Nuffnang

Tuesday, December 16, 2008

ISU PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

Sejak dari mula, saya tidak bersetuju dengan dasar ini. Alasan yang keluar daripada 'mulut' mereka yang berkepentingan dalam perkara ini memanglah mengiyakan sahaja dasar yang secara jelasnya menidakkan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menterjemah ilmu sains dan matematik untuk bangsanya sendiri.

Petikan daripada Harakahdaily (saya bukan pembangkang,untuk pengetahuan) :

Oleh Muhammad Faisal Abdul Aziz

Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Namun, tidak pula yang bercakap tentang bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi tunjang dalam memperoleh kemajuan. Sedangkan bahasa Melayu telah digunakan begitu meluas sebagai salah satu cabang dari bahasa-bahasa Austronesia oleh sekitar 300 juta penutur dalam gugusan pulau-pulau Melayu-Polinesia.

Dalam membina bangsa yang berjaya dan berdaya saing perlu juga diambil kira relevansi dalam sesuatu tindakan. Penialian tersebut perlu dibuat dalam konteks yang meluas dan bersifat jangka panjang serta tidak sempit kepada matlamat yang terbatas dan hanya bersifat jangka pendek.

Masalah sebenar

Menurut Dato' Dr Hasan Ahmad dalam bukunya Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal, orang Melayu yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan yang bersangkutan dengan kepentingan bangsa Melayu seharusnya memahami apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh orang Melayu.

Seperti contoh dalam menyelesaikan masalah kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris. Ada pihak yang mengaitkannya dengan sikap orang Melayu itu sendiri yang membenci bahasa Inggeris.

Maka dengan dasar yang meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam matapelajaran Sains dan Matematik, pelajar melayu mahu tidak mahu akan belajar bersungguh-sungguh dalam menguasai bahasa Inggeris untuk lulus dalam peperiksaan.

Tetapi, hakikatnya, sebelum merdeka, sejarah telah membuktikan bahawa dasar seperti ini yang menyebabkan anak-anak Melayu tidak mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada peringkat sekolah rendah.

Beberapa siri peperiksaan diperkenalkan seperti Lower Certificate Education (LCE), Senior Cambridge (SC), dan sebagainya yang menggunakan aliran Inggeris sepenuhnya menyebabkan sebahagian besar pelajar melayu khususnya di luar bandar gagal.

Maka, ekoran itu, peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tertutup dan akhirnya mereka terpaksa mencari pekerjaan.

Melihat kepada permasalahan tersebut, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif untuk mengubah dasar pendidikan negara dengan memperkenalkan aliran Melayu di semua sekolah.

Setelah dasar pendidikan negara diubah dan dasar bahasa Kebangsaan diutamakan dalam sistem pendidikan, ratusan ribu pelajar Melayu memperoleh pendidikan yang lebih tinggi hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Maka, ramai dari graduan Melayu yang telah berjaya menjadi pakar dan memegang jawatan-jawatan penting dalam bidang pekerjaan mereka masing-masing.

Tambah bebanan

Dalam pada itu, dalam keghairahan kita untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi, sebenarnya kita telah menambahkan lagi bebanan kepada mereka yang belajar di luar bandar.

Inilah hakikat yang harus kita terima. Dengan suasana dan kehidupan masyarakat luar bandar yang kurang diberikan pendedahan dalam penggunaan bahasa Inggeris, tiba-tiba mereka dihidangkan dengan mata pelajaran yang sememangnya sukar untuk difahami seperti fizik dan kimia untuk diajar dalam bahasa Inggeris.

Adakah dengan meletakkan sasaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik akan berjaya menjadikan mereka saintis yang berjaya secara automatik seperti Albert Enstein?

Profesor Diraja Ungku Aziz pernah memberi reaksi yang agak bercanggah ketika dasar ini dibentangkan dengan menyatakan "sekiranya kita benar-benar ingin memajukan bangsa dalam bidang pendidikan, maka perlengkapkan dahulu kemudahan prasarananya".

Pandangan beliau ini berkait rapat dengan kesukaran yang akan dihadapi oleh pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Bahasa terpenting

Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Dengan masalah kekurangan dari segi kemudahan untuk mendapatkan pendedahan serta kefasihan dalam penggunaan bahasa Inggeris yang masih lemah, sudah tentu pelbagai kesukaran yang akan mereka hadapi untuk belajar matapelajaran-matapelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

Kesannya, tidak hairanlah mengapa berlaku terlalu banyak keciciran dalam pendidikan yang sebahagian besarnya melibatkan bangsa kita.

Tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka DBP Dato' Awang Sariyan ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Kenvensyen Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan memperbaiki dan memperkasa sistem pengajaran bahasa Inggeris tersebut tanpa melibatkan matapelajaran lain.

Apabila ia melibatkan matapelajaran lain, ia menunjukkan seolah-olah bahasa Melayu telah hilang wibawanya sebagai bahasa ilmu dalam masyarakat yang membawa kepada corak ketamadunan Melayu-Islam.

Persoalan yang perlu dijawab, adakah adil untuk kita menafikan autoriti bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan hanya disebabkan pelajar melayu lemah dalam perkara-perkara asas dalam bahasa Inggeris seperti penggunaan tatabahasa?

Emperor Puyi sewaktu perang dunia kedua telah bersubahat dengan Jepun untuk menyerang Manchuria dan setelah kemenangan dicapai, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Emperor. Sebelum beliau dinaikkan pangkat, beberapa perjanjian penting telah ditandatangani dalam menentukan polisi untuk membina negara Manchuko (Manchuria).

Dasar pertama dan yang paling besar dalam polisi negara Manchuko adalah pendidikan dalam negara tersebut perlu menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di semua peringkat.

Ini jelas menunjukkan akan kepentingan bahasa dalam bidang pendidikan kerana ia akan menentukan generasi bangsa Manchuko itu sendiri pada masa akan datang.

Jatuh bangun bangsa

Menurut teori Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, menyatakan "yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa adalah kekuatan asabiyahnya". Salah satu perkara yang yang menjadi penentu kepada kekuatan asabiyah tersebut adalah bahasa yang menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa.

Lihat saja beberapa bangsa lain di negara Afrika yang telah hilang identiti bangsanya apabila bahasa penjajah seperti Perancis dan British telah diagungkan dan dijadikan bahasa terpenting dalam semua perkara termasuk pendidikan sehingga menenggelamkan bahasa ibunda mereka.

Apa yang perlu disedari adalah kewibawaan sesuatu bahasa itu tidak terletak pada wibawa bahasa itu sendiri akan tetapi kepada kesetiaan pendokong dan penuturnya.. Profesor Dr James T. Collins menegaskan "wibawa sesuatu bahasa tidak terletak pada struktur dan sintaksisnya, kekuatan dan daya tarik bahasa berasaskan faktor politik dan sosial, termasuk kepesatan dan pencapaian ekonominya serta kesedaran dan kesetiaan penuturnya"

Bahasa sememangnya mencerminkan identiti masyarakat kita. Dalam hipoteis yang dibuat oleh ahli sosiologi linguistik Sapir dan Whorf, bahasa sebenarnya menentukan budaya sesuatu masyarakat.

Seperti contoh bahasa Melayu yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan dan kemuliaan telah membentuk budaya Melayu itu sendiri yang dipenuhi dengan nilai-nilai positif.

Sekiranya autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka akan terhakislah keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pergaulan yang bersifat perhubungan (lingua franca) di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh pada zaman kerajaan Srivijaya sehinggalah abad ke-14, dan pada zaman-zaman kerajaan berikutnya seperti Empayar Melayu Melaka.

Dengan terhakisnya keutuhan bahasa Melayu, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.

* Muhammad Faisal ialah Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) _

5 comments:

Haidah Hyedah said...

mmmm..sebgai penntang ppsmi..sy memg stuju sgt dgn artikel ni..kta kne jelas dgn jati diri melayu klu nk trus dihormati bangsa lain...

AKMAL_ALIF said...

Setuju.

Entah apa kena dgn kementerian, semuanya nak 'diinggeriskan'.

Pada saya, apabila Bahasa Melayu dapat menterjemah al-Quran, itu sudah cukup membuktikan yg Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa sains dan matematik.

Persoalan Bahasa Inggeris sbg bahasa antarabangsa dan kita akan ketinggalan jika tidak menguasainya, sepatutnya subjek BI tu sendiri yg kena diperbaiki, bukannya jadi bodoh dgn tiba-tiba jadikan sains dan matematik dlm BI.

Anonymous said...

Di mana kewibawaan bangsa Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu. Soal kewibawaan bahasa Melayu soal kedua. Setuju dengan Prof JT Collin.

Kerana bahasa Inggeris pun bermula dengan bahasa yang daif pada mulanya, tetapi disebabkan bangsanya berwibawa lalu memuncakkan bahasa itu di dunia.

Jiwa bangsa berwibawa inilah yang diperlukan kini, dan bukannya bangsa berjiwa barua. Awangku.

AKMAL_ALIF said...

Itulah masalahnya.

Kehebatan sesuatu bahasa adalah kerana bangsanya.

Kita terlalu takut untuk memartabatkan bahasa kita sendiri. Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa untuk berpantun, bersajak dan bergurindam, sebaliknya Bahasa Melayu juga bahasa ilmu pengetahuan. Perkara di atas tadi juga membuktikan yang Bahasa Melayu juga merupakan bahasa sastera yang amat baik, setanding dengan Bahasa Inggeris, malah lebih hebat lagi.

Pegangan saya, apabila Bahasa Melayu mampu menterjemah al-Quran, itulah buktinya yang Bahasa Melayu juga mampu menjadi bahasa sains dan matematik dan sudah pasti ianya amat bermanfaat untuk bangsanya.

Masalahnya, ada kalangan kita yang begitu bangsat mencanangkan perkara ini.

Anonymous said...

penatulis.blogspot.com is very informative. The article is very professionally written. I enjoy reading penatulis.blogspot.com every day.
advance loan
payday loans canada