar biasa pada belakang hari. Namun, anda dapat iklan yang banyak jika anda naik taraf keahlian anda.

Baiklah, sistem seperti ini sememangnya berjalan dengan agak perlahan berbanding dengan satu program yang sekarang sedang hangat di Facebook iaitu Log In Hari-Hari Dapat RM100 ataupun Infinity Downline. Oleh sebab itu, diadakan sistem 'Referral'. Ha, bab ini yang jadi payah bagi orang yang malas macam saya ini. Hendak menyuruh orang menjadi referral kita umpama menjual pen dari rumah ke rumah. Di Bux.To, komisen yang dibayar untuk satu iklan ialah sekitar 0.01 sen.

Hah ??? Takkan banyak itu aje ?

Yelah. Namun, referral inilah yang akan membesarkan lagi jumlah itu menjangkau USD10 dalam sehari. Justeru, bagi mereka yang malas, ada disediakan pula perkhidmatan membeli referral di dalam kedua-dua program ini. Di Bux.To, pembelian referral adalah tetap dan mereka akan berada di 'bawah' kita sampai bila-bila. Sekiranya ada referral yang tidak aktif, sistem akan menukar ahli itu dengan ahli aktif yang lain pula.

Berbeza pula dengan Neobux, ia menawarkan khidmat sewa referral di mana kita menyewa referral selama sebulan dengan bayaran tertentu. Oh ya, bayaran boleh dibuat dengan hasil yang telah kita kumpulkan. Nampak macam rugi, tapi rupa-rupanya tidak. Referral ini akan 'boost' 'income' kita. Referral bukanlah 'hamba' kita yang akan buat duit semata-mata untuk kita, bahkan mereka juga buat duit mereka sendiri dan silap-silap kalau mereka lebih rajin, mereka dapat lebih daripada kita.


Referral boleh disewa sama ada 3 orang, 5 orang dan seterusnya dengan jumlah bayaran tertentu. Pun begitu, ada strategi untuk membeli referral ini supaya kita tidak rugi. Strateginya akan saya sampaikan kepada yang berminat.

Berikut satu bukti mereka yang dah pun buat duit baik-baik di Neobux :


Jadi, kepada anda yang teringin hendak mencuba dengan serius di samping anda buat duit dengan Facebook, silakan mendaftar di laman ini. Dan saya akan 'guide' anda setakat apa yang saya tahu. Jika tidak, ada forum di laman-laman ini yang boleh membantu.

SELAMAT MENJANA WANG DENGAN SABAR...! :-)


Friday, June 11, 2010

BILA MAHU GUGUR ?

Yeah...! Mereka sudah kembali. Jika dulu, ketika saya baru sahaja berpindah ke Kulai, saya menemukan pokok durian ini yang nampak gayanya macam 'merajuk' dengan penghuni rumah yang baru. Apa tidaknya, tidak ada satu putik durian pun yang mahu tetap di pokoknya, semuanya gugur ke tanah. Namun begitu, selepas setahun, 'rajuknya' hilang. Ia mula membuahkan hasilnya, dan saya tentunya gembira kerana saya kaki durian.
Dalam kalangan keluarga saya, adik saya yang paling kecil amat menyukai durian. Sampaikan tangannya dari siang sampai ke malam bau durian, meskipun sudah disental dengan 3 jenis sabun. Ibu dan ayah saya juga menyukai durian si raja buah itu. Kalau ada lebih, ibu saya akan membuat bubur durian sebagai modal untuk menghabiskan durian yang berbaki dan tak larat dihabiskan.
Hmm...Pak Ngah saya juga tidak terlepas daripada menyukai durian ini. Memang ayah saya akan menyuruh Pak Ngah dan Mak Ngah saya bertandang ke rumah untuk sama-sama menghabiskan durian yang dikutip. Ini belum kira durian yang kawan-kawan ayah saya beri lagi. Lagilah banyak duriannya.
Oopp...terlupa. Nenek dan atuk sebelah mak saya juga amat menyukai durian. Mereka berdua sanggup datang dari kampung untuk menjamu durian yang ada di rumah. Maklumlah, kadang-kadang ayah saya tidak berkesempatan pulang ke kampung. Jadinya, merekalah yang bertandang ke rumah saya.
Menurut cerita orang-orang Melayu, durian ini dikatakan 'malu' hendak gugur pada waktu siang. Oleh sebab itu, pemungut durian akan berkampung di dusun pada malam hari membawa ke subuh demi menunggu durian gugur dan mengutipnya. Lama dahulu, ketika saya masih kecil, ayah saya sering ke kampung untuk mengutip durian. Bahkan, ayah saya membina sebuah pondok kecil untuknya berehat dan minum air. Yang pastinya, pondok itu dibina agak tinggi kerana pada malam hari dikhuatiri babi hutan datang menyondol. Pondok yang pertama saya lihat agak besar. Ketika itu umur saya baru 5 tahun. Kemudian, ketika saya tingkatan 2, ayah saya membina pondok yang baru di kebun yang satu lagi. Melihat keadaan pondok itu, hanya mereka yang tidak gentar sama pontianak, pocong, jerangkung, harimau dan babi sahajalah yang layak duduk di situ untuk menunggu durian. Dengan berlampukan lampu minyak tanah,memang menyeramkan sekali. Ketika inilah segala macam bunyi hutan berkumandang. Ada yang semacam bunyi mengilai, ada yang seperti bunyi melolong dan sebagainya.

Ada satu cerita menarik mengenai kebun durian milik arwah datuk saya di kampung. Selepas arwah atuk saya meninggal dunia, dikhabarkan yang semua pokok durian tidak berbuah selama 15 tahun. Arwah datuk saya meninggal dunia pada tahun 1988. Ertinya, sehingga tahun 2003 ianya langsung tidak berbuah. Ayah saya menyatakan yang semua pokok-pokok durian itu berkabung selama 15 tahun. Hmm...memang misteri. Pada awal tahun 2004, barulah berbuah semula, dan ianya semacam rahmat pula apabila buahnya banyak sekali dan berduyun-duyunlah pencuri durian datang mencuri sehinggakan ayah saya terpaksa berkampung di tengah dusun itu untuk menghalang pencuri durian daripada menceroboh.

Jika saya perhatikan, kisah durian ini juga mengeratkan hubungan kekeluargaan saya. Kita berbual-bual, ketawa, hulur-menghulur ulas durian dan sama-sama mencampak bijinya ke dalam plastik sampah membuatkan hati serasa bertaut. Itulah penangan durian pada sebuah keluarga yang sukakannya.

Semoga durian terus berbuah di tanah air kita ini...

Oh ya, mungkin anda fikir yang rumah saya ini di kawasan kampung atau FELDA...

tetapi tidak...
Rumah saya amat dekat dengan jalan utama Batu Pahat-Kulai-Skudai...dan rumah saya ialah kuarters kerajaan. Terima kasih kepada sesiapa yang telah menanam segala macam pokok buah-buahan di rumah saya bertahun-tahun dulu. Pahala buat mereka... :-)