Nuffnang

Sunday, June 28, 2009

DI DAERAH ASING INI...

Ketika bangkit dari pembaringan yang maha luar biasa panjang, aku diketemukan dengan sebuah kawasan, err...daerah sebenarnya.

Sebuah daerah yang teramat asing bagi aku yang selama ini berdiam di iklim khatulistiwa.

Padang yang cukup indah dihiasi dengan bunga-bungaan yang beragam warna.

Pagi, ketika itu sedang mekar semuanya, justeru padang itu menjadi amat cantik. Nun jauh di hujung ada pergunungan yang indah. Puncaknya dilitupi awan.

Nah, pagi itu matahari masih belum garang menyimbahkan cahayanya ke bumi itu. Ke padang cantik itu.

"Di mana aku ini ?" Bertanya kepada diri sendiri seperti orang bodoh.

Nun di sebelah kirinya kelihatan beberapa orang wanita bertudung dan berpakaian warna-warni namun menutup auratnya sedang terbongkok-bongkok memetik bunga-bungaan.

Aku cuba menghampiri wanita-wanita itu untuk bertanyakan tempat indah ini. Aku menghampiri seorang wanita yang bertubuh kecil.

Pengamatan aku memperlihatkan yang wanita ini berusia antara 18-20 tahun. Masih anak, dan masih punya mak barangkali.

"Err...maafkan saya..."

Wanita itu mengangkat kepalanya seraya tersenyum.

Aku terperanjat sekali.

"Nu....Nur.....Nur....." Tergagap-gagap.

Ketika itu kurasakan semua keindahan di padang itu menjadi satu gumpalan lalu meresap laju ke dalam tubuh wanita ini. Dan kelilingnya seolah-olah kosong.

"Ya, aku di sini. Menantikanmu."

"Di mana tempat ini ? Mengapa kau berkata begitu ?" Ketika bertanya ini aku hampir-hampir terduduk kerana wanita cantik ini.

"Jangan kau tanya, kerana aku memang menantikanmu. Nampaknya Tuhan telah mengabulkan permintaanku untuk bertemu denganmu. Bukankah selama ini kita tidak pernah bertentang mata ?" Perempuan itu berkata lembut. Lembut sekali.

"Err...benar."

"Nah, apa yang kau gugupkan ? Aku hanya seorang perempuan pemungut bunga-bunga kasih di sini. Sini ialah padang kehidupan. Bunga-bunga ini ialah harapan. Setiap manusia mempunyai harapan. Dan segala harapan itu bersemadi di sini lalu membentuk bunga yang berwarna-warni. Harapan yang tidak tertunai kadangkala tidak dibalas di dunia, tetapi dikabulkan di syurga."

Aku kepeningan. Mengapa perempuan ini berkata begitu ?

"Daerah ini, ialah daerah di mana harapan itu disemai, lalu berkembang mekar dan menunggu masa untuk memungutnya kembali. Daerah ini daerah sakti. Tidak berjejak. Tidak ada di dalam peta."

"Jika begitu, kau pun hakikatnya tidak wujud di sini !" Aku berkata. Agak keras kerana takut.

"Janganlah begitu. Aku begitu lama menunggumu di sini. Tidakkah kau ingin bersama-samaku ?" Nah, perempuan itu seperti menggodaku.

"Kau bukan manusia..."

"Jika begitu fikiranmu, tinggalkan sahaja daerah cantik ini. Tinggalkan aku. Biar kita sama-sama menanti masanya. "

Dia melempar aku dengan bunga-bunga yang dipegangnya ketika itu. Aku yang terpinga-pinga terkejut lalu cuba menepis.

La hau lawala quwwata illa billah...

Peluh memercik di dahi.

MANUSIA ITU...

...khabarnya menjadi lebih kuat, utuh dan teguh apabila sentiasa diuliti kesusahan. Percaya atau tidak, kesulitan ketika berpergian untuk menggali ilmu adalah satu pengalaman manis yang tidak akan dilupakan.

Tidak ada manusia yang mengkategorikan pengalaman menuntut ilmu itu sebagai satu kenangan pahit untuk diingat.

Suatu masa dan ketika, kita akan terasa seperti hendak kembali ke zaman itu. Zaman menuntut ilmu di mana ketika itulah jatidiri kita dibina baik-baik oleh ilmu pengetahuan. Kita tidak lagi berangan-angan kosong (ya, mahasiswa tidak boleh berangan-angan kosong), kita tidak lagi bermimpi kosong dan kita tidak lagi mengharap tanpa usaha.

Bahkan kita telah mencipta satu gagasan :

Demi Allah, aku curahkan sepenuh tenagaku dalam menuntut ilmu hanya untuk mendapatkan keredhaanmu.

Dan ketika itu segala kesusahan akan ditempuh dengan tabah.

*Wahai adikku, ketahuilah bahawa orang yang berilmu itu diangkat darjatnya ke tempat yang sepatutnya.


Saturday, June 27, 2009

You Tee Emm

Waktu yang bergerak tenang namun pantas bisa saja mencipta seribu satu pengalaman kepada orang-orang yang terlibat dalamnya.

Kami meninggalkannya seperti tiada apa-apa yang berlaku di situ.

Dan kami akan kembali lagi seperti tiada apa-apa berlaku di situ.

Waktu yang mempermainkan kami. Atau kami yang mempermainkan waktu. Kedua-duanya.

Ada iblis di tengah-tengah.

Wednesday, June 24, 2009

KU TUNAIKAN HAJAT AYAHKU...

Ayahku seorang ahli yang cukup-cukup mahir dalam bidang farmasi.

Pendek kata, semua hal-hal ubatan dan preskripsinya dia tahu sungguh. Umpama hidupnya dicurahkan untuk menghadam nama-nama ubat dan keterangannya.

Namun, dia tidaklah terlibat secara langsung dengan hal-hal ubat ini seperti yang kita jumpa di kedai farmasi atau hospital. Dia terlibat dengan...emm...entahlah ya. Susah aku hendak menerangkannya di sini. Sebab aku sendiri tidak tahu dia terlibat dengan hal-hal yang bagaimana.

Pun, aku amat bersyukur kerana mendapat seorang ayah yang sebenarnya sedang berbakti kepada masyarakat. Tidak boleh sama sekali menjual ubat yang salah. Ayahku mempertahankan itu. Tidak boleh melebihi sukatan. Ayahku memperjuangkan itu. Tidak boleh menjual tanpa kebenaran doktor sesuka hati. Ayahku mencanangkan itu.

Kekadang aku ke hospital. Melihat tungkus-lumus si ahli farmasi mengagihkan ubat kepada pesakit, aku tertanya-tanya bagaimana mereka mengurus stress mereka. Bukankah kerja mengagih ubat dan memastikan preskripsi itu suatu kerja yang amat tertekan sekali ? Mengapa mereka sanggup bekerja begitu ? Menjadi ahli farmasi ? Adakah ada apa-apa yang meanrik di sebalik pekerjaan sebagai ahli farmasi ? Apa yang seronoknya menghidu bau ubat-ubatan yang pelik dan jelik. Campuran bahan-bahan kimia itu memang memeritkan hidung dan mendatang pening. Namun, kesemuanya itu ditangani ahli farmasi dengan baik sekali. Bagaimana mereka melakukannya ?

Ahli farmasi memang menarik minatku. Mungkin juga pengaruh ayahku sendiri yang menggalakkan aku menceburi bidang itu. "Kau sedang berbakti kepada manusia, nak. Ketika kau mengagihkan ubat-ubat itu dan menerangkan cara penggunaannya kepada pesakit, kau sedang berbakti." Ayahku menggalakkan.

"Allah s.w.t amat suka kepada orang yang berguna kepada orang lain. Dan ahli farmasi itu salah satu daripada orang-orang yang berguna."

Aku menuntut dalam aliran agama. Namun, aliran agama juga mengajar sains dan teknologi. Dan aku menghadam subjek kimia dan bilogi baik-baik demi mengajar cita-citaku yang ditanam saat ayahku meletakkan tangannya di ubun-ubunku seraya berkata dengan penuh kasih sayang, "Ayah ingin sekali melihat kau meneruskan kerja-kerja ayah. Mungkin tidak perlulah menjadi seperti ayah. Tetapi sekurang-kurang ceburan bidangmu ke arah itu."

Kata-kata ayahku tersemat menjadi tangkal yang akan menunjukkan arah hidupku. Tangkal itu akan berubah menjadi azimat yang teramat hebat yang akan memacu diriku ini supaya menyempurnakan hajat ayahku itu.

Namun begitu, mengenang kesusahan kerja-kerja ahli farmasi di hospital tempoh hari amat menggerunkan aku. Sudahkah aku bersedia menghadapinya nanti sekiranya aku berjaya menjadi ahli farmasi ?

"Ah, cita-citamu itu terlalu rendah, Nurul. Kau tidak sepatutnya menjadi ahli, kau sepatutnya menjadi tuan. Kau buka farmasimu sendiri. Itu baru sebenar-benar cita-cita." Pernah sekali kakaknya menegur.

"Kak, cita-cita itu walau sekecil manapun, jika diiringi dengan niat ingin berbakti kepada bangsa, agama dan tanah air, cita-cita itu menjadi mulia di sisi Tuhan. Aku tidak mahu kemuliaan pada pandangan manusia. Aku impikan keberkatan daripada Tuhan." Aku menjawab tenang tanpa sedikit niat untuk bertengkar.

"Moleklah begitu, Nurul. Kakak mendoakanmu." Ah, begitu baik sekali hati kakakku ini.

Keputusan SPM aku membolehkan aku memohon asasi di UM dalam bidang sains hayat. sains hayat ini tentu sahaja boleh menjurus kepada bidang farmasi. Namun, aku tidak pasti sama ada permohonan aku diterima atau tidak.

Apabila keputusan keluar, dengan segala puji kepada Tuhan sekalian alam, aku berjaya. Kejayaan ini adalah titik permulaan untuk aku menunaikan hajat ayahku itu. Semoga langkah pertama ini diiringi dengan keberkatan dan doa daripada kedua ibu bapaku yang kasih mendidikku.

Aku berdoa supaya hajat ayahku dapat ditunaikan. Biarlah cabaran sebesar mana yang hadir menghempap diriku, aku akan tanganinya dengan zikrullah dan kematangan fikiran yang ku bentuk sejak daripada tingkatan 4 lagi. Aku sedar kehidupan di universiti akan sama sekali berbeza. Pergaulan akan menjadi bebas. Inti pemikiran akan dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu sehingga kita sering tersilap langkah. Namun, tarbiah dan usrah yang aku terima ketika di sekolah dahulu akan aku pergunakan sebaik-baiknya untuk menangkis segala godaan yang datang.

Ya, Tuhanku.
Selamatkanlah aku dan cita-citaku serta hajat ayahku...

*Entri ini adalah penghargaan kepada sikap dan peribadi. Seorang perempuan yang juga menjadi 'follower' blog ini ingin menunaikan cita-cita ayahnya. Dan entri ini adalah untuknya. Semoga berjaya, Insya Allah.

Saturday, June 20, 2009

PERLAMBANGAN

Ketika Sofea Jane berguling-guling dengan Zaidi Omar saat babak mereka berasmara di ladang getah, satu perlambangan mesti dilakukan. Jika tidak, mustahil sama sekali adegan itu akan diluluskan lembaga penapisan.

Lalu, si pengarah dengan cermat dan berhati-hati menghalakan kamera kepada susu getah yang melimpah kerana dipenuhi air hujan.

Haha, satu perlambangan 'susu getah' telah berjaya. Dan babak itu diluluskan.

Si pengarah menang.

Justeru, dalam perfileman umumnya, perlambangan dalam satu-satu babak merupakan keistimewaan sebuah filem. Filem yang mendatar sahaja tanpa permainan kreatif adalah hambar sama sekali. Apa gunanya kamera yang canggih, teknik CGI yang hebat tetapi permainan kreatifnya tiada.

Teknik CGI itukan kreatif ? Tidak. Itu ialah kosmetik. Untuk mencantikkan filem.

P.Ramlee dahulunya juga menggunakan teknik ini dalam filem Semerah Padi. Pun pada babak asmara.

Adakah babak asmara sahaja yang memerlukan perlambangan ?

Thursday, June 18, 2009

BEREBUT DURIAN

Adakah durian yang bersalah apabila seorang telah mati saat merebutnya ?

Tidak sama sekali.

Klik di sini untuk beritanya.

KERIS DAN DARAH ?

Ada orang fitnah perdana menteri kita.

Kasihannya.

Mahu jadi pemerintah dengan cara memfitnah orang lain.

Pemerintah sial.

Tak sabar-sabarlah itu.

Keris itu memang untuk ditikam kemas-kemas dalam tubuh orang yang suka memfitnah. Justeru, apa salahnya ?

Fitnah itu lebih berbahaya daripada membunuh.

Lalu, kita bunuhlah si pemfitnah.

Wednesday, June 17, 2009

RUMAH SAKIT

Apabila orang sihat pergi ke hospital kerana temujanji, itu bermakna dia sudah tidak sihat.

(Apa kau orang fikir di rumah sakit tidak boleh berlaku temujanji ?)

SA masih merah umpama darah yang disimbah padanya baik-baik dan kemas-kemas. Tanpa 'undercoat'.

Hello hei hei.

Darah adalah perkara biasa di rumah sakit mana pun. Ambil darah, buang darah, masuk darah, keluar darah, semuanya biasa di rumah sakit mana pun.

Aku yang sihat (dahulunya) kini bertemujanji di rumah sakit. itu maknanya aku sudah tidak sihat lagi.

Hidung yang kecil ini bisa sahaja membuatkan engkau bertemujanji lebih 6 kali dalam setahun.

Tukang rawat di rumah sakit biasanya dilatih untuk kelihatan cun dan macho (untuk mengelakkan orang daripada tahu yang mereka juga bisa sakit dan dirawat).

"Macam mana hidung ?"

"Hidung macam ni sajalah. Tidak boleh besar lagi, tidak boleh dkecilkan pula."

Saat paling seksa dan sakit ialah menunggu nombor giliran anda dipanggil atau diseru dengan agak kasar oleh petugasnya. itu semasa hendak masuk bilik tukang rawat. Nanti bila engkau hendak ambil ubat, engkau akan sakit dan terseksa menunggu nombor giliran engkau dipanggil lagi.

Rumah sakit tidak membuatkan engkau bertambah sihat, sebaliknya bertambah sakit.

Sebab itulah ramai sekali orang tua mahupun muda yang tidak mahu ke rumah sakit.

Friday, June 12, 2009

TIDAK ADA APA-APA...


...melainkan awan-gemawan...

Friday, June 05, 2009

AKTIVITI

Musim cuti, apakah yang anda buat ?

Makan-makan.
Tidur.
lepak-lepak.
Merayau.
Tengok TV sampai bengkak mata.
Belajar main gitar.
Berniaga.
Tolong emak.
Baca buku.

Baca buku merupakan aktiviti yang bagus pada musim cuti.