Nuffnang

Jumaat, Oktober 23, 2009

PAGI YANG GELAP...

Selalunya.
Aku dapat lihat matahari apabila bangun tidur.

Sekarang dah tak lagi.
Jarang benar matahari hendak begitu mesra memunculkan diri.

Jadi, ianya membantutkan mood aku untuk pergi ke tahap maksimum kebolehannya memanipulasi hari-hari seterusnya.

Aku jadi tersangatlah 'boring'.
Eeh...
Aku terlihat wanita pujaan bertandang dari kejauhan.

Membawa air....err...teh.
Teh panas dalam bungkusan. Ahh...aku suka minum air...err....teh.
Terbayang-bayang senyuman manis kakak gerai air itu yang rasa-rasanya cuma ditujukan pada aku seorang. (ceh...)

Err....tumpu pada wanita pujaan bertandang.
Dia menghampiri aku dengan berseluar..err...entah ape jenamanya dan baju yang entah apa jenamanya.
Paling menarik, dia bertudung (semestinya, boi).

Sambil memaniskan mukanya, dia menghulurkan aku air itu. Air teh.

*Blink*

Dia hilang dari pandangan.
Pergi balik daerah kecil tempat aku berdiam dahulu agaknya...

Ahad, Oktober 11, 2009

ADAKAH 'PENA MENULIS' AKAN DITUTUP...???

"Belum tahu lagi".

Sebab ada Pena Menulis Signifikannya yang tersendiri.

'Gayanya' juga berbeza dengan blog-blog saya yang lain.

Isnin, Oktober 05, 2009

JERNIH

Ha...Bandi Amuk pernah menyanyikan sebuah lagu yang berjudul 'Jernih'. Tak sangka pula dia boleh 'bersuara normal'. Suatu masa dahulu.

Baik, tak mahu cerita pasal Bandi Amuk. Mahu cerita pasal jernih.

Biasa dengar orang menyebut, 'wajahnya jernih bak air perigi di bawah bukit?'

Tak pernah ? Ha, biasakan mendengar orang-orang tua berilmu berkata-kata. Biasanya, orang Melayu mengaitkan air muka yang jernih dengan kekerapannya mengambil wudhuk serta memalingkan muka daripada memandang benda yang haram.

Wajah yang jernih tidak semestinya berkulit cerah, berbibir munggil, berpipi bak pauh dilayang serta hidung yang mancung dan alis yang melentik.

Wajah yang jernih datangnya daripada hati yang tenang. Biarlah mukanya tak ubah macam peninju yang remuk mukanya dihentam penumbuk orang, namun hatinya yang bersih akan menjernihkan wajahnya. Jadi, siapa yang memandangnya terasa senang sekali. Hilang rasa dendam, hilang rasa benci, hilang rasa penat, hilang rasa kecewa dan hilang rasa tidak berguna dalam hidup.

Saya ada beberapa orang kawan yang berwajah jernih ini. Ha, senang sekali bertemu dengan mereka, tenang sekali berbual dengan mereka dan lapang sekali bergurau dengan mereka (err...bergurau cara lelaki la).

Kenapa kadangkala kita terjumpa dengan lelaki atau perempuan yang tampan dan cantik wajahnya, namun kita tidak terasa senang dan kita lihat tak ada nur pada wajahnya ? Mungkin sahaja mereka lupa hendak membaca doa menghadap cermin. Mungkin.

Mungkin juga mereka baru terkena asap ekzos bas UTM. Mungkin.

Mungkin juga mereka tidak memohon ampun daripada Tuhan akan dosa-dosa mereka yang lalu. Mungkin.

Pentingya, memiliki wajah yang tenang itu lebih baik daripada wajah yang tampan dan cantik. Alahai..., apa guna cantik kalau tidak tenang jiwa raga ? Kalau sudah tampan dan cantik, alhamdulillah. Bersyukurlah. Err...jangan perasan tampan atau cantik sudah.

Ada orang mengadu, katanya kenapa dia tidak tenang padahal dia ada segala kemewahan dunia ? Alamak...takkan tak faham lagi. Maknanya adalah yang kurang pada rohaninya. Jadi, langkah awal, balik ke bilik, ambil wudhuk dan tunaikanlah solat dua rakaat. Mohon pada Allah ketenangan jiwa. Insya Allah, ada titik hitam dalam hati akan disucikan Allah, sikit demi sikit. Perlu ikhtiar yang berterusan.

Barulah dapat kejernihan wajah. Wallahua'lam.

Jumaat, September 25, 2009

PASCA RAMADHAN

...Tentulah ianya dipanggil Syawal.

Kalau biasa kita tonton di Tv, beria-ia mereka meraikan Syawal. Ya, tentunya dengan cara 'mempublisitikan' Syawal sebagai satu cara untuk melariskan barang jualan. Celaka. Kerana berniaga, kesucian Syawal tergadai.

Bangun Subuh, kita dapati kita tidak dibenarkan berpuasa pada 1 syawal. Namun, kita digalakkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada Tuhan kerana hadirnya Syawal ini adalah sebagai petanda kemenangan. Kemenangan apa yang diraikan ini ?

Kemenangan mengharungi Ramadhan dengan tabah. mengharungi Ramadhan ini bukan sahaja dengan berlapar dahaga, namun keseluruhan anggota badan turut sama 'berpuasa'.

Nah, bagaimana agama Islam meraikan sesuatu ? Dengan tasbih, tahmid dan takbir. Begitu nabi mengajar kita. Jadi, jika kita meraikan kemenangan apa pun, bertakbir, bertasbih dan bertahmid adalah perkara yang terbaik untuk kita lakukan.

Syawal sepatutnya menyaksikan perubahan. Perubahan apa ? Perubahan nilai.

Nilai ini bergantung kepada kualiti puasa ketika Ramadhan. Ramai dalam kalangan kita gagal meningkatkan nilai ini kerana kurangnya penghayatan dalam berpuasa. Baru 1 Ramadhan, kepala otak sudah berfikir tentang baju raya, langsir, kuih raya, ketupat, rendang dan lemang.

Buat seorang abid dan ulama, mereka senang sekali merenung diri ketika Ramadhan dan sedaya upaya mempertingkatkan nilai diri supaya menjadi seorang hamba Tuhan yang bertakwa.

Kesannya, pada Syawal, mereka menjadi hamba yang bersyukur dan semakin tenang jiwanya kepada Tuhan.

Saya perhatikan, betapa kegilaan kita hendak meraikan Syawal sehinggakan ketenangan Ramadhan lenyap dibawa bau rendang, ketupat, lemang, belerang mercun, wangi baju, harum sampin dan indah rupa.

Sememangnya kita digalakkan untuk berpakaian indah dan menghias rumah ketika menyambut Syawal, namun bukan sehingga membazir. Tidak membazir juga merupakan salah satu cara bersyukur.

Ya, kita tidak boleh menyamakan cara orang Arab menghias rumah. Hal ini melibatkan budaya yang berbeza. Namun, kita tetap wajib untuk tidak membazir. Kalau nabi tidak membazir, kita juga tidak boleh membazir.

Solat Raya

Sungguhpun ianya sunat, namun kita amat digalakkan untuk menunaikannya. Yalah, hanya setahun sekali. Betapa ruginya.

Sungguh mengharukan apabila kita bersama-sama dengan jemaah yang lain melaungkan takbir, tasbih dan tahmid sehingga gugur air mata keharuan. Itu buat mereka yang menghayati setiap bait kata dalam alunan suci itu.

Selesai bertakbir, kita mendirikan solat sunat hari raya. Tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.

Selepas itu, kita duduk mendengar khutbah khas untuk Aidilfitri. Sungguh menenangkan jiwa.

Memohon maaf

Apalah ertinya Syawal tanpa bermaaf-maafan. Ianya budaya yang dituntut dalam Islam. Runtuhkanlah ego kita untuk memohon maaf, terutamanya kepada ibu dan bapa kita dan saudara mara kita. Pada rakan-rakan juga tidak ketinggalan.

Hendak menangis ? Silakanlah. Tiada salahnya lelaki menangis. Tiada celanya perempuan menangis. Semuanya menggugurkan dosa-dosa kita. Insya Allah. Percayalah, jiwa berasa tenang selepas meminta maaf.

Kalau selepas itu hendak bergambar beramai-ramai, silakan. Tiada salahnya.

Ziarah

Ha, hal ini memang dikira syarat dalam meraikan Syawal. Nabi juga berbuat demikian, iaitu berziarah.

Kita boleh berziarah ke rumah saudara mara, rakan-rakan dan sesiapa sahaja. Duit raya, itu dikira hadiah. Tidak mengapa.

Namun, berhati-hati ketika menjamu selera. Jangan sampai perut tidak muat lagi hendak memasukkan makanan.

Budaya berziarah ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita.

Kita juga boleh berziarah ke kubur dan mendoakan mereka yang telah meninggal dunia.

Ya, Syawal itu sememangnya rahmat Tuhan kepada kita. Justeru, wajarlah kita bersyukur dan memuliakan Syawal dengan perkara yang baik. Jangan kita teriku-ikut rentak mereka yang gilakan hiburan ketika Syawal dan membuatkan punggung kita tidak lekang daripada kerusi demi untuk menonton televisyen sampai terkeluar biji mata.

Syawal dirai dengan kesyukuran...

Selasa, September 22, 2009

UNTUK SEKETIKA

...Berterima kasihlah kepada mereka yang membahagiakan anda. Walaupun. Seketika.

Kerana seketika itu adalah kurnia daripada Tuhan buat kita yang namanya manusia. Tidak selalu kita akan merasa bahagia.

Jadi, sekiranya datang manusia lain dalam hidup anda yang membuatkan anda merasa bahagia, maka berterima kasihlah. Biarpun dari dalam hati. Biarpun ianya selemah-lemah jiwa.

Kerana berterima kasih itu adalah amalan mulia.

Berterima kasihlah mampu meruntuhkan ego anda. Semoga anda menjadi manusia yang merendah diri dan menghargai orang lain.

wallahua'lam.

Ahad, September 20, 2009

FITRAH

Setelah beberapa lama menyambutnya, sekarang barulah saya mulai faham mengapa dinamakan hari raya ini sebagai aidilfitri.

Ertinya hari raya fitrah.

Fitrah ?

Baiklah. Sebelum itu kita berpuasa dalam bulan Ramadhan. Kita dituntut supaya membersihkan diri kita daripada dosa-dosa sepanjang bulan Ramadhan. Dan Tuhan itu Maha Pengampun.

Justeru, kembalilah kita kepada keadaan fitrah. Suci. Bersih.

Maka aidilfitri itu sebagai meraikannya. Dengan cara yang betul, tentunya.

Oleh itu, mereka yang tidak memohon ampun kepada Tuhan saat Ramadhan tidak layak menyambut aidilfitri.