Nuffnang

Tuesday, April 19, 2011

SOLEY SOLEY DAN KARMA CHAMELEON

 
As of 2010, Middle of The Road is enjoying a mild resurgence of popularity due to their 1971-72 videos on YouTube because of their song Soley Soley had been featured in Malaysia's comedy movie Hantu Kak Limah Balik Rumah.
(Wikipedia)

Ahli kumpulan mereka ialah :
  • Sally Carr (born Sarah Cecilia Carr, 28 March 1945, Muirhead, Lanarkshire)
  • Ken Andrew (born Kenneth Ballentyne Andrew, 28 August 1942, Bearsden, Glasgow)
  • Ian McCredie (born Ian C McCredie, 15 July 1947, Partick, Glasgow)
  • Eric McCredie (born 17 July 1945, Partick, Glasgow; died 6 October 2007)
  • Neil Henderson (born 11 February 1953, Glasgow)
Saya kira lagu Soley Soley ini akan dikenang kerana keletah dua orang manusia yang bernama Abi Hurairah (Johan) dan juga si Usop Wilcha (Shy8) berjoget mengiringi lagu itu. Mamat Khalid saya kira bijak juga apabila memainkan lagu itu dalam tempoh seminit. Padahnya, penonton mula tercari-cari siapakah penyanyi lagu ini, dan menjumpainya. Padah yang lain pula, habis ruangan komen di YouTube dipenuhi dengan komen orang-orang Malaysia, sehinggakan orang putih juga merasa hairan dengan komen orang kita...hehehe...

Hantu Kak Limah pada mulanya saya ingatkan berlatar masa sekitar 70-80 an. Malangnya, sangkaan saya meleset apabila melihat TV LCD di kedai Pak Jabit. :-)

Bagi para pengkritik, mungkin HKLBR adalah biasa-biasa sahaja, namun kerana ia dekat dengan masyarakat tempatan, maka ianya senang sekali ditonton oleh masyarakat Malaysia.

Ahah, yang ini juga menjadi perhatian ramai.


Apa yang menggelikan hati, si Usop ini menggantikan perkataan 'karma' dengan 'kome' (loghat Perak). Ya, lagu ini berjudul Karma Chameleon nyanyian Boy George dari Kumpulan Culcture Club. 
 

Lagu ini kalau dijadikan persembahan pentas memang menarik, kerana rentaknya yang rancak dan nyanyiannya yang tersusun biarpun laju semacam pada bahagian 'love would be easy if your color were like my dreams'. :-)

Jangan tanya saya kenapa si penyanyi berpakaian pelik siap bergincu pula. Saya pun tak tahu.

Apapun, ianya membuktikan bahawa yang lama itu pengaruhnya masih besar dalam kehidupan mana-mana masyarakat di dunia, termasuklah masyarakat barat. Pun begitu, suka diingatkan di sini bahawa orang lama juga tidak lari daripada masalah sosial. Dadah dan seks adalah perkara biasa yang meliputi artis barat pada zaman itu dan juga zaman sekarang.

Tuesday, April 12, 2011

KITA SEMAKIN TUA (2)

HARRISON FORD
Lebih makan garam. Itu kata orang Melayu apabila bercakap tentang usia tua. Usia tua selalunya disamaertikan dengan apa ? PENGALAMAN.

Orang Melayu pernah berkata bahawa pengalaman mendewasakan kita. Maknanya, semakin meningkat usia, semakin banyaklah pengalaman hidup. Jatuh bangun hidup ini semuanya dah dirasa. Letaklah diri dalam keadaan apa sekalipun, pengalaman adalah guru yang paling hebat. Ia tidak ada silibus. Ia tidak ada modul pengajaran, bahkan kadangkala ia mengajar tanpa kita tahu bahawa kelak ia akan menjadi sebuah pengalaman sama ada baik ataupun buruk.

Hmm...anda kenal lelaki di atas ? Kalau anda tidak kenal, mungkin anda mengenali salah satu watak lakonannya yang paling berpengaruh di Hollywood iaitu Indiana Jones. Ada 3 siri pada mulanya. Siri pertama berjudul Raiders Of The Ark, kedua berjudul The Temple Of Doom dan ketiga berjudul The Last Crusade. Ketiga-tiga filem itu dilakonkan ketika usia mudanya. Maka dapatlah kita lihat kegagahannya dan ketampanannya dengan diiringi pelakon wanita cantik (tipikal filem Hollywood). Namun, tahun 2008 menyaksikan Indiana Jones yang sudah tua kembali beraksi. Kingdom Of The Crystal Skull memperlihatkan Indiana Jones yang sudah tua. Lihatlah perubahan fizikalnya daripada seorang lelaki gagah kepada seorang lelaki separuh abad.

SEAN CONNERY
Satu yang menarik tentang umur tua, orang Melayu juga ada memperingatkan bangsanya tentang umur tua tidak menjamin kematangan dalam berfikir dan tindakan. Malah tidak dapat kita nafikan bahawa orang-orang tua juga ramai yang bodoh dalam bertindak. Jika tidak, masakan kita dapat melihat orang tua menjual air daun ketum di rumahnya. Masakan juga kita dapat melihat seorang mak cik membakar diri kerana marahkan anak. Itu bukanlah tindakan orang bijak, dan bijak tidak mengira umur. Kerana itu timbullah peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Kalau mengikut sejarah, kita dapat mengetahui betapa bijaknya Nabi Ismail a.s. ketika memperbetulkan pengadilan ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. terhadap dua orang lelaki. Kita juga dapat mengetahui betapa cerdasnya pemikiran baginda Muhammad s.a.w. saat umur mudanya di mana berlaku pergaduhan meletakkan hajarul aswad dan baginda menyelesaikannya dengan serban baginda sahaja. Inilah sedikit sebanyak bukti bahawa tua tidak menjamin kematangan.

Kenal lelaki di atas ? Kalau anda pernah menonton siri James Bond tahun 60-an, maka inilah dia heronya, yang selalu benar bergomol dengan perempuan di dalam lakonannya. Sekarang, beliau sudah tua. Kepala pun semakin 'terang'. Beliau juga pernah bergandingan dengan Harrison Ford di dalam siri Indiana Jones dengan memegang peranan bapa. Satu hal yang menarik di Hollywood, pelakon tua tidak dipinggirkan terus, malah mereka masih dapat memegang watak utama dan tetap diminati ramai.

TOM HANKS
Dalam mana-mana bangsa di dunia, orang tua adalah untuk dihormati. Tidak terkecuali bangsa Melayu. Malah agama Islam sendiri mewajibkan kita menghormati orang lain. Apatah lagi jikalau orang tua itu adalah ibu bapa kita. Tentu kita masih ingat gelaran yang diberikan untuk orang tua iaitu warga emas. Kenapalah agaknya dipanggil begitu ? Mungkin kerana banyaknya ilmu ada pada mereka, dan orang-orang mudalah yang bertanggungjawab menggali ilmu daripada mereka. Begitulah sewajarnya orang-orang menjalani hidup, pendapat orang-orang tua jangan dilupakan terus, malah ada banyak panduan daripada mereka yang boleh kita gunapakai dalam kehidupan seharian.

Cukup menghairankan apabila orang tua dahulu dapat menunaikan haji dengan duit menoreh getah sedangkan kita sekarang yang berjawatan besar masih tak menunaikan haji. Adakah semata-mata tuntutan kerja yang menghalang kita menunaikan ibadah, atau kita tak pandai mengurus duit macam orang tua kita ? Bagaimana nanti usia tua kita kalau pada usia muda kita tidak pandai mengatur duit ? Tentulah habis hidup kita nanti.

Lelaki di atas bernama Tom Hanks pernah menghangatkan dunia perfileman Hollywood apabila membawa watak Forrest Gump yang dikenali sehingga ke hari ini. Watak itu begitu hebat sehinggakan John Travolta berasa menyesal kerana tidak menerima tawaran melakonkan watak itu pada mulanya. Ataupun saya kira Tuhan telah mentakdirkan watak itu berjaya di tangan Tom Hanks. Tom Hanks kini sudah berusia, dan tampaknya watak yang sering dibawa akhir-akhir ini adalah seperti pengkaji (The Da Vinci Code, Angel & Demons) dan sebagainya berbanding waktu dahulunya beliau gagah membawa watak angkasawan (Apollo 13), askar (Saving Private Ryan), polis penjara (The Green Mile) dan sebagainya.

JACKIE CHAN
Saya kira, perihal tua ini sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa umur kita sentiasa dalam perhatian Tuhan. Tuhan menjaga umur kita. Persoalannya, apakah umur kita diberkati ? Apakah kita menjalani umur kita ini dengan perkara yang disukai Tuhan atau dibenci Tuhan ? Kalaulah Tuhan membenci kita, bagaimana halnya kita ini apabila sampai umur tua nanti ? Adakah masih ada harapan untuk hidayah mendatangi kita sedangkan kita tahu Tuhan berhak menutup pintu hati hamba-Nya yang mungkar sehinggakan akhir hayatnya pun masih senang berbuat maksiat. Itulah yang sepatutnya kita risaukan, bagaimana agaknya umur tua kita nanti ? Alasan tua nanti baru bertaubat adalah tidak boleh diterima kerana jika begitulah keadaannya, tidak perlulah nabi bertaubat setiap hari dahulunya. Kerana apa ? Kerana taubat juga adalah ibadah orang-orang yang bersyukur. Syukurnya baginda Muhammad s.a.w. kerana terpelihara daripada dosa sehinggakan baginda bertaubat setiap hari tanda kesyukuran. Begitu kemuliaan seorang insan. Tua baginda adalah tua bijaksana. Meski baginda sudah tua pada usianya, namun kegagahan imannya mengatasi fizikalnya sehinggakan baginda masih mampu membuka Kota Makkah pada usianya itu bersama dengan para mukmin yang lain.

Siapa tidak kenal Jackie Chan ? Usahanya memperkenalkan aksi 'prop fighting' berhasil apabila ianya menjadi 'trademark' sepanjang hayat Jackie Chan. Namun, beliau juga banyak melakonkan babak perlawanan 'one by one' yang hebat dan dikenangi sepanjang zaman. Tentu kita masih ingat kung fu mabuknya yang popular itu. Sekarang, beliau sudah tua. Lihatlah wataknya di dalam filem terbaru Shaolin di mana beliau menjadi tukang masak dan beliau memang telah dimakan usia lanjut. Mujurlah sahaja beliau ini seorang yang aktif, makanya beliau masih kelihatan tegap dan kuat. Oh ya, paling menarik pada diri Jackie Chan ini ialah usahanya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris yang wajar dipuji. Mungkin orang kita juga boleh belajar daripadanya.

JULIE ANDREWS
Orang berkata umur semakin meningkat. Kalau ikut erti sebenarnya, umur kita bukanlah meningkat. Sebaliknya, umur kita semakin berkurang ke penghujungnya.  Umur kita telah diketahui Tuhan penghujungnya. Justeru, umur yang kita jalani ini adalah umur yang telah diketahui penamatnya oleh Tuhan. Oleh kerana itu, janganlah kita berbangga dengan umur yang banyak, kerana umur itu tidak bererti apa-apa sekiranya kita tidak menjalaninya dengan perkara-perkara yang diredhai Tuhan. Sudah umur 25 tahun tapi masih liar dengan perempuan yang bukan muhrim. Apalah guna umur 25 tahun itu. Lihatlah bagaimana umur para ilmuwan yang kebanyakannya tidak panjang tetapi mereka mempergunakan umur mereka dengan baik. Lihatlah bagaimana Ibnu Sina dan kitab perubatannya itu, padahal umurnya tidak sampai 50 tahun pun. Begitulah orang yang diredhai umurnya. Baginda Muhammad s.a.w. juga sama. Umurnya hanyalah sekitar 63 tahun, tapi lihatlah bagaimana baginda mengubah dunia, khususnya tanah Arab terhadap penyaksian Tuhan yang Esa. Pembukaan Kota Makkah adalah puncak segala-galanya.

Julie Andrews yang saya tahu hanyalah melalui dua filem sahaja, iaitu Mary Poppins dan Princess Diaries. Mary Poppins adalah sebuah filem muzikal mengenai seorang wanita yang boleh terbang dengan payungnya. Semacam hantu pula beliau dengan gaun labuh, bertopi, berpayung dan boleh terbang di langit. Kini, beliau juga sudah dimakan usia. Namun, kita jangan lupa bahawa mereka juga banyak duit untuk melakukan pembedahan plastik.

RISHI KAPOOR
Umur kita adalah kurnia dari Tuhan. Marilah kita gunakan ia sebaik-baiknya. Menuntut ilmu adalah salah satu cara terbaik untuk mempergunakan umur ke jalan kebaikan. Dan sememangnya pun kita ini tidak akan berhenti belajar sehinggalah kita masuk ke dalam liang lahad. Menuntut ilmu adalah berterusan. Sama-samalah juga kita berdoa kepada Tuhan supaya umur kita diberkati oleh-Nya dan dipanjangkan juga umur kita supaya dapatlah kita gunakan ia untuk berbuat amal kebajikan.

Wallahua'lam...

Ok...Rishi Kapoor...saya tidak ingat apa filem lakonan beliau. Tetapi, yang saya tahu beliau pernah mengarah sebuah filem yang berjudul Ab Ab Laut Chalen. Entahlah apa maknanya itu... :-)

Wednesday, March 09, 2011

...WA ALI MUHAMMAD...


Dulu, saya tidak mengerti dan tidak mempedulikan ertinya...

Tetapi, kali ini saya yakin dan pasti, kalimah ini bukan lagi sembarangan, bahkan ianya berkuasa. Berkuasa untuk melunakkan hati dan kenang-kenang pada perjuangan lalu.

Ketika sampai lidah kita menyebut 'wa ali Muhammad'...
Ingat-ingatlah kita pada puterinya Fatimah az-Zahra r.a., semulia-mulia wanita ikutan sepanjang zaman.

Ketika sampai lidah kita menyebut 'wa ali Muhammad'...
Ingat-ingatlah kita pada sepupu rapatnya Ali r.a. yang gagah berani dan luar biasa peribadi.

Ketika sampai lidah kita menyebut 'wa ali Muhammad'...
Ingat-ingatlah kita pada kedua cucundanya yang mulia, Hassan dan Hussein r.a...

Ketika sampai lidah kita menyebut 'wa ali Muhammad'...
Ingat-ingatlah kita amaran baginda supaya jangan disakiti Fatimah r.a. yang mana ia juga bererti menyakiti baginda sendiri.

Ketika sampai lidah kita menyebut 'wa ali Muhammad'...
Ingat-ingatlah kita bahawa baginda adalah kota ilmu dan Ali r.a. itu adalah pintu masuknya.

Ketika sampai lidah kita menyebut 'wa ali Muhammad'...
Ingat-ingatlah kita bahawa baginda berkata bahawa Hussein r.a. daripadanya dan dirinya daripada Hussein r.a.

Ketika sampai lidah kita menyebut 'wa ali Muhammad'...
Ingat-ingatlah kita bahawa bercerailah kepala Hussein r.a. dari badannya.


Selepas ini, janganlah kalian main-main dengan selawat lagi. Kerana selawat bukan sekadar sebutan, bahkan ianya kalimah menjunjung kebenaran dan menolak kebatilan. Memuliakan seorang insan kekasih Tuhan dan memuliakan keturunan yang dipilih Tuhan.

Kalaulah selepas ini terasa mahu leka dengan dunia, berselawatlah. Insya Allah, dengan izin Tuhan, ceritera panjang ini akan mendatang ke dalam diri...

Monday, January 31, 2011

HUJAN DAN BANJIR

Tajuk di atas tidak ada kena-mengena dengan kumpulan Hujan, kerana ketika ini, sekalipun kumpulan Hujan mencipta lagu sehebat mana pun, hujan tidak akan tunduk pada lagu mereka seraya berhentilah banjir yang melanda negeri Johor sekarang ini. Itu tidak perlu dan tidak akan berlaku.



Hujan kali ini tidak mahu berhenti mencurahkan 'baktinya' kepada kita. Malah, sekarang ini kita terasa benar bahawa hujan semacam berlebih-lebihan pula mencurahkan 'baktinya' sehingga kita berkata, "Tidak perlulah sebanyak ini sehingga kami kehilangan rumah kerana ditenggelami dengan 'baktimu' itu."

Sekali-sekala hujan turun, kalau kita iringi dengan sebuah lagu merdu, hujan menjadi teramat indah. Teramat indah untuk kita nafikan. Biarlah kita terkurung di dalam rumah dan tidak dapat keluar membeli-belah, namun hujan yang dituruti dengan lagu yang indah akan membuatkan hati berasa damai.

Sekarang ini, jauh berbeza, dan kita seperti melanggar hukum 'hujan membawa rahmat'. Kerana doa yang pernah nabi ajarkan kita tidak mahu amalkan. Makanya sekarang ini hujan tidak lagi menyenangkan kita. Biarlah ia diiringi dengan Tenia Tanto Que Darte sekalipun, ianya tidak lagi indah. Rumah sudah tenggelam. Pakaian sudah basah, air entah sudah bercampur dengan najis apa benda, ada anak yang mati lemas, ada kereta yang tersangkut, ada motorsikal yang hanyut. Ketika ini, Nda pun tidak bisa menyenangkan perasaan.

Orang-orang, saya tahu semuanya sedang resah. Orang Johor jarang-jarang ditimpa banjir seperti orang-orang di Pantai Timur. Bagi mereka, bah itu adalah sesuatu yang wajib untuk dilalui, tetapi tidak orang Johor. Namun, kalau Tuhan sudah mahu ia terjadi, satu juta penduduk Johor membantah pun tidak ada gunanya. Suara hamba tidak mampu mengatasi suara Tuhan. Kita mungkin boleh merayu kepada-Nya, namun kerja Tuhan kita tidak pernah tahu misterinya.



Saya juga faham bahawa kita sedikit terkilan kerana ianya berlaku saat begini. Saat sekolah sedang berjalan, saat undi sedang berlangsung dan saat orang-orang Cina hendak meraikan Tahun Baru Cina. Ya, terkilan, sedih dan mungkin ada yang menyumpah banjir ini. Tapi, macam saya katakan tadi, siapa kita hendak melawan Tuhan.

Saya kira kita tidak tahu bagaima megahnya hujan sekarang ini kerana matahari belum ada can lagi hendak menampakkan sinarnya, kerana awan hujan sedang bermaharajalela. Mungkin hujan berkata, "Giliran aku hendak menunjukkan kehebatan." Atau mungkin juga mentari sudah berpakat dengan si hujan, "Ramai manusia tidak mahu bersyukur dengan sinar panas yang dikurniakan Tuhan kepadaku, maka ku persilakanlah engkau, dengan izin Tuhan untuk turun semahu-mahunya, supaya kelak mereka merayu supaya aku muncul kembali dan pakaian mereka boleh kering..."

Seumur hidup saya, cuma sekali saja saya berhadapan dengan banjir, iaitu pada penghujung tahun 2006. Itupun bukan di rumah saya, tetapi di rumah nenek saya di Batu Pahat. Ketika itu, Johor mengalami kejutan maha dahsyat. Saya tidak peduli kejutan itu, kerana banjir telahpun menguasai tanah, dan yang perlu diambil kira ialah bagaimana mahu 'menghalau' air keluar rumah. Namun, kalau sudah banjir, tentulah air tetap di situ. Cuma menunggu ianya surut. Tinggal usaha mengalihkan barang-barang berharga ke tempat lain yang selamat daripada air.

Ketika ini, semua orang sedang berusaha untuk membantu setakat mana yang mampu. Malah ada orang kenamaan mengarahkan supaya segerakan membantu mangsa banjir. Satu yang menarik, jarang rumah orang kenamaan terletak di bawah, tetapi selalunya di atas bukit. Ya, demi mengelakkan mereka ditimpa kejadian seperti ini. Lantak merekalah. Jika mereka sudi untuk turun ke bawah dan membantu, itu sudah cukup baik. Jika mereka tetap dengan kesombongan, nanti kelak ada 'banjir' dari atas sana untuk menghentam kemewahan mereka.

Masih kita teringat saat masih kecil. Banjir adalah aneh dan unik bagi kami, makanya kami suka bermain-main dengan air banjir kerana selama ini air di rumah tidak boleh dibuka banyak-banyak kerana bil air akan melambung. Makanya, bila air sudah bertakung di kaki, kami kanak-kanak adalah makhluk yang paling seronok, padahal bukanlah baik pun bermain air banjir kerana ianya kotor dan harapan untuk terjatuh dan lemas dibawa air adalah tinggi (kecuali air paras buku lali). Ada juga bapa-bapa yang terbawa-bawa kenakalan anak mereka, lantas membeli bot mainan bermotor untuk dijalankan atas air banjir. :-)

Duduk di pusat pemindahan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Bahkan tidak selesa sebenarnya. Namun, saat itu, apalah yang mahu dimarahkan. Nyawa sudah selamat pun sudah cukup baik. Harta dan barangan rumah boleh diganti, tetapi nyawa ada satu. Pernah saya mengikut atuk ke pusat pemindahan banjir di kampung saya, dan itulah kali pertama dalam hidup saya melihat keadaan pusat pemindahan di depan mata. Orang-orang tua yang uzur, anak kecil yang tidak tahu apa-apa dan ibu bapa yang bersedih. Bantuan datang tidak putus-putus daripada mereka yang berkenaan menenangkan sedikit jiwa mereka.

Apa pun, banjir adalah sebahagian daripada bencana alam yang akan terus berlaku, selagi Tuhan mengizinkan. Kita sebagai manusia yang ada akal, haruslah mencari jalan mencegahnya atau paling kurang jalan menghadapinya.

Wallahua'lam...

Saturday, January 15, 2011

3 IDIOTS VS SANG PEMIMPI

Saya kira, saya baru terperasan bahawa kedua-dua filem membawa cerita yang hampir sama. Cuma, latar masa, tempat dan masyarakat sahaja yang berbeza. Malah, tanah tempat kedua-dua filem ini dihasilkan pun amat jauh sama sekali. Satu di India, satu lagi di Indonesia. Namun, kedua-dua seolah-olah 'bersaudara' lantaran membawa tema yang sama. Perjuangan hidup manusia yang mencari jatidiri. Paling menarik, kedua-dua filem juga menonjolkan 3 watak utama yang merupakan pemuda yang 'struggle' menjalani hidup. Akan tetapi, saya kira ada beberapa perbezaan ketara antara kedua filem ini. Jika 3 Idiots, anda akan menemukan wataknya yang 'melawan' sistem. Sebaliknya, Sang Pemimpi menonjolkan wataknya yang cuba bertahan dengan sistem yang ada dan cekal melaluinya.

Dalam filem 3 Idiots, watak-watak utamanya cuba melawan sistem pembelajaran di mana ianya lebih kepada konsep berlumba untuk mendapat markah yang tinggi dan lulus sebagai pelajar cemerlang, kemudian dapat kerja yang baik, kumpul harta dan berbangga dengan harta yang ada.

Sang Pemimpi pula sedikit berbeza di mana watak-watak utamanya sedaya upaya bertahan dengan sistem yang sedia ada, dalam keadaan ekonomi negara yang terhimpit kesan kejatuhan harga timah dunia. Mereka bertekad ingin mengubah nasib keluarga dan ingin sekali belajar di luar negara. Mereka menjadikan niat mereka sebagai keterujaan untuk terus belajar, biarpun kalau dilihat dari segi kedudukan kewangan mereka, impian untuk ke luar negara itu adalah hampir mustahil sama sekali. Namun, optimis dan yakin dengan Tuhan yang merahmati orang yang sabar menjadikan mereka terus cekal.



Protagonis menonjol dalam 3 Idiots adalah Ranchoddas Shamaldas Chanchad (Aamir Khan), manakala Sang Pemimpi adalah Arai (Rendy Ahmad). Kedua-duanya memiliki perwatakan yang hampir serupa, iaitu optimis dengan kehidupan dan cuba menjadi manusia yang berjiwa besar, ertinya manusia yang tidak kalah dengan cubaan dunia yang sementara ini. Namun, perbezaannya adalah, Si Rancho datang daripada keluarga yang kaya (meskipun akhirnya kita tahu bahawa beliau hanyalah anak tukang kebun rumah orang kaya dan disara hidupnya) dan si Arai merupakan pemuda miskin yang hidup yatim piatu. Rumah si Arai terletak di pinggir hutan, di mana tempat kera bermain-main.

Kedua-dua mereka ini sememangnya minat belajar (menuntut ilmu). Jika Arai masih bersekolah menengah, Rancho pula sedang menuntut di kolej kejuruteraan yang teramat mengutamakan sistem gred berbanding cuba membimbing pelajar untuk hidup sebagai manusia yang berfikir, bukan mesin kilang seperti yang didakwa Rancho. Arai pula, sebagai manusia yang miskin dan hidup penuh keterbatasan, cuba menanggapi segala-galanya sebagai positif. Tidak ada yang negatif baginya melainkan menyerah kalah dalam menjalani ujian hidup. Itulah malang yang sebenar-benarnya. Dan saya kira itu adalah betul sama sekali. Bayangkan sahajalah kalau nabi kita menyerah kalah ketika berdakwah dahulu, apa akan jadi dengan kita ?

Nganga melihat poster filem perempuan seksi. Dari kiri, Jimbron, Arai dan Ikal

Kelewatan untuk menduduki ujian

Kalau Rancho begitu berani 'menentang' Dr. Viru (Boman Irani), Arai pula berani 'menentang' Pak Mustar (Landung Simatupang). Kedua-duanya memiliki karakter yang sama, iaitu garang dan keras dalam mengajar serta mengutamakan gred. Paling menarik, kedua-duanya menjalankan sistem yang hampir sama di mana Dr. Viru menentukan tempat duduk dalam majlis fotografi pelajar berdasarkan gred yang mereka dapat, manakala Pak Mustar pula menentukan tempat duduk ibu bapa berdasarkan gred saat mereka hendak mengambil buku laporan anak-anak mereka. Kalau anak-anak yang berperangai teruk, maka jauh ke belakanglah tempat duduk ibu bapanya. Itu bagi mereka adalah 'perang psikologi' antara pendidik dengan pelajar. Bezanya, 3 Idiots cuba menentang sistem itu, sebaliknya Sang Pemimpi cuba 'memesrakan' diri dengan sistem seperti itu. Namun demikian, Sang Pemimpi 'ditenangkan' dengan watak seorang lagi guru yang optimis iaitu Pak Balia (Nugie). Beliaulah yang bertanggungjawab menurunkan semangat untuk berani ambil risiko dan mengubah nasib mereka. Berbeza dengan Pak Mustar yang selesa dengan cara 'sedarlah diri kau tu' di mana baginya angan-angan yang tinggi melangit membahayakan dan boleh merosakkan pemikiran pelajar di sekolahnya. Justeru, wujud pertentangan di antara dua orang guru ini. Pun begitu, akhirnya kita faham mengapa sebabnya Pak Mustar berbuat begitu saat beliau cuba menasihati Ikal yang sudah patah semangat.

Dr. Viru (Virus)
Pak Mustar
Pak Balia

 3 Idiots memiliki dua lagi watak utama yang sering menjadi 'mangsa' kerja gila sang optimis Rancho, iaitu Farhan Qureshi (R. Madhavan) dan Raju Rastogi (Sharman Joshi). Kedua-duanya juga memiliki masalah peribadi masing-masing. Si Raju Rastogi terlalu risaukan masa depannya lantaran beliau harapan tunggal keluarganya yang miskin melarat. Manakala Farhan Qureshi pula hidup dalam keadaan tidak redha, di mana beliau lebih sukakan bidang fotografi, namun harapan ayahnya memaksanya untuk belajar bidang kejuruteraan, menjadikannya selalu mendapat markah yang rendah dalam setiap ujian.

Raju Rastogi
Farhan Qureshi

Sang Pemimpi pula, kita ada Ikal (Vikri Setiawan) dan Jimbron (Azwir Fitrianto) yang turut menjadi 'mangsa' idea-idea gila Arai. Itu kita dapat lihat saat mereka bertiga dikejar Pak Mustar dan Arai mencadangkan mereka melompat masuk ke dalam tong ikan yang besar untuk bersembunyi. Kemudian, juga babak di mana Arai mencadangkan mereka pergi menonton wayang setelah si Ikal tidak tidur lena kerana termimpi-mimpi watak perempuan filem itu yang seksi. Padahal mereka bertiga tahu bahawa Pak Mustar mengharamkan sama sekali para pelajarnya menonton wayang, kerana pada waktu itu (tahun 70-80-an), filem-filem Indonesia banyaknya berunsur seks (kata Pak Mustar) dan tidak elok sama sekali ditonton oleh orang-orang Islam. Padahnya, mereka ditangkap dan dihukum di sekolah.



Saat dikejar Pak Mustar

Rancho dan Arai membawa niat yang sama, iaitu membesarkan jiwa. Rancho sendiri mengatakan kepada Raju, "Belajar bukan untuk berjaya, tetapi belajar untuk membesarkan jiwa..." Saya kurang erti maksudnya itu, tetapi mungkin ada juga kebenarannya. Kerana apa ukuran sebuah kejayaan dalam pelajaran ? Semata-mata markah yang tinggikah ? Atau kita dikira berjaya apabila sikap kita berubah setelah belajar ? Berubah yang macam mana boleh dikatakan berjaya ? Itulah yang harus difikirkan setiap pelajar. Jika kita masuk universiti semata-mata mengejar gred dan kerja yang besar gajinya, makanya itu sahajalah yang kita dapat. Jiwa kita mungkin masih lagi tandus dalam keresahan. Tuhan tidak akan begitu mudah memerintahkan kita supaya membaca (Iqra') melainkan ada rahsia besar yang tersembunyi di sebaliknya.

Arai pun begitu juga. Segala cabaran di dunia ini adalah untuk dilalui, bukan dielakkan. Kerana hidup tanpa cabaran adalah semata-mata kering-kontang kerana kita tidak akan dapat membesarkan jiwa kita. Malahan kadangkala cabaran juga dapat menyucikan hati kita. Kesungguhan Arai meyakinkan rakan baiknya bahawa mereka pasti dapat ke Paris untuk menuntut di sana adalah sebuah keyakinan yang membawa kepada usaha yang luar biasa. Namun, keyakinan Ikal terganggu apabila PN Timah tempat ayahnya bekerja ditutup dan ayahnya kehilangan pekerjaan. Seolah-olah tidak ada lagi masa depan yang baik untuknya. Semua duit simpanannya diberikan kepada ibunya dan semangatnya mula luntur. Jadi, keadaan si Ikal hampir sama dengan Raju yang terlalu mengharapkan semuanya berjalan dengan baik tanpa ada gangguan. Kedudukan kewangannya yang kritikal menjadikannya seorang yang amat serius dan tidak optimis. Dia terlalu risaukan masa depannya, sama seperti Ikal yang berubah menjadi panas baran dan hampir-hampir menghempuk Jimbron dengan baldi ketika dihukum mencuci bilik air sekolah yang teramat kotor. Arai yang risau dengan keadaan Ikal cuba menangkan rakannya, sama seperti Rancho yang cuba menenangkan rakannya.

Masuk bab percintaan, di sini ada perbezaan ketara. Kalau si Rancho segan hendak melafazkan cintanya kepada Pia (Kareena Kapoor), Arai pula bersungguh-sungguh hendak menawan hati Zakiah Nurmala (Maudy Ayunda). Bagi Arai, Zakiah adalah hatinya. Langkahnya menjadi santun dan bicaranya menjadi pantun Melayu apabila berdepan dengan Zakiah. Malang sekali, Zakiah tidak mahu melayaninya. Berbeza pula dengan Pia di mana Pia memang jatuh cinta dengan Rancho, cuma menunggu Rancho sendiri melamarnya (barulah 'gentleman'). Saya kira, kewujudan watak-watak perempuan adalah warna tambahan yang unik kepada kedua-dua filem, di mana ianya semacam mengiyakan bahawa, di sebalik kejayaan lelaki, pasti ada perempuan menjadi tulang belakangnya. Ya, perempuan itu bukan sekadar awek ya, ibu kita juga perempuan.

Bang Zaitun menyerahkan gitar 'keramatnya' kepada Arai untuk memikat Akiah Nurmala

Zakiah Nurmala


Pia

 Dalam filem 3 Idiots ini, dialog yang paling popular adalah, "All is well." Ini adalah ungkapan untuk orang yang optimis. Rancho seperti yang diceritakan olehnya bahawa kalimah itu diucapkan oleh seorang buta di kampungnya yang bertanggungjawab mengawal kampung (orang buta ?). Pada suatu hari, berlaku kecurian di kampungnya, dan orang buta itu berterusan mengucapkan, "All is well..." dan orang kampung terus lena dibuai mimpi, sehinggalah esoknya mereka sedar bahwa kampung mereka telah berlaku kecurian. Kemudian, ia dituruti dengan nyanyian lagu temanya iaitu All Is Well. Memang sudah adat filem Hindustan, mesti ada nyanyian. Namun, bagi saya, lagu yang paling memberi kesan dalam filem ini ialah Give Me Some Sunshine yang didendangkan selepas Joy Lobo kecewa kerana projeknya ditolak kerana sudah terlebih tempoh tarikh penghantaran.

Dalam agama Islam, kita ada kalimah "Insya Allah" yang mana dengan izin Tuhan, segala-galanya akan menjadi baik. Justeru, dalam Sang Pemimpi, kita akan menemukan karakternya mengucapkan kalimah 'alhamdulillah'. Begitulah kita sepatutnya memuji Tuhan apabila berhasil dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kita juga dapat lihat Arai merupakan pemuda yang rajin solat dan pandai mengaji. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita juga seharusnya menjadi pemuda yang menjaga agama supaya kita tidak tersasar arah, dan sikap optimis kita juga sesuai dengan tuntutan agama. Kerana kita hanya berhak merancang, namun Tuhan jualah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Justeru, kita perlu banyakkan berdoa di samping usaha yang berterusan dan tawakkal kepada-Nya.

Kesimpulannya, saya bukanlah hendak menceritakan filem mana yang lebih hebat. Sebaliknya, saya hendak bercerita kesamaan dan perbezaan yang ada dalam kedua-dua filem ini dan nasihat-nasihat positif yang boleh kita gunapakai dalam kehidupan kita.

Kalau anda belum menonton kedua-dua filem ini, saya cadangkan anda menontonnya. :-)

Saya letakkan di sini lagu Give Me Some Sunshine. Semoga anda terhibur. :-)

Friday, January 14, 2011

AYAH - LAGU DAN SEDIKIT CERITA

Oh ya, ayah saya, pada zaman muda remajanya tahu bermain gitar. Makanya, saya kira tidaklah langsung menjadi salah kiranya saya menujukan instrumental yang satu ini khas kepadanya. Memandangkan saya tidak tahu bermain lagu seperti ini yang kompleks susunan kodnya. Bahkan keenam-enam tali itu, setelah diamati telah diubahsuai tangga nadanya. Pada asalnya, setiap gitar bersusun talinya seperti berikut :

EADGBE

Namun, untuk lagu ini, si pemainnya telah mengubahnya. Ia bertukar menjadi berikut :

ECDGAB

Untuk mengubah tangga nada tali-temali gitar ini, selain anda sudah mahir dengan mendengar melalui telinga, anda memerlukan alat 'tuning' yang khas. Ianya dipanggil 'alternate tuning'.

KOMA

Ayah saya, ayah kita seraya ayah anda semua adalah manusia yang hebat. Bukan sembarangan orang boleh menjadi ayah yang baik. Ada manusia iaitu seorang lelaki yang gagal menjadi ayah yang baik. Bahkan anaknya pada kesudahan membenci pula ayahnya yang dahulunya amat kejam dan zalim.
Anda fikir, dengan lagu seperti itu, selayaknya ditujukan kepada ayah yang bagaimana ?
Tentulah ayah yang baik. Dan saya berdoa supaya sesiapa sahaja yang membaca entri ini memiliki seorang ayah yang baik. :-) Insya Allah...

Biarpun sabda nabi jelas bahawasanya seorang anak itu harus berbakti kepada ibu lebih daripada ayah, tidaklah bermakna sama sekali ayah itu harus senang-senang dilupakan terus. Salah kalau begitu sangkaan anda.

Bahkan, ada seorang penulis dari negara tetangga kita iaitu Indonesia pernah menulis bahawasanya seorang ayah yang pendiam itu, kasih sayangnya lebih kuat, utuh dan teguh. Kerana apa ? Kerana kasih sayangnya tidak hadir dalam bentuk semata-mata peluk manja dan tawa ceria, tetapi dengan ketegasan dan kejujuran, dengan harapan anaknya kelak akan menjadi manusia yang tidak terlalu memanjakan dirinya dengan segala kesenangan dunia. Perhatikanlah, berapa ramai anak yang rosak kerana terlalu dimanjakan dengan kesenangan dunia. Itulah petanda ayah yang gagal. Si anak pula, nanti kelak akan melupakan ayahnya kerana sudah lalai dengan kemewahan dunia. 

Memberi kesenangan kepada anak bukanlah semata-mata salah. Namun, kesenangan itu haruslah diturui dengan kawalan berpanjangan dan ketegasan dari jiwa seorang ayah. Jangan anak itu bermanja-manja dengan kesenangan sehingga dia tidak dapat menerima kesusahan. Kesusahan akan membuatkan dia terlalu kecewa dan mudah menyerah kalah. Namun, sekiranya si ayah berjaya mendidik anaknya supaya mensyukuri kesenangan dan senantiasa berwaspada dengan kesusahan, Insya Allah si anak akan selamat daripada terleka dengan kemewahan, bahkan kemewahan itu menjadikannya lebih takut kepada Tuhan dan membelanjakannya ke jalan kebaikan, bukan berhabis di pusat hiburan dan pusat permainan video.

KOMA

Ayah saya seolah-olah tahu, dan rasanya dia memang tahu bahawa saya ini merupakan seorang yang tidak sabar. Saya tidak sabar dengan harta kebendaan. Seperti mana manusia pernah diandaikan bahawa sekiranya diberikan sebuah lembah, maka pasti manusia itu berkehendakkannya lagi. Ertinya, nafsunya tidak pernah merasa cukup. Saya adalah manusia jenis itu. Makanya, saya dibataskan dalam banyak perkara. Tidak semua akan mudah saya dapat, kecuali dengan jalan sabar. Jalan sabar akan menjadikan saya lebih menghargai pemberian manusia, apatah lagi pemberian Tuhan. 

Kalau saya membentak-bentak memarahi kereta yang tidak semewah orang lain, makanya saya diajar untuk merenung-renung manusia banyak yang sepanjang hidupnya berjalan kaki dan berkenderaan awam sahaja. Owh, saya sudah bersalah pada sebuah harta kebendaan yang telah banyak menaburkan jasa kepada saya dengan membawa saya ke sekolah, membawa saya ke masjid, membawa saya ke tempat belajar dan membawa saya bersiar-siar, sedang orang lain menaiki motorsikal dan ditimpa hujan. Maka, wajib saya bersyukur. Begitulah ayah cuba memahamkan saya tentang hakikat sabar dan syukur. Rupa-rupanya, manusia yang sabar ialah manusia yang bersyukur, dan manusia yang bersyukur adalah manusia yang sabar.
KOMA

Saya pernah dikhabarkan oleh seorang ayah yang lain, bahawasanya cukup sukar menjaga anak perempuan. Sehinggakan disabdakan nabi bahawa memelihara anak perempuan sebaik-baiknya beroleh pahala yang besar. Kerana apa ? Kerana kelak si anak perempuan akan menjadi peneman hidup pada seorang lelaki yang soleh. Jika si anak perempuan tidak dijaga baik-baik, kelak akan menyusahkan suaminya. Dan anak perempuan juga, dalam masyarakat setempat sering menjadi buah mulut orang. Kerana itulah wajib dijaga anak perempuan elok-elok, sama juga dengan anak lelaki.
Seorang perempuan yang solehah adalah rahmat pada sebuah keluarga. Cukup indah melihat keluarga yang dilimpahi anak yang soleh dan solehah. Hasil kerjasama ayah dan ibu kita, maka kita tahu bagaimana menjadi anak yang baik. Ketika si anak perempuan usai bernikah dengan si lelaki, maka lepaslah sudah tanggungjawab ayah kita terhadap kita si anak perempuan. Tinggallah ia dengan suaminya dan tahap ketaatannya yang paling utama kini adalah kepada suaminya, bukan lagi ibu bapanya. menangislah si ayah kerana akan 'berpisah' dengan anak perempuannya. Justeru, berbaik-baiklah dengan ayah kita seperti mana Sayyidatina Fatimah az-Zahra begitu kasihkan ayahandanya Muhammad s.a.w..

Begitu keberatan Fatimah r.a. hendak berpisah dengan ayahnya lantara beliau akan bernikah dengan pemuda mulia Saidina Ali r.a. merangkap sepupu baginda Muhammad s.a.w. sendiri. Begitu kerinduan Fatimah r.a. kepada ayahandanya, sehinggakan ada jiran tetangga sanggup bertukar rumah dengan Fatimah r.a. semata-mata kerana rumah tetangga itu lebih dekat dengan rumah Rasulullah s.a.w.. Terubatlah kerinduan puteri kesayangan baginda itu kerana kembali berdekatan dengan ayahandanya.

Nah, begitu anak yang solehah. Dan begitu juga ayah yang soleh. Sehingga si anak tak mahu berpisah dengan ayah. Jangan pula nanti kita sudah berkahwin, ayah kita dilupakan terus. Hari raya barulah hendak pulang menjenguk. 

Suka diingatkan di sini juga, si ayah akan dianggap dayus di sisi agama sekiranya anak perempuannya dibiarkan bergaul bebas dan mendedahkan aurat sesuka hati (aurat di sini termasuklah bentuk badan yang zahir kesan daripada pakaian yang 'fit' atau ketat). Justeru, jagalah anak baik-baik wahai ayah, dan kepada anak, jadilah anak yang baik. Fahamilah ilmu agama baik-baik. Kepada anak lelaki juga, jadilah anak yang gagah dan kuat membantu ibu dan ayah. 

Wallahua'lam...