Nuffnang

Wednesday, February 25, 2009

SENANG-SENANG

Santai dan senang.

Kekadang perkara ini amat diimpikan sesetengah orang yang hidupnya sentiasa dihimpit dengan kesibukan.

Sunday, February 22, 2009

KARANGAN...???

Tak tahulah sama nak gelak terbahak-bahak atau menangis teresak-esak apabila membaca karangan generasi pelapis kita ini ? Inilah kesan daripada 'kegilaan' puak-puak itu untuk 'mengagungkan bahasa orang' berbanding bahasa sendiri.

Silalah baca. Nak gelak ? Gelaklah.

Kemalangan Ngeri Yang Pernah Saya Alami

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu.

Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang.

Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung. Dia menjerit "Adoi!". Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua.

Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati. Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara. Emak saya tidak puas hati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu.

Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit "Apaan Lu!" dan jatuh ke bumi. Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris.

"You better watcha up. Ten times more plus ten times, twentytimes i beat you always."

Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat lapuran ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati. Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara, "Semua butuh minggir". Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.

Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Magic sungguh. Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati.

Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.


*Karangan ini diambil daripada blog tehranifaisal.blogspot.com.

Wednesday, February 18, 2009

DI TANAH KERING KONTANG INI...

Di sinilah, ramai manusia terpuji menemui cinta sejati.

Cinta yang melebihi segala-galanya.

Tiadalah mereka mengasihi cinta sejati melainkan dengan sepenuh jiwa dan raga.

Sesungguhnya,

manusia-manusia terpuji ini beroleh petunjuk suci bagi menemukan cinta sejati.

Tanah yang kering kontang,

Tiada kehijauan,

Tetapi seluas mata memandang pasir yang menimbun,

Di situlah mereka menghadirkan sujud kepada cinta sejati.

Mereka dahulunya bangsa yang keras, kasar dan sombong.

Namun, takdir mengubah segala-galanya.

Kelahiran insan mulia, junjungan alam yang murni mengubah bangsa itu.

Dari bangsa mereka, lahir ramai insan terpuji dan mulia peribadi.

Kita mencemburui kehebatan mereka dalam mengasihi cinta sejati.

Bagaimana mereka boleh sebegitu hebat ?

Bagaimana, ya Abu Bakar ?
Bagaimana, ya Umar ?
Bagaimana, ya Uthman ?
Bagaimana, ya Ali ?
Bagaimana, ya Hamzah ?
Bagaimana, ya Zaid ?
Bagaimana, ya Nusaybah ?
Bagaimana, ya Khadijah ?
Bagaimana, ya Aisyah ?

Bagaimana kalian mengasihi cinta sejati sebegitu hebat ?

Kami sungguh dahagakan cinta sejati.

Saujana mata memandang.

Pepasir yang menguning.

Angin yang menderu.

Unta yang berehat.

Dhab yang merayap.

Pemandangan biasa di tanah kering kontang ini.

Dari tanah ini, terbit sebuah lagi tamadun yang teramat agung selepas Mesopotamia dan Mesir Purba, iaitu tamadun Islam.

Ianya bukan dibangunkan atas dasar material semata-mata.

Bahkan ianya kukuh dan teguh atas dasar Islam.

Islam yang mengasihi cinta sejati.

Kasih kepada cinta sejati menerbitkan satu semangat yang maha luar biasa, iaitu jihad.

Mereka berjihad dalam beribadah.
Mereka berjihad dalam menuntut ilmu.
Mereka berjihad ketika berperang.
Mereka berjihad ketika berdagang.

Jihad bukan sekadar perang.

Bahkan jihad itu satu semangat yang membentuk peribadi seorang Muslim yang teramat kuat.

Semuanya datang dari tanah kering kontang ini.

Semenanjung Hijaz bersinar megah dengan kelahiran insan mulia yang agung.

Insan yang sebenar-benar insan.

Namun, baginda tidak diutuskan untuk bangsa baginda sahaja.

Bahkan baginda rahmat buat sekalian alam.

Justeru,

rahmat baginda melangkaui tanah kering kontang itu menuju ke arah timur, barat, utara dan selatan.

Baginda mengajar kita mengasihi cinta sejati...

Saturday, February 14, 2009

TIDAK SEDAR

Rupa-rupanya, dalam keasyikan kita mengejar habuan dunia, kita telah melupakan bahagian kita di akhirat kelak. Ya, akhirat. Ramai manusia melupakan akhirat.

Kita semua tahu akan hari akhirat. Persoalannya, sudahkah kita bersedia ? Kita tidaklah boleh mengatakan bahawa hari kiamat lama lagi. Mana kita tahu ? Sedangkan nabi sendiri tidak mengetahui bilakah tarikh yang sebenar hari kiamat itu. Cumanya, baginda telah memberikan tanda-tandanya kepada kita. Dan tanda-tanda itu kebanyakannya memang telah berlaku pada hari ini.

Kita sering terlupa bahawa dunia ini merupakan 'jambatan' untuk kita mengecapi kebahagiaan di akhirat. Maknanya, di dunia inilah kita sepatutnya beramal ibadah kepada Tuhan agar tidak sengsara di akhirat kelak.

Dunia merupakan alat untuk mencapai matlamat iaitu syurga.

Tetapi ramai manusia menjadikan dunia sebagai matlamat.

Mengejar pangkat yang sementara.
Mengejar kemewahan yang sementara.
Mengejar popular yang sementara.

Semua itu, tidak menjamin kebahagiaan di akhirat.

Malangnya, ramai dalam kalangan kita tidak sedar.

Saturday, February 07, 2009

SEKETIKA DI HOSPITAL...

Khamis.

Saya menemankan seorang rakan saya yang ingin membuat pemeriksaan kesihatan di salah sebuah hospital di Johor Bahru. Pada mulanya dia sekadar memberitahu saya niatnya itu. Aha, kebetulan. Saya juga ingin mengambil ubat yang hampir habis. Bila lagi hari yang sesuai hendak mengambilnya melainkan hari itu. Saya pun menyatakan hasrat untuk mengikutnya bersama-sama. Dia bersetuju juga lega kerana beliau tidak tahu ke mana hendak dituju jika pergi seorang diri memandangkan dia bukannya orang Johor Bahru. Sedangkan orang Johor Bahru sendiri kadang-kadang terkial-kial apabila berada di hospital itu. Pagi itu kami bertolak jam 8.00 pagi kerana dia terbangun lewat.

Dengan menunggang motorsikal kepunyaannya yang tidak berpelekat universiti itu, kami menuju ke Danga Bay. sebabnya, hendak pergi ke hospital itu, perlu melalui Danga Bay. Nah, seperti yang dijangka, jalan sesak teruk. Masakan tidak. ketika itu semuanya berpusu-pusu menuju ke Johor Bahru atau Singapura untuk bekerja.

"Uuiii...sesaknya."

"Yalah, sekarang jam berapa. Semuanya nak pergi kerja."

..........................................................................................................................................................................

Sesampai sahaja di hospital tersebut, rakan saya itu kehilangan arah. Tak tahu mana hendak dituju. Sedangkan saya pula tidak ada masalah sebab memang sudah tahu ke mana hendak dituju.

"Doktor tu tak ada beritahu ke kena pergi bahagian mana ?"

"Tak. Cumanya dia tulis kat surat ni, suruh pergi bahagian perubatan."

Di hadapan kami tersergam besar bangunan poliklinik yang menempatkan juga klinik pakar.

"Kita cuba tanya di sini." saya mencadangkan.

Kami pun bergegas ke kaunter pertanyaan. Mujurlah mereka sudi membantu. Sebab saya faham benar karenah sesetengah orang di kaunter. Kadang-kadang mereka buat sikap acuh tak acuh sahaja.

Mujur, kami berada di tempat yang betul.

Rakan saya disuruh supaya mendaftarkan namanya.

Saat yang paling menyeksakan pun tiba, iaitu menunggu.

..........................................................................................................................................................................

Sepanjang berada di hospital, saya lebih banyak memerhatikan keadaan sekeliling. Pada hemat saya, kesemua staf hospital bekerja di bawah tekanan yang amat tinggi. Tuntutan kerja sebegitu membuatkan mereka sekejap ke sana, sekejap ke sini. Tak kurang juga yang berlari-lari anak. Entah apa yang dikejarkan, tidaklah pula saya ketahui. Itu belum kira lagi karenah pesakit yang pelbagai itu.

Ada yang berkerusi roda.

Ada yang bertongkat.

Ada yang berbalut di kaki, tangan , kepala dan sebagainya.

Ada pula yang didukung emak atau ayahnya.

Ada pula yang lebam sana, lebam sini.

Ada pula yang hanya bergantung kepada tong oksigen yang sentiasa berada di sisinya.

Semuanya hendak berjumpa doktor dan mengambil ubat.

Ah, ramai benar orang sakit di sini. Di daerah ini.

Termasuk saya dan rakan saya itu.

Selama ini dia sihat dan cergas.

Dan Tuhan itu Maha Kuasa.

Ditariknya sedikit nikmat kesihatan itu dan diberinya sakit kepada rakan saya. Sekadar menguji imannya, barangkali.

..........................................................................................................................................................................

Selesai diperiksa oleh doktor. Itupun setelah menunggu lebih sejam hingga naik kematu punggung kami.

Oopp...belum beres lagi. Rakan saya itu diarahkan pula untuk mengambil x-ray. Kemudian ada pula lagi ujian air kencing dan darah di mana kesemua itu perlu dilakukan pada tarikh yang telah ditetapkan oleh doktor.

Maknanya rakan saya itu perlu datang lagi. Ke hospital itu.

Kemudian kami pergi ke jabatan x-ray. Mujurlah tiada orang di situ. Rakan saya segera masuk untuk diperiksa.

Sementara menunggu, saya memerhatikan surat-surat yang diterimanya. wah, lebih 'hebat' daripada saya nampaknya.

Selesai sahaja mengambil x-ray, kami bergegas pula ke bahagian farmasi untuk mengambil ubat. Tidak payahlah diterangkan keadaan di bahagian farmasi yang sentiasa penuh orang yang menunggu giliran untuk mengambil ubat.

Sesampai sahaja giliran kami untuk menunjukkan slip ubat, kami disuruh tunggu sebentar. Katanya nombor giliran yang terpampang di skrin itu terganggu seketika. segera ahli farmasi itu mengambil ubat untuk kami. Mujurlah ubatnya tidak sebanyak saya.

Pun begitu, memakan ubat ini bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan.

Selesai kerja kami, kami pun keluar dari bangunan itu menuju ke tempat letak motorsikal.

Dan kami akan datang lagi. Untuk pemeriksaan selanjutnya. Nyata hospital adalah tempat yang paling ramai diikunjungi selepas pasaraya. Itupun ramainya datang dengan hati yang tidak rela. Sebab hospital untuk orang sakit, bukan orang sihat. Orang sihat tidak perlu ke hospital.

Namun, kita janganlah lupa, bahawa sakit juga menggugurkan dosa kita yang lalu.

Sunday, February 01, 2009

RASA-RASANYA DAH TAHU

Saya fikir sekarang saya faham kenapa rakyat kini mula memihak kepada pembangkang belaka.

Semuanya kerana suara mereka tidak didengari.

Dan pihak mereka akan selalu memutar belit fakta.

Dan mula menerbitkan kerisauan kepada rakyat.

"kalau ini tidak dilaksanakan, itu akan berlaku."
"Kalau itu tidak dilaksanakan, ini akan berlaku."

Pembangkang pula lain caranya.

Mereka menerbitkan semangat.

"Kalau ini berjaya, itu akan terbela."
"Kalau itu berjaya, ini akan selamat."
"Dan rakyat tidak lagi tertindas!!!"

Ianya semacam satu retorik, bukan ?

Dan retorik yang baik pastinya akan meningkatkan semangat rakyat untuk menentang.

Namun, retorik itu mestilah sejajar dengan pelaksanaan. Jangan cakap saja, tapi pelaksanaan tiada. Sekadar janji kosong.

Saya tidak mahir dalam politik. Tapi rasanya saya dah tahu.

Dan perhimpunan membantah PPSMI baru-baru ini memantapkan lagi.