Nuffnang

Selasa, Oktober 13, 2026

SEORANG SPIRITUALIST DAN CERITA TENTANG AKIDAH TAUHID


1.Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! 2."Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. 3."Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. 4."Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. 5."Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. 6."Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku". 


Aliff Daniel yang mendakwa dirinya adalah seorang ‘spiritualist’ mempertontonkan kepada khalayak umum mengenai penyertaannya dalam ritual-ritual bersifat keagamaan yang secara nyata bukan berasal dari agama Islam, sedangkan dia sendiri mengaku bahawa dia adalah Muslim. Diceritakan bahawa sedari awal dirinya memang berminat dengan ritual-ritual berbaur mistik seperti itu. Lebih ‘menarik’, apabila umum mula mengecam dengan membawa soal kesyirikan pada tindak-tanduknya, dia mempertikaikan ‘pelabelan’ itu.

Satu perkara wajar ditegaskan: akidah bukan bahan eksperimen, agama bukan pentas mencari pengalaman pelik, dan tauhid bukan prinsip yang boleh dicampuraduk sesuka hati. Jika seseorang mengaku Muslim tetapi sengaja mempermainkan batas akidah demi mengejar sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam, dia bukan sedang mencari kebijaksanaan. Dia sedang memperjudikan sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar maruah diri. Islam tidak berdiri hanya atas dasar iktikad, tetapi ada syariat yang WAJIB dipatuhi. Dan hal ini secara terang dilanggarnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kafirun, ayat ke-6: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” Ayat ini bukan slogan toleransi tanpa sempadan, apatah lagi lesen untuk mencampuradukkan kepercayaan sesuka hati. Surah ini menegaskan pendirian yang jelas dalam soal ibadah dan akidah. Menghormati agama lain tidak bermaksud seorang Muslim boleh menyertai apa-apa ritual tanpa mempedulikan implikasinya terhadap tauhid. Ritual-ritual tertentu yang semestinya berakar umbi daripada agama atau kepercayaan tertentu selain Islam semestinya menyalahi akidah.

Malangnya, apabila manusia terlalu ghairah mengejar pengalaman spiritual, perkara yang sepatutnya dipelajari dengan ilmu mula diperlakukan seperti eksperimen peribadi. Akidah pula seolah-olah boleh diuji cuba, seperti produk baharu yang mahu diberikan ulasan. Kalau semua perkara mahu dicuba atas alasan ingin tahu, apakah bezanya orang yang berpegang pada prinsip dengan orang yang menjadikan prinsip sekadar hiasan profil media sosial?

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan ketegasan yang tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan tauhid. Baginda tidak menggadaikan prinsip agama demi populariti, penerimaan manusia atau pengalaman luar biasa. Maka, umat Islam yang mengaku mengikuti sunnah baginda sepatutnya memahami bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar berselawat dan berkongsi petikan hadis. Ia menuntut kesungguhan menjaga akidah daripada unsur syirik, khurafat dan tahyul. Kalaulah semuanya boleh dicampuraduk sesuka hati, tak perlulah baginda nabi bersusah-payah membetulkan akidah umatnya dahulu. Lebih mudah kalau baginda blend-in sahaja ritual-ritual sedia ada dengan syariat baginda. Sudah tentu mudah diterima masyarakat, ya tak ? Tetapi TIDAK. Bukan itu yang berlaku.

Aliff Daniel sepatutnya memahami bahawa perkara berkaitan akidah bukan ruang untuk bertindak sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya. Jangan sampai keinginan mengejar sesuatu yang dianggap luar biasa menyebabkan perkara paling asas dalam agama dipandang remeh. Mahu mencari pengalaman boleh jadi mudah; mempertahankan prinsip ketika berdepan godaan itulah ujian sebenarnya. Tidak semua yang kelihatan mistik itu mulia, dan tidak semua yang dianggap luar biasa itu membawa kebenaran.

Surah al-Kafirun sudah cukup jelas: dalam soal akidah, pendirian mesti tegas. Jangan mendakwa mempertahankan Islam jika tindakan sendiri memperlihatkan sikap sambil lewa terhadap prinsip tauhid. Agama bukan kostum yang boleh dipakai ketika sesuai dan ditanggalkan ketika menghalang kehendak sendiri. Kalau benar mengaku Muslim, peliharalah akidah dengan ilmu dan prinsip—bukan dengan rasa ingin tahu yang tidak berbatas.

Tiada ulasan: