Nuffnang

Saturday, February 07, 2009

SEKETIKA DI HOSPITAL...

Khamis.

Saya menemankan seorang rakan saya yang ingin membuat pemeriksaan kesihatan di salah sebuah hospital di Johor Bahru. Pada mulanya dia sekadar memberitahu saya niatnya itu. Aha, kebetulan. Saya juga ingin mengambil ubat yang hampir habis. Bila lagi hari yang sesuai hendak mengambilnya melainkan hari itu. Saya pun menyatakan hasrat untuk mengikutnya bersama-sama. Dia bersetuju juga lega kerana beliau tidak tahu ke mana hendak dituju jika pergi seorang diri memandangkan dia bukannya orang Johor Bahru. Sedangkan orang Johor Bahru sendiri kadang-kadang terkial-kial apabila berada di hospital itu. Pagi itu kami bertolak jam 8.00 pagi kerana dia terbangun lewat.

Dengan menunggang motorsikal kepunyaannya yang tidak berpelekat universiti itu, kami menuju ke Danga Bay. sebabnya, hendak pergi ke hospital itu, perlu melalui Danga Bay. Nah, seperti yang dijangka, jalan sesak teruk. Masakan tidak. ketika itu semuanya berpusu-pusu menuju ke Johor Bahru atau Singapura untuk bekerja.

"Uuiii...sesaknya."

"Yalah, sekarang jam berapa. Semuanya nak pergi kerja."

..........................................................................................................................................................................

Sesampai sahaja di hospital tersebut, rakan saya itu kehilangan arah. Tak tahu mana hendak dituju. Sedangkan saya pula tidak ada masalah sebab memang sudah tahu ke mana hendak dituju.

"Doktor tu tak ada beritahu ke kena pergi bahagian mana ?"

"Tak. Cumanya dia tulis kat surat ni, suruh pergi bahagian perubatan."

Di hadapan kami tersergam besar bangunan poliklinik yang menempatkan juga klinik pakar.

"Kita cuba tanya di sini." saya mencadangkan.

Kami pun bergegas ke kaunter pertanyaan. Mujurlah mereka sudi membantu. Sebab saya faham benar karenah sesetengah orang di kaunter. Kadang-kadang mereka buat sikap acuh tak acuh sahaja.

Mujur, kami berada di tempat yang betul.

Rakan saya disuruh supaya mendaftarkan namanya.

Saat yang paling menyeksakan pun tiba, iaitu menunggu.

..........................................................................................................................................................................

Sepanjang berada di hospital, saya lebih banyak memerhatikan keadaan sekeliling. Pada hemat saya, kesemua staf hospital bekerja di bawah tekanan yang amat tinggi. Tuntutan kerja sebegitu membuatkan mereka sekejap ke sana, sekejap ke sini. Tak kurang juga yang berlari-lari anak. Entah apa yang dikejarkan, tidaklah pula saya ketahui. Itu belum kira lagi karenah pesakit yang pelbagai itu.

Ada yang berkerusi roda.

Ada yang bertongkat.

Ada yang berbalut di kaki, tangan , kepala dan sebagainya.

Ada pula yang didukung emak atau ayahnya.

Ada pula yang lebam sana, lebam sini.

Ada pula yang hanya bergantung kepada tong oksigen yang sentiasa berada di sisinya.

Semuanya hendak berjumpa doktor dan mengambil ubat.

Ah, ramai benar orang sakit di sini. Di daerah ini.

Termasuk saya dan rakan saya itu.

Selama ini dia sihat dan cergas.

Dan Tuhan itu Maha Kuasa.

Ditariknya sedikit nikmat kesihatan itu dan diberinya sakit kepada rakan saya. Sekadar menguji imannya, barangkali.

..........................................................................................................................................................................

Selesai diperiksa oleh doktor. Itupun setelah menunggu lebih sejam hingga naik kematu punggung kami.

Oopp...belum beres lagi. Rakan saya itu diarahkan pula untuk mengambil x-ray. Kemudian ada pula lagi ujian air kencing dan darah di mana kesemua itu perlu dilakukan pada tarikh yang telah ditetapkan oleh doktor.

Maknanya rakan saya itu perlu datang lagi. Ke hospital itu.

Kemudian kami pergi ke jabatan x-ray. Mujurlah tiada orang di situ. Rakan saya segera masuk untuk diperiksa.

Sementara menunggu, saya memerhatikan surat-surat yang diterimanya. wah, lebih 'hebat' daripada saya nampaknya.

Selesai sahaja mengambil x-ray, kami bergegas pula ke bahagian farmasi untuk mengambil ubat. Tidak payahlah diterangkan keadaan di bahagian farmasi yang sentiasa penuh orang yang menunggu giliran untuk mengambil ubat.

Sesampai sahaja giliran kami untuk menunjukkan slip ubat, kami disuruh tunggu sebentar. Katanya nombor giliran yang terpampang di skrin itu terganggu seketika. segera ahli farmasi itu mengambil ubat untuk kami. Mujurlah ubatnya tidak sebanyak saya.

Pun begitu, memakan ubat ini bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan.

Selesai kerja kami, kami pun keluar dari bangunan itu menuju ke tempat letak motorsikal.

Dan kami akan datang lagi. Untuk pemeriksaan selanjutnya. Nyata hospital adalah tempat yang paling ramai diikunjungi selepas pasaraya. Itupun ramainya datang dengan hati yang tidak rela. Sebab hospital untuk orang sakit, bukan orang sihat. Orang sihat tidak perlu ke hospital.

Namun, kita janganlah lupa, bahawa sakit juga menggugurkan dosa kita yang lalu.

2 comments:

Anonymous said...

hyw
awk xsht ker?
sakit per?

AKMAL_ALIF said...

Saya memang ada penyakit. Cerita ni pasal kawan saya sebenarnye. Saya temankan dia ke hospital.