Nuffnang

Sunday, June 28, 2009

DI DAERAH ASING INI...

Ketika bangkit dari pembaringan yang maha luar biasa panjang, aku diketemukan dengan sebuah kawasan, err...daerah sebenarnya.

Sebuah daerah yang teramat asing bagi aku yang selama ini berdiam di iklim khatulistiwa.

Padang yang cukup indah dihiasi dengan bunga-bungaan yang beragam warna.

Pagi, ketika itu sedang mekar semuanya, justeru padang itu menjadi amat cantik. Nun jauh di hujung ada pergunungan yang indah. Puncaknya dilitupi awan.

Nah, pagi itu matahari masih belum garang menyimbahkan cahayanya ke bumi itu. Ke padang cantik itu.

"Di mana aku ini ?" Bertanya kepada diri sendiri seperti orang bodoh.

Nun di sebelah kirinya kelihatan beberapa orang wanita bertudung dan berpakaian warna-warni namun menutup auratnya sedang terbongkok-bongkok memetik bunga-bungaan.

Aku cuba menghampiri wanita-wanita itu untuk bertanyakan tempat indah ini. Aku menghampiri seorang wanita yang bertubuh kecil.

Pengamatan aku memperlihatkan yang wanita ini berusia antara 18-20 tahun. Masih anak, dan masih punya mak barangkali.

"Err...maafkan saya..."

Wanita itu mengangkat kepalanya seraya tersenyum.

Aku terperanjat sekali.

"Nu....Nur.....Nur....." Tergagap-gagap.

Ketika itu kurasakan semua keindahan di padang itu menjadi satu gumpalan lalu meresap laju ke dalam tubuh wanita ini. Dan kelilingnya seolah-olah kosong.

"Ya, aku di sini. Menantikanmu."

"Di mana tempat ini ? Mengapa kau berkata begitu ?" Ketika bertanya ini aku hampir-hampir terduduk kerana wanita cantik ini.

"Jangan kau tanya, kerana aku memang menantikanmu. Nampaknya Tuhan telah mengabulkan permintaanku untuk bertemu denganmu. Bukankah selama ini kita tidak pernah bertentang mata ?" Perempuan itu berkata lembut. Lembut sekali.

"Err...benar."

"Nah, apa yang kau gugupkan ? Aku hanya seorang perempuan pemungut bunga-bunga kasih di sini. Sini ialah padang kehidupan. Bunga-bunga ini ialah harapan. Setiap manusia mempunyai harapan. Dan segala harapan itu bersemadi di sini lalu membentuk bunga yang berwarna-warni. Harapan yang tidak tertunai kadangkala tidak dibalas di dunia, tetapi dikabulkan di syurga."

Aku kepeningan. Mengapa perempuan ini berkata begitu ?

"Daerah ini, ialah daerah di mana harapan itu disemai, lalu berkembang mekar dan menunggu masa untuk memungutnya kembali. Daerah ini daerah sakti. Tidak berjejak. Tidak ada di dalam peta."

"Jika begitu, kau pun hakikatnya tidak wujud di sini !" Aku berkata. Agak keras kerana takut.

"Janganlah begitu. Aku begitu lama menunggumu di sini. Tidakkah kau ingin bersama-samaku ?" Nah, perempuan itu seperti menggodaku.

"Kau bukan manusia..."

"Jika begitu fikiranmu, tinggalkan sahaja daerah cantik ini. Tinggalkan aku. Biar kita sama-sama menanti masanya. "

Dia melempar aku dengan bunga-bunga yang dipegangnya ketika itu. Aku yang terpinga-pinga terkejut lalu cuba menepis.

La hau lawala quwwata illa billah...

Peluh memercik di dahi.

2 comments:

umYrah daRWis said...

waaaa bezzz
tp sy x phm citer nyer...
cm tergntung biler dh kt hujung..
ke mmg nk wt smbngan citer..
eheeeeeee

AKMAL_ALIF said...

Percaya atau tidak, orang yg perasan cerita ni spt tergantung, itu petanda dia sedang dilamun cinta. :-)

Betul tak ?

Cerita ini cerita mimpi. Betapa mimpi kadangkala dapat memperdaya manusia yg terlalu asyik dlm khayalan.