Ramadhan...bulan yang dinanti-nantikan oleh manusia yang beriman. Bulan yang amat dirindui dan dikasihi. satu-satunya bulan yang termaktub di dalam al-Quran. Duhai, saya juga amat menyayangi Ramadhan. Sesungguhnya, bulan ini amat sesuai untuk melatih nafsu saya yang sentiasa membawa saya ke arah kejahatan. Kemuliaan Ramadhan membuatkan saya menjadi segan dan malu untuk menurut hawa nafsu saya ini. Lantaran itu, saya menggagahkan diri saya untuk melawan hawa nafsu saya, terutamanya nafsu makan.
Ya, nafsu makan sememangnya merosakkan. Bahkan nabi dahulunya pernah berpesan supaya makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Pesan ini pendek sahaja, namun kesan jangka panjangnya amat ketara. Mereka yang menuruti nasihat ini akan sentiasa berasa di dalam keadaan sihat dan bertenaga. Badannya cergas dan fikirannya sihat. Jiwanya tenang dan hatinya bahagia.
Mengapa kita berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada azab neraka sebelum makan ? Kerana makan juga boleh membuatkan kita malas beribadah. Perut yang terlalu kenyang akan membuatkan tubuh kita terasa berat dan letih. Justeru, solat wajib pun akan ditinggalkan begitu sahaja.
Lalu, apa kaitannya dengan Ramadhan yang mulia ini ?
Ramadhan melatih kita supaya bersederhana, terutamanya makan dan minum. Kita tidak diajar untuk makan semahu-mahunya apabila berbuka dan bersahur. Bahkan kita disuruh bersederhana apabila makan dan minum. Pertama untuk kesihatan badan dan kedua untuk elakkan pembaziran. Rasa tidak cukup apabila makan memang sentiasa hadir dalam diri kita. Namun, itu semua hanyalah nafsu semata-mata. Nafsu memang akan membawa kita kepada kejahatan dan kelalaian.
Sememangnya, saya akui suruhan ini. Apabila saya makan tidak terlalu banyak, badan saya terasa ringan dan senang untuk bangun solat. Bahkan dada saya terasa lapang dan tenteram, sungguhpun beban kerja banyak sekali. Inilah hikmah Ramadhan.
Sesungguhnya, banyak lagi hikmah Ramadhan. Hanya mereka yang sabar sahaja dapat menemukannya satu demi satu.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment