Nuffnang

Ahad, September 06, 2009

PENGARUH...?

Saya sendiri hairan.

Entah kenapa bila saya menulis dalam blog Da...Di...Du..., corak penulisan bertukar. Bila saya menulis dalam blog ini, corak penulisan saya juga bertukar.

Adakah kerana pengaruh ?

Maksud saya, tajuk yang saya berikan pada blog saya itu yang mempengaruhi apa yang akan saya tulis ?

Agaknya.

Pena Menulis semacam ilmiah atau 'skema' sedikit.

Manakala Da...Di...Du... pula semacam lebih jujur dan kadangkala sinis pula.

Namun, yang pastinya, kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan.

Pena Menulis saya mulakan ketika saya tidak tahu apa-apa pasal blog.

Da...Di...Du... pula saya mulakan ketika saya sudah ada semacam 'keberanian' untuk lebih jujur dan tidak bermuka-muka.

Senangnya bila kita menulis dan terasa ada beban yang terlerai dengan menulis. Menulis itu ada 'kuasanya' sendiri.

Jika kita jadikan blog ini sebagai diari kehidupan, kita akan menemukan beberapa peristiwa yang tidak dijangka-jangka singgah dalam kehidupan kita.

Jika kita jadikan blog ini sebagai medan perbahasan atau perdebatan, kita akan dapati banyak cetusan pemikiran yang baru.

Jika kita jadikan blog ini sebagai alat untuk memfitnah (ini tidak beretika sama sekali), kita akan dapati bahawa blog ini amat berkuasa sekali.

Jadinya, kepada kawan-kawan yang hendak memulakan blog mereka, selamat menulis. Hehehe.

Isnin, Ogos 31, 2009

JEDA KEMERDEKAAN

Kemerdekaan bolehlah diumpamakan sebagai satu ruang yang disediakan oleh nenek moyang kita untuk diisi, dimurnikan dan dihiaskan oleh kita, pewarisnya.

Ruang kemerdekaan itu adalah satu semangat misteri yang mewakili nenek moyang kita yang hendak mengajar kita apa ertinya merdeka dan bagaimana susahnya hendak merdeka.

Kita merdeka daripada tangan penjajah, bukan daripada Tuhan. Kita tidak pernah merdeka daripada Tuhan. Kita tetap terikat dengan perbendaharaan syariat Tuhan yang luas dan bererti itu. Justeru, nenek moyang kita, dengan nama Tuhan, sedaya upaya memerdekakan tanah air kita daripada si kafir yang mencengkam segenap kekayaan yang kita ada. Sudahlah begitu, tak kurang juga yang menyangsikan kebolehan kita untuk merdeka. Padahal, sebelum itu kita telahpun kaya raya sehinggakan Portugis buat pertama kalinya datang menjajah kita dan menyebarkan benih agama Kristian dalam masyarakat kita, iaitu Melayu. Namun, orang Melaka yang sudah kukuh Islamnya tidak mudah dipujuk oleh sang paderi.

Bermula dari satu, lebih daripada 500 tahun, nenek moyang kita, leluhur kita bertempur, bermandi darah untuk memerdekakan kita, atas nama kita, pewarisnya. Kita bertempur dengan pedang, keris, panah dan juga lembing untuk merdeka. Kemudian, sedikit demi sedikit, kita beralih cara dengan bertempur cara lisan dan pena.

Maka, lahirlah Ishak Haji Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Tan Sri A. Samad Ismail, dan ramai lagi pejuang yang tidak berjuang melalui mata pedang, tetapi dengan mata pena dan tutur lisan.

Hal ini semua ternyata memakan masa berpuluh-puluh tahun. Orang Melayu, bersama-sama dengan orang Cina dan India ketika itu berusaha untuk merdeka. Semua disatupadukan atas dasar untuk merdeka. Orang putih kian risau kerana kita semakin kuat. Lalu, Persekutuan hendak dibentuk setelah Malayan Union yang menghapuskan kuasa raja-raja Melayu ditentang habis-habisan.

Lalu, berlakulah rundingan demi rundingan. Itu kita belum kira lagi dengan mereka yang khianat pada pemimpin kita. Ketika itu.

Nah, kalau mahu diimbas balik, ianya rentetan peristiwa yang panjang sekali. Penuh duka daripada suka.

Jadi, bersyukurlah dengan rahmat kemerdekaan oleh Tuhan. Jangan sampai Tuhan menarik kembali nikmat itu. Atau, mungkinkah Tuhan sedang menarik nikmat itu sedikit demi sedikit disebabkan ramai di antara kita lupa diri dan tidak bersyukur ?

Wallahua'lam.

Selasa, Ogos 25, 2009

'ENJOY' BERBUKA PUASA

Memanglah berbuka puasa itu satu nikmat daripada Tuhan kepada hamba-Nya yang berpuasa. Pun begitu, hal itu bukanlah alasan untuk 'terlalu berseronok' ketika berbuka.

Contohnya ialah berbuka di Macdonald sambil bergelak ketawa dengan rakan-rakan.

Mengapa saya berkata begini ?

Kerana berbuka puasa itu adalah satu nikmat.

Lihat, perkataan 'nikmat' itu ada rahsianya yang tersendiri.

Ketika kita berbuka puasa itu, ada ke kita mengenangkan orang-orang miskin yang tidak dapat makan dan minum selama beberapa hari ? Adakah kita teringat kisah seorang wanita merebus batu hanya untuk memujuk anaknya supaya tidak merengek kelaparan ?

Oh, terlupa. Begitulah resam manusia yang terlalu asyik berseronok sehingga terlupa hal-hal sebegini yang boleh meruntun jiwa kita ke arah rasa bersyukur dengan apa yang ada.

Sebenarnya, nikmat berbuka puasa itu juga adalah satu 'tarbiah' daripada Allah buat hamba-Nya supaya tidak lupa dengan kesusahan orang lain. Betapa hebatnya nilai berbuka puasa sehingga mampu membuat kita rasa bersyukur, bukan 'enjoy' tak pasal-pasal.

Dalam bulan Ramadhan ini, ada banyak sekali perkara 'ajaib dan misteri' yang boleh kita temui yang membuktikan bahawa Ramadhan ini memanglah bulan yang terhebat yang dianugerahkan Allah kepada umat Islam, atas nama Yang Maha Penyayang.

Ahad, Ogos 23, 2009

NAIK TARAF MASJID


Drop hammer


Cerucuk


Err...itukah 'site office' ?


Adakah 'hoarding' ini dipasang dengan betul ?


Hoh, tak patut begini...

MEMPERTEMUKAN NILAI RAMADHAN YANG SEBENAR

Tahu mengapa tidak ramai manusia yang menemukan Ramadhan yang sebenar ? Kerana semuanya sibuk hendak memikirkan tentang raya lebih daripada Ramadhan itu sendiri.

Ramadhan itu hanya sekadar bulan yang mesti dilalui setiap tahun untuk bertemu dengan bulan raya.

Sebab itulah ramai manusia masih sama sahaja perangainya sebelum Ramadhan dan selepas Ramadhan.

Jika kita fikirkan, takkanlah Tuhan itu 'mewujudkan' bulan Ramadhan ini hanya untuk 'mengizinkan' kita berhari raya ?

Tentunya ada lagi hikmah tersembunyi di sebalik Ramadhan itu sendiri. Sebab itulah ramai ulama menyuruh kita menyemak kembali sejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Antaranya ialah turunnya Al-Quran kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. Namun begitu, al-Quran itu tidak diturunkan 'selepuk' ke atas nabi. Sebaliknya, al-Quran itu 'disimpan' di Baitul Izzah lalu diturunkan kepada nabi sedikit demi sedikit. Boleh sahaja kita bayangkan kalaulah al-Quran itu diturunkan sekaligus, tentulah nabi kita menghadapi kesulitan untuk menyampaikannya. Lalu atas nama kebijaksanaan Tuhan, al-Quran itu diturunkan sesuai dengan rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan nabi sebagai seorang penyampai risalah agung iaitu Islam.

Itu baru satu, sedangkan ada banyak lagi peristiwa agung yang berlaku saat Ramadhan. Bukankah jelas bahawa ada lagi kemuliaan tersembunyi dalam Ramadhan ini ?

Ada orang memberitahu saya tentang Ramadhan ini,

"Kalau kau sudah berjumpa dengan Ramadhan yang sebenar, kau takkan rasa lapar dan dahaga lagi pada siang hari, dan kau tidak akan kekenyangan pada malam hari. Yang ada hanyalah kerinduan untuk bertemu dengan Tuhan. Itu Ramadhan yang sebenar."

Hmm...nampaknya susah. Memang pun. Ramadhan bukan untuk bermain-main. Sebaliknya bersungguh-sungguh menghayatinya. Sehinggakan dikhabarkan kepada kita bahawa jika kita memulakan sesuatu di bulan ini, kita akan menjadi biasa melakukannya pada bulan-bulan lain. Contohnya merokok. Jika kita memulakan untuk tidak merokok pada bulan Ramadhan ini, kita tidak akan merokok lagi selama-lamanya. Itulah misteri bulan Ramadhan. Seolah-olah setiap satu perbuatan itu dirahmati Tuhan. Namun, ianya perlukan kesungguhan dan keyakina terhadap janji Tuhan bahawa sesiapa meninggalkan yang buruk, Tuhan akan menggantinya dengan yang baik.

Seperkara lagi yang menarik tentang Ramadhan ini, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Rahmat keselamatan daripada seksaan kubur diberikan kepada ahli kubur. Bergembiralah mereka di dalam lahad selama sebulan ini. Cara mereka bergembira tentulah tidak sama dengan kita yang hidup ini. Lagi satu, tiada catatan dosa sepanjang Ramadhan ini.

Wah, betapa besarnya kurniaan Tuhan dalam bulan mulia ini. Takkanlah ianya semata-mata untuk membolehkan kita beraya selepas berpuasa ? Tentulah ada perkara lain yang mewajibkan kita berpuasa pada bulan ini.

Bersederhana

Satu lagi nilai Ramadhan yang sering dilupakan ialah bersederhana. Perkara ini termasuklah membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan. Ramai orang membeli juadah sehingga tahap 'tidak masuk akal'. Alasannya, nanti lepas Terawih boleh makan lagi. Itukan nanti akan menyesakkan perut dan menyukarkan kita untuk bangun sahur sebab terlalu kenyang pada malam hari.

Mengapa nabi menggalakkan kita bangun sahur meskipun dengan meminum seteguk air ? Kerana pada sahur itu ada keberkatan. Apabila bercakap soal keberkatan ini, ianya memang misteri dan tidak dapat dijangkau oleh akal logik. Hanya Tuhan sahaja yang tahu nilai keberkatan dalam bersahur.

Amal Ibadah

Perkara ini sering dibincangkan di kaca televisyen terutamanya di dalam rancangan yang bercorak agama seperti al-Kuliyyah dan sebagainya. Soal amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan.

Mengapa kita disuruh meningkatkan amal ibadat ? Kerana pada bulan Ramadhan pahala amal dilipatgandakan.

Kalau begitu jelaslah bahawa Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tuhan memang hendak kita masuk syurga, tetapi kita sendiri yang bodoh memilih jalan ke neraka. Tuhan tidak pernah zalim, bahkan kita sendiri yang menzalimi diri kita. Kita tidak meletakkan diri kita pada tempat yang selayaknya, iaitu sebagai hamba Tuhan. Kita ini lupa bahawa kita hanyalah seorang hama, tidak lebih daripada itu.

Raja seorang hamba, presiden seorang hamba, perdana menteri seorang hamba, naib canselor seorang hamba, ketua jabatan seorang hamba, profesor seorang hamba dan ketua pegawai eksekutif juga seorang hamba. Lalu, apa yang hendak dibanggakan dengan pangkat dan kebesaran sedangkan taraf kita yang hakiki ialah hamba yang diberi sedikit jawatan dunia kemudian akan dipertanggungjwabkan jawatannya itu di akhirat kelak ?

Jika begitu, Ramadhan ini adalah bulan yang amat baik untuk kita menyedarkan diri kita sendiri. Sedarlah diri kita ini hanyalah manusia yang akan dijemput pulang kembali apabila tiba masanya. Bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk melatih sifat zuhud dan tidak tamakkan harta dunia yang tidak kekal. Bahkan bulan Ramadhan juga bulan yang amat baik untuk membuang sifat mazmumah dalam diri kita dan melatih diri untuk mencapai tingkatan nafsu al-mutmainnah.

Amal ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah dan menunaikan zakat adalah ibadah untuk melatih untuk tidak cintakan dunia yang sementara, sebaliknya melatih untuk mencintai dunia yang kekal buat selama-lamanya, iaitu syurga, bukan neraka. Kita tidak mahu 'mencintai seraya 'menempah' neraka. Memang pelik sekali mengapa pengikut-pengikut aliran karut yang menyembah syaitan dan iblis sanggup membahayakan diri mereka untuk dibaham api neraka di mana satu zarah apinya mampu menghanguskan bumi ini seluruhnya.

Tanda kesyukuran

Biasalah, tidak lengkap berbicara tentang Ramadhan sekiranya tidak disertai dengannya Syawal. Seolah-olah kedua-dua bulan ini 'bersatu'.

Syawal itu dikatakan orang kebanyakan ialah bulan kemenangan. Menang apa ? Menang melawan godaan nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Namun, apa yang peliknya di sini ialah mereka mendakwa mereka menang melawan godaan nafsu, tetapi semasa di bulan Syawal ramai di antara mereka yang kalah dengan nafsu. Makan sebanyak-banyaknya, minum sebanyak-banyaknya dan membazir sebanyak-banyaknya. Pelik sekali. Bagaimana dikatakan menang sebaliknya di 'bulan kemenangan' itu mereka telahpun 'kalah' ?

Dalam bulan Syawal ini juga, kita digalakkan untuk berpuasa sunat selama enam hari seperti yang pernah dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Orang Melayu menggelarnya 'puasa enam'. Tidak kisahlah bagaimana kita menggelarnya, namun amalan itu rupa-rupanya amat baik untuk kesihatan. Ianya seolah-olah untuk mengelakkan badan kita 'naik' semula selepas berpuasa selama sebulan. Tabiat manusia kan begitu. Apabila tidak makan pada siang hari selama sebulan, kemudia dapat makan semula, tentulah tabiat hendak 'membalas dendam' itu ada. Dan puasa enam ini 'membunuh' tabiat itu sebaik-baiknya. Malah diajar pula supaya puasa itu dilakukan berselang-seli.

Nah, lihatlah betapa Tuhan sayangkan kita.

Secara jujurnya, orang perempuan memang 'pantang' jika tidak menghias rumah saat berhari raya. Itu bagus kerana ia petanda kita meraikan tetamu. Mereka malu sekali jika langsir tingkap yang digunakan tahun lepas masih digunakan lagi tahun ini. Begitu juga dengan hiasan ruang tetamu dan sebagainya. Semuanya hendak dibarukan. Namun, kadangkala ianya agak berlebihan sehingga kita berasa kurang senang dengan wang yang dibelanjakan untuk itu. Nah, sekali lagi kita kalah dengan nafsu kita. Agama kita tidak melarang untuk menghias rumah demi meraikan tetamu, bahkan ianya dituntut pula supaya tetamu merasa diraikan. Tetapi, jika ianya sudah berlebihan, dikhuatiri tidak mendapat pahala, bahkan mendapat dosa pula kerana mungkin di situ ada unsur-unsur riak dan membangga diri kerana berhasil menampilkan hiasan rumah yang hebat dan cantik sekali. Mudah-mudahan penyakit syirik kecil ini dapat kita jauhkan.

Kesimpulannya, untuk menemukan nilai Ramadhan yang sebenar, kita perlulah membersihkan jiwa kita daripada rasa cinta kepada dunia, sebaliknya suburkanlah rasa sayang kepada Tuhan supaya kita dapat merasai nikmat berpuasa yang sebenar-benarnya. Hal itu bukanlah mudah, namun kita boleh melatihnya sedikit demi sedikit. Semoga kita berhasil mendapatkan barakah Ramadhan dan berhasil menenangkan jiwa kita yang sering tertekan dengan masalah dunia yang serba kacau ini.

Wallahua'lam.

*Ditulis dan diterbitkan di blog Friendster.com.

PUASA BUKAN LAGI TIDAK MAKAN DAN MINUM

Di saat orang lain mengeluh kelaparan, dia tidak lapar.
Di saat orang lain mengeluh kehausan, dia tidak dahaga.
Di saat orang lain muram keletihan, dia tidak letih.

Kerana apa ?

Kerana dia telah tahu, puasa bukan lagi menahan lapar dan dahaga.

Baginya, puasa adalah jalan bertemu Tuhan dalam keadaan yang sungguh misteri.

Di saat agama lain menyalahkan Tuhan jika mereka kelaparan dan dahaga, dia dengan agama suci itu bisa menemukan Tuhan dalam keadaan lapar dan dahaga. Seolah-olah Tuhan telah merahmati rasa lapar dan dahaganya sehingga tidak ada lagi rasa lapar dan dahaga pada zahirnya, sebaliknya rasa lapar dan dahaga pada batinnya.

Batinnya memerlukan Tuhan. Dan Tuhan akan dikejarnya. Tuhan akan dicarinya. Tuhan akan dirinduinya. Tuhan akan dikasihinya.

Mengasihi Tuhan.
Itulah puncak kasih tertinggi yang jarang diperoleh manusia kebanyakan lantaran leka dengan hiburan dunia.

Pancainderanya dipelihara baik-baik demi Tuhan. Perutnya dijaga baik-baik demi Tuhan. Lidahnya dijaga baik-baik demi Tuhan.

Lalu Tuhan menyampaikan kurnia kepadanya dengan mempertemukan dia dengan malam kemuliaan, kemuncak perhambaan saat Ramadhan yang mulia.

Lailatul Qadar.
Malam padanya diturunkan al-Quran.
Bertasbihlah alam semesta memuji Tuhan Rabbul Alamin.
Bertebaranlah rahmat di seluruh pelusuk bumi ini.

Begitu balasan Tuhan buat mereka yang ikhlas.
Dan nyata sekali.
Ikhlas itu bukan perkara yang mudah melainkan ada padanya pengorbanan.

Selamat berpuasa.
Wallahua'lam.