Nuffnang

Jumaat, April 30, 2010

CERITA TENTANG ORANG JAWA

Kadangkala saya melakukan juga aktiviti 'blogwalking' ini, biarpun tidak selalu-selalu seperti kebanyakan blogger lain, terutamanya wanita (ya ke ?).

Apa yang saya nak beritahu di sini adalah berkenaan sebuah blog yang menceritakan perihal orang-orang Jawa. Kebetulan, saya ini berketurunan Jawa, maka tentunya ia menarik perhatian saya. Oh ya, penulis itu sendiri berketurunan Jawa.

Apa kenyataannya ?


Lihat pula bangsa Jawa. Ibu saya orang Jawa. Ketika saya kecil, saya agak malu untuk mengangkat tangan jika ada cikgu bertanya, "Siapa orang Jawa di sini?". Saya sendiri juga tidak tahu mengapa rakan-rakan saya sewaktu kecil seakan mengejek anak-anak Jawa. Nakal sungguh mereka waktu itu!

Hari ini, saya agak gembira kerana ibu saya berbangsa Jawa. Setelah saya besar, baru saya tahu bahawa Jawa adalah satu bangsa yang penuh dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Malah, sangat menghormati tetamu. Jika anda pergi menziarahi mana-mana rumah rakan berbangsa Jawa, dan keluarga itu pula masih lagi kuat mengamalkan budaya orang-orang Jawa, yang kebiasaannya banyak terdapat di Banting dan Batu Pahat, maka pasti anda akan terkejut dengan layanan mereka.

Kalau boleh, apa sahaja makanan yang ada di dapur itu hendak mereka keluarkan untuk beri anda makan. Malah, kalau anda membawa anak bersama, dan anak anda itu pula tiba-tiba sangat suka bermain dengan permainan yang ada di rumah yang anda ziarahi itu, silap-silap haribulan tuan rumah akan suruh anda ambil terus permainan itu.

Sebab itulah, dari sembang-sembang bersama Pakcik Abu Muhammad, ada dia memberitahu saya bahawa Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki paling suka pergi ke Tanah Jawa kerana layanan orang-orang Jawa yang sangat baik dan penuh adab.

Ini kelebihan orang-orang Jawa. Malangnya generasi Jawa hari ini (termasuk saya) semakin melupakan adat Jawa yang penuh dengan kesantunan itu. Itu belum lagi masuk bab boleh bertutur dalam Jawa atau tidak!


(Sumber: Hembusan.blogspot.com) 


Apa yang dinyatakan oleh penulis blog itu, memang betul sekali. Saya ada dua orang kawan berketerunan Jawa, dan betapa 'lembutnya' suara mereka ketika bertutur. Terutamanya yang seorang ini, sehinggakan ianya menjadi kredit buat beliau untuk mengorat perempuan. Ceh.


Ibu saya berketurunan Jawa. Makanya, seperti apa yang dinyatakan blogger itu, ada pada diri ibu saya. Ya, ibu saya akan mengeluarkan segala macam makanan yang ada di rumah untuk tetamu yang datang. Oleh itu, saya tak hairan kalau rakan-rakan yang bertandang ke rumah dapat menjamah segala macam kuih, nasi dan lauk-pauk, serta ketam goreng. Apabila mereka hendak beransur pulang, siap dibekalkan dengan roti bakar pula. Heh. Malangnya, ibu saya sendiri tidak tahu bertutur bahasa Jawa dan juga saya sendiri. Ya, mungkin kerana atuk saya berkahwin dengan orang Melaka, maka keperluan untuk menuturkan bahasa itu tidak ada, jadi ibu saya juga tidak tahu. Ayah saya pula orang Muar, lagilah bercampur-gaul pelat bahasa itu. Orang kampung ayah saya suka memekik dari rumah ke rumah (tak pasti semua penduduk berbuat begitu ke tidak kerana arwah atuk sebelah ayah suka berbuat begitu). Paling kurang mereka akan bertanya sesama sendiri, "Hari ini kau masak apa ?" Soalan itu akan dilontarkan dengan cara menjerit ke mana-mana rumah yang hendak ditanyakan. Yalah, tentulah rumah yang paling dekat. Gila apa nak menjerit rumah yang di hujung kampung.


Menarik juga di situ kerana pendengaran mereka memang tajam. Hehe.


Pernah dengar lagu Kacap Terlabik nyanyian kumpulan Spider ? Kacap terlabik ini semacam satu 'budaya' orang Johor di mana mereka akan bertutur sesetengah perkataan secara terbalik, sama ada sengaja ataupun tidak. Maka, saya tidak hairan apabila kawan saya yang berasal dari Pontian berkata perkataan 'kecuali' menjadi 'cekuali'. Hehehe...

Oh ya, saya yakin dan pasti ramai yang tahu nasi ambang dan tempe, kan ? Ya, itulah makanan kegemaran saya dan sekalian orang-orang berketurunan Jawa, rasanya. Nasi ambang yang dihidang dalam dulang dan dimakan beramai-ramai adalah harmoni sekali. serasa dekat di hati sesama kita. Namun, ada rakan saya yang tidak mahu cara sebegitu, entah geli ke, apa ke, saya tidak tahu. Yang penting, dia bukan orang Jawa.

Seorang kawan saya pernah berkata yang dia semacam takut mendengarkan perkataan 'orang Jawa' itu kerana menurutnya semacam ada mistik dan misteri di situ. Hah, apalah yang mistik melainkan bahasanya yang memang sudah jadi begitu dan adalah tarian kuda kepang dan beberapa lagi budaya unik orang Jawa. Oh ya, ini mesti terpengaruh dengan drama seram bersiri Keliwon.


Di sini saya tampilkan sedikit penerangan yang menceritakan tentang Jumaat Keliwon.


Dalam masyarakat Jawa, dalam banyak-banyak hari Jumaat, ada satu hari yang dipanggil Jumaat Keliwon. Bagi masyarakat Jawa, hari Jumaat Keliwon adalah penghulu segala hari Jumaat. Dan ianya sangat baik untuk membuat sesuatu perkara, seperti beramal, atau untuk menuntut ilmu dunia atau ilmu akhirat.

Istimewanya hari Jumaat Keliwon:

1. Kalau hujan turun pada malam Jumaat Keliwon, air hujan itu ditadah dalam mangkok di halaman rumah  dan air itu elok untuk dijadikan "air penerang hati".
2. Kalau ada orang yang meninggal pada hari ini, kuburnya terpaksa dijaga siang dan malam hingga 40 hari, kerana takut digali semula oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk diambil kain kapan, lidah, dsbnya untuk dijadikan tangkal untuk membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT, seperti merompak, sihir, dan lain-lain. (Perkara khurafat).
3. Elok untuk memulakan amalan-amalan seperti wirid dan zikir, atau membuat sembahyang hajat.
4.   Diperkatakan juga pada malam Jumaat Keliwon  orang yang mengamalkan ilmu sesat ini menjalani kelas praktikum ilmunya buat pertama kalinya. Sekiranya gagal, dia akan menunggu sehingga berjumpa lagi malam Jumaat Keliwon. Mereka gagal kerana diganggu oleh hantu-hantu topeng, hantu kelambu dan lain-lain yang saya pun tidak berapa tahu.Dan sekiranya mereka melepasi ujian itu, pada akhirnya mereka akan diuji dengan hantu yang berupa perempuan yang sangat cantik, di sinilah kadangkala pengamal akan gagal dalam ujian ini. (macam cerita Pendekar Bujang Lapok).
(Sumber: Kampungmampan.blogspot.com)
Nenek saya pernah menceritakan tentang bagaimana indahnya budi pekerti orang Jawa saat memohon maaf ketika hari raya. rasa terharu dan malu orang-orang muda seperti saya jika melihat mereka melutut dan menunduk sambil bercucuran air mata memohon maaf sekiranya pernah bersalah sepanjang beberapa bulan yang lalu. Kan itu juga budaya Islam ?

Itulah sedikit sebanyak cerita orang Jawa yang saya tahu. Tidak ada yang hendak dimalukan menjadi orang Jawa. Kalau orang Kelantan amat berbangga menjadi orang Kelantan, orang Jawa juga harusnya begitu. Cerita-cerita buruk mengenai orang Jawa hanyalah bersifat sementara dan dilontarkan oleh mereka yang busuk hati. Sama-samalah kita membaiki diri kita ke arah kebaikan.


Apa pun, setiap bangsa dan keturunan di dunia ini sememangnya unik. Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan.

Rabu, April 21, 2010

SAYA MEMBESAR DENGAN LAGU-LAGU P.RAMLEE (2)

Pada hakikatnya, saya jarang menonton filem ini ketika kecil, sehinggalah pada suatu ketika RTM menyiarkannya dan saya kagum dengan filem ini kerana ianya 'lain dari yang lain'.

Filem apa yang saya maksudkan ini ?

SEMERAH PADI. Dalam filem ini, ada dua hero iaitu P.Ramlee dan Noordin Ahmad. Noordin Ahmad ini, sebelum beliau berhijrah ke Cathay Keris, beliau bekerja di MFP. Namun begitu, bintangnya bersinar mekar di Cathay Keris.

Baiklah, tidak banyak lagu yang saya gemar di dalam cerita ini melainkan satu. Dan lagu inipun saya tidak tahu tajuknya yang sebenar.



Rasanya, lagu ini menguji kredibiliti beliau sebagai pencipta lagu berentak Tradisional. Berbanding dengan lagu-lagu dalam filem HANG TUAH, lagu ini lebih asli dan lebih keMelayuan.

Apa pun, dalam filem ini saya suka babak P.Ramlee melaungkan azan dengan suaranya yang 'misteri' itu. :-)

Kalau anda kagum dengan Trilogi The Lord Of The Ring dan segala macam sekuel filem mahupun prekuel filem, sebenarnya P.Ramlee terlebih sudah menyempurnakan kerja trilogi iaitu Trilogi Bujang Lapoknya yang popular itu. Namun begitu, ianya mungkin pada nama sahaja kerana ketiga-tiga ceritanya tidak ada kaitan langsung.

Dalam SENIMAN BUJANG LAPOK, tentunya saya suka dengan lagu temanya ketika mereka bertiga berbasikal sambil berkain pelikat hendak pulang ke rumah. Kalau anda perasan, kelihatan penduduk kampung berkumpul di tepi jalan melihat mereka berlakon. Saya fikir P.Ramlee sendiri dah 'tak kuasa' nak menyuruh mereka supaya 'jangan tengok mereka berlakon dan buatlah macam biasa'. Hehehe.



Kemudian, filem BUJANG LAPOK pula. Serius, filem ini seolah-olah filem muzikal kerana dalam cerita ini lagu yang dinyanyikan agak banyak juga, sekitar 3-4 lagu. Namun, kesemuanya sedap-sedap belaka, terutamanya NAK DARA RINDU. Aduhai, macam tengah jatuh cinta ketika mendengar lagu ini. :-)



Apa yang menariknya, lagu ini dicipta oleh P.Ramlee, namun iramanya disusun oleh Yusuf B, guru P.Ramlee sendiri.

Paduan guru dengan anak murid, hasilnya 'masterpiece' yang tiada tolok banding sehingga sekarang.

Lagu yang ini, judulnya saya tidak tahu. Namun ianya juga menarik dan sedikit keanak-anakan memandang si pelakon yang 'menyanyikannya' adalah bintang baru ketika itu iaitu Dayang Sofia. Ketika ini, beliau cukup cantik. Gandingannya adalah Datuk Aziz Sattar yang jatuh hati terhadapnya. Pun begitu, lagu ini bukan dinyanyikan oleh Aziz Satar, sebaliknya Jasni dan juga Saloma. Jasni ini merupakan ayah kepada Roseyatimah di dalam PENDEKAR BUJANG LAPOK itu.



Yang ini pula nyanyian P.Ramlee dengan Normadiah. Menariknya, suara Normadiah seakan-akan kena dengan lagu ini, meskipun agak nyaring dan kalau dibandingkan dengan P.Ramlee yang lebih tenang nyanyiannya. Pun Begitu, kedua-duanya tidak memerlukan sebarang mesin yang akan menukar suara mereka menjadi sedap malah apa yang anda dengarkan memang suara mereka yang sebenarnya.



Haa...lagu yang lagi satu ini pun saya tidak lupakan. Ya, seniwati yang pernah memegang peranan sebagai Tun Teja ini berperanan sebagai awek si Sudin dalam BUJANG LAPOK ini. Wataknya menggunakan namanya yang sebenar iaitu Zaiton. Namun, emaknya di dalam filem ini gemar memanggilnya Eton. Cantikkah dia ? Tentunya. Hehehe...



Apa yang sedikit melucukan saya ialah apabila dia menyanyi, bukan main besar lagi suaranya. Apabila dia bertutur, alahai halusnya macam budak-budak pula. Apa ertinya itu ? Ertinya itu bukan suaranya yang sebenar. Saya tidak tahu siapa penyanyinya. Namun, dia berupaya membuat mimik muka dan gerak badan seolah-olah dia sendiri yang menyanyikannya. :-)

Dahulu, saya tidak berapa minat menonton filem BUJANG LAPOK ini. Saya lebih suka PENDEKAR BUJANG LAPOK DAN SENIMAN BUJANG LAPOK. Namun, apabila TV2 menyiarkannya berulang-ulang kali, saya jadi suka kepada semua lagu-lagu di dalam filem ini.

Banyak lagu-lagu lama terutamanya lagu-lagu P.Ramlee membuatkan saya berfikir, kemajuan teknologi dalam bidang muzik rupanya belum tentu dapat melawan atau menandingi karya-karya lama. Apatah lagi mereka menghasilkannya dengan kepayahan dan kesusahan, berbanding sekarang yang semuanya sudah automatik.

Bersambung...

Selasa, April 20, 2010

SAYA MEMBESAR DENGAN LAGU-LAGU P.RAMLEE (1)

Saya lahir tahun 1988. Oleh sebab itu, saya tidak dapat lari daripada mendengarkan lagu-lagu sekitar penghujung tahun 80-an dan juga tahun 90-an. Pun begitu, saya juga amat terbiasa mendengarkan lagu-lagu sekitar tahun 50-an dan juga 60-an apatah lagi 70-an memandangkan ibu saya menggemari lagu-lagu tahun 70-an seperti Ibnor Riza, Adam Ahmad, Naseer Wahab dan ramai lagi. Ayah saya pula menggemari lagu-lagu 60-an. Oleh itu, saya sering mendengarkan nama-nama seperti A. Rahman Hassan, A.Rahman Onn, L.Ramlee, J.Sham dan ramai lagi.

Dalam banyak-banyak penyanyi tu, saya berani menyatakan yang saya membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham P.Ramlee. Ketika itu, ayah saya gemar merakam cerita-cerita P.Ramlee yang ditayangkan di televisyen ketika itu dengan perakam video yang besar gedabak.

Ya, siapa dapat menafikan kemerduan suaranya dan kesantunan iramanya ? Ramai mengiyakan yang tiada pencipta lagu dapat menyamai beliau dalam menyusun irama.

Seorang anak murid Allahyarham iaitu Kassim Masdor pernah berkata bahawa sesebuah lagu yang dicipta itu perlulah tidak terlalu rumit untuk didengar.

Apa agaknya ya maknanya itu ?
Saya bukan ahli muzik, oleh itu saya tidak tahu. Namun begitu, kebelakangan ini saya rasa semakin faham dengan pendapat Kassim Masdor itu. Ianya kerana banyak lagu masakini yang saya dengar amat 'rumit' dan 'celaru' sekali. Ya, kita tidak dapat nafikan banyak lagu kita merupakan saduran daripada lagu-lagu barat. Pun begitu, apabila berbicara mengenai asimilasi lagu itu dalam budaya setempat dan bahasa santun bangsa kita, kebanyakan lagu adalah canggung sama sekali. Makanya, apabila si penyanyi menyanyikan lagu itu, sudah tidak ada bezanya dengan penyanyi barat, ditambah pula dengan pakaian yang pelik dan mendedahkan aurat.

Baiklah, kembali bercerita tentang hidup saya dengan lagu-lagu P.Ramlee.

Ketika saya berumur sekitar 5 tahun, saya teramat suka menonton PENDEKAR BUJANG LAPOK. Entah mengapa. Mungkin kerana saya seronok melihat P.Ramlee dan rakan-rakannya menyanyikan lagu MAAFKAN KAMI itu dengan lenggok yang agak melucukan.



Punyalah syok mereka menyanyi sehinggakan apabila Si Aziz berhenti menepuk bongo itu, bongo itu masih berbunyi ! :-)
Itu kita belum kira lagi bunyi biola yang entah dari mana. Hehehe...Namun, di sebalik ketidaklogikan itu, masih lagi ianya menghiburkan jiwa kecil saya ketika itu.

Kalau ikutkan saya, dalam lagu itu, baris lirik yang paling menarik ialah:

"Nandung nandung...dayang si nandung..."

"Sedangkan nabi ampunkan umat..."


Satu lagi lagu yang menarik di dalam filem yang sama ialah lagu MALAM BULAN DI PAGAR BINTANG. Dahulu, saya ingatkan yang itu suara milik pelakon perempuan Roseyatimah, rupa-rupanya milik Salmah Ismail atau Saloma. Saya tidak pasti sama ada P.Ramlee sudahpun berkahwin dengannya ketika filem ini dihasilkan iaitu sekitar tahun 1957, jika saya tidak silap.



Namun, sedikit menggelikan kerana P.Ramlee tidak berbaju saat menyanyikan lagu ini dan hanya berkain pelikat. :-)
Saya percaya penyanyi lelaki sekarang pun tak nak berkain pelikat kalau menyanyi dalam filem. Tetapi, kalau si perempuan pula bukan main lagi. Kalau boleh hanya nak berbaju dalam dan seluar pendek sahaja ketika menyanyi. Maklumlah, fesyen barat semuanya begitu, dan artis masakini memang pengekor setia fesyen barat. Dunia dah terbalik.

Bersambung...

Selasa, April 13, 2010

TARHIM SUBUH

Ketika saya berhempas pulas menghadam ilmu kewangan yang tinggal beberapa jam lagi untuk diuji dengan beberapa kerat soalan, saya menemukan sebuah keindahan di dalam kegelapan pagi.

Tarhim.

Ya, Tarhim yang dialunkan saat subuh kian menghampir.
Meski saya tidak berapa jelas butir bacaannya yang sayu dan syahdu itu, namun saya mengenalinya sebagai tarhim subuh oleh orang tua saya. Selalunya, masjid-masjid memang akan mengalunkan tarhim ini oleh muazzinnya sendiri.

Saya baru pulang dari 'berguru' dengan beberapa rakan yang ahli dalam ilmu kewangan ketika tarhim ini dialunkan baik-baik oleh sang muazzin dari masjid berdekatan dengan kolej itu.

Sungguh tenang.

Maka, saya amat hairan mengapa manusia selalu kecewa dan marah dengan hal-hal duniawi sedangkan masih ada ketenangan ukhrawi yang dialunkan di sini.

Apalah gunanya menyumpah-nyumpah hal dunia.
Apalah guna terlalu kecewa dengan hal dunia.
Apalah gunanya sedih dengan hal dunia.

Sedangkan ada tarhim yang indah untuk dihayati...

Tarhim subuh jarang-jarang didengari oleh anak muda, kerana diri sudah asyik dengan lena dunia...

Wallahua'lam...

Rabu, Mac 31, 2010

GOLEK JONGGOL SI NENEK...


Berbaringan di atas tanah bukanlah kegemaran 'dia'. Namun ketika entah tersadung apa benda, 'dia' tersungkur di atas tanah berbatu itu.

Luka sikunya.
Luka tapak tangannya.
Luka lututnya.
Koyak sedikit kulitnya.

Lalu 'dia' menangis. menangis semahu-mahunya.

KOMA

Nenek masih cuba menggagahkan diri untuk bangun mengambil wudhuk untuk bersolat, meskipun anak-anaknya dan juga cucu-cucunya boleh mengambil air sebaldi untuknya berwudhuk di bilik sahaja. Namun, dasar orang tua yang tahu erti kepayahan, tidak mahu dia menyusahkan anak-anaknya.

Badannya terlayah ke kiri ke kanan ketika melangkah ke bilik air. Bilk air baru dibersihkan semahu-mahunya supaya latainya tidak licin kerana lumut atau apa saja lapisan yang melekat padanya.

Wudhuknya tenang.
Solatnya tenang.

KOMA

Lama dahulu Pak Usu pernah menceritakan betapa garangnya nenek ketika muda dahulu. Pernah diikatnya Pak Usu itu di sebatang pokok rambutan yang banyak kerengga hanya kerana pulang ke rumah pada waktu maghrib dek kerana leka bermain basikal dengan kawan-kawan sekampung.

Aduh, kalaulah budak-budak sekarang yang lembik dan terlalu manja itu kena hukuman macam itu, pasti sudah lari dari rumah.

Namun, Pak Usu dan kakak-kakaknya tak pernah terfikir pun hendak memalukan emak mereka iaitu nenek 'dia' itu. Padahal puas kena pukul mahupun cubitan yang menyakitkan. Hampir diterajang emak 'dia' kerana membuat bising saat nenek sedang mengaji. Pantang betul orang tua itu jika dia sedang mengaji orang membuat bising. Budak-budak sekarang ? Tengah azan pun masih boleh melalak melolong dengan lagu entah apa-apa. Perasaan hormatkan azan mahupun orang sembahyang ataupun orang mengaji langsung tidak ada.

KOMA

Nenek menghidap penyakit mata. Matanya sudah tidak nampak lagi. Pernah dia melalui pembedahan untuk merawat korneanya yang rosak. Namun, hanya sekadar pembedahan pertama. Untuk pembedahan susulan, nenek sudah malas. Dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. 'Dia' juga sedikit takut melihat mata neneknya yang merah menyala itu. Risau dibuatnya.

KOMA

'Dia' dahulu dibela oleh nenek untuk beberapa ketika kerana emak dan ayahnya bekerja. Makanya, hubungannya dengan nenek cukup rapat. Suapa nasi nenek, urutan badan nenek, pangkuan riba nenek dan dodoian nenek amat melekat dalam jiwanya. 'Dia' tidak mahu berpisah dengan nenek, meskipun emak dan ayahnya sudah pulang kerja. Mujurlah emaknya berhenti kerja kemudiannya. Barulah 'dia' dapat dijaga elok-elok oleh emak dan ayahnya. Nenek selalu berpesan kepada emaknya supaya suburkan jiwa anak-anaknya dengan ketenangan, bukan kekalutan mengejar duniawi.

KOMA

Membesar sebagai budak lelaki memanglah mencabar. Semua benda hendak dicuba. Kalau ikut perangai budak kampung, makanya menangkap anak ayam, mengejar kucing bagai nak rak dan memancing sampai hitam kuku adalah perkara yang sering dilakukan. 'Dia' pernah merasa semua itu. Luka-luka meredah belukar untuk mencari terung belanda untuk peluru senapang kayu langsung tidak dikisahkan. badan berbirat disebat emak kerana selalu pulang lewat langsung tak peduli.

Namun, suatu hari...

KOMA

'Dia' menangis tidak berhenti. Entah sakitnya macam apa ketika tersungkur itu. Padahal selama ini badannya sudah puas merasa macam-macam kesakitan yang biasa dirasai anak-anak kecil dalam dekad awal 90-an.

Dia masih berbaringan di atas tanah dalam keadaan meniarap. Menangis lagi.

Peluru pistol mainannya bertaburan keluar daripada kocek seluarnya.

Dan ketika itulah, nenek yang dikasihi mencampakkan sesuatu dari muka pintu dapur kayu itu.

GOLEK JONGGOL yang kelihatan tua. Diperbuat daripada kayu entah apa.

Dibaling begitu, namun ia tidak jatuh, bahkan terus duduk tegak. semacam ada kuasa ghaib yang mengawal golek jonggol itu.

'Dia' lantas menoleh. Melihat nenek dengan 'koyok' tertampal di kedua-dua hujung dahinya, 'dia' bingkas bangun mendapatkan neneknya sambil membawa golek jonggol itu.

"Kenapa nenek bangun, kan nenek demam ?"

Nenek hanya tersenyum tawar.

"Macam mana nenek nak baring kalau dengar kamu menangis ?"

'Dia' hanya memandang neneknya kehairanan.

"nek, apa benda ni ?"

Golek jonggol itu dibelek-beleknya.

Nenek ketawa kecil.

"Ini mainan kayu yang takkan jatuh kalau dibaling ke mana pun. Kalau dibaling ke tanah, dia akan terus duduk." Nenek menerangkan sambil berbaring semula ke katilnya yang diperbuat daripada besi itu. Katil lama 70-an.

Nenek mencampakkan lagi golek jonggol itu. Ya, seperti ada kuasa ghaib, ia bangun dan duduk semula.

"Kamu mesti jadi macam benda ni..."

'Dia' semakin pelik. Mahu jadi seperti mainan ke ?

"Kalau kamu jatuh, kamu mesti bangun semula. Jangan tahu menangis aje. Kamu mesti cari jalan nak bangun semula. Jangan buat emak dengan bapak kamu menangis bila kamu jatuh dan kamu tak tahu nak bangun semula..."

Sungguh.
Meskipun umurnya baru sahaja 5 tahun, namun apa yang neneknya sampaikan itu meresap dalam hatinya baik-baik.

'Dia' mendakap neneknya erat-erat sambil mencium pipi neneknya yang sudah berkedut itu.

Luka di badannya sudah tak terasa, kerana sudah diubati dengan pesan seorang nenek yang kaya jiwa...

Demi Allah yang memegang jiwanya.
Dia akan menjadi seperti si golek jonggol...


P/s: Entri ini ditujukan khas buat anda yang menyayangi nenek anda...kepada mereka yang sudah kehilangan nenek, al-Fatihah...

Khamis, Mac 25, 2010

...KU SAMBUNG TULISAN IBUKU...


Lama dahulu, aku mengenal ibuku sebagai seorang yang teramat mulia. Dia menggalas kerja-kerja seorang ibu dengan penuh keikhlasan seperti tidak ada yang terbeban padanya melainkan semuanya merupakan kemuliaan seorang ibu.

Ibu telah memelihara saya, ayah saya dan adik saya dengan baik sekali. Saya tidak berani untuk menuduh dia tidak pernah berbuat apa-apa untuk saya, padahal saya telah menumpang di dalam perutnya untuk jangka masa yang agak lama. Bayangkanlah beban yang ditanggungnya ketika itu. Layakkah saya memarahinya jika dia tidak mampu untuk menunaikan beberapa permintaan saya ?

Tidak sama sekali.saya hanyalah seorang anak.
Saya wajib mentaati ibu saya.

KOMA

Ibu saya suka menulis. Entah apa yang dia tuliskan, saya tidak tahu. Mulanya saya tidak mahu ambil tahu, kerana beranggapan itu adalah hobinya yang saya tidak patut ganggu sama sekali. Namun, saya merasakan yang kegemarannya itu semacam meresap ke dalam jiwa kami semua. Kami seolah-olah merasakan ada satu beban yang pergi satu demi satu dari keluarga setiap kali dia menulis.

Apakah dia menulis azimat ?
Apakah dia menulis sebuah jampi serapah ?apakah dia melukis rajah untuk pengubatan jiwa ?
Saya tidak tahu hal itu.
Yang penting, dia memang suka menulis.

Namun begitu, penulisan ibu rupa-rupanya cuba melindungi kesakitan dirinya. Ibu sedang sakit. Dan saya amat sedih sekali.
Teramat sedih.
Namun ibu masih tersenyum ceria.
Inilah ibu yang hakiki.
Yang menerima takdir Tuhan dengan redha.
Pahala menggunung mendatangi dirinya sehinggakan tiada apa yang ada pada dirinya melainkan ketenangan yang penuh misteri.
Saya mengagumi kecekalan ibu.Ya, kecekalan ibu itu kadangkala melebihi kekuatan ayah.
Ibu bahkan lebih tahu perihal anak-anaknya.
Itulah kelebihan yang Tuhan berikan pada seorang ibu.
Sebab itulah saya merasakan yang amatlah bodoh bagi seorang perempuan yang tidak mahu menjadi ibu. Padahal Tuhan menyediakan banyak kurniaan pahala kepada seorang ibu, bermula daripada mengandungkan kita sehinggalah kita dewasa.

Justeru, apabila ibu sudah sakit, saya merasa terbeban sekali. Saya tidak mahu ibu pergi dengan kesakitan yang dirasai. Saya mahu ibu tenang dengan kebahagiaan yang saya berikan, meskipun saya hanyalah seorang anak yang tidak punya apa-apa pun.

Saya menitiskan air mata apabila melihat seorang anak kecil memberi hadiah berupa kotak kosong kepada seorang ayah yang baran. Ayahnya hampir memukulnya kerana menyangka yang anaknya mempersendakannya. Namun, rupa-rupanya anaknya tidak ada duit hendak membeli hadiah, lalu kotak kosong berbalut indah itu sahajalah yang menjadi penggantinya. Luluhlah hati ayah itu dan menangislah si ayah itu semahu-mahunya lalu memeluk anak perempuannya yang satu itu.
Itu cerita orang.
Bagaimana dengan saya ?
Apa ikhtiar saya demi membahagiakan ibu yang sedang bertarung dengan penyakit berbahaya ?

Doa.
Itu adalah satu cara yang nabi ajarkan kepada umatnya. Makanya, saya sentiasalah berdoa agar Allah mempermudahkan jalan kehidupan yang tersisa buat ibu saya.

Saya berdoa agar ibu saya sentiasa tenang.
Saya berdoa agar ibu saya sentiasa gembira.
Saya berdoa agar ibu saya menjadi kuat.
saya berdoa agar ibu saya pergi ketika saya ada di sisinya.

KOMA

Kubur itu masih basah dengan siraman air mawar segar.

Dan saya masih menangis.
Ayah masih berduka.
Adik masih mengesat air mata.

Ibu sudah tiada.

Saya mengemaskan barang-barang milik ibu.
Saya tidak mempedulikan barang-barang kemasnya mahupun beg tangannya ataupun tudung serta bajunya.

Apa yang saya tumpukan di sini adalah hasil penulisannya.

Saya terjumpa helaian-helaian syair indah yang memuji Tuhan dan nabi.
Saya menemukan sajak-sajak keberanian.
Saya menemukan cerita-cerita pendek tentang pengorbanan.
Dan saya menemukan diari ibu yang kusam, namun amat bererti...

Judulnya INI RAMADHANKU YANG TERAKHIR.

Saya tidak mengerti punca arwah ibu memilih tajuk itu.
Namun pengisiannya adalah tangisan buat saya.
Masakan saya boleh ketawa melihat tulisan jerih-perih seseorang yang sudah tiada.
Sedang saya tersenggut-senggut menahan tangis saat mengaji al-Quran, begitulah juga saya tersedu-sedu menangis tatkala membaca diari ibu...

Diarinya tidak sempat dihabiskan.
Dan demi Allah, saya menyambungnya kembali, atas nama ibu...yang tercinta...

P/s: Saya dedikasikan entri ini buat seorang rakan yang sudah kehilangan ibunya. Semoga Allah merahmati roh ibunya. Al-Fatihah...