Nuffnang

Friday, June 03, 2011

DARA

Hmm...orang Melayu memang ambil berat kalimah 'dara' ni. Pernah dengar minyak kelapa dara ? Haa...macam itulah kiranya. Punyalah bagus minyak ni untuk kegunaan seharian seperti rawatan pada rambut dan sebagainya. Hah, kenal Mak Dara ? Tak kenal ? Huh, beria-ia Mak Dara melakonkan watak Nyonya Mansur dalam filem Ibu Mertuaku, kau orang boleh tak kenal ? Apa la...

L.Ramli juga pernah menyanyikan sebuah lagu berjudul Dara Pujaan. Macam mana ek lagunya ?

Duhai dara kau manis jelita...etc...

Punyalah L.Ramli menyanjung tinggi seorang anak dara pujaan hatinya. Ahah, Mat Sentul juga pernah menyanyikan sebuah lagu berjudul Nak Dara di dalam filem Nak Dara arahan M.Amin terbitan Cathay Keris. Oh yeah, paling terkenal sekali ialah watak Dara di dalam filem Semerah Padi lakonan P.Ramlee dan Saadiah Baharum. Siapa jadi Dara ? Dah tentulah Saadiah. Tahu bagaimana P.Ramlee mempotretkan watak Dara melalui Saadiah ? Aduhai...sopan tak terkata. Tutur kata terpelihara. Adab terjaga dan senyum menawan. Sampaikan hendak melintas di belakang bapanya sendiri pun meminta izin.

Err...untuk anggota sulit wanita, ada dinamakan payudara kan ? Haa...

Pokoknya, kesemua istilah dara yang digunakan, kecuali kelapa dara adalah dituju khas kepada siapa ? Kepada PEREMPUAN, semestinya.

Saya tidak mahu mengulas cerita tentang seorang perempuan yang mengaku terang-terangan dirinya tidak ada dara, kerana perempuan seperti itu sudah sangat banyak sekali di Malaysia ini, apatah lagi di dunia ini. Kebetulan, dia 'tertangkap' dek mereka-mereka yang 'merayau-rayau' di internet dengan membaca blog-blog orang. Maka jadilah dia 'popular' dengan cara yang kurang enak.







Hmm...saya rasa, ramai di antara kita sekarang ini sudah kurang ambil peduli soal 'dara' ini. Bagi mereka, tidak ada signifikannya dara ini dengan seorang perempuan. Hanya istilah orang dulu-dulu untuk perempuan yang belum berkahwin Paling menarik, dikhabarkan di dunia barat sana, perempuan yang ada dara ini akan dicemuh orang, terutamanya para remaja. Namun, kita jangan lupa, ada juga perempuan yang malang nasibnya kerana telah dirogol. Haa...yang ini kita tidak boleh cemuh dan hina mereka, kerana mereka mangsa keadaan, meskipun kita agak skeptikal dengan cara mereka menjaga keselamatan, namun untuk menghina mereka adalah tidak boleh.

Satu hal yang menarik dalam masyarakat orang Melayu, kita istilahkan perkara ini dengan bahasa halus lagi menyengat iaitu 'buah yang telah ditebuk tupai'. Hmm...frasa ini orang Melayu tujukan khas kepada 'minah-minah' yang bangga diri berzina. Siapa si tupai ? Tentulah lelaki-lelaki yang tidak berguna itu.

Namun, saya belek-belek sekejap beberapa laman web yang bercerita tentang dara dari sudut sains dan kesihatan, maka saya menemukan ini beberapa perkara yang saya kira amat penting untuk diketahui.

Bahawasanya, apa yang dikatakan sebagai selaput dara itu boleh sahaja menjadi tidak ada pada diri seorang perempuan sejak lahir lagi. Ianya adalah lumrah. Dan juga selaput dara itu juga boleh sahaja terkoyak kerana melakukan aktiviti lasak. Malahan, dengan berlari, melompat atau mengangkat objek berat juga boleh mengoyakkan selaput dara. [1]

Justeru, fahamlah kita nanti bila kahwin, kalau  si isteri tidak ada selaput dara, jangan lekas menuduh dia berbuat keji semasa belum kahwin. Mungkin ada masalah lain. Bolehlah diajukan kepada doktor. Hehe..

Namun, apa yang perlu kita pertimbangkan sekarang ini ialah soal 'taboo'. Anda tahu apa itu 'taboo' ? Secara mudahnya, kita bolehlah ertikan dia sebagai pantang larang. Setiap bangsa di dunia ada pantang-larangnya, termasuklah bangsa orang putih sendiri. Sebagai contoh, orang putih pantang ditunjukkan jari hantu sebagai isyarat lucah. Jadi kalau anda jumpa orang putih yang buat macam itu, itu adalah orang putih yang tidak senonoh perangainya.

Begitu juga masyarakat kita, iaitu masyarakat Melayu yang sudah ratusan tahun lamanya wujud. Dan disebabkan kita ini beragama Islam, maka kita ini amatlah pantang bercerita hal-hal dalam kelambu pada khalayak ramai. Hal-hal kelambu ini dapatlah kita maksudkan sebagai hal-hal seks dan yang sewaktu dengannya. Namun, kita kecualikanlah perihal seks dari sudut kesihatan, kerana itu adalah info yang amat penting untuk suami dan isteri. Apa yang ditekankan di sini adalah ketidakwajaran orang kita menceritakan yang mereka pernah berzina dengan rasa bangganya ataupun dengan beraninya. Kesemua itu kita istilahkan sebagai aib. Dan setiap manusia wajib menjaga aibnya. Hal ini kerana sesiapa menjaga aib orang lain, maka Tuhan akan menjaga aibnya di akhirat kelak.

Segala apa yang memalukan, itulah yang kita panggil aib. Dalam masyarakat kita, benda-benda seperti zina, seks ini adalah aib dan sesuatu yang wajib dijaga dan tidak diceritakan kepada orang, melainkan doktor sekiranya membuat pemeriksaan. Malangnya, sudahlah zina itu haram, dengan beraninya pula menceritakan kepada khalayak umum, terutamanya internet. Kita lihatlah bagaimana beraninya Kris Dayanti mengaku bahawa dia telah mengandung 4 bulan sebelum menikah. Hmm...

Mungkin orang-orang seperti ini agaknya berfikir, "Daripada aku rahsiakan dan kantoi kemudian, baiklah aku mengaku sendiri. Orang akan marah, tapi sekejap aje..."

Dari satu sudut, kita lihat ada juga logiknya. Namun, ianya akan kembali kepada soal 'taboo'. Pantang orang Melayu berani bercerita benda macam ini di khalayak ramai. Jadi, anda mengakulah dengan beraninya. Maka cemuhanlah yang akan anda dapat. Kan orang Melayu sudah berpesan, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'. Ataupun kan kita juga tahu, 'sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.'


Lagi satu, kita perlu faham falsafah anak dara itu. Bagi saya, orang Melayu tidak sewenang-wenangnya memanggil seorang perempuan itu anak dara melainkan perempuan itu ialah perempuan yang menjaga pandangannya, menjaga tutur katanya, menjaga pergaulannya, menjaga pakaiannya, menjaga langkahnya di luar rumah. Saya kira, molek juga kalau kita tekankan soal wanita solehah. Haa...macam mana perangai seorang wanita solehah ? Semua orang tahu kan. Tak payah nak ditulis di sini. Dah banyak orang menerangkan tentang ciri-ciri wanita solehah.

Kalau anda biasakan diri anda bergaul dengan orang-orang lama, paling tidak anda tentu pernah dengar orang tua berkata begini, "Amboi, molek betul anak dara ni. Siapa mak ayahnya ? Pandai menjaga..."

Ataupun:

"Tak elok anak dara berjalan malam. Nanti masuk angin."

Haa...itulah orang melayu dan 'anak dara'nya. Bukan benda main-main, melainkan orang Melayu sejak dahulu sudah memperhalusi agama kita tentang nilaian seorang perempuan di sisi Tuhan. Sebelum baginda Muhammad s.a.w. diutuskan, lihatlah bagaimana nilaian seorang perempuan ? Sangatlah hina. Kemudian, nabi telah mengajar kita untuk sama mengasihi orang perempuan kerana ibu kita juga adalah perempuan. Kita semua lahir dari rahim orang perempuan. Dan orang perempuan yang menjaga kemaluannya, taat suaminya, maka Tuhan mempersilakan diri mereka untuk masuk syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya. Tak mahukah anda menjadi perempuan sebegitu ? Tentulah mahu, kan...

Kalaulah macam itu halnya, apa perlu kita buat ???

JANGAN BERZINA... ini yang paling banyak kita lakukan sekarang ini. Berzina itu perbuatan yang keji lagi hina. Rosak susur galur keturunan seseorang kerana zina. Malulah keluarganya. Malulah keturunannya.

Kalau dirogol ? Itu lain cerita. Mereka dipaksa tanpa kerelaan. Pun begitu, tak payahlah dihebohkan macam orang menang anugerah, kerana hal itu juga adalah aib dalam masyarakat kita. Err... kalau akhbar yang melaporkan dari sudut jenayah, itu cerita lain juga.

Berhati-hatilah dalam berkata-kata. Kerana lidah itu telah banyak menjahanamkan manusia-manusia silam. Lihatlah kerana jahatnya mulut Pateh Karmawijaya menghasut sultan, maka Hang Tuah dihukum bunuh. Lihatlah kejinya lidah Tun Bija Ali, maka isteri Megat Seri Rama mati dibelah perutnya. Nabi kita juga tidak lepas daripada kejahatan lidah manusia. Namun, memang sudah manusia mulia, dilindungi Allah sepanjang masa. Justeru, usahakanlah diri kita untuk jadi manusia mulia. Mulia dari segi tutur kata, mulia dari segi budi bahasa, mulia dari segi pergaulan dan mulia dari segi pakaian. Tidak ada ruginya. Bahkan orang menghormati kita, insya Allah.

Sumber:
[1] Selaput Dara Wanita, http://homefamilysite.com/blog/selaput-dara-wanita/

2 comments:

fredd said...

perkongsian yang menarik

AKMAL_ALIF said...

fredd,

Terima kasih... :-)