Nuffnang

Selasa, Mei 12, 2009

MUALLIM

Jika di sekolah, mereka digelar cikgu.
Jika di universiti, mereka digelar pensyarah.

Hakikatnya, mereka berperanan dengan peranan yang sama. Mendidik dan mengajar.

Jika hendak merujuk kepada sejarah, guru yang terhebat ialah baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Betapa sukarnya baginda mendidik akhlak masyarakat Arab ketika itu yang membanggakan maksiat sebagai cara hidup.

Percayalah, mendidik akhlak adalah perkara yang paling sukar bagi seorang guru. Berbanding dengan menyampaikan ilmu pengetahuan, mendidik akhlak bukan sahaja memerlukan ilmu, tetapi juga memerlukan kebijaksanaan emosi.

Justeru, baginda adalah guru terhebat sehingga berjaya membentuk akhlak Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi talib, Khalid al-Walid dan ramai lagi insan mulia yang mengutamakan akhirat daripada dunia.

Begitu besar jasa seorang guru.

Apakah cukup dengan menyambut satu hari sebagai hari guru ? Tidak cukup.

Ahad, Mei 10, 2009

PENYUBUR FIKRAH

TIANG AGAMAMU ADALAH SOLAT.

Pernahkah ibu anda mengucapkan perkara ini kepada anda ? Jika pernah, mereka adalah ibu yang sejati.

Seorang ibu yang baik ialah ibu yang mentaati segala perintah Allah s.w.t dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w dengan baik sekali. Itulah ibu yang selayaknya dikagumi. Ibu yang tidak reti menutup aurat di khalayak ramai, meninggalkan solat, berperangai tidak senonoh dengan orang lain serta mengamalkan cara hidup tidak sihat bukanlah ibu yang baik. Mereka tidak boleh manjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Bukankah nabi pernah menyuruh kita mentaati ibu kita selagi ibu kita tidak menyuruh ke arah perkara yang tidak baik ? Ibu yang menyuruh anaknya melakukan perkara yang tidak baik tentulah ibu yang akhlaknya buruk.

Seorang ibu itu adalah guru kepada anak-anaknya. Seorang ibu akan memupuk fikrah di dalam jiwa anak-anaknya. Justeru, fikrah yang baik tentulah datang daripada ibu yang baik-baik.

Ada orang menyatakan bahawa naluri seorang ibu itu menginginkan perkara yang terbaik buat anak-anaknya. Benar begitu. Namun demikian, naluri itu juga bersandarkan kepada keimanan seorang ibu itu kepada Allah s.w.t. Naluri ibu bukan seperti haiwan. Sebaliknya naluri ibu itu dipupuk saat anaknya dilahirkan hinggalah anaknya meningkat dewasa. Percaya atau tidak, ada ibu yang merosakkan pemikiran anaknya sendiri. Nauzubillah.

Seorang ibu itu haruslah sedar peranan mereka yang sebenarnya. Seorang ibu itu adalah penentang. Penentang segala kejahatan, penentang segala keburukan nilai akhlak, penentang segala penindasan dan penentang segala kezaliman. Itulah ibu yang sebenar-benarnya.

Anak-anaknya akan dipupuk dengan jiwa untuk melawan segala perkara tersebut. Demikian anaknya kelak akan membesar sebagai seorang lelaki atau wanita yang berjiwa besar dan cekal menghadapi cabaran dunia.

Nyatalah seorang ibu adalah penyubur fikrah kepada anak-anaknya.




Khamis, Mei 07, 2009

MIMPI-MIMPI YANG KANDAS


Anak perawan berkebaya
Bersenandung sambil menuai padi
Menunggu kembali kekasih
Terlihat dalam sinar matanya rindu

Anak jejaka mengembara
Langlang buana mencari kesempatan
Berkarya, berbakti, mengabdi
Bagi negeri tanah tumpah darah
tercinta...

Betapa indah
Mimpi-mimpi yang tergambar
di bayangan



Anak perawan terkesima
Membaca surat bersampul biru muda
Jantung pun seperti terhenti
Bibir terkatup air mata berlinang

Anak jejaka patah arang
Melambung dan terbanting di batu karang
Ternyata begitu sulitnya
Menanggulangi petaka
yang berutun
datang...

Dia yang gagal
Meraih mimpi-mimpi yang indah
gemerlapan...

Ebiet G. Ade, Tokoh-tokoh, 1982.

Rabu, Mei 06, 2009

BUKU 2 (UMAR AL-KHATTAB)

Elok juga kita mengenali para sahabat pada sisi gelap mereka sebelum hidayah menyapa mereka sekaligus menjadikan mereka insan mulia. Hal ini dapat menerangkan betapa hidayah itu terlalu agung dan hebat apabila ia sudah meresap dalam diri seseorang. Dan tentunya hidayah itu tidak dikurniakan sewenang-wenangnya melainkan dengan kehendak Allah jua.

Umar insan terpilih untuk menerima hidayah itu selain bapa saudaranya, Abu Jahal. Hasil didikan ayahnya yang keras dan kasar semasa kecil menyebabkan Umar membesar sebagai insan yang bengis, garang dan gagah. Justeru, seandainya Islam itu memiliki Umar, tentulah Islam dapat berdiri dengan kuat dengan adanya insan seberani Umar.

Novel ini mengangkat latar belakang hidup Umar bermula dari zaman kecilnya sehinggalah kematiannya yang tragis itu.

Dan seperti biasa, Abdul Latip Talib menyampaikannya dalam bentuk bahasa yang mudah supaya kita tidak jemu membacanya. Apatah lagi ia berkaitan dengan sejarah yang selama ini dianggap oleh anak muda kita sebagai menjemukan dan membosankan.

Selasa, Mei 05, 2009

BUKU 1 (SALAHUDDIN AYUBI)

Selesai menguliti novel ini selama dua hari, terasa bagaikan penglima Islam yang satu ini masih hidup. Kalaulah beliau masih hidup, nescaya beliau akan bersedih melihat betapa umat Islam masakini telah berpecah belah.

Novel ini ditulis dengan gaya yang mudah serta tidak meleret-leret. Bahkan, setiap bab di dalam novel ini dapat dihabiskan dalam masa yang singkat serta mudah difahami.

Usai membaca novel, terasa begitu malu dengan semangat umat Islam terdahulu. Sungguhpun serba kekurangan, namun semangat jihad mereka lebih hebat daripada kita. Kita ini, baru putus cinta sahaja sudah nak bunuh diri. Langsung tidak ada kekuatan iman yang tinggi untuk mengharungi hidup yang serba payah ini.

Salahuddin ingin menakluk Jerusalem. Impian yang sukar itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan iman yang jitu. Jerusalem telah sekian lama di bawah tampuk pemerintah orang-orang kristian yang zalim. Justeru, Salahuddin merasakan dirinya bertanggungjawab untuk membebaskan Jerusalem daripada cengkaman penjajah yang kejam itu.

Dengan stretegi peperangan yang licik, Salahuddin berjaya mengelirukan pihak musuh sekaligus mengambil peluang bagi memusnahkan angkatan tentera mereka yang membanggakan salib itu sebagai pelindung dan pembawa tuah kepada mereka.

Apa yang mengagumkan ialah keperibadian Salahuddin yang kuat beribadat biarpun dalam kepenatan berperang.

Siapa agaknya yang dapat menggantikan Salahuddin Al-Ayyubi dalam menentang keganasan Zionis ?

Isnin, Mei 04, 2009

HIDAYAH ITU DATANGNYA DARIPADA ALLAH

Termenung seketika apabila saya mendengarkan luahan pendapat seorang lelaki di radio IKIM.FM tentang sunnah.

Katanya, "Umat Islam sekarang ini telah melakukan apa yang nabi tidak pernah buat, iaitu makan sehingga kenyang."

Aduhai, memang terkena batang hidung sendiri.

Lagi mahu bercakap tentang sunnah wahai pak cik-pak cik berjubah, berjanggut panjang dan berserban tapi perutnya ke depan macam ibu mengandung ?