Nuffnang

Sabtu, Oktober 10, 2026

NEGARAWAN DI RUANG KOMEN, SEJARAWAN DI TIKTOK

Penghujung zaman ini, tidak perlu belajar bertahun-tahun untuk menjadi ahli sejarah. Cukup ada telefon pintar, sambungan Internet dan keyakinan yang tidak bertepi. Tiba-tiba, segala-galanya mahu diperdebatkan, termasuk sejarah dan budaya negara jiran yang difahami hanya melalui cebisan maklumat di media sosial. Lebih mengagumkan, ada yang begitu yakin mengajar rakyat Malaysia tentang negara sendiri. Barangkali ilmu mereka terlalu tinggi sehingga sumber rujukan pun tidak lagi diperlukan.

Segelintir warganet Indonesia nampaknya begitu ghairah menjadikan Malaysia sasaran sindiran, penghinaan dan dakwaan yang entah dari mana asalnya. Apa sahaja yang berkaitan dengan budaya dan sejarah Malaysia seolah-olah perlu dipertikaikan, seakan-akan maruah sendiri hanya dapat ditegakkan apabila jiran berjaya direndahkan. Namun, jangan keliru antara suara yang lantang dengan suara yang berilmu. Kadangkala, yang paling bising itulah yang paling sedikit memahami perkara yang diperkatakannya. Dan malangnya, algoritma media sosial lebih gemar menyuap kebisingan daripada menghadiahkan kebijaksanaan.

Sejarah Nusantara bukan pertandingan merebut pingat emas siapa paling asli, paling awal atau paling berhak. Budaya rantau ini terbentuk melalui hubungan panjang antara masyarakat, perdagangan, penghijrahan dan pertukaran tradisi. Menganggap setiap persamaan budaya sebagai ‘bukti’ konon ia dicuri  ialah tanda betapa ceteknya pemahaman terhadap sejarah sendiri. Jika setiap persamaan mesti berakhir dengan tuduhan, barangkali yang perlu diperiksa bukan budaya jiran, tetapi cara kita memahami perkataan ‘sejarah’. Fakta tidak berubah menjadi kebenaran hanya kerana ia disertakan bendera dan diulang berjuta-juta kali.

Nasionalisme yang matang melahirkan keyakinan; nasionalisme yang rapuh melahirkan obsesi untuk mencari kesalahan orang lain. Jika Malaysia begitu buruk seperti yang didakwa, mengapa perlu bersusah payah mengulanginya setiap hari? Jika kebanggaan terhadap bangsa sendiri begitu kukuh, mengapa maruah jiran perlu dijadikan sasaran? Ironinya, ada yang begitu sibuk mahu membuktikan kehebatan bangsanya sehingga terlupa bahawa kehebatan sebenar tidak memerlukan pentas penghinaan untuk kelihatan hebat.

Namun, rakyat Malaysia juga jangan terlalu ghairah membalas sehingga hilang pertimbangan. Kita bukan perlu meniru perangai yang kita kecam. Jika mereka membawa fitnah, kita bawa fakta. Jika mereka memutarbelitkan sejarah, kita bentangkan sumber. Jangan sampai kita turut menjadi juara dalam pertandingan kebodohan yang hadiahnya cuma kepuasan sementara di ruang komen. Tidak semua provokasi layak mendapat perhatian, apatah lagi mengorbankan maruah sendiri.

Buat mereka yang terlalu bersemangat mengajar rakyat Malaysia tentang sejarah dan budaya Malaysia, ada satu pesanan ringkas:

Sebelum sibuk membetulkan rumah jiran, pastikan dahulu kita tidak tersesat ketika membaca peta sendiri.

Malaysia tidak memerlukan penghinaan terhadap Indonesia untuk membuktikan nilainya. Tetapi kita juga tidak perlu berpura-pura menghormati dakwaan yang tidak berasas. Hormat itu hak semua, tetapi kepercayaan perlu diperoleh melalui fakta. Kerana orang yang benar-benar berilmu tidak perlu menjerit untuk kelihatan bijak, dan orang yang benar-benar bermaruah tidak perlu memijak orang lain untuk berdiri lebih tinggi.

ANTARA UKHWAH, TAKTIK PEMASARAN, DAN GARIS KEHIDUPAN

 Baru-baru ini, media sosial sedikit hangat dengan cerita mengenai ahli kumpulan Sepahtu iatu Jep dan Shuib di mana secara tiba-tiba Jep membuat hantaran di media sosial yang merujuk kepada sesi podcast yang berlangsung melibatkan Shuib, Mamat dan Azlee Senario. Poin yang dibangkitkan oleh Jep iailah:


  • Isu Pembahagian Bayaran (Payment): Jep membidas naratif kiasan dalam podcast tersebut di mana mereka menggambarkan bayaran persembahan kumpulan dibahagikan secara tidak adil. Jep menegaskan bahawa sejak dulu lagi, urusan bayaran mereka dibuat secara individu, bukannya atas nama kumpulan, malah mencabar agar namanya dipetik secara terang-terangan tanpa berkias itu-ini.

  • Guna Sentimen Persahabatan untuk Pemasaran: Jep meluahkan rasa muak dan mendakwa Shuib terus menggunakan sentimen persahabatan serta hubungan keruh mereka sebagai taktik publisiti (marketing).

  • Mesej Tidak Berbalas: Jep turut mendedahkan bahawa perbualan WhatsApp bertanyakan khabar daripadanya tidak pernah berbalas sejak 4 tahun lalu, namun imej di khalayak ramai seolah-olah ditunjukkan sebaliknya.

  • Teguran Isu KWSP / EPF: Dalam hantaran yang sama, Jep turut menyentuh hal peribadi dan menegur Shuib agar menyelesaikan isu tunggakan atau caruman KWSP pekerja yang belum dijelaskan berbanding membuat fitnah di media sosial.

Di sebalik perkara yang dibangkitkan itu, ada satu lagi hal yang saya kira perlu kita ambil perhatian tentang realiti hidup yang ramai antara kita pernah lalui: fasa di mana persahabatan bertukar menjadi sejarah.

Masa zaman berjuang dulu, mungkin kita berkongsi mimpi yang sama, makan sepinggan tidur sebantal bak kata orang, dan ketawa pada lawak yang sama. Tapi manusia itu perilakunya sentiasa berubah. Matlamat hidup, cara fikir, dan keutamaan hidup kita bertukar seiring dengan usia.


Kadangkala, perpisahan itu bukan sebab kita semata-mata saling membenci, tapi dek kerana garis jalan hidup kita dah tak lagi sejajar. Dan itu perkara yang normal. Yang membuatkannya jadi rumit ialah apabila batas antara kenangan silam dan penghormatan hari ini mulai kabur.

Salah satu perkara paling berharga dalam hubungan—sama ada persahabatan atau perniagaan—ialah kejelasan (clarity).


  • Ego vs Saling Memahami: Bila komunikasi secara terus (direct) bertukar jadi kiasan atau sindiran di platform terbuka, maknanya tembok pertahanan ego masing-masing dah terlalu tinggi.

  • Seni Membiarkan Lepas (The Art of Letting Go): Ada ketikanya, cara terbaik untuk menghormati seseorang yang pernah hadir dalam hidup kita bukanlah dengan terus memaksa persahabatan itu kekal, tapi dengan memberi ruang dan jarak. Tidak lagi berhubungan tidak semestinya bermaksud bermusuhan; kadang-kadang ia cuma tanda kita memilih untuk menjaga kedamaian jiwa masing-masing.

Di pengkahiran, Jep meluahkan rasa mahu fokus pada keluarga dan memberikan perhatian penuh kepada anak-anaknya yang 'istimewa'. Shuib pula pada masa yang sama mempunyai perjalanan perniagaan dan kehidupannya sendiri. Kedua-duanya pernah menceriakan hari-hari kita dengan hiburan yang takkan kita lupakan.


Daripada kita selau warganet sibuk menuduh siapa betul dan siapa salah, mungkin lebih baik kita mengambil iktibar:

  1. Hargai kawan yang ada depan mata hari ini, sebab kita tak tahu bila haluan akan memisahkan.

  2. Selesaikan isu secara budiman dan telus sebelum ia menjadi polemik yang merosakkan ukhwah.

  3. Belajar melepaskan dengan matang. Kalau sesuatu hubungan itu sudah sampai tarikh luputnya, biarlah kenangan manisnya kekal utuh tanpa perlu diwarnai dengan sengketa berpanjangan.

Semoga kedua-duanya menemui jalan kedamaian, sama ada kembali bersahabat atau terus melangkah di haluan masing-masing dengan saling mendoakan.

P/s: Tentang Mamat ? Lantak dialah. Dia kan kat dalam laut.