Nuffnang

Monday, May 04, 2009

BETAPA ILMU ITU PELITA HATI (SEMPENA KEMPEN JOM MASUK U)

Benarlah seperti yang difirmankan Tuhan di dalam kitab-Nya bahawa orang yang berilmu itu akan ditinggikan darjatnya.

Oleh itu, mereka yang sedang menuntut ilmu itu rupa-rupanya sedang ditingkatkan darjatnya oleh Allah. Itupun jika menuntut ilmu seikhlas hati.

Ilmu itu pelita hati.
Demikian kata orang bijak pandai.

Pada hakikatnya, frasa itu bukan untuk penuntut universiti yang terlalu mengejar 'pointer'. Sebaliknya hanya khas untuk mereka yang dambakan keredhaan Allah saat mereka bertungkus lumus belajar, tidak kira dalam apa jua disiplin.

Keredhaan Allah ke atas ilmu yang kita pelajari itu bukan didasari oleh 'pointer' yang tinggi ataupun anugerah dekan yang kita dapat. Sebaliknya didasari oleh hati.

Nah, hati yang bagaimana ?
Tentulah hati yang ikhlas.
Mereka yang ikhlas menuntut ilmu itu kelak akan berupaya memupuk ilmu itu agar terus kekal di dalam hati mereka sehingga mereka dapat berbakti kepada agama Allah dengan ilmu mereka itu.

Itulah sebenar-benar prinsip menuntut ilmu yang saya sendiri masih gagal mengikutnya. Kita rupa-rupanya masih membanggakan markah dan 'pointer' daripada nilai ilmu itu yang mekar di dalam hati.

Mungkin saya dapat memberi sedikit contoh bagaimana seorang pensyarah saya yang dapat membina carta kehidupan manusia dan emosi manusia. Ternyata melalui huraian yang beliau berikan, beliau telah dapat menghayati ilmu yang dipelajari. Tumpuan beliau dalam bidang sains dan teknologi tidak pula menghalang beliau untuk meletakkan agama sebagai 'pemurnian' kepada ilmu-ilmu yang beliau pelajari itu. Inilah yang dikatakan ilmuwan, tambahan pula apabila ia merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk kepandaiannya. Malah, jika kita melihatnya secara kasar, kita tidak akan dapat melihatnya sebagai seorang ilmuwan, sebaliknya hanya orang biasa.

Itulah jalan yang sepatutnya kita lalui.
Jalan untuk menjadikan ilmu itu pelita hati.

APABILA ILMU SEMAKIN MAHAL (SEMPENA KEMPEN JOM MASUK U)

Ilmu semakin mahal.

Bukan kerana tukang ajarnya begitu terhormat dan hebat lagi mulia. Tetapi kerana fasiliti atau kemudahan yang disediakan untuk mendapatkan ilmu itu yang mahal.

Justeru, ilmu menjadi mahal asbab daripada kemudahan yang diberi.

Manusia masakini amat mementingkan keselesaan apabila menuntut ilmu. Oleh sebab itu, kerajaan berusaha untuk memenuhi permintaan rakyat dengan memberi dana kepada universiti-universiti kita untuk melengkapkan segala kemudahan yang perlu bagi pelajar yang bakal mendaftar di mana-mana universiti. Hal ini termasuklah tempat tinggal pelajar di hostel.

Ya, tidak lama lagi pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM 2008 akan mendaftar masuk ke universiti yang ditawarkan kepada mereka. Sebelum itu, suka saya mengingatkan di sini kepada mereka semua bahawa untuk hidup selesa dan tidak dihimpit masalah kewangan, tinggalkanlah segala perkara yang merugikan diri dan juga wang. Hal ini kerana banyak kursus yang ditawarkan di mana-mana universiti akan membuatkan anda banyak pakai duit untuk tugasan-tugasan yang diberikan. Hah, kursus saya iaitu sarjana muda sains pembinaan misalnya. Banyak sekali wang yang terpaksa kami labur untuk menyempurnakan tugasan-tugasan kami.

Oleh itu, beringat-ingatlah apabila anda sudah mula belajar kelak. Wang akan mula mengalir keluar.

Kerana ilmu semakin mahal.

P/s: Tahniah kepada semua pelajar lepasan SPM dan STPM 2008 yang berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Semoga kalian dapat menuntut ilmu seikhlas hati.


Saturday, May 02, 2009

LUAHAN FAISAL TEHRANI

Nah, bertepatan sungguh dengan apa yang saya tulis mengenai penyucian filem kita.

Faisal Tehrani juga membicarakan perihal yang sama iaitu mengenai filem di Majalah Muslimah.

Terlalu menonjolkan kerosakan akhlak di dalam filem dengan alasan untuk memaparkan realiti sosial dan cuba berlaku jujur.

MUDARAT

Bismillahillazii la yadhurru ma'asmihii

syai'un fil ardh

wala fissamaa'i

wahuwassami'ul 'alim


Apabila anda ingin melakukan sesuatu pekerjaan dan dikhuatiri akan beberapa mudarat, maka bacakanlah doa ini sebelum memulakan kerja itu. Semoga Allah memelihara daripada sebarang mudarat.

Zaman sekarang ini, terlalu banyak kerja yangg berisiko tinggi untuk mendapat kecelakaan, walaupun di dalam rumah sendiri.

DENGKI

ALLAHUMMA LA YILNI QALBA.

KAMA LA YANTA LIDAUDAL HADIID...

Kepada mana-mana manusia yang hidupnya dikelilingi oleh manusia-manusia pendengki, amalkanlah membaca doa ini. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka semua.

Doa ini ialah doa Nabi Daud a.s.

Antara kelebihan Nabi Daud a.s. ialah kekuatan tangannya yang mampu membengkokkan besi.

Mudah-mudahan, umpama besi yang dapat dibengkokkan, hati yang terlalu dengki dapat dilenturkan.

Friday, May 01, 2009

KEMBALI 'MENYUCIKAN' FILEM


Pada hemat saya, karyawan filem kita perlu kembali menyucikan jalan cerita filem kita daripada babak-babak yang memualkan dan menjelekkan.

Masakan tidak ?

Kebanyakan filem yang memaparkan babak kotor atau separa lucah itu semuanya diarahkan oleh pengarah yang beragama Islam. Entah di mana mereka meletakkan hukum yang telah ditetapkan Tuhan ketika mereka berkarya.

Melihat iklan mengenai filem Bohsia tempoh hari, ianya sudah cukup untuk membuktikan betapa kita nak sangat menjadi 'Amerika' di dalam filem kita, sedangkan di negara seberang, mereka sudah mula kembali kepada akar jati diri bangsa mereka dalam berkarya. Justeru, hasilan yang hebat dapat mereka tawarkan kepada penonton-penonton luar. Dan kita seharusnya mengambil iktibar bahawa bajet yang besar belum tentu dapat menghasilkan satu filem yang hebat. Dan istilah 'hebat' itu pula haruslah ditafsirkan dengan pendekatan agama dan jati diri.

Permainan kreatif karyawan filem kita masih lagi di takuk lama. Hanya kosmetik sahaja yang membangun. Kosmetik tanpa jiwa.