Taare Zameen Par |
Malang sekali, frasa ini bertepatan dengan sebuah filem yang bukan dihasilkan oleh orang kita. Apa yang kita ketemukan hanyalah filem-filem yang hanya hendak mengaut keuntungan di sebalik kata-kata:
"Setiap manusia yang melakukan kesalahan hendaklah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t."
Itu sahaja.
Entah bila akan ada pengarah di Malaysia yang cuba menampilkan sesuatu yang sememangnya berbeza (bukan seperti Razak Mohaideen yang berkata bahawa setiap filemnya berbeza, tapi bila kita tonton rasa mahu muntah) seperti filem ini.
Namun, saya ketemukan Taare Zameen Par ini dalam keadaan yang berbeza, iaitu di bilik kuliah. Ya, seorang pensyarah yang telah memperkenalkan filem ini kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Ah, saya tidak dapat ungkapkan keindahan di dalam filem secara seluruhnya. Namun, apa yang dapat saya katakan, sememangnya filem ini menepati firman Tuhan yang saya nyatakan di atas itu, secara mudahnya. Meskipun diketahui bukan itu tunggak cerita ini, sebaliknya ia ditulis oleh Amole Gupte dan isterinya berdasarkan kisah hidup Akira Kurosawa, pengarah lagenda dunia dari Jepun itu yang dikatakan tidak dapat menerima sistem pendidikan di negaranya lewat tahun 20-an dahulu.
Ishaan dan dunia khayalannya |
Ceritanya berkisar kepada seorang budak lelaki, Ishaan Awasthy (Darsheel Safary) yang dilihat sebagai teramat nakal dan bermasalah oleh guru dan juga ibu bapanya. Ayahnya sendiri senantiasa naik angin dengan karenahnya yang padanya kelihatan amat melampau kerana setiap masa cuba mencari pasal dan tidak mahu mendengar kata. Malah, guru-gurunya juga menggelarnya sebagai pelajar yang bodoh dan sering gagal di dalam ujian seerta sering juga didenda berdiri di luar kelas.
Kemesraan yang hanya sekejap |
Ibunya yang amat memanjakannya |
Sehinggalah satu masa, sekolah tersebut didatangi oleh guru seni sambilan. Guru bernama Ram Shankar Nikumbh (Aamir Khan) yang periang itu sedaya-upaya mendidik pelajarnya supaya mengeluarkan segala potensi imaginasi yang ada pada diri mereka dan terjemahkannya di atas kertas lukisan. Namun, tidak bagi Ishaan. Ishaan bahkan tidak mahu melukis. Hal itu menghairankan gurunya itu lalu bertindak mencari puncanya. Akhirnya, ia dikesan melalui hasil kerja sekolahnya yang terdahulu.
Ran Shankar Nikumbh yang terharu |
Bertindak berjumpa dengan ibu bapanya dan menceritakan keadaan Ishaan, ayahnya tidak dapat menerimanya dengan menyatakan bahawa anaknya sengaja bersikap begitu kerana malas. Sedangkan anaknya adalah seorang yang amat besar jiwanya di dalam kerja seni seperti lukisan dan warna. Hal itu amat memeritkan gurunya itu untuk menjelaskan kepada keluarganya bahawa anaknya menghidap Dyslexia. Hal itu diburukkan lagi apabila keyakinan Ishaan telah hancur sepenuhnya sehinggakan kegemarannya iaitu melukis pun sudah tidak mahu dilakukan lagi.
Ah, saya kira tentu saja orang-orang seperti kita menontonnya akan menyaksikan sebuah kisah sedih seorang budak kecil yang menghidap sesuatu penyakit. Akan tetapi, ianya lebih daripada itu. Ianya kisah mengenai jiwa anak-anak kecil yang musnah dek kerana keterujaan ibu bapa mengejar markah dan status di dalam kehidupan. Ya, tidak ada siapa pun yang mahukan anaknya tercicir dalam pelajaran. Namun, kadangkala kita tidak sedar bahawa kita sedang menyeksa jiwa anak kita dengan beban pelajaran, ditambah pula dengan sistem pendidikan kita yang mengutamakan peperiksaan (jika dilihat dari konsep pendidikan Malaysia). Apabila kanak-kanak yang mengalami penderitaan seperti Ishaan, tidak dapat tidak jiwa mereka akan hancur luluh apabila sering dilabel bodoh dan lembap sedangkan dirinya tidak mampu berbuat apa-apa dek kerana satu penyakit yang tidak dapat dikesan secara jelas dan nyata seperti demam. Hal itu diceritakan baik-baik melalui tindak-tanduk Ishaan di dalam filem ini. Namun, apa yang menariknya, di sinilah yang saya katakan tadi apabila ia membenarkan firman Tuhan bahawa manusia itu telah diciptakan dengan sebaik-baiknya.
Kerana apa ? Kerana Ishaan dipaparkan sebagai memiliki kelebihan luar biasa di dalam kerja seni iaitu lukisan. Hasil kerjanya amat mengharukan guru seninya itu iaitu Ran Shankar Nikumbh seraya mempersoalkan mengapa perlu ayahnya sentiasa memarahi Ishaan sedangkan Ishaan memiliki kebolehen di dalam bidang seni lukis. Mengapa tidak digalakkan anaknya untuk dikembangkan lagi bakat itu ? Di sinilah kita kembali kepada hakikat dunia keibu-bapaan masakini, "Apa benda itu boleh menjamin masa depan ???"
Ishaan saat diberi galakan oleh gurunya bahawa dirinya juga amat istimewa |
Masa depan adalah sesuatu yang sering ditakuti. Kehidupan kita masakini amat menakutkan. Kita terlalu mengejar kemewahan materi berbanding kekayaan jiwa. Dek kerana itulah, kita saksikan ibu bapa yang mengabaikan anak-anaknya kerana sibuk bekerja. Kita juga saksikan anak-anak membenci ibu bapa dek kerana ibu bapa mengabaikan mereka. Ishaan adalah cerminan kepada situasi di mana kononnya ibu bapa merasakan yang mereka sudah cukup prihatin terhadap anak mereka, namun hakikatnya tidak. Hal ini secara sinis ditonjolkan oleh Aamir Khan melalui babak ayahnya datang berjumpa dengan Aamir Khan lalu menceritakan bahawa kononnya dia dah mencari sedikit maklumat tentang Dyslexia demi membuktikan bahawa dia bukanlah tidak mengambil berat tentang Ishaan langsung. Namun, Shankar menyatakan bahawa ibu bapa sebenarnya pelindung kepada anak-anak dan wajib ada di sisi mereka ketika mereka gembira mahupun sedih. Kemudian dia membuat perumpamaan mengenai sebatang pohon yang akhirnya mati dek kerana dimaki-hamun oleh penduduk pribumi satu kaum sebagai perumpamaan jika ibu bapa asyik memaki-hamun anak sebagai bodoh dan tidak berguna, lama kelamaan jiwa anak itu akan mati dan mula membenci ibu dan ayahnya. Begitulah hakikatnya. Betapa benarnya hakikat itu.
Meskipun dalam kehidupan orang-orang melayu, ada pepatah yang mengatakan bahawa, 'Sayangkan anak tangan-tangankan', bukanlah bermakna sepanjang masa anak-anak itu perlu diperlakukan begitu. Sebaliknya, anak juga perlu didekati dengan kasih-sayang dan kemanjaan. Namun, ada satu masa juga perlu tegas dan dihukum jika melakukan kesalahan.
Woaahh...ada satu babak yang amat menyakitkan hati saya apabil guru-guru di sekolah asrama itu sengaja memperlekehkan anak-anak kecil yang mengalami masalah seperti terencat akal dan sebagainya. Dalam hal ini, Ran Shankar Nikumbh sengaja ditonjolkan sebagai mendiamkan diri namun akhirnya menyindir, "Heil Hitler" kepada guru itu.
Walau bagaimanapun, cerita ini 'ditenangkan' dengan usaha guru Ishaan itu dengan 'remedial technique' khusus bagi penghidap Dyslexia yang dipaparkan di dalam filem ini. Menariknya, Aamir Khan memaparkannya dengan indah sekali dan bukan sebuah babak yang membosankan. Ya, mungkin seperti filem Patch Adam, cuma tidak 'segila' itu. :-)
Mungkin sengaja, apabila guru Ishaan itu menganjurkan sebuah pertandingan melukis dan mewarna di hujung minggu. Saya percaya hal itu adalah semata-mata mahu mengembalikan keyakinan Ishaan sepenuhnya terhadap 'kehebatannya' sendiri, iaitu melukis dan mewarna. Daya imaginasinya yang setelah sekian lama musnah dek kerana kesedihan yang dihadapi, kali ini cuba diatasi. Apatah lagi, pertandingan itu melibatkan ratusan murid di sekolahnya. Hal itu bagi saya secara tidak langsung melatih Ishaan untuk tidak takut berhadapan dengan ramai orang di sebalik kekurangan yang ada. Dan sememangnya, tidak ada yang kurang pada Ishaan melainkan label-label silam yang membantutkan semangat. Hal ini diselangi dengan lagu Kholo Kholo yang amat menarik itu.
Ishaan memeluk gurunya sambil menangis |
Apabila Ishaan dinobatkan sebagai johan dan mengalahkan gurunya sendiri, Ishaan yang keharuan lantas memeluk gurunya. Di sinilah, bagi orang yang menghayati perjalanan cerita ini, akan mengalirkan air mata keharuan yang teramat sangat. Aamir Khan berjaya membuat kita sama-sama gembira dengan Ishaan. Seolah-olah Ishaan telah melepas 9 tahap permainan video yang sukar lalu berjaya, dan kita sama-sama meraikannya dengan sebutan juara.
Keseluruhannya, sebagai penonton, saya angkat topi untuk filem ini. Apatah lagi, ini merupakan 'directorial debut' bagi Aamir Khan. Sememangnya menakjubkan apabila Aamir Khan dapat menghasilkan filem sebegini. Memandangkan sejarah lakonan Aamir Khan juga menyaksikan bahawa beliau amat cerewet memilih watak. Saya kira saya faham jika beliau dapat menghayati jiwa seorang pengarah dan menterjemahkannya di dalam Taare Zameen Par ini. Sudut penataan cahayanya juga amat menarik. Terutamanya ketika Ishaan sedang mengalami kemurungan yang amat teruk. Keadaan asramanya sengaja digelapkan demi mewakili jiwa Ishaan yang luluh. Dan juga ketika pencerahan ke atas diri Ishaan apabila pada waktu subuh, Ishaan keluar dari asramanya dan pergi ke pinggir bukit di mana kelihatan kolam kecil yang indah. Mungkin Ishaan cuba mengenang kembali imaginasi lamanya yang telah terpadam dek kerana kesedihan yang dialami.
Nyanyian. Ya, Hindustan tetap tidak dapat lari dari tradisinya iaitu nyanyian di dalam filem. Apa yang saya dapat katakan, nyanyian di dalam filem nyatalah jauh berbeza daripada nyanyian seperti filem Kuch Kuch Hota Hai mahupun Kabhi Kushi Kabhie Gham yang bagi saya semata-mata menunjuk-nunjuk kehebatan hero dan heroinnya menari. Sebaliknya, nyanyian di dalam Taare Zameen Par amat 'berhantu' kerana ia tidak dipaparkan melalui tarian, sebaliknya ia berjalan sepanjang beberapa babak yang berbeza-beza, seperti ketika Ishaan melarikan diri dari kelas, ketika beliau mengalami kemurungan di sekolah asrama dan ketika beliau ditinggalkan oleh ibu bapanya. Namun, ketika itu lagu yang dinyanyikan adalah buat emaknya, bukan ayahnya malah bukan abangnya. Di situ, saya kira Aamir Khan sengaja cuba mengingatkan kita kembali, bahawa sememangnya jiwa ibu lebih dekat dengan anak berbanding ayah.
Begitu juga dengan lagu tema filem in, Taare Zameen Par melalui tiga babak berbeza, iaitu babak ketika anak-anak kecil sedang membuat persembahan, kedua ketika abang Ishaan sedang bertanding di dalam pertandingan tenis dan nyata dia tewas kerana hilang fokus lantaran merindukan adiknya, dan ketiga ketika Shankar berada di dalam bas menuju ke rumah Ishaan demi membincangkan masalah Ishaan dengan ibu bapanya. Namun, buat seketika, Shankar berhenti seketika untuk minum di sebuah warung (dhaba) sambil menemani seorang budak kecil makan.
Kemudian, lagu terakhir yang dimuatkan di dalam filem ini ialah Kholo Kholo sebagai pengiring kepada babak kanak-kanak dan guru-guru melukis.
Bagi saya, keseluruhan filem ini adalah indah. Ianya akan menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang cuba melunakkannya dengan menonton sebuah kisah yang penuh dengan nilai pengajaran, namun bukan disampaikan dengan cara 'khutbah' mahupun 'serban jubah celak' seperti kebanyakan filem atau drama kita. Sebaliknya, ia dipaparkan dengan nilai sebuah filem yang tinggi, namun masih mudah untuk ditonton. Ianya mungkin sedikit mengganggu jiwa dek kerana lakonan Darsheel Safary yang amat berkesan dan jujur. Begitu juga dengan Aamir Khan yang membawa watak gurunya dengan baik, meskipun ada beberapa babak yang sengaja 'dilebih-lebihkan'. Ya, sememangnya babak yang dilebih-lebihkan itu adalah biasa bagi filem Hindustan. Namun, ianya tetap sesuai pada tempatnya dan bukan merepek-meraban.
Tahniah buat Aamir Khan dan Darsheel Safary, kerana menghadiahkan kami dengan filem sebaik ini, sebagai peringatan dan pengajaran yang berguna.
6 comments:
Filem ini amat sesuai untuk menghidupan hati-hati yang mati. MasyaAllah. Memang sangat mendidik... Bagi saya, filem ini menterjemahkan nilai yang patut dipegang oleh setiap guru yang menggelar diri mereka pendidik, iaitu "EVERY CHILD IS SPECIAL". Andai semua guru berpegang dengan kata-kata ini, tidak akan ada murid yang tercicir dan kemudian dianggap sebagai sampah masyarakat..
Ye, semua kanak-kanak itu istimewa. :-)
Terima kasih kerana sudi membaca... :-)
tgk dr preview mcm best..nk cari laa citer nih
Fid,
Ini 'link' Youtube untuk filem ini... :-)
http://www.youtube.com/watch?v=mx3_iAWU5ko
Klik CC untuk sarikata... :-)
Melalui filem inilah...saya baru blh mngesan kelemahan ank saya..rupa2 nya ank sya ada disleksia. Ank mcm ishaan. Suka berimaginasi..melukis. Dlm bidang akademik..cukup lemah..sya sbg ibu.. Sntiasa brusaha utk lkukan yg trbaik.
Pn. Nie,
Mudah-mudahan anak puan akan menjadi seseorang yang membanggakan ibu dan ayahnya, walaupun di dalam keadaan diuji dengan penyakit sebegitu...
Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang...
Post a Comment