Nuffnang

Monday, September 26, 2011

LAMPU AGAM SEBUAH DEWAN KERAMAT

Ku kira, ianya 'suram' sebelum tarikh keramat nan beberapa hari itu mendatang. Kenapa ku katakan keramat, kawan ? Kerana tarikh-tarikh itu bukan hanya untuk mereka yang berkenaan sahaja, bahkan mereka yang tidak berkenaan juga merasakan kehangatannya. Mungkin secara mudahnya beginilah, kawan. Kalau mereka sudah bersiap-sedia untuk menggenggam sebuah perjanjian yang telah disempurnakan, maka tentulah mereka yang baru hendak menapak itu menjadi terpengaruh dan terangsang untuk sama berusaha agar satu masa nanti, mereka juga dapat menyempurnakan perjanjian itu. Bukannya apa, bukannya tidak ramai manusia yang dibuang daripada tempat sebegini dek kerana diri sendiri yang leka dan lalai.

Pada mulanya, kawan. Aku mengira bahawa aku akan turut sama meraikan kemenangan ini. Tetapi, kau tahulah kawan. Kalau Tuhan berkata bukan masanya lagi, maka bukanlah masanya lagi. Ya, bohonglah kalau aku tidak merasa sedih. Aku sedih kerana kecuaian aku sendiri. Tapi untuk terus menyesal dengan kecuaian adalah perangai orang yang bodoh. Maka seharusnya aku berikhtiar semula supaya biarpun bukan ini masanya, masa yang lain aku tetap dapat juga.

Pun begitu, aku 'merindukan' suasana beramai-ramai dengan jubah kemuliaan itu. Jubah orang pandai, kata orang-orang tua (ramai juga yang pandai belajar, tetapi akhlaknya bodoh). Aku merasa iri melihat mereka bersama-sama merasa megah dan bangga melangkah masuk ke dalam dewan itu. Maka, aku berdoa kepada Tuhan, paling kurang pun, biarlah aku dapat menjengah seketika suasana di dalamnya.


Rahmat Tuhan, aku diberi izin untuk masuk dan membantu melicinkan perjalanan majlis sesi kedua pada hari kedua penganugerahan. Ketika itu hari sudah tengah hari. Dewan hanya dihiasi dengan lampu-lampu oren yang kecil-kecil itu. Ku lihat jua buku-buku konvo tersusun di atas kerusi graduan dan aku menyisipkan sebuah kertas yang kalau mereka pergunakan baik-baik, insya Allah ada hasilnya buat mereka nanti. Secara tidak sedar, aku sudah mengelilingi seluruh dewan keramat itu. Aku sengaja meninggalkan 'jejak' di atas kerusi empuk orang-orang besar.


Aku mendongak ke arah lelangit dewan keramat. Apabila waktunya sudah hampir sampai, lampu agamnya terus dinyalakan. Aku merasakan semacam sebuah konsert sudah hendak dimulai. Hehe. Para petugas mula terkejar-kejar ke sana ke mari demi menyempurnakan tugas masing-masing. Dari situ, aku mula berfikir jikalau para graduan yang mengambil 'habuan' mereka itu tidak mengucapkan terima kasih pada orang-orang ini adalah tidak patut sama sekali. Kerana merekalah yang memastikan kelicinan perjalanan majlis. Ku kira senyum juga sudah memadai bagi mereka yang keletihan.


Aku melihat juga bertungkus-lumus seorang tukang sapu membersihkan sampah. Nah, di dalam dewan seperti ini pun masih ada orang biadap membuang sampah sesuka hati. Kalaulah yang membuang sampah itu graduan, ku kira dia perlu menilik kembali apa ertinya graduan itu yang murni peribadinya.


Petugas di atas pentas utama sedang memberikan sentuhan mereka yang terakhir. Malangnya, aku tidak nampak apa yang mereka lakukan kerana tugas aku hanya di bawah sahaja. Lampu agam sudah dibuka semuanya. Teranglah dewan keramat dengan sinar yang mengharukan graduan.




Setelah 'signal' untuk kami beredar diberikan, maka kami pun keluar dewan tanda tugas kami sudah berakhir. Nanti jam 5 petang, saat mereka sudah keluar dan bergembira sakan, kami masuk semula memulakan tugas kami untuk keesokan harinya.


Ya, kawan. Aku sekurang-kurangnya tetap seronok kerana paling kurang pun, aku dapat memberi sedikit bantuan secara ghaib (ertinya kawan-kawanku tidak melihatku melainkan hanya seorang sahaja yang perasan), dan aku pernah ada di situ menyambut mereka datang dan pulang.


Selamat maju jaya aku ucapkan pada kalian semua dan semoga Tuhan memelihara kalian daripada kejahatan dunia dan akhirat... :-)

Sunday, September 04, 2011

MUNGKIN 'AWAK' TERLALU JAHAT BUAT 'MEREKA'

'Mereka' itu, bak kata orang sebagai orang-orang terlindung. 'Mereka' menutupi diri 'mereka' daripada sebarang nista dan noda. 'Mereka' tidak bermain-main dengan pahala, dan mereka tidak pula bersuka-suka dengan dosa. 'Mereka' senantiasa menginsafi diri. 'Mereka' senantiasa muhasabah diri. Sedang 'awak' selalu pula leka dan lalai dengan dunia yang sekejap. 'Mereka' senantiasa berkira-kira dengan pergaulan, sedang 'awak' begitu bebas bergaul. 'Awak' bergomol dengan sesiapa sahaja tanpa peduli pada batas halal dan haram.'Awak' sebenarnya hina pada 'mereka', sedang 'mereka' manusia mulia.

Dalam penuh rasa rendah diri, 'awak' mengakui kekotoran diri awak demi menyelamatkan 'mereka'. 'Mereka' bahkan tidak tahu apa-apa, dan 'awak' tidak tahu apa-apa tentang 'mereka'. 'Awak' sedaya-upaya menyucikan dosa dengan berbuat kebaikan, namun kebaikan tidak sentiasa diiringi dengan kebaikan. Bahkan manusia sering pula menyalah-tafsir akan kebaikan. Kekotoran diri 'awak' membuatkan awak terasa yang mungkin Tuhan tidak pernah menerima kebaikan awak (semoga tidak begitu keadaannya kerana Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang).

'Awak' cuba-cuba kembali menelusuri denai lama yang membawa 'awak' ke cerita asal. Cerita tentang bagaimana keadaan 'awak' ketika 'sesat' satu ketika dahulu. Ketika itu, 'awak' benar-benar hina. Serasa diri awak langsung tidak bernilai. Tatkala merenung kembali itu, tahulah 'awak' bahawa mungkin 'mereka' yang baik budi pekerti itu bukan untuk 'awak'. 'Awak' hanyalah seorang manusia yang penuh rasa keliru dan ragu pada sebuah kebaikan. 'Awak' masih tertanya-tanya, bagaimana caranya mendekatkan diri kepada Tuhan. Kerana apa ? Kerana dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, insya Allah tidak ada masalah buat 'awak' untuk sama-sama bergaul baik dengan manusia. Namun, 'awak' masih belum menemukannya. 'Awak' masih buntu dan celaru. 'Awak' cuba mencari-cari jalannya dengan merenung kisah-kisah lama yang penuh pengajaran. Tidak ada yang 'awak' jumpa melainkan kesedihan yang nyata. 'Awak' menemukan kebaikan kisah-kisah lama dalam diri 'mereka'. 'Mereka' itu nyatalah insan yang baik dan mulia. Meski orang-orang jahil berkata mereka rendah tarafnya, namun Tuhan memelihara maruah dan darjat 'mereka', sehingga pada satu keadaan 'mereka' berhak memilih mana-mana pintu syurga untuk dimasuki mereka.

'Awak' menangis sekali-sekali.
Entah apa hendak dibuat.
Masih buntu.
'Awak' rasa yang awak ditinggalkan, sedikit demi sedikit, seperti mana kebaikan menjauhi insan yang kotor dengan dosa, begitulah keadaan 'awak' sekarang ini.
'Awak' hampir rebah ke bumi. Muka diselaputi debu tanah yang kering.
Matahari terpancar terik memercikkan peluh di dahi.
Muka dibasahi peluh.
Pakaian kotor.
Suara tidak mahu keluar.
Rambut kusut-masai.
Mata tidak menunjukkan apa-apa perasaan.
Khali.
Angin tidak berarak.
Pepohon tidak memayungi 'awak' yang hina.
Awan tidak mahu menutup sekujur tubuh 'awak' dari kepanasan.
Awak benar-benar tewas.

Apakah Tuhan tidak lagi berbelas kasihan ???

Awak mengangkat tangan. Menggigil-gigil. Berdoa. Kepada yang Maha Esa.

Semoga Tuhan masih sudi menerima diri 'awak' yang hina. Kerana, walau apa keadaan sekalipun, kepadaNya sahajalah 'awak' akan kembali. Meski dosa menggunung, Tuhan bahkan masih sudi mengampunkan, asalkan sahaja 'awak' ikhlas dengan pengakuan. 'Mereka' itu adalah manusia mulia. Maka semestinyalah 'awak' turut sama menjadi mulia untuk bersama-sama 'mereka'. 'Mereka', dengan izin Tuhan akan bersama-sama 'awak', bersenang-senang di negeri abadi. Berbahagia selama-lamanya.

Kata Yusuf a.s. : Ya Allah, jika memang kehidupan di penjara itu lebih bererti bagiku daripada dunia luar, maka aku rela tinggal di penjara tetapi dekat denganMu, daripada aku hidup bersama-sama manusia pendusta...
Semoga 'awak' bukanlah tergolong dalam manusia pendusta. Kerana manusia pendusta tidak akan pernah bahagia. 'Mereka' itu juga tidak akan bersama-sama manusia pendusta.

Wallahua'lam.

P/s: 'Awak' tujukan kepada 'mereka' yang mulia...dari 'awak' yang hina...

P/s/s: Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Ampunkan saya sekiranya sepanjang saya menulis di sini, saya telah membuatkan sesiapa berkecil hati. Semoga Tuhan merahmati anda semua.

Wednesday, August 24, 2011

HARKAT 'EVERGREEN' (LAGU RAYA) Bahagian 1

Ah, dasar orang-orang Melayu. Kalau lagu raya tidak menghiasi hidup mereka ketika berada di penghujung Ramadhan sekitar barang 10 hari, tidak sah hidup mereka. Hatta seorang ustaz sekalipun yang sebelum ini menyeru orang ramai supaya kuat-kuatkanlah lagi ibadah pada 10 malam terakhir Ramadhan, untuk mengelak daripada turut sama merasa bahagia mendengar lagu raya adalah tidak boleh. Mereka juga manusia biasa. Lagipun, bukankah Syawal itu merupakan hadiah dari Tuhan kepada hamba-Nya yang berpuasa ? Cuma, bagaimana cara kita menyambutnya sahaja yang membezakan sama ada kita menyambutnya dengan cara yang betul ataupun cara yang sia-sia.

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, biarpun dihimpit dengan kerja-kerja yang bertimbun, apabila mendengar lagu raya, paling tidak stress mereka reda sedikit, atau mungkin sahaja makin stress kerana sudah tidak sabar hendak beraya. Hehehe...

Sepanjang hidup saya yang mencapai usia 23 tahun ini, seberapa hebat radio itu, tetap mereka akan menyiarkan lagu-lagu raya sekitar 60,70,80 dan 90-an. Namun, yang paling ketara ialah 70 dan 80-an, ketika zamannya Hail Amir, Uji Rashid, Noor Kumalasari, Sudirman, Aman Shah, dan entah siapa lagi yang saya tidak ingat namanya. Nah, mungkin saya boleh bercerita sedikit mengenai lagu-lagu raya yang saya minat dan pasti dengar ketika hari raya. Kalau diikutkan, lagu-lagu raya ini lebih 'berhantu' dan 'bertenaga' saat beberapa hari sebelum raya, ketika kita masih berpuasa. Begitulah rahmat Tuhan di dalam bulan Ramadhan, sehinggakan Aidilfitri itu lebih terasa ketika bulan Ramadhan berbanding Syawal itu sendiri. Rasa tak sabar hendak berbaju raya. Rasa tak sabar hendak makan ketupat. Rasa tak sabar nak makan lemang apabila mendengar lagu raya. Apabila raya pertama dan kedua sudah berlalu, lagu itu menjadi agak biasa-biasa. Namun, bagi mereka yang tidak dapat bercuti raya, rasanya sampai sebulan lagu-lagu raya akan tetap membuatkan mereka berasa sedih dan pilu.




Ketika saya berumur sekitar 9 tahun, siapa pun tidak akan dapat menafikan lagu raya yang didendangkan oleh Biduanita Saloma akan menjadi kegilaan. Entah kenapa, lagu ini amat sesuai dinyanyikan saat kita memusing-pusing bunga api di laman rumah atuk dan nenek. Hehehe...serasa serasi bersama pula. Nyatalah Saloma benar-benar menyanyikannya dengan semangat hari raya. Kalau saya tidak salah, terdapat versi yang lebih awal daripada versi ini. versi awal itu lebih perlahan sedikit rentaknya berbanding versi yang ini. Saya kira budak-budak amat meminati lagu kerana terdapat suara latar kanak-kanak di dalamnya. 'Kids giggling' adalah keramat dalam mana-mana lagu bersifat meraikan, seperti lagu Pulanglah Ke Desa nyanyian Nora. :-)


Ahah, potong jari kalau orang Melayu tidak tahu lagu klasik ini. Untuk mencapai harkat klasik sememangnya payah. Namun, sudah dasar manusia luar biasa, apa yang dihasilkannya akan dikenang orang sepanjang zaman. Beliaulah P.Ramlee dengan Dendang Perantaunya. :-) Semoga Allah Taala merahmati beliau dan isterinya, Saloma. Hairan juga, tidak ada lagu raya yang dinyanyikan secara berduet dengan isterinya.


Kemudian, satu lagi lagu ciptaan beliau yang berjudul Suara Takbir. Jujurnya, saya lebih menggemari lagu ini berbanding Dendang Perantau. Ya, mungkin kerana saya jarang merantau, jadi lagu itu kurang memberi kesan. Hehehe...


Saya tidak tahu pada tahun berapakah lagu ini dicipta. Mungkin sekitar pertengahan 50-an memandangkan kita dapat mendengar sedikit sebanyak pengaruh muzik era 50-an pada lagu ini. Jika lagu Dendang Perantau, kita tahu ianya dihasilkan awal 60-an memandangkan ada pengaruh gitar elektrik di situ. Ya, P.Ramlee mula cuba membiasakan lagu ciptaannya dengan gitar elektrik pada tahun 60-an, ketika Malaysia dilanda pengaruh muzik ala The Beatles. Makanya, P.Ramlee yang agak terkejut dengan fenomena tersebut saya kira cuba menyesuaikan keadaan, meskipun kita telah dikhabarkan bahawa P.Ramlee tetap teguh dengan muzik bawaannya.


Kemudian, lagu raya lain yang saya minati ialah lagu Selamat Hari Raya dendangan Ahmad Jais. Ya, penyanyi yang memiliki suara emas ini sememangnya amat popular dengan lagu ini. Bahkan, saya kira ianya lagu wajib untuk disiarkan ketika raya hampir menjelang tiba. :-)



Kalaulah anda perasan, Ahmad Jais adalah penyanyi era 60-an. Pun begitu, kita akan dapati kebanyakan lagunya akan diiringi sama ada dengan trompet atau saksofon (tenor saksofon ?). Hal ini termasuklah lagu ini dan juga seperti lagu Budi Setahun Segunung Intan. Padahal kebanyakan penyanyi pada era tersebut jarang memasukkan sama elemen trompet atau saksofon di dalam lagu-lagu mereka.

Pada usian emasnya kini, Ahmad Jais masih tetap memiliki suara yang amat bagus untuk mendendangkan lagu. Mungkin artis baru boleh menuntut daripadanya tentang penjagaan suara.


Yeargghh...!!! Siapa tidak kenal sama Black Dog Bone dengan lagunya Cahaya Di Aidilfitri. Penyanyinya boleh menyanyi dengan suara yang tinggi dan ianya menambahkan 'feeling' pada lagu ini. Ternyata percaturan penciptanya untuk mencipta lagu ini bagi dinyanyikan oleh kumpulan Black Dog Bone sehingga ia menjadi malar segar.


Lagu ini, bak kata adik saya intronya macam lagu mahu pergi perang. Hehehe. Tapi, liriknya nyata menceritakan tentang kesedihan beraya di dalam kepedihan dan kesusahan hidup. Ya, benar bahawa tidak semua orang menyambut raya dengan perasaan gembira. Meskipun kita tahu hari raya adalah hari kemenangan, tidak semua orang menyambut kemenangan dengan kegembiraan. 

Black Dog Bone amat popular pada tahun 70-an, jika saya tidak salah. Dan kumpulan mereka juga antara yang terkenal kerana 'menceduk' lagu orang putih kemudian diubah menjadi lagu mereka, seperti lagu Khayalan yang lagu asalnya saya tidak ingat apa. :-)

Bersambung...

Saturday, August 06, 2011

RAMADHAN YANG MULIA

 "Wahai orang-orang beriman. Diwajibkan bagi kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan bagi orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa." (al-Baqarah: 183)

Alam bersama-sama dengan keberkatan Ramadhan. Hawa dari syurga berarak menyeliputi umat Islam di seluruh dunia sehingga tidak ada apa lagi yang kita dapat rasakan melainkan ketenangan di bulan Ramadhan. Datanglah ujian bertimpa-timpa, datanglah sedih bertalu-talu, namun dengan berkat kemuliaan Ramadhan, insya Allah kita dapat melaluinya dengan tenang dan sabar.


Sekalian pintu neraka ditutup dan dibukakanlah akan Tuhan sekalian pintu syurga seluas-luasnya. Tidak ada seksaan kubur di bulan mulia ini, maka bergembiralah ahli kubur berkat Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala iblis dan syaitan dibelenggu demi mententeramkan jiwa orang yang berpuasa. Tinggal nafsu manusia itu sahajalah yang memacu manusia itu untuk merosakkan puasanya.

Kalaulah kita perhatikan, tak selalu kita berpuasa dalam keadaan sejuk (hujan) di Malaysia ini. Selalu sahaja cuacanya panas terik sehinggakan kita seolah-olah merasa terhidrasi. Sehinggakan dikhabarkan dalam riwayat bahawa baginda nabi yang dahulunya menetap di kawasan padang pasir itu pernah membasahkan kepalanya dengan air ketika berpuasa lantaran cuaca yang terlalu panas. Nah, nabi sendiri merasakan cabaran berpuasa. Akan tetapi, manusia suci yang dekat dirinya dengan Tuhan itu tidak pernah sekalipun menganggap puasa sebagai beban dari Tuhan. Sebaliknya, kita menemukan banyak sabdanya tentang kemuliaan dan kebaikan puasa. Begitu nabi diwahyukan Tuhan dalam sabdanya sehinggakan sedarlah kita bahawa puasa bukan perkara yang membebankan dari Tuhan. Bahkan, demi kebaikan hamba-hamba-Nyalah puasa ini diwajibkan dalam bulan Ramadhan. Ianya tidak melanggar fitrah tubuh badan kerana pada senjanya kita dibenarkan berbuka puasa. Makanlah kau dengan tenang tetapi janganlah sampai berlebih-lebihan kerana ia tidak baik pula untuk badan. Paling teruk, berbuka puasa dengan menghisap rokok. Itu tidaklah molek sama sekali. Kemuliaan berbuka puasa dihitamkan dengan nikotina bangsat.


Ramadhan ini, orang-orang kita menggelarnya sebagai bulan pesta. Pesta apa ? Pesta ibadah, katanya. Akan tetapi, para ustaz kita tidak setuju jika kita tumpukan pada satu bulan ini sahaja untuk memperbanyakkan ibadah, sedangkan bulan lain kita sambil lewa saja.

Setiap bulan adalah bulan ibadah.
Setiap hari kita diwajibkan menjauhi dosa besar, bukan dalam bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita disuruh banyakkan bertaubat seperti yang diajar nabi, bukan dalam bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita disuruh menjaga waktu solat fardhu, bukan bulan Ramadhan saja. Setiap hari dalam setiap bulan kita dianjurkan untuk solat berjemaah, bukan bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita dianjurkan untuk selalu mengunjungi majlis ilmu, bukan bulan Ramadhan saja.
Setiap hari dalam setiap bulan kita dianjurkan untuk membaca al-Quran, bukan bulan Ramadhan saja.


Nabi kita, setiap hari tekun beribadah meskipun dirinya maksum (suci tanpa sebarang dosa). Yalah, orang maksumlah paling hebat ibadahnya sebagai tanda syukurnya kepada Tuhan. Demikianlah jawapan nabi saat ditanya isterinya Aisyah r.a. Nabi kita bahkan makin hebat ibadahnya saat di bulan Ramadhan. Begitu sepatutnya. Bukan bulan Ramadhan baru sibuk nak itu-ini dalam beribadah sedangkan bulan lain langsung tak ada ikhtiar hendak memperbaiki ibadah masing-masing. Kerana itulah, dianjurkan untuk senantiasa melatih diri dalam beribadah semoga dengan harapan apabila tibanya bulan di mana pahala digandakan dengan banyaknya ini, kita mampu meningkatkan ibadah kita tanpa rasa sukar dan payah. Kerana sesungguhnya, hendak mengabdikan diri kepada Tuhan bukanlah macam makan kacang goreng. Bahkan ianya memerlukan pengorbanan yang besar. Nafsu perlu dikekang dari perkara keji. Mata dipelihara daripada memandang benda yang haram. Mulut dijaga daripada berkata perkara keji. Tangan dipelihara daripada berbuat perkara haram. Kaki dipelihara daripada melangkah ke tempat yang haram. Perut dijaga daripada makan dan minum daripada benda yang haram. Dan semua itu kita tahu bukanlah mudah. Kerana itu, diri perlu dilatih setiap hari. Namun begitu, nabi tidak mengajar kita untuk sampai menyeksa diri sehinggakan kesihatan terabai. Bahkan nabi tetap menyuruh kita merehatkan badan apabila perlu kerana tubuh juga mempunyai haknya sendiri.


Maha suci Tuhan, bahawa sesungguhnya nabi kita pernah bersabda,

“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, di mana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya”. (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Begitulah kemuliaan orang berpuasa. Dan semestinya golongan ini adalah golongan di mana puasanya bukan sembarang. Bahkan puasanya adalah puasa yang tinggi kualitinya. Dia menjaga keseluruhan pancainderanya ketika berpuasa. Orang-orang inilah yang insya Allah dengan belas ihsan Tuhan akan memasuki syurga ini. 

Lailatul Qadar


Malam yang dinanti-nanti orang beriman ketika bulan mulia ini tak lain dan tak bukan ialah malam al-Qadar (lailatulqadar). Pada malam inilah al-Quran diturunkan di Baitul Makmur sebelum diwahyukan beransur-ansur kepada baginda Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril a.s. 


Malam ini dianjurkan untuk kita perbanyakkan berdoa dan memohon keampunan Tuhan. Meskipun kita tidak mengetahui dengan jelas malam ke berapa al-Qadar ini, namun nabi telah mengisyaratkan bahawa ianya ialah pada 10 malam terakhir Ramadhan. Maka janganlah kita terlalu seronok hendak berhari raya sehingga kita terlepas peluang untuk meraih pengampunan Allah pada 10 malam terakhir ini. Malang sekali kerana ramai di antara kita telah leka dengan persiapan raya. Memanglah tidak menjadi kesalahan untuk membuat persiapan hari raya, namun janganlah sampai diabaikan terus kelebihan yang dikurniakan Tuhan kepada kita. Dikhabarkan bahawa nilainya menyamai seribu bulan beribadah. Maha suci Tuhan. Semoga kita nanti dapat bersama-sama memperkuatkan lagi ibadah kita pada 10 malam terakhir. Kita tidak tahu waktu ajal menjemput kita. Justeru, alangkah ruginya jika melepaskan peluang untuk meraih keampunan Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Oleh yang demikian, kita sama-samalah berdoa semoga Ramadhan kali ini semakin baik kualitinya berbanding yang lepas-lepas. Kita berharap supaya Tuhan merahmati hidup kita sepanjang bulan Ramadhan ini dan kita menjadi istiqamah dalam menjaga ibadah kita supaya berterusan sampai ke akhir hayat. 

Wallahua'lam...

Sunday, July 24, 2011

TILAWAH DAN SEMANGAT KESUKANAN

Dengan izin Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, qari dan qariah kita menyandang gelaran johan untuk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2011. Namun, pada pendapat saya, perkara ini bukanlah untuk sama sekali menidakkan peserta-pserta yang lain. Kerana gelaran johan itu tidak ada apa-apa melainkan penghargaan yang kita berikan kerana bacaan mereka yang baik serta menurut hukum tajwid yang betul dan tangga nada suara yang bagus untuk mengalunkan maqam-maqam Al-Quran yang sukar dan kompleks.



Pada hakikatnya, majlis tilawah ini adalah untuk memberi keinsafan dengan kita menghayati setiap baris makna ayat-ayat suci Al-Quran itu saat ia dibacakan. Kerana apa ? Kerana hal ini juga pernah dilakukan baginda Muhammad s.a.w. apabila baginda menyuruh seorang sahabat baginda (maaf, saya lupa namanya) untuk membacakan padanya ayat-ayat suci Al-Quran untuk baginda dengar. Nah, baginda menangis bercucuran air mata apabila mendengar bacaan sahabat itu ditambah pula dengan suaranya yang merdu. Begitu nabi yang sememangnya maksum dan suci menghayati ayat yang diwahyukan kepadanya sendiri. Kita ini pula bagaimana ? Tentulah kita juga patut melakukan perkara yang sama. Maka, majlis tilawah ini disertakan bersama dengan makna ayat Al-Quran yang dipaparkan menerusi skrin besar untuk sama-sama kita bacakan dan ambil iktibar daripadanya. Ditambah pula dengan huraian ayat daripada pengacara yang disampaikan sejurus selepas setiap qari dan qariah menyampaikan bacaan. Makanya, kalau kita sekadar tonton dan berkata, "Bacaan si polan ini tak sedap, bacaan si dia ini tak menarik", ertinya kita masih gagal memahami tujuan sebenar majlis tilawah diadakan. Jikalau begitulah kita menilai, makanya kita menidakkan sumbangan besar setiap qari dan qariah itu yang membacakan kepada kita ayat-ayat suci itu. Meskipun kita sedar memang ada qari dan qariah masih melakukan kesilapan dalam hukum tajwid, itu bukanlah penghalang untuk kita mendapat pengajaran yang baik daripada ayat yang dibacakan. Kerja memberi kesedaran itu adalah kerja Allah, kita cuma berusaha sahaja.


Qari dari Malaysia iaitu Amirahman Abas menyandang gelaran johan dengan penghargaan yang diberikan, begitu juga dengan qariah Malaysia iaitu Hajah Suraya binti Abu Hassan yang menyandang gelaran johan. Johan itu adalah penghargaan, bukan cuba mengkelas-kelaskan taraf bacaan. Saya yakin dan percaya penganjur juga berpendirian seperti itu melalui ucapan yang telah mereka sampaikan berkenaan dengan tujuan asal majlis tilawah ini diadakan. Kita seharusnya berbangga kerana negara kita yang kecil ini mampu menganjurkan sebuah majlis besar yang mulia, iaitu majlis memuliakan Al-Quran. Itulah sedikit sumbangan kecil kita kepada agama kita, semoga terpandang di sisi Tuhan. Walaupun begitu, saya sedikit kecewa kerana masih ada orang kita yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Kita dapat lihat masih ada wanita yang bertudung tapi nampak jambulnya. Pengajaran kalamullah tidak terpancar sepenuhnya pada penampilan mereka. Semoga Tuhan memberi hidayah kepada mereka. Kita mendoakan.


Pada masa yang sama, sekitar jam 7.30 petang tadi, berlangsungnya perlawanan bola sepak di antara Malaysia dengan Singapura. Ada yang menyatakan bahawa kita adalah 'musuh tradisi' di atas padang bola. Hmm...mungkin benar begitu. Tapi, peduli apa kerana memang adat bertanding mesti mahu menang dan akan ada yang kalah.

Sebagai rakyat Malaysia, kita menyokong sepenuhnya pasukan negara kita, meskipun kita sering kecewa dengan barisan pertahanan yang sering lemah sehinggakan sudah ditegur di dalam akhbar. Begitu mudah bolos adalah satu kesialan utama dalam perlawanan bola sepak. Nampak sangat pertahanan lemah dan kucar-kacir. Pun begitu, memberikan yang terbaik adalah harapan semua pasukan. Dan saya kira Malaysia sudah melakukannya dengan menghentam dua gol dalam jarak masa yang dekat. :-) Hal itu sedikit sebanyak melegakan kita kerana paling tidak, jumlah gol yang kita peroleh tidak terlalu jauh dengan Singapura. Jaringan Safee Sali dan Amirul melegakan keresahan kita sejak awal lagi. Siapalah yang tidak melompat kegembiraan melihat pemain kita menjaringkan gol yang berjaya merapatkan jurang yang jauh. Akhirnya, kita berkeputusan 5-3. Seperti biasa, kita memanglah mengharapkan kemenangan di tempat orang daripada kalah. Pun begitu, untuk kalah di tempat sendiri adalah lebih malang lagi.

28 haribulan nanti adalah penentunya. Semoga negara kita beroleh kemenangan. Mereka membawa harapan rakyat. :-)


Dalam pada itu, saya mengharapkan juga yang pemain-pemain kita yang beragama Islam itu tidak meninggalkan solat. Ya, untuk orang seperti mereka, ada rukhsah yang boleh dikenakan ke atas mereka. Jika seperti kes perlawanan tadi, mereka berlawan pada waktu maghrib. Makanya, mereka boleh mendirikan solat jamak ta'hir dalam waktu Isyak. Seperti yang kita tahu, waktu Isyak adalah sepanjang malam sehinggalah azan subuh. Makanya, tidak ada alasan untuk meninggalkan solat. Oleh itu, semoga pemain kita tetap melaksanakan kewajipan di samping bertarung untuk negara. Lebih menarik dan molek lagi sekiranya pihak penganjur sendiri meletakkan tempoh waktu yang munasabah untuk pemain menunaikan solat. Itu lebih baik dan mulia.

Apa yang kita harapkan juga ialah penonton kita juga turut tidak meninggalkan solat. Kerana meninggalkan solat adalah perkara enteng untuk perkara seperti ini. Menonton bola juga boleh menjadi satu dosa kepada kita sekiranya kerananya, kita meninggalkan kewajipan menunaikan solat. Kerana itulah seorang ulama besar menyatakan bahawa perkara paling ringan di atas dunia ialah meninggalkan solat.

Semangat kesukanan yang tinggi dan ditambah dengan kepatuhan kepada kewajipan perintah Tuhan, insya Allah ianya akan mendapat keberkatan daripada Tuhan kerana setiap satu pekerjaan yang kita lakukan, kita tidak dapat lari daripada mengharapkan keredhaan Tuhan.

Wallahua'lam...

Thursday, July 21, 2011

PULANG DARI KILANG

Hehehe...baru-baru ini saya mendengarkan lagu ini di radio Sinar FM. Nah, Allahyarham Sudirman dahulunya berjaya membuktikan bahawa lagu-lagunya amat dekat di hati masyarakat. Kisah pekerja kilang wanita pun boleh dijadikan lagu yang menarik untuk didengar.


Tak mahu pening-pening kepala dengan masalah dunia, kita berhibur seketika dengan cerita Allahyarham Sudirman tentang 'minah kilang' yang diminatinya. Awwaawwah...hehe... :-)

Lihat dia
Pulang dari kerja
Bersama rakannya
Sungguh ayu dan pemalu
Serba sederhana

Lihat itu
Teratur langkahnya
Lembutnya bicara
Ingin rasanya dihatiku
Berkawan dengannya

Ku dapat tahu akan kisahnya
Datang dari desa
Kerja membantu ibu dan ayah
Menyara adik ke sekolah

Ingin aku
Dekat kepadanya
Tapi malu jua
Sudikah dia menerimaku
Sebagai kawannya...

Lepas ini, bila lihat 'minah kilang' pulang dari kerja, lekas-lekas kasi ingat sama ini lagu...