Nuffnang

Thursday, November 27, 2008

DI SISI RINDA

“Manusia patutnya begitu.” Kapten Dawson pernah berkata kepadanya pada ketika santai begitu. “Bangsamu patutnya begitu,” sambungnya.

Saya masih tidak dapat melupakan Rinda, Nen dan Jumari Jipan. Watak yang terhidang di dalam cerpen ini sememangnya menggugah rasa sayu. Perasaan serba salah, kecewa, marah dan takjub bercampur-baur di dalam satu cerita.

Di Sisi Rinda merupakan sebuah cerpen garapan Dato’ A. Samad Said. Ianya termuat di dalam antologi Kerusi yang merupakan bacaan wajib bagi pelajar tingkatan 5 melalui subjek komsas. Pada hemat saya, pelajar seharusnya tidak meninggalkan antologi selepas anda menamatkan pengajian peringkat menengah anda. Bahkan, ianya perlu diulang baca untuk menghayati isinya. Ada beberapa cerpen lain yang juga menarik untuk dibaca berulang kali. Tapi…saya tetap terkenangkan…

“Nen tak ada sapa-sapa. Nen sorang. Nen…”
“Nen tak boleh tinggal di sini,” katanya, cuba menasihati, meneliti mata belolok anak itu dan mata Rinda yang terlelap-lelap manja. “Sini bahaya. Sini…sini Jepun akan bom.”

“Kata Nen, Nen tak ada sapa-sapa. Nen sorang…”
“Ya, Tuk Juma tahu…”
“Nen tak mahu tinggal di rumah lagi. Nanti bom jatuh lagi. Datuk tak ada…datuk tak ada!” jelas anak itu, hampir meraung.

“Nen ada Tuk Juma, Nen ada Rinda,” kata Jumari Jipan.
“Nen Cuma ada Tuk Juma. Nen nak ikut Tuk Juma. Kita…kita ikut Tuk Juma, ya Rinda?”

Dialog yang menyedihkan. Bahkan cukup terkesan di hati saya. Nyata A. Samad Said berjaya menghadirkan ‘rasa’ dalam cerpennya yang satu ini. Rasa itu hanya dapat dirasai oleh orang yang mahu memahaminya dengan hati yang luhur. Pun begitu, saya tetap percaya sesetengah dialog yang wujud di dalam cerpen ini mengundang beberapa misteri.

“Semalam Nen mimpi lagi,” kata Deliah sesudah mereka bersepi beberapa ketika.

“Mimpi? Mimpi apa?” tanya Jumari Jipan mula mengesani ada sesuatu yang sedang menyentuh anak itu.

“Mimpi keris Tuk Ripin yang hilang itu. Keris…keris itu sakti, kan ?”

Jumari Jipan memandang saja mata belolok anak itu, tanpa menjawab.

“Keris itu sakti kan ? Kan ?”

Keris sakti. Keris sakti yang hilang itu mengundang misteri untuk cerpen ini. Keris sakti ? Mengapa ditonjolkan magis seperti itu di dalam cerpen zaman perang seperti ini ? Ya. Kerana orang Melayu, lazimnya, masih mempercayai kesaktian pada keris sejak sekian lama. Terutamanya di zaman perang. Zaman perang menuntut jiwa ‘survival’ yang amat tinggi. Justeru, elemen magis seperti inilah yang sedikit sebanyak membantu orang Melayu untuk bangkit menentang peperangan.

“Keris ya?” tanya Deliah, matanya bersinar ghairah.

Jumari Jipan tersenyum, mengangguk-angguk, lalu menunjukkannya kepada Deliah. “Ya, Keris,” katanya.

“Keris….keris pusaka ?” tanya Deliah, tergamam seolah-olah keris itulah yang dimimpikannya dulu.

Jumari Jipan juga seperti terperanjat, mengerutkan dahi. “Emm…ba…mmmm…tidak,” katanya teragak-agak.

Rinda terlepas. Kucing itu memandang mereka berdua sebelum duduk memerhatikan sekeliling. Kumbang di sisinya mengejutkan kepalanya ke sana ke mari.

Ada sebabnya Jumari Jipan tersentak. Kawasan itu memang kuat mitosnya selain tempatnya mengalahkan empat teman pendekar dan tepatnya terlepaskan Fisah. Ada mitos lain yang tersendiri – ada yang pernah berjumpa kera bercakap di situ; malah ada yang terserempak dengan Hang Lekiu. Paling baru ada pula yang dikatakan menemui Hang Kasturi di situ, sementara ada yang berhujah mengatakan yang ditemui itu ialah Hang Jebat. Kisah itu semakin agak berbaur dan semakin kacau apabila ada yang memberitahu bahawa orang yang menemui Hang Lekiu atau Hang Jebat itu sebenarnya seorang kaki tuak.

Tentunya, bahagian yang paling mendebarkan apabila mereka dikejar tentera Jepun yang kebetulan ternampakkan mereka yang berada berhampiran dengan mereka. Di sini, klimaks hampir menuju peleraian. Peleraian yang misteri juga, rasanya.

“Rinda selamat. Tuk Juma, Rinda selamat !” teriak Deliah tanpa menoleh.

“Tuah keris, tuah kita, Tuk Juma,” sambungnya mencungap keriaan.

Orang tua yang sedang berlari di belakangnya tersedar, lalu meraba-raba semula keris di pinggangnya, Keris itu tiada lagi di situ. Sekilat itu juga Jumari Jipan terasa gementar teringatkan mimpi anehnya dua malam lalu. Keris itu kononnya ditemui sama sehari dengan peristiwa Hang Mahmud anak beranak meninggalkan Sungai Duyong menuju ke Bentan. Jumari Jipan agak terkejut khuatir sejenak, tetapi memutuskan tidak akan memberitahu Deliah tentang perkara itu. Dia semakin termengah-mengah sesudah berada di atas dek bot yang terlindung itu. Jumari Jipan percaya Deliah sendiri lebih tahu bahawa keris itu kadang-kadang wujud, kadang-kadang ghaib, bergantung kepada sesuatu keadaan. Dan kini keris itu sudah ghaib…

Pengakhiran seperti ini sememangnya mengundang pelbagai pertanyaan. Pertanyaan demi pertanyaan itu membuatkan cerpen seperti ini semakin dihormati oleh khalayak tertentu yang menekuninya. Saya juga tidak mahu terkecuali menekuninya sesungguh hati.

5 comments:

en_me said...

salammm.. me tumpg lalu jaks

TARIAN_PENA said...

Tumpang lalu...? Silakan. :-)

musafir kehidupan said...

Kupasan yang menarik, sejujurnya saya juga sudah lupa mengenai "Di sisi Rinda"(cerpen ke atau novel?)...Tapi tetap ingat dengan "seteguh karang"...dan saya memang suka pengakhiran yang sentiasa membuatkan pembacanya berfikir,teringat juga dengan cerpen, "Aku,Kris dan kristal".. sesuatu yang sudah semakin hilang...Lambakan cerita2 cinta yang melemahkan jiwa remaja..

AKMAL_ALIF said...

Seteguh Karang, saya tak pernah baca...

Di sebelah Johor, novel yang dibaca Anak Din Biola, Tragedi 4 Disember (kalau tak silap), Kanang Cerita Seorang Pahlawan, Di Hadapan Pulau dengan Putera Gunung Tahan.

dan antara banyak-banyak tu, saya paling suka Anak Din Biola. Saya masih baca sampai sekarang.

Tentang Antologi, saya paling suka cerpen Di Sisi Rinda dengan Kerana Manisnya Epal.

Cikgu kata bagi jiwa remaja, Di Sisi Rinda agak boring, tapi bagi saya tak. Itulah cerpen paling 'tenang' yang saya baca.

Aku, Kris dan Kristal pun baik juga. Tentang bagaimana remaja perempuan Muslim hidup di perantauan dengan kawan-kawan yang hidupnya bebas dengan arak dan seks serta cinta berahi...

musafir kehidupan said...

Oh,nampaknya ada beza dalam sukatan pelajaran juga kat sabah n kat johor..Apa2 jenis bacaan pun berguna asal kita melihatnya dengan mata hati..InshaAllah..