Nuffnang

Thursday, February 07, 2019

BINGKAI MIMPI (TEMBANG DARI EBIET G. ADE)

Bagi penggemar lagu-lagu puisi, pasti anda pernah membaca atau paling kurang mendengar nama Ebiet G. Ade. Ya, beliau merupakan seorang penyanyi lagu puisi dari tanah seberang serumpun yang gah dan dihormati namanya kerana hasil karyanya yang berjaya menusuk, menyucuk, menyentuh, mencuit malah menyantun jiwa-jiwa pendengar yang dahagakan lagu dengan lirik kata yang baik untuk dijadikan pedoman.


Pengaruhnya hebat sehinggakan kumpulan rock terkenal Sweet Charity menyanyikan semula lagu beliau yang berjudul Camelia 2, tetapi ditukar kepada Camelia sahaja. Kerana apa ? Kerana pada tangan Ebiet, lagu Camelia itu menjangkau sehingga 4 album terawalnya, iaitu Camelia 1 (1979), Camelia 2 (1979), Camelia 3 (1980) dan Camelia 4 (1980). Ianya bersangkutan di antara satu sama lain dan berkisah panjang.

Tidak perlu dipersoalkan lagi keupayaan Pak Ebiet G. Ade dalam menghasilkan lagu-lagu ketuhanan dan kemanusiaan. Lihat sahaja hasil karyanya yang berjudul Berita Kepada Kawan, Untuk Kita Renungkan, Masih Ada Waktu, Aku Ingin Pulang, Kupu-kupu Kertas, Menjaring Matahari dan Gadis Remang-remang. Kesemuanya mengisi nilai-nilai kemanusiaan dan perjalanan mencari Tuhan dalam jiwa manusia yang kering kontang.

Namun, ada sebuah lagunya yang jarang-jarang diketahui khalayak di tempat kita, iaitu Bingkai Mimpi. Lagu ini termuat di dalam albumnya yang berjudul 1984.

Madah puisinya sangat indah dalam menceritakan seorang manusia yang mencari hakikat 'wajah' Tuhan di dalam mimpinya. Namun, akhirnya hakikat yang paling jelas bagi manusia itu ialah Tuhan itu bukan untuk digambarkan sifatNya, sebaliknya untuk diserahkan segala jiwa dan raga.

Nah, anda sematkan baik-baik liriknya ini. Lupakan seketika lagu-lagu yang tidak berjejak dan sumbang langkah dewasa ini.




Dalam kepekatan mimpiku 
WajahMu tersembunyi 
Alam semesta, matahari, bintang, rembulan 
Semua datang sujud buatMu 
Menikam cinta paling dalam

Dari sudut manakah gerangan 
aku dapat segera mulai 
melukiskan Engkau yang kasat  mata namun ada 
Bahkan mengalir dalam darah 
Hidup t'lah kujanjikan buatmu

Garis-garis aku satukan 
menampilkan watak yang beringas 
Titik-titik aku kumpulkan 
menampilkan rona geriap 
Terlalu jauh dari wajahMu 
yang agung, teduh, dan kasih 
Kini kuyakini sepenuhnya Engkau  tak mungkin kugambar 
Tinggal kumohon ampunanMu 
Atas kelancangan mimpiku...

Dalam kesejukan nafasMu 
aku khusyuk sembahyang 
Barangkali dapat kutafsirkan  makna firmanMu 
Peluklah aku dalam damai, 
siramilah dengan cinta

Garis-garis aku satukan 
menampilkan watak yang beringas 
Titik-titik aku kumpulkan 
menampilkan rona geriap 
Terlalu jauh dari wajahMu 
yang agung, teduh, dan kasih 
Kini kuyakini sepenuhnya Engkau  tak mungkin kugambar 
Tinggal kumohon ampunanMu 
Atas kedangkalan mimpiku...

Nah, terasa damai dan tenang, bukan ? Begitulah Ebiet G. Ade. Semoga anda yang membaca dapat menghargai hasil karya Pak Ebiet G. Ade. Kerana Pak Ebiet itu seperti kita, manusia yang tinggal menunggu dijemput pulang oleh Tuhan. Sementara susuk tubuhnya masih tegap dan sihat, kita hargailah beliau sebaik-baiknya...