Dalam penuh rasa rendah diri, 'awak' mengakui kekotoran diri awak demi menyelamatkan 'mereka'. 'Mereka' bahkan tidak tahu apa-apa, dan 'awak' tidak tahu apa-apa tentang 'mereka'. 'Awak' sedaya-upaya menyucikan dosa dengan berbuat kebaikan, namun kebaikan tidak sentiasa diiringi dengan kebaikan. Bahkan manusia sering pula menyalah-tafsir akan kebaikan. Kekotoran diri 'awak' membuatkan awak terasa yang mungkin Tuhan tidak pernah menerima kebaikan awak (semoga tidak begitu keadaannya kerana Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang).
'Awak' cuba-cuba kembali menelusuri denai lama yang membawa 'awak' ke cerita asal. Cerita tentang bagaimana keadaan 'awak' ketika 'sesat' satu ketika dahulu. Ketika itu, 'awak' benar-benar hina. Serasa diri awak langsung tidak bernilai. Tatkala merenung kembali itu, tahulah 'awak' bahawa mungkin 'mereka' yang baik budi pekerti itu bukan untuk 'awak'. 'Awak' hanyalah seorang manusia yang penuh rasa keliru dan ragu pada sebuah kebaikan. 'Awak' masih tertanya-tanya, bagaimana caranya mendekatkan diri kepada Tuhan. Kerana apa ? Kerana dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, insya Allah tidak ada masalah buat 'awak' untuk sama-sama bergaul baik dengan manusia. Namun, 'awak' masih belum menemukannya. 'Awak' masih buntu dan celaru. 'Awak' cuba mencari-cari jalannya dengan merenung kisah-kisah lama yang penuh pengajaran. Tidak ada yang 'awak' jumpa melainkan kesedihan yang nyata. 'Awak' menemukan kebaikan kisah-kisah lama dalam diri 'mereka'. 'Mereka' itu nyatalah insan yang baik dan mulia. Meski orang-orang jahil berkata mereka rendah tarafnya, namun Tuhan memelihara maruah dan darjat 'mereka', sehingga pada satu keadaan 'mereka' berhak memilih mana-mana pintu syurga untuk dimasuki mereka.
'Awak' menangis sekali-sekali.
Entah apa hendak dibuat.
Masih buntu.
'Awak' rasa yang awak ditinggalkan, sedikit demi sedikit, seperti mana kebaikan menjauhi insan yang kotor dengan dosa, begitulah keadaan 'awak' sekarang ini.
'Awak' hampir rebah ke bumi. Muka diselaputi debu tanah yang kering.
Matahari terpancar terik memercikkan peluh di dahi.
Muka dibasahi peluh.
Pakaian kotor.
Suara tidak mahu keluar.
Rambut kusut-masai.
Mata tidak menunjukkan apa-apa perasaan.
Khali.
Angin tidak berarak.
Pepohon tidak memayungi 'awak' yang hina.
Awan tidak mahu menutup sekujur tubuh 'awak' dari kepanasan.
Awak benar-benar tewas.
Apakah Tuhan tidak lagi berbelas kasihan ???
Awak mengangkat tangan. Menggigil-gigil. Berdoa. Kepada yang Maha Esa.
Semoga Tuhan masih sudi menerima diri 'awak' yang hina. Kerana, walau apa keadaan sekalipun, kepadaNya sahajalah 'awak' akan kembali. Meski dosa menggunung, Tuhan bahkan masih sudi mengampunkan, asalkan sahaja 'awak' ikhlas dengan pengakuan. 'Mereka' itu adalah manusia mulia. Maka semestinyalah 'awak' turut sama menjadi mulia untuk bersama-sama 'mereka'. 'Mereka', dengan izin Tuhan akan bersama-sama 'awak', bersenang-senang di negeri abadi. Berbahagia selama-lamanya.
Kata Yusuf a.s. : Ya Allah, jika memang kehidupan di penjara itu lebih bererti bagiku daripada dunia luar, maka aku rela tinggal di penjara tetapi dekat denganMu, daripada aku hidup bersama-sama manusia pendusta...Semoga 'awak' bukanlah tergolong dalam manusia pendusta. Kerana manusia pendusta tidak akan pernah bahagia. 'Mereka' itu juga tidak akan bersama-sama manusia pendusta.
Wallahua'lam.
P/s: 'Awak' tujukan kepada 'mereka' yang mulia...dari 'awak' yang hina...
P/s/s: Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Ampunkan saya sekiranya sepanjang saya menulis di sini, saya telah membuatkan sesiapa berkecil hati. Semoga Tuhan merahmati anda semua.
No comments:
Post a Comment