Pada mulanya, kawan. Aku mengira bahawa aku akan turut sama meraikan kemenangan ini. Tetapi, kau tahulah kawan. Kalau Tuhan berkata bukan masanya lagi, maka bukanlah masanya lagi. Ya, bohonglah kalau aku tidak merasa sedih. Aku sedih kerana kecuaian aku sendiri. Tapi untuk terus menyesal dengan kecuaian adalah perangai orang yang bodoh. Maka seharusnya aku berikhtiar semula supaya biarpun bukan ini masanya, masa yang lain aku tetap dapat juga.
Pun begitu, aku 'merindukan' suasana beramai-ramai dengan jubah kemuliaan itu. Jubah orang pandai, kata orang-orang tua (ramai juga yang pandai belajar, tetapi akhlaknya bodoh). Aku merasa iri melihat mereka bersama-sama merasa megah dan bangga melangkah masuk ke dalam dewan itu. Maka, aku berdoa kepada Tuhan, paling kurang pun, biarlah aku dapat menjengah seketika suasana di dalamnya.
Rahmat Tuhan, aku diberi izin untuk masuk dan membantu melicinkan perjalanan majlis sesi kedua pada hari kedua penganugerahan. Ketika itu hari sudah tengah hari. Dewan hanya dihiasi dengan lampu-lampu oren yang kecil-kecil itu. Ku lihat jua buku-buku konvo tersusun di atas kerusi graduan dan aku menyisipkan sebuah kertas yang kalau mereka pergunakan baik-baik, insya Allah ada hasilnya buat mereka nanti. Secara tidak sedar, aku sudah mengelilingi seluruh dewan keramat itu. Aku sengaja meninggalkan 'jejak' di atas kerusi empuk orang-orang besar.
Aku melihat juga bertungkus-lumus seorang tukang sapu membersihkan sampah. Nah, di dalam dewan seperti ini pun masih ada orang biadap membuang sampah sesuka hati. Kalaulah yang membuang sampah itu graduan, ku kira dia perlu menilik kembali apa ertinya graduan itu yang murni peribadinya.
Petugas di atas pentas utama sedang memberikan sentuhan mereka yang terakhir. Malangnya, aku tidak nampak apa yang mereka lakukan kerana tugas aku hanya di bawah sahaja. Lampu agam sudah dibuka semuanya. Teranglah dewan keramat dengan sinar yang mengharukan graduan.
Setelah 'signal' untuk kami beredar diberikan, maka kami pun keluar dewan tanda tugas kami sudah berakhir. Nanti jam 5 petang, saat mereka sudah keluar dan bergembira sakan, kami masuk semula memulakan tugas kami untuk keesokan harinya.
Ya, kawan. Aku sekurang-kurangnya tetap seronok kerana paling kurang pun, aku dapat memberi sedikit bantuan secara ghaib (ertinya kawan-kawanku tidak melihatku melainkan hanya seorang sahaja yang perasan), dan aku pernah ada di situ menyambut mereka datang dan pulang.
Selamat maju jaya aku ucapkan pada kalian semua dan semoga Tuhan memelihara kalian daripada kejahatan dunia dan akhirat... :-)