Nuffnang

Friday, July 31, 2009

ANA ENTA

Kalau ditilik-tilik, maka adalah beberapa Melayu itu berbahasanya lagak seperti Arab jua adanya. Dirinya dipanggil ana, dan manusia lainnya dipanggil enta mahupun anti.

Maka, itupun tiadalah salah. Namun kalau dikhabarkan bahawa manusia Melayu itu berbahasa begini maka dikatakan baik lagi alim ulama lagaknya, maka adalah dia itu berada di dalam kesilapan sama sekali.

Adapun ukuran kealiman itu bukan pada manusia itu berbahasa ana mahupun enta. Tetapi adalah pada amal ibadatnya. Tuhan itu masakan peduli pada kita berbahasa ana enta, padahal adalah ia itu dinamakan bahasa setempat jua.

Kalau diri itu sudah termaktub menjadi Melayu, maka tiadalah salah atau kurangnya berbahasa saya awak mahupun saya kamu. Itu lebih mudah dan tidak kepura-puraan. Ya, tidak semua berpura-pura. Namun ramainya begitulah.

Wallahua'lam bissawab...

Wednesday, July 29, 2009

KEIKHLASAN

Dalam mana-mana kerja, ikhlas perlu diutamakan.

Kalau tidak ikhlas, setiap kerja itu akan menjadi teramat payah untuk dikerjakan.

Betul.

Dan aku sendiri mengalaminya.

Bayangkan.

satu kerja yang teramat mudah.

Namun tidak dikerjakan dengan ikhlas. Maka kerja itu akan menjadi teramat sukar. Itu betul.

Dan aku sendiri mengalaminya.

Oh,oh,oh. Itu perkara biasa yang perlu dijadikan pengajaran untuk seorang yang sedang membesar untuk dewasa.

Bagaiman nabi menjalankan tugas yang maha berat untuk seorang manusia itu ?

Dengan keikhlasan.

Bagaimana sahabat-sahabat nabi menjalankan peranan mereka sebagai khalifah ?

Dengan keikhlasan.

Bagaimana seorang suami itu menyanyangi seorang isteri ?

Dengan keikhlasan.

Yang namanya ikhlas itu, datangnya dari hati yang bersih.

Hati yang bersih itu, datangnya pula dari rasa ikhlas mengabdikan diri kepada Tuhan.

Monday, July 27, 2009

KEBERADAAN SEKETIKA YASMIN


Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya...

Thursday, July 23, 2009

SANG PENCINTA (TRIBUTE TO D'ILLUSION)

Samar-samar cahaya itu kadangkala membuat kita terikut-ikut diri membentuk kesamaran dalam kenyataan.

Kesamaran itu tampaknya hadir dalam keadaan kita iaitu aku, iaitu kau, iaitu dia ini kelihatan seperti cahaya yang dibiaskan. Hendak berkata begitu, tetapi sebenarnya hendak berkata begini.

KOMA

Syuhada hanya merenung ayat itu lama-lama, namun tidak pula dibaca kuat-kuat. Namun, suaranya seperti tidak mahu keluar dari kerongkong yang tidak berhalkum. Ya, masakan perempuan berhalkum seperti lelaki melainkan lelaki yang ingin menjadi perempuan.

Beribu tahun lamanya ayat itu tercatat, namun selalu pula dilupakan Syuhada. Syuhada hanya hidup 21 tahun, sedangkan ayat itu sudah termaktub beribu tahun. Tiada pula kesangsian, tiada pula kelewahan, tiada pula keraguan.

"Sesungguhnya, dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang."

KOMA

"Kau perlukah begitu ? Menipu aku seraya menipu dirimu sendiri ?" Syuhada.

"Tidak, bukan begitu. Bahkan." Dia yang namanya *****.

"Jika begitu, kau khianat padaku. Aku sekian lamanya ini memendam segala lalu ku luahkan
pula, kau pula memperlaku begini." Syuhada.

"Ayuh, fahamlah dahulu. Bukan masanya." Dia yang namanya *****.

KOMA

Kali ini dia kian memahami sang pencinta bukan sembarangan huruf malah kata. ianya satu paduan rasa yang membentuk satu kata. sang pencinta. Mustahil untuk diberikan kurnia ini kepada manusia. Kiranya ianya hanyalah untuk Tuhan.

Sang Pencinta.

Syuhada kian tahu...

P/s: Ditulis khas untuk penulis D'illusion. :-)

'DAKWAT' TINGGAL SEDIKIT

Nampak gayanya saya perlu 'mengisi' kembali 'dakwat' untuk memastikan PENA MENULIS 'tidak mati'.

Tuesday, July 21, 2009

PEMBACA

Saya cukup kagum dengan sasterawan negara kita, Dato A. Samad Said yang hidupnya dipenuhi dengan pembacaan pelbagai buku.

Mungkin ada yang akan berkata, "Alah...,dia itukan seorang sasterawan, mestilah kena banyak membaca. Jika tidak, masakan dia boleh menulis."

Itu betul.

Tetapi, adakah motto 'hidup membaca' itu hanya untuk seorang sasterawan ? Tentulah tidak sama sekali. Seorang pelajar sekolah pun perlu membaca untuk menjadi seorang pelajar yang betul-betul 'pelajar'.

Menjadi seorang 'pembaca' bukanlah satu perkara yang mudah. Paling kurang pun orang kita ini hanya membaca surat khabar. Itu pun sudah dilangkau bahagian seperti ekonomi, luar negara dan sebagainya. Yang diteliti hanyalah berita rogol, rempit, bunuh, gosip artis, kekalutan ahli politik dan masalah sosial. Itu sahaja. Jadi, orang kita ilmunya pada hal-hal sebegitu. Apabila diminta pendapat dan pandangan, semuanya jadi takut dan cuba mengelak. Paling tidak pun, mereka menghentam tanpa mengetahui hal yang sebenar. Jadi, secara mudahnya orang kita ini tidak mahu 'mengkaji' dahulu sebelum menghentam. Ya, hal itu tidaklah semua. Namun, ramainya begitu. Sehinggakan perlakuan yang betul-betul tidak 'munasabah' pun boleh disokong malah dipuja pula. Semuanya gara-gara tidak mahu membaca dan mengkaji. Pecah kepala kononnya.

Justeru, ada sedikit keistimewaan kepada seorang pembaca tegar di mana sekiranya timbul isu-isu yang 'tidak kena', mereka tidak menghentam terus, sebaliknya mereka akan menyoroti kembali punca isu itu timbul dan mengkaji pembolehubah-pembolehubah yang ada yang menyebabkan isu itu terjadi sebegitu dan kesan serta akibat. Ya, perkara ini memerlukan latihan yang berterusan, dan tidak dapat dinafikan seorang pelajar boleh melatih diri mereka begini supaya tidak menjadi anak muda yang tidak tahu hala tuju hidupnya.

Bagaimana ulama-ulama terdahulu boleh menghasilkan karya yang hebat ? Tentulah pemulanya ialah banyak membaca. Dan mereka tidak 'membaca' sahaja, sebaliknya juga memahami dan menghayati apa yang dibaca.

Itulah yang masih sukar dilakukan oleh orang seperti saya yang hanya membaca untuk peperiksaan. Semoga perkara ini boleh diubah dengan perlahan-lahan. Tidak dipaksa-paksa sehingga boleh mewujudkan ketidakikhlasan dalam membaca.

Ya, membaca juga perlu ikhlas. Itulah tunggak kepada hadirnya keredhaan Tuhan dalam apa jua kerja yang dilakukan.

Sunday, July 19, 2009

BUKAN MENGAJAR BAHASA

Ya, jika perkara ini dibicarakan oleh pemimpin pembangkang, dikatakannya mereka hendak mempolitikkan isu. Nah, kita baca pula pandangan seorang ahli akademik yang dihormati dan disegani iaitu Profesor Diraja Ungku Aziz.

Klik di sini.

Thursday, July 16, 2009

SAAT AKU MENJAWAB KUIZ...

Ya...

Dan irama Keroncong Alunan Biola mula terngiang-ngiang dalam kepala yang sedikit bingung itu.

Sah, iblis dah berjaya mempermainkan aku.

Wednesday, July 15, 2009

BATASAN MIMPI

Kalau biasa bermimpi, itu bermakna kita masih ada otak yang bekerja dengan baik.

Tapi, mimpi di sini bukan mimpi semasa tidur.

Ini mimpi yang boleh memacu tubuh dan akal untuk bergerak jauh ke hadapan.

Berapa ramai manusia yang bermimpi untuk mencipta kejayaan ?

Huiii....ramai sekali.

Namun, terlalu bermimpi sehinggakan di luar kemampuan akal juga perlu dijauhi. Kelak nanti munculnya idea-idea 'pelik' seperti mencipta klon manusia, mencipta senjata yang boleh mengubah manusia jadi tahi dan sebagainya.

Tuesday, July 14, 2009

TIDAK ADA APA-APALAH, YA AYYUHAN NISAA'

Kawan selama ini cuba-cuba, dengan jujur dan merendah hati cuba mencari-cari apa makna kejadian lelaki dan wanita ini.

Percaya kawan, ianya suatu benda yang teramat misteri.

Mengapa dicipta dua jantina ?

Ya, sebab Tuhan itu Maha Adil. Itu satu jawapan mudah. Namun, huraiannya sukar. Mengapa itu dikatakan adil ? Di mana datangnya adil itu dengan terciptanya lelaki dan wanita ?

Nah, kadangkala perkara ini semacam menjadi satu perdebatan yang membibitkan pergaduhan antara lelaki dan perempuan.

Tidak ada apa-apalah. Ini cuma sedikit lontaran pemikiran setelah untuk beberapa ketika menekuni perkara ini.

Ya ayyuhan nisaa', kawan sebagai seorang lelaki ini teramat-amatlah menghormati wanita yang menghormati dirinya.

Jadi, ego sang lelaki ini kadangkala boleh turun dengan kemuliaan akhlak wanita. Di situ Tuhan meletakkan kelebihan kepada wanita.

Kelembutan.

Lembut di sini bukan lemah. Kalau lemah, wanita itu tidak usah dicipta terus. Tetapi lembut di sini ialah lembut sebuah kekuatan.

Ya, kekuatan mereka ialah kelembutan.

BIAR BIRU MATA HITAMKU

Ya, kalian harus tahu apa kata orang luar mengenai orang Melayu ?

Bangsa yang pandai meniru budaya orang lain.

Huh, mereka silap. Dahulu, kita tidak meniru. Kita mengasimilasi budaya.

Kita dahulu dikunjungi beratus-ratus pedagang daripada pelbagai latar bangsa.

Justeru, mereka itu juga membawa budaya mereka ke tanah kita.

Orang Melayu ketika itu ada yang tertarik dengan budaya mereka, lalu mereka menyerap budaya itu dalam budaya orang Melayu. Justeru, ianya menjadi milik orang Melayu.

Seperti membuat sebuah bedar, misalnya.

KOMA.

Pernah lihat orang pakai kanta lekap ?

Ya, kanta lekap ada pelbagai warna.

Antaranya ialah biru.

Nah, itu bukan warna mata orang Melayu. Orang Melayu matanya berwarna hitam. Lalu, apabila terlihatkan wanita-wanita masakini gemar sungguh 'menipu' warna matanya sendiri, nampaklah bahawa bangsa ini cuba 'meniru' orang barat.

Meniru di sini bukan lagi mengasimilasi yang memerlukan kebijaksanaan, sebaliknya meniru yang menampakkan kebodohan.

Sunday, July 12, 2009

HATI - HANYA ENGKAU YANG MAMPU MENAKLUKINYA

Bunga-bungaan sedang kembang pagi. Nyatanya itu pagi yang indah. Ya, bunga-bungaan akan menyambut pagi yang indah.

Pagi yang suram pula kadangkala dihujani dengan rahmat hujan.

Alyssa sedang menghirup udara segar. Di kaki bukit itu dia berdiam seketika untuk melupakan tekakan kota.

Siapa tidak menyukakan dataran tinggi ?

Lamaran itu masih mengganggu cepu fikirannya.

Sememangnya sukar sekali berkeputusan terhadap suatu tawaran yang datangnya tiba-tiba.

"Bagaimana cinta suci itu ditafsirkan ?" Demikian Alyssa menyoal.

Lelaki itu hanya menunduk malu. Bukan dirinya itu hina benar. Bahkan dia berperibadi mulia. Tidak dia menyukai Alyssa kerana rupa, bahkan kerana akhlak. Alyssa menambat hatinya dengan akhlak. Alyssa menambat hatinya dengan ilmu yang mantap. Alyssa menambat hatinya dengan tutur kata yang bijak dan lembut, tiada unsur-unsur bangga diri.

"Bahkan aku tidak tahu..."

"Kalau begitu, kau belum layak mencintai sesiapa pun..."

Lelaki itu diam. Kali ini dia benar-benar diam.

"Err...mungkin cinta suci itu tidak perlu ditafsirkan dalam bentuk kata-kata atau tulisan, bahkan ia juga boleh ditafsir dalam bentuk perbuatan dan kelakuan. Aku menghormati peribadimu."

"Itu tidak cukup bagiku..." Alyssa membantah tenang.

"Pernahkah kau melihat sebuah cinta yang tidak pernah diungkap ? Aku pernah. Sungguhpun dalam layar, namun aku pernah. Kau sepatutnya lihat bagaimana cinta itu ditafsirkan dengan gerak laku atau respon kepada tingkah laku. Kau pernah lihat lelaki yang mencintai wanita namun tidak diluahkan sebaliknya diterjemahkan dengan kelakuan ? Ya, kadangkala wanita tidak memahami lelaki. Begitu juga lelaki yang selalu didakwa tidak memahami wanita. Dalam kalangan kami juga ada pemendam rasa. "

Kali ini Alyssa terdiam.

"Mungkin aku tergesa-gesa. Ya, aku tidak patut tergesa-gesa dengan perempuan sepertimu. Maafkan aku..."

"Tunggu dulu..."

Saturday, July 11, 2009

MAKARIMAL AKHLAK...

Kalian semua yang beragama Islam seharusnya tahu ribuan tahun yang dahulu, seorang junjungan mulia sekalian alam ini pernah bersabda dengan penuh rendah hati tanpa sebarang rasa riak, ujub dan takabbur,

"Innama buistuli utammima makarimal akhlak..."

Apa yang dikatakannya itu ?

Ertinya begini,

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak..."

Sedarkah kita selama ini yang nabi kita begitu susah payah hendak menyempurnakan akhlak manusia di atas muka bumi ini ?

Akhlak dengan Tuhan.
Akhlak sesama manusia.
Akhlak dengan haiwan.
Akhlak dengan tumbuh-tumbuhan.
Akhlak dengan binaan.
Akhlak dengan ilmu.
Akhlak dengan budaya.
Akhlak dengan hiburan.
Akhlak dengan perbualan.

Banyak lagi...

Kenapa pula kita sewenang-wenangnya mengabaikan semua ini ?

Umat Islam kini ramainya tidak berakhlak. Ya, mungkin ramai yang bijak dan pandai, namun tidak ramai yang berakhlak mulia.

Mungkin kita boleh beri satu contoh mudah.

Seorang yang cukup pandai. Semua yang diajar oleh guru atau pensyarah dapat difahami dengan baik. Keputusan peperiksaannya juga bagus.

Tetapi, dia tidak suka memelihara auratnya. Bahkan dia sewenang-wenangnya berpakaian seksi dan bersolek demi mempamerkan kecantikan kepada lelaki.

Di situ, dia sudah tidak berakhlak dengan Tuhan, dan juga tidak berakhlak sesama manusia, juga tidak beakhlak dengan ilmu.

Betapa sukarnya nabi hendak menyempurnakan akhlak manusia, malangnya ramai manusia tidak mengenang budi. itulah salah satu keburukan sifat manusia. Dengan Tuhan pun mereka tidak kenang budi, apatah lagi dengan manusia.

Friday, July 10, 2009

DEMIKIAN TUHAN BERBICARA

Mungkin kita tidak bisa menemukan lagi suara ghaib memberi amaran atau mengisyaratkan rahmat seperti yang berlaku ketika zaman kenabian masih berjalan sehingga penamatnya Muhammad s.a.w.

KOMA

"Jika kau pernah mengherdik ibumu, segeralah memohon ampun kepadanya, jika tidak Tuhan akan membalas kepadamu dengan kesusahan."

"Aku tidak bersalah pada ibuku, sebaliknya dia yang bersalah kepadaku."

"Tidaklah salah jika kita merendah diri dan memohon ampun. Tuhan akan lebih memuliakan. Semoga Tuhan melembutkan pula hati ibumu itu."

Thursday, July 09, 2009

JAJAHAN INSOMNIA

Sampai satu masa, sampai satu ketika,

Ketahuilah dengan jelas, bahawa akan dijajah oleh 'insomnia'.

Ya, insomnia akan memaksa anda untuk berjaga dan tidak boleh tidur.

Kerja-kerja akan disiapkan dan wajib disiapkan.

Demikianlah manusia yang leka mulanya dan menyesal hujungnya.

Dan aku.

Tergolong dalam orang-orang seperti itu.

Berlaku jujur.

Saturday, July 04, 2009

JANGAN KAU LUPAKAN


Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini dikau tak mengerti

Bila kau dewasa
Dan pandai nanti

Pengorbanan ayahmu sayang
Jangan kau lupakan...