Saya tidak bercakap dari sudut politik, tapi saya bercakap dari sudut makna yang 'literal'.
Bersihkah Malaysia ?
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Sudah lebih enam dekad rakyat Malaysia melaungkan kata azimat “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” dengan penuh rasa cintakan negara tanpa mengira kaum dan agama
Masyarakat acap kali mengaitkan perkataan ‘merdeka’ itu dengan ‘bebas’. Bebas daripada cengkaman penjajah, bebas melontarkan pandangan, bebas rasuah dan sebagainya.
Namun, bagaimana pula dengan aspek ‘bebas kekotoran’? Adakah warga Malaysia yang sudah merasai kemanisan meraikan kemerdekaan selama 62 tahun telah mencapai mentaliti kelas pertama apabila menyentuh soal kebersihan?
Mungkin khalayak akan berbeza pendapat apabila menghayati tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’. Jika kita sayangkan negara tercinta ini, kita akan memastikan segalanya dalam keadaan bersih.
Jika diamati usaha kerajaan dalam memupuk serta membudayakan amalan bersih, kita dapat menilai komitmen kerajaan dalam membudayakan semangat cintakan alam sekitar, antaranya menerusi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok dan pelan tindakan ke arah sifar penggunaan plastik.
Malah, masih ingatkah kita teguran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melahirkan rasa malunya dengan keadaan tandas awam di negara ini yang kotor dan busuk serta memberi cerminan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik?
Sekalipun agak ‘pedih’ untuk didengari, namun itulah hakikat yang perlu ‘ditelan’ rakyat Malaysia.
Penekanan kepentingan membudayakan kepentingan menjaga kebersihan amat diperlukan menurut Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, kerana ia sejajar dengan syariat agama Islam.
“Agama lain turut menekankan tentang kepentingan menjaga kebersihan. Oleh itu, pendekatan kerohanian amat wajar ditekankan ke dalam diri masyarakat terutamanya daripada peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.
“Saya setuju dan menyokong serta sedar bahawa pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar serta pelan tindakan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang bersih dan indah tetapi kita masih berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi merealisasikan aspirasi ini,” jelasnya ketika dihubungi Bernama.
Bagi pencinta alam sekitar, Mohamad Naim Mohideen Gany, 22, beliau menzahirkan pandangannya mengenai usaha kerajaan dalam memperkenalkan semangat cintakan alam sekitar serta membudayakan amalan bersih.
“Kerajaan telah melakukan perkara yang tepat dan berkesan dalam memperkenalkan usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar seperti larangan merokok dan pengurangan penggunaan penyedut plastik serta bungkusan plastik.
“Bagaimanapun, kerajaan mungkin boleh mempertingkatkan lagi kesedaran kepada rakyat mengenai usaha itu menerusi visual seperti poster, video pendek atau filem serta kempen menjaga alam sekitar terutamanya di sekolah,” jelasnya yang turut menggerakkan Ecoklippers, sebuah persatuan NGO yang menjalankan aktiviti membersihkan kawasan pantai dan di tempat awam.
Menyentuh mengenai tahap mentaliti rakyat Malaysia dari aspek kebersihan alam sekitar, kelihatan kita masih jauh ketinggalan untuk menjadi golongan mentaliti kelas pertama meskipun sudah 62 tahun kita merdeka.
Ahli aktif Peka Selangor, Pua Lay Peng berpendapat rakyat Malaysia terlalu bergantung harap dengan usaha kerajaan bagi menyelesaikan isu alam sekitar walaupun pelbagai pendekatan sudah dilakukan bagi mendidik masyarakat ke arah melestarikan alam sekitar.
Sememangnya masyarakat Malaysia perlu dipupuk ke arah ‘bebas sampah’ kerana tiada gunanya kemajuan sesebuah negara andai rakyatnya mempunyai tahap kesedaran rendah dalam menjaga kebersihan alam sekitar. - BERNAMA
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/8216-malaysia-bersih-8217-tapi-bersihkah-malaysia-1.961516Rakyat kita ramai yang pengotor. Kalau si perokok, memang tak larilah daripada membuang puntung atau sisa rokok mereka hampir di mana-mana sahaja. Sampaikan dalam lubang kecing berak di tandas pun ada puntung rokok. Salahkah kalau saya katakan perokok ini pengotor meskipun rumahya bersih ?
Bagaimana ibu dan ayah masakini mengajar anak-anaknya tentang kepentingan membuang sampah di tempat yang sepatutnya iaitu TONG SAMPAH ? Kita masih melihat orang-orang dewasa mencampak keluar sampah dari dalam kereta yang mewah. Ya, pandu kereta mahal laksana orang kaya, tetapi membuang sampah laksana sebodoh-bodoh manusia.
Membeli Starbuck, wahhh mahal harganya. Pasti orang yang berprofil tinggi. Tapi cawannya dicampak di tepi jalan seperti anjing berak merata.
Itu kita tak cerita lagi orang kencing berak tak dipam tandasnya. Kucing pun tahu mengambus tahinya selepas membuang, tetapi manusia sempurna akal memilih untuk jadi lebih hina dari kucing dengan berak tak dibersihkan.
Jadi bersihkah Malaysia dari manusia pengotor ?
TIDAK.
Bahkan manusia pengotor semakin bertambah dari hari ke hari. Ini diterukkan lagi dengan perangai mak bapak pengotor diajar dan diwarisi kepada anak-anak mereka pula.
Ah sudah, satu keluarga pengotor.
Itu yang jadinya miskin dan pengotor.
Miskin apa ? Miskin budi pekerti kerana tidak menghormati kebersihan.
Bersih ni sebahagian daripada iman. Orang beriman sepatutnya suka pada kebersihan dan tidak sanggup menyumbang kepada kekotoran.
Jadi, kalau anda mengambil slogan MALAYSIA BERSIH itu dari sudut amalan kebersihan, kita sebenarnya gagal. Tengoklah apa jadi lepas pasar malam ditutup. Tengoklah apa jadi selepas program ambang merdeka selesai. Tengoklah apa jadi selepas perlawanan bola.
Kotor. Kotor. Kotor dan kotor.