Nuffnang

Sunday, September 29, 2013

ASSOLATUWASSALAM


Kalau ada orang yang tertanya-tanya tentang penyanyi yang mendendangkan lagu Assolatuwassalam itu, suka saya beritahu bahawa itulah dia penyanyi asal lagu tersebut, iaitu Ustaz Amal, atau nama penuhnya Amaluddin.

Beliau dahulunya bersama-sama dengan Raihan ketika merakamkan lagu ini untuk album Puji-Pujian dahulu, dan lagu ini sama-sama 'hits' dan terkenal dengan lagu Puji-Pujian itu sendiri. Dahulu, TV3 bahkan menyiarkan video klipnya ketika siaran berada di penghujung malam. Hal itu saya masih ingat dengan jelas kerana ketika ianya disiarkan, saya sedang berbaring di atas kerusi panjang di rumah sambil diurut oleh nenek saya. :-)


Lagu ini akan terus menjadi lagu yang mampu menenangkan jiwa saya yang resah... Semuga begitulah jua hendaknya kepada anda semua...

Thursday, September 19, 2013

LAMA TAK 'UPDATE'

Hmm... agak lama jugak (atau sangat lama sebenarnya ?) aku tak meng'update' blog. Walaupun aku tau tak seramai mana pun orang yang membaca blog aku ini, tapi apabila berhasil menulis satu-satu entri itu (walaupun pendek), ia memberi semacam satu kepuasan. Puas yang macam mana ? Emm...perasaan puaslah. Macam kita meluahkan perasaan kita pada orang yang kita sayang, kan rasa puas.

Ok, bermula daripada pertengahan 2011, aku dah jarang-jarang menulis di sini. Kebanyakan daripada aku luahkan di FB saja. Hmm...itu pun bukanlah cerita yang terlalu peribadi. Tambahan pulak, ketika itu aku tengah serabut menyiapkan projek sarjana muda, maka 'bersarang labah-labahlah' blog ini. Kalau dulu, setiap tarikh yang istimewa (contohnya hari bapa ke, hari ibu ke, maulidur rasul ke), paling kurang, aku akan siapkan satu entri demi untuk 'menghargai' tarikh itu.

Pada waktu yang sama juga, aku bekerja sambilan di sebuah pejabat di UTM sebagai pelajar bekerja (di UTM, ada satu skim dipanggil Skim Pelajar Bekerja). Al-maklum, nak siapkan projek itu memerlukan wang. Kalau takde duit, amacam nak siap ? Nak mencari responden memerlukan duit minyak yang banyak sebab kita akan 'travel satu bandar (dalam kes aku, JB lah tentunya) untuk mencari responden yang merata di sana-sini. Bila dah siap itu semua, nak menjilid lagi. Itupun kena keluar duit jugak. Jadinya, adalah dalam ratusan ringgit aku habiskan untuk menyiapkan kerja begitu.

Akhirnya, aku selamat berkonvo pada bulan 5 (tahniah untuk diri sendiri yang 'struggle' di saat akhir, hahah). Dan skim aku pula tamat pada bulan 3. Selepas berkonvo, nak mencari kerja pulak. Cari punya cari, dapatlah aku bekerja sambilan di sebuah pejabat di Menara Ansar (aku lupa namanya), manakala pada masa yang sama aku juga mencari peluang pekerjaan lain. Nak dijadikan cerita, sekitar bulan 4, aku dapat tahu yang UTM buka beberapa jawatan kosong. Dan, salah satu jawatan yang ditawarkan ialah pembantu perpustakaan. Aku pun, dalam keadaan yang tidak bekerja tetap itu, mohonlah apa saja jawatan yang ada, dengan harapan satu dua jawatan itu akan memanggil aku untuk ditemuduga.

Dan, pada awal bulan 6, aku dipanggil untuk jawatan pembantu perpustakaan itu. Yang menariknya, dalam kes aku ini, sebelum itu aku juga pernah memohon jawatan itu, tapi aku tak pergi temuduganya. Jadinya, pada hemat aku, dah tentulah nama aku disenaraihitamkan. Tapi, lain pula jadinya. Aku dipanggil lagi sekali untuk ditemuduga. Aku anggap itu sebagai rahmat, maka aku pergilah dengan harapan menggunung. Selesai temuduga, selebihnya aku serahkan kepada Tuhan dan 'of course', pegawai yang menemuduga aku itulah.


Akhirnya, di penghujung bulan 6, aku diterima bekerja di PSZ UTM (Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM), tempat yang aku kira paling sibuk sekali di UTM selepas Arked Meranti. Hehe. Mungkin akan ada yang mempertikaikan seperti, "Hek eleh, apa barang belajar tinggi-tinggi, lepas tu kerja jawatan rendah ???"
Jadi, izinkan aku menjawab, "Suka hati akulah, selagi mana kerjanya halal di sisi Tuhan." Bagi aku, hal itu kita boleh usahakan berperingkat. Ada orang, awal-awal masuk ke alam pekerjaan dah ditawarkan jawatan yang besar dan bergaji tinggi. Bagi orang macam aku ini (yang dapat degree pun mungkin sebab kesian), mendapat pekerjaan yang tetap (tetap dalam erti kata kontrak yang lebih 'secure' berbanding kerja sementara atau sambilan) di sebuah universiti, itu saja dah boleh dikira permulaan yang baik di dalam kehidupan selepas belajar ini. Kawan-kawan aku yang lain mungkin dah boleh bermewah dan bermegah dengan jawatan, kereta dan gaji yang besar, malah ramai yang dah nak kahwin. Tapi bagi aku, izinkanlah aku memulakan langkah dengan tenang.





Semoga dengan ketenangan, kita bolehlah tetap dan istiqamah dalam bekerja. Siapa tahu di masa akan datang, Tuhan akan membuka jalan yang lebih luas untuk kita semua. Jalan yang sempit di permulaan itu bukanlah bermakna Tuhan tidak kasihkan kita, tetapi mungkin Tuhan hendak kita beringat, bahawa hidup tidak selalunya mudah dan bahagia. Adakalanya kita dilingkari dengan kesusahan dan kedukaan, tapi bersabarlah, kerana Tuhan itu senantiasa bersama dengan manusia yang sabar (dengan ujian dan cabaran, tentunya)...

Wallahua'lam...

P/s: Layan Segenggam Tabah dari In-Team.


Sunday, June 16, 2013

AYAHKU DAN CERITA SEBUAH PENGAJARAN

'Tapi kerinduan tinggal hanya kerinduan,
Anakmu sekarang banyak menanggung beban...'




Aku dengan ayahku.

Aku dapat ibaratkan bahawa hubungan kami berdua seumpama ada dinding penghalang. Dinding yang menghalang aku daripada bermesra-mesra, bergurau-gurau, bercerita-cerita dengannya. Begitu juga ayahku sendiri. Meski pada usia begini, aku tahu sewajarnya aku dengan ayahku menjadi kawan, berkongsi suka-duka kehidupan masing-masing, mendapatkan pengalaman. Namun, tidak begitu hakikatnya.

Kami terhalang.

Namun.

Darahnya mengalir di dalam badanku. Aku adalah sebahagian daripada hidupnya yang ranjau berliku. Aku tahu bahawa usia kecilnya tidak semudah aku ketika kecil. Hidupnya payah. Keringatnya senantiasa mencurah. Tubuh kecilnya telah pernah dikerah untuk kerja-kerja manusia dewasa. Arwah atukku dahulu khabarnya selalu menyuruh ayahku melakukan kerja-kerja itu - sama ada berkebun, menebas semak-samun mahupun menjaga lembu. Kerana itu, aku faham kalau sekiranya jiwanya itu keras. Keras di sini bukanlah semata-mata degil. Keras di sini bagiku lebih kepada kurang sifat nak bermanja-manja dengan anak. Pada usia kecil itu memanglah aku dan adik-adikku bermanja dengannya. Namun, bila usia meningkat, kemanjaan itu digantikan dengan sebuah emosi yang kadangkala susah untuk aku terjemahkan.

Nada suaranya garang, tapi bukan marah.
Perintahnya keras, tapi bukan semestinya dipatuhi.
Pujuknya juga keras, tidak meleweh-lewah.

Aku sebagai anak sulong merasakan bahawa ada sesuatu yang sedang cuba diperturunkan oleh ayahku kepada diriku. Entah apa agaknya. Kekadang aku cuba menilik-tilik sendiri. Mengamati setiap butir kata dan perilakunya. Kadangkala aku juga cuba belajar darinya tentang bagaimana menyelesaikan masalah yang bertandang di dalam hidup. Apa perlu aku mengalah atau membujur aku lalu, melintang aku patahkan ?

Hidup bukan mudah. Itu yang aku sedar. Jadi, orang yang paling dekat untuk aku memahami kesusahan hidup itu dah tentulah dari dirinya sendiri.

Kata orang, kesusahan dan kepayahan hidup yang kita lalui itu kadangkala menumbuhkan semacam kebijaksanaan di dalam diri kita. Ya, bijaksana ini lain daripada bijaksana kita dalam pembelajaran. Bijaksana di sini ialah bijaksana dalam menjalani hidup yang berliku. Percayalah, orang bijak pandai dalam pelajaran juga belum tentu bijak mengurus kehidupannya kelak. Tatkala rintangan dan halangan mula bertalu-talu bertandang di dalam hidup, malah ada yang langsung kecewa dan putus asa.

Aku tahu.

Ayahku itu, usia mudanya kuat.
Tapi aku.
Usia mudaku lemah.
Aku berpenyakit.
Aku tak dapat bekerja terlalu kuat.
Kadangkala aku cemburu dengan orang yang boleh bekerja kuat, mengerahkan seluruh tenaga mereka untuk sesuatu kerja itu. Bagi aku, orang seperti itu sangat 'ganteng' dan bersikap kelelakian sejati.

Aku tidak punya kekuatan itu.

Mungkin.

Itulah yang sedang ayah aku perturunkan kepada aku.

Dalam diam.

Sebuah kekuatan.

Kekuatan itu. Mungkin aku telah salah tafsirkan.

Kekuatan yang dimiliki ayah aku itu bukanlah semata-mata kudrat tubuh badannya.

Tetapi.

Yang paling utama adalah pada semangatnya.
Semangat yang tidak pernah pudar demi untuk anak-anaknya yang leceh dan membebankan.
Ya, anak adalah anugerah.
Namun, anak juga boleh menjadi beban.
Kalau anak itu tidak tahu menghargai usaha ayah dan ibunya.
Anak yang terlalu manja sehingga tidak ada satu kerja boleh dilakukan untuk kedua ibu bapanya.

Mungkin.

Ayah aku sedang mengajar aku begitu. Untuk tidak menjadi anak yang tidak boleh memberikan sesuatu kepada kedua orang tuanya.

Mungkin ayah aku tidak terlalu mengharapkan wang ringgit daripadaku.

Tapi, mungkin sekurang-kurangnya. Dia mengharapkan.

Agar.

Sekali-sekala.

Aku mengulurkan bantuan dari segi kudratku. Biarpun aku hanya membersihkan halaman rumah. Aku kira itu adalah satu penghargaan yang telah aku berikan kepada ayah dan ibuku.

Ayah aku juga cermat mengurus duitnya. Satu hal yang menjadi kelemahan ketara bagi aku.
Aku kurang mahir mengurus duitku sendiri.
Malah, kadangkala aku tidak dapat bezakan yang mana pembaziran dan yang mana tidak.

Teruja untuk mendapatkan sesuatu itu adalah kelemahan aku.
Orang ada sesuatu, aku mahukannya juga.

Mungkin.

Ayahku sedang mengajar aku sesuatu.
Iaitu erti syukur.
Kerana itu aku tidak diberikan segala-galanya yang aku minta.
Ada ketikanya dia berkeras dengan pendiriannya.
Maka jiwa kecilku remuk-redam kerana permintaan tidak ditunaikan.

Walaupun begitu.
Satu masa dan ketika.
Aku mula belajar sesuatu daripada kekerasannya itu.

Bahawasanya.
Terlalu mudah untuk mendapatkan sesuatu membuatkan aku kurang menghargainya.
Kerana kekerasan itu.
Aku perlahan-lahan belajar untuk menghargai.
Biarpun pemberian itu, hanyalah kecil sahaja.
Kerana menghargai pemberian itu, paling tidak aku telah membahagiakan orang yang memberi itu dengan penghargaanku.

Ayahku,
Umurnya semakin tua.
Kudratnya semakin kurang.
Matanya semakin kabur.

Kerana itu.
Kadangkala.
Aku merasa sangat terhormat.
Apabila.
Ayahku meminta pertolonganku.
Untuk kerja-kerja yang satu masa dahulu.
Hanya dia seorang saja yang lakukan.
Tanpa memerlukan bantuan sesiapa.

Ketika ini.
Dia memohon bantuan anaknya.
Anaknya yang sebenarnya cukup dia sayangi.
Cuma dia tidak terlalu memanjakannya.
Kerana dia tahu.
Anak yang terlalu dimanjakan hanya akan menyusahkan.
Bukan memudahkan...

Kerana itu.
Meski aku sudah dewasa begini.
Jika ayahku tidak ada di rumah.
Aku akan segera bertanya,

"Ayah pergi mana ???"

Secara tiba-tiba, aku seolah-olah kembali ke zaman kecilku.
Tatkala aku masih dimanjakan ayahku, sebagai anak kecil.
Apabila dia hendak keluar rumah saja, aku akan bertanya,

"Ayah nak pergi mana ?"

Maka, ayahku akan menjawab,

"Ayah nak pergi kerja..."

Aku hanya menunggu di rumah sehingga ayahku pulang, dan mula merengek nak itu-ini.

Sedangkan pada masa yang sama. Aku tidak pernah tahu. Bagaimana seksanya dia bekerja demi aku, ibuku dan adik-adikku.

Pernah satu ketika, aku tidak mahu melepaskan ayah aku untuk pergi kerja. Aku yang masih terbaring di atas tilam mahu dia terus memicit-micit kepala kecilku ketika itu. Ah, apa yang aku tahu ketika aku kecil.

Sekarang aku sudah dewasa.

Apabila aku mula merasa pengalaman bekerja, maka sedarlah aku.

Betapa peritnya mencari sesuap nasi untuk diri sendiri. Apatah lagi kelak untuk keluargaku pula.

Apa yang aku belajar dari ayahku ?

Sabar, dan teruslah bersabar.

Itulah pengajaran yang paling besar yang sedang diajar oleh ayahku, sehinggalah umurku sekarang.

Menjadi manusia sabar bukanlah mudah.

Kalau hidup selalu disuap dan dihulur, maka kuranglah sabar kita menghadapi hidup.
Kerana kita tidak bersusah-susah mencari sesuatu yang kita hajatkan.

Sedangkan.

Apabila kita diajar untuk berusaha sendiri.
Makanya, pada masa yang sama kita belajar untuk bersabar.
Sabar yang hakiki.

Ayahku tahu bahawa aku ini mudah hilang sabar.
Kerana itu aku selalu dimarahinya.
Kerana marahnya itu untuk mengingatkan aku.
Bukan membenci aku.

Oleh itu, aku senantiasa berdoa kepada Tuhan.
Supaya aku tidak pernah lupa mendoakan kedua orang tuaku.

Semoga Tuhan mengasihi ayahku dan juga ibuku yang semakin tua.
Seperti mana mereka mengasihiku sejak aku kecil hinggalah ke akhir hayatku nanti...

*Buatku ayahku yang dikasihi, ampunilah dosa anakmu ini...

SELAMAT HARI BAPA.

Saturday, June 15, 2013

TAK SELAMANYA


Tiada yang kekal abadi.

Kadang-kadang betapa kita melupakan hakikat ini. Hakikat yang sememangnya akan dan pasti terjadi.

TIDAK SELAMANYA.

Ada banyak perkara kalau kita perhatikan sememangnya menepati frasa 'tidak selamanya' ini.

Tidak selamanya kita menjadi kawan.
Tidak selamanya kita menjadi musuh.
Tidak selamanya kita menjadi kaya.
Tidak selamanya kita menjadi miskin.
Tidak selamanya kita tidak berpelajaran.
Tidak selamanya kita berpangkat rendah.
Tidak selamanya kita disanjung dan dipuja.
Tidak selamanya kita berkasih sayang.
Tidak selamanya kita tersenyum.
Tidak selamanya kita bersedih.
Tidak selamanya kita susah.
TIdak selamanya kita senang.

Kerana itulah dunia itu diibaratkan sebagai roda. Bulat dan senantiasa berputaran.

Kalau kita katakan yang kita mempunyai kawan, percayalah bahawa tidak selamanya kawan itu akan bersama kita. Kerana apabila sampai satu masa si kawan itu mendapat keseronokan yang lain, kita akan ditinggalkan. Hal itu adalah biasa.

Kawan kita juga tidak akan selamanya memuji kita. Sampai satu masa nanti dia akan mengeji, mengutuk dan menghina kita pula.

Begitulah juga dengan hal-hal lain seperti kesenangan dan kesusahan. Pada satu ketika, kita akan merasa susah yang teramat sangat. Namun, tidak selamanya kita akan merasa begitu. Mungkin pada satu masa, kita akan diberi sedikit kesenangan oleh Tuhan.

Kalau kita adalah ikon, pada masa sekarang kita akan disanjung dan dipuja. Walaupun begitu, apabila sampai satu masa, kita akan dihina pula.

Demikianlah dunia. Tidak ada yang kekal abadi, termasuklah perasaan di dalam hati.

Paling utama, tidak selamanya kita akan hidup. Kerana pada satu masa, kita PASTI akan mati. Itulah hakikat yang paling utama.

Sunday, June 09, 2013

LATIFAH OMAR MENINGGAL DUNIA

Oh Tuhan, baru sekejap kita diberitakan akan kematian pelakon tersohor S. Shamsudin. Kini, kita sekali lagi dikejutkan dengan pemergian Latifah Omar, seniwati anggun sepanjang zaman.


Arwah Latifah Omar sering digandingkan bersama dengan arwah Noordin Ahmad di dalam filem, dan hampir kesemuanya merupakan filem bercorak purba. Sebagai contoh, filem Lanchang Kuning, Hang Jebat, dan juga Gurindam Jiwa. Kita dapat saksikan betapa serasinya mereka di dalam filem. Begitulah hebatnya karisma kedua-dua pelakon ini.

Saat beliau hendak digilis si Lanchang Kuning sebagai korban semah

Kini, Latifah Omar sudah tiada. Beliau juga telah pergi meninggalkan kita. Yang tinggal hanyalah kenangan-kenangan yang ada di dalam filem-filem lakonan beliau. Satu ketika di Kuala Lumpur, Latifah Omar pernah berlakon bersama-sama dengan P.Ramlee di dalam filem Putus Sudah Kasih Sayang.

Bersama P.Ramlee di dalam filem Putus Sudah Kasih Sayang

Amat menyedihkan, watak Latifah Omar di dalam filem itu akhirnya mati dek kerana kemalangan.

Tentu juga kita masih ingat lakonan berkesan beliau di dalam filem Lanchang Kuning, di mana saat beliau hendak menjadi korban si Lanchang Kuning dek kerana dendam kesumat Panglima Ali yang tidak dapat menawan hatinya. Tangisan, rayuan dan jeritan Latifah Omar di dalam filem itu akan diingati sampai bila-bila.

Latifah Omar dan pengarah B.S. Rajhans (cermin mata hitam)


Ya, masih juga kita ingat saat beliau bersedih hiba tatkala mengetahui suaminya, Hang Jebat sedang bertarung dengan nyawanya setelah ditikam oleh Hang Tuah.

Kita juga akan terus mengingati beliau sebagai Bawang Merah yang bersih hati nurani lalu dikurniakan Tuhan sebatang pohon untuk menghilangkan sunyi. Malah nyanyiannya pula telah menawan hati seorang raja.

Di dalam filem Gurindam Jiwa

Dan, sudah tentulah juga kita tak akan lupa saat beliau mendendangkan Gurindam Jiwa, antara gurindam Melayu paling indah pernah dihasilkan oleh pencipta lagu.

Hilangnya seorang lagi insan seni yang telah berjasa kepada dunia perfileman Melayu.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali.

Al-Fatihah...

Laporan dari Utusan:

KUALA LUMPUR 9 Jun - Pelakon veteran Latifah Omar meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada usia 74 tahun kerana menghidap komplikasi pelbagai penyakit termasuk ulser pada kira-kira pukul 6 petang ini. 
Menurut pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof yang juga rakan baik Allahyarham, seniwati yang merupakan pelakon era tahun 1950-an itu sebelum ini telah menjalani pembedahan pada bahagian perutnya dan tidak sedarkan diri selepas pembedahan tersebut. 
“Allahyarham menjalani pembedahan pada pukul 2 petang semalam di HUKM dan semasa saya melawatnya pada 6 petang, dia tidak sedarkan diri dan petang tadi saya dimaklumkan beliau sudahpun meninggal dunia," katanya sewaktu dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130609/dn_51/Latifah-Omar-meninggal-dunia#ixzz2VjVdmXHn © Utusan Melayu (M) Bhd 
Di bawah ini saya sertakan entri yang saya petik daripada blog lain, di mana ia menceritakan tentang perkembangan lakonan Latifah Omar satu ketika dahulu.

Seniwati Latifah Omar – lagenda


June 28, 2007


CUPLIKAN DARI: Zainuri Misfar

BERITA HARIAN ONLINE – Khamis, 28 Jun 2007
 
Elak jumpa kerana berasa kekok mengenai panggilan sesuai untuk seniwati bertahi lalat
 
TETAMU yang datang mengikuti program Imbas Kembali… Latifah Omar yang diadakan di Galeri Perfileman, Jalan Pahang Kecil, Setapak di ibu negara, baru-baru ini, terpinga-pinga apabila moderatornya, Aimi Jarr memaklumkan seniman veteran, Tan Sri Jins Shamsudin pernah menjadi anak tiri kepada seniwati terkenal itu.
 
Kenyataan Aimi itu bukanlah satu babak lakonan dalam filem, malah Jins sendiri mengaku seniwati yang terkenal dengan tahi lalat di bawah bibirnya itu, adalah ibu tirinya. Ia terjadi ketika seniman veteran itu berkahwin dengan isteri pertamanya, Rahmah Rahmat (Allahyarham).
 
“Bapa mentua saya Rahmat Ali adalah seorang pemuzik bangsawan, bermain trumpet. Dengan izin Allah, beliau bernikah dengan Latifah Omar, jadi secara tidak langsung menjadi bapa mentua tiri.
 
“Susah juga saya nak panggil dia. Nak panggil ibu, dia lebih muda dari saya. Kerana kekok hendak panggil apa pada dia, saya jarang jumpa dengannya,” katanya.
 
Bagaimanapun, kata Jins, beliau tidak lupa dengan keluhuran Latifah Omar apabila membantu merawatnya selepas terjatuh dari kuda.
 
“Apabila dapat tahu saya jatuh dari kuda, Latifah segera datang membantu merawat saya. Itu yang saya tidak dapat lupa sampai bila-bila. Saya menganggapnya sebagai ibu, kakak, teman, sahabat dan saudara.
 
Cuma saya tidak sempat berlakon bersamanya kerana saya bekerja dengan studio Shaw Brothers, dia pula di Cathay Keris. Saya harap kalau ada peluang dapat berlakon bersama, walaupun jadi datuk dan nenek,” katanya.
 
Seorang lagi seniman veteran, Datuk Aziz Sattar pula menganggap hubungannya dengan Latifah sangat akrab sehingga dirasakan seniwati itu seperti adik kandungnya sendiri.
 
Katanya, beliau mula mengenali Latifah pada tahun 1953 kerana sering bertemu di studio atau di rumah. “Saya anggap sebagai adik, dia tidak pernah bertengkar tetapi suka ketawa. Bila dia masuk hospital baru-baru ini, saya menggeletar, saya jadi menangis sebab saya terlalu sayangkan dia,” katanya.
 
Aziz berkata, disebabkan hubungan dengan Latifah yang sangat rapat itu menyebabkan timbul salah faham dari isterinya pada waktu itu, Dayang Sofia.
 
“Waktu itu susah nak jumpa dia. Saya di Singapura tetapi Latifah tinggal di Johor Bahru. Satu hari ketika memandu, saya terserempak dengan Latifah dan kami berhenti di tepi jalan. Latifah peluk dan cium saya.
 
“Bila balik rumah, saya gaduh dengan Sofia sebab cemburu. Berulang kali saya jelas yang Latifah hanyalah adik saja. Dua hingga tiga minggu saya tak cakap dengan Sofia kerana itu,” jelas Aziz.
 
Sementara itu, pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, berdasarkan kajian secara akademik oleh beliau dan pelajarnya, Latifah seorang pelakon yang meluahkan atau melepaskan wataknya dengan sepenuh hati tetapi secara bijaksana.
 
“Apabila dibandingkan dengan pelakon terkemudian, saya rasa tiada siapa yang mampu terambil tempatnya.
 
“Dalam filem Gul Bakawali (arahan B.N Rao, 1953), kami berdiri berasa dahsyat dengan cara lakonannya. Bersama seniman Nordin Ahmad dalam filem Hang Jebat (arahan Hussain Haniff, 1961), lakonan Latifah Omar cukup mengkagumkan membuatkan kami berasa beliau antara seniwati agung yang pernah lahir dalam dunia filem Melayu.
 
“Saya dan pelajar saya berasakan sesuai untuk memperkenalkan satu kaedah baru, kaedah Latifah Omar dan gaya lakonan dalam filem Melayu,” katanya.
 
Gelaran ‘macam kayu’ suntik semangat untuk baiki lakonan
 
P RAMLEE dan S Ramanathan pernah kata saya ini macam kayu, bila diikat dengan tali barulah boleh bergerak,” kata Latifah Omar menceritakan pengalamannya ketika pertama kali menjalani uji bakat untuk filem Panggilan Pulau pada tahun 1954.
 
Bagaimanapun, katanya, beliau langsung tidak berkecil hati dengan pandangan sedemikian kerana menyedari dirinya memang bukan seorang yang berbakat dalam lakonan walaupun ibunya, Rahmah Kassim ialah pelakon tambahan dalam filem keluaran Cathay Keris.
 
Bila tidak ada penggambaran, saya datang ke studio tengok bagaimana Normadiah berlakon, menyanyi, menari tengok hidung dia, mata dia. Dari situ saya fikir, tidak ada apa-apa perbezaan antara saya dengan Normadiah. Saya pun ada hidung, ada mata, kalau Normadiah boleh, kenapa saya tidak boleh (berlakon),” katanya.
 
Filem Panggilan Pulau arahan S Ramanathan bukanlah filem pertama kerana sebelum itu beliau sudah diperkenalkan ke layar perak pada usia 14 tahun menerusi filem Dahlia arahan BS Rajhans pada 1953.
 
“Pada 1948, saya ikut ibu berhijrah ke Singapura. Pada 1953, ibu saya turut berlakon dalam filem Dahlia, jadi pelakon tambahan. BS Rajhans tanya saya nak berlakon tak? Ketika itu, saya masih malu sebab belum pernah bercampur.
 
“Apa tidaknya, macam mana hendak bergerak kalau dikelilingi empat hingga lima lelaki. Akhirnya saya hanya diminta duduk, berdiri, bangun dan jalan saja dalam filem itu,” kata seniwati yang terkenal dengan jolokan ‘bintang bertahi lalat’ yang melekat di bahagian kiri bibirnya.
 
Seniwati ternama era 50-an dan 60-an, Latifah Omar berbicara demikian dalam program Imbas Kembali… anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Galeri Perfileman, Jalan Pahang Kecil, Setapak di ibu negara, baru-baru ini. Bersama-samanya ialah dua pelakon dari Studio Cathay Keris, Datuk Mustapha Maarof dan Wahid Satay manakala Aimi Jarr pula sebagai moderator.
 
Turut hadir Datuk Aziz Sattar, Zaiton, Hashimah Yon, Neng Yatimah, Hussien Abu Hassan, Mariani, Salmah Ahmad, Datuk A Rahman Hassan dan Mustapha Ton.
 
Mustapha berkata, beliau mengakui jatuh cinta pandang pertama apabila pertama kali melihat Latifah datang menemani ibunya berlakon dalam studio Cathay Keris.
 
“Masa itu saya kerja di konti dengan Kassim Masdor. Saya kenal dia masa datang ke studio untuk berlakon filem Dahlia dan masa itu umurnya dalam 14 tahun. Selepas berlakon filem itu, dia hilang begitu saja. Bila timbul, tahu-tahu dia ada di studio Shaw Brothers, dapat tawaran berlakon dalam filem Panggilan Pulau. Dia dapat watak utama. Dari situlah dia mula berjaya sebagai pelakon,” katanya.
 
Bagi Wahid Satay pula, beliau tidak dapat melupakan detik cemas apabila lancang (kapal layar) yang digunakan sebagai set utama dalam filem Lanchang Kuning arahan M Amin pada 1962 hampir menggilis Latifah.
 
“Dia (Latifah) sering dapat watak yang dahsyat. Tapi dia selalu ok. Apa yang pengarah suruh buat, dia ok saja. Ketika berlakon filem Lanchang Kuning, penggambarannya sering ditangguh hingga enam hari kerana asyik hujan selain setnya yang tidak siap.
 
“Tiba pada masa ditetapkan, dia baring di atas landasan kononnya untuk aksi dia digilis lancang. Apabila dia baring, tiba-tiba tali yang mengikat lancang putus, menyebabkan Nordin Ahmad dan pelakon tambahan lain menjerit, menyelamatkan Latifah.
 
“Kalau tidak, saya rasa badan dia tinggal separuh digilis kapal. Akibat kejadian itu, saya demam tiga hari, sebab terkejut dengan kejadian itu dan sebab saya sayangkan dia,” katanya.
 
Latifah pula semasa mengimbas kejadian itu berkata, peristiwa berkenaan memang tidak pernah dilupakan dan beliau memang sangat terkejut, lalu meminta pengarah menangguhkan selama sehari untuk penggambaran babak itu.
 
Bagaimanapun, itu semua tidak menjejaskan tanggungjawabnya sebagai pelakon. Bekerja dengan pelbagai pengarah menyebabkan beliau sudah ‘masak’ dengan kerenah dan pendekatan arahan masing-masing.
 
Dalam filem Hang Jebat, pengarahnya Hussien Hanif sangat teliti dalam filem arahannya. Dia suruh saya masuk dalam kolam yang penuh dengan karbaid dan menyelam sehingga badan saja jadi gatal-gatal.
 
Untuk filem Patong Chendana, pengarah M Amin suruh saya masuk dalam air kotor. Terpaksalah juga saya ikut. Apa nak buat kerana itu kerja kita. Ikut sajalah kehendak pengarah walaupun tak suka,” jelasnya.
 
Aimi Jarr yang memulakan program ini dengan mukadimah meleret-leret selain memberi peluang banyak pihak bercakap membuatkan tidak banyak yang diperkatakan Latifah sendiri mengenai pengalaman suka dukanya sebagai bintang filem terkenal.
 
Walaupun diakui mempunyai pengalaman dan hubungan rapat dengan seniman dan seniwati veteran, sebagai moderator, Aimi seharusnya lebih fokus kerana tetamu yang hadir hendak mendengar Latifah yang sepatutnya banyak bercakap.
 
Begitupun, Aimi sempat menyatakan P Ramlee hampir mengahwini Latifah tetapi dibatalkan selepas terlihat gambar pelakon itu terpampang di majalah. Ini diakui oleh Latifah.
 
“Dia tak jadi kahwin dengan saya mungkin selepas tengok gambar saya pakai baju mandi di sebuah majalah hiburan. Gambar itu diambil ketika saya bersama Saadiah dan Raja Hamidah sedang berkelah di pantai,” katanya.
 
Majlis ini diakhiri dengan serangkap pantun daripada Latifah yang dipetik daripada filem Gurindam Jiwa arahan M Amin pada tahun 1965 iaitu, “tuai padi antara nampak, esok jangan layu-layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan”. 

Petikan daripada blog:

http://derstrasse.wordpress.com/2007/06/28/seniwati-latifah-omar-lagenda/

Wednesday, June 05, 2013

AKU MEMBESAR DENGAN FILEM-FILEM P.RAMLEE (1)

Beberapa ketika dulu aku telah menulis di bawah pengaruh yang sama, iaitu P.Ramlee. Namun, sirinya ialah 'Aku Membesar Dengan Lagu-lagu P.Ramlee'. Ada empat siri penulisan yang telah aku hasilkan, dan ianya berkisar kepada lagu-lagu beliau yang amat aku minati.

Aku letakkan 'link' di sini untuk mereka yang masih belum membacanya:

a) Siri 1
b) Siri 2
c) Siri 3
d) Siri 4

Setelah aku menulis berkenaan dengan P.Ramlee dan Azizah semalam, tiba-tiba aku rasa aku nak menulis tentang filem-filem beliau yang telah lama aku ikuti, sejak dari kecil dulu. Serius, pengaruh filem-filemnya bukan kecil, tapi sangatlah besar dalam hidup aku ni. Kadangkala sampai begitu banyak sekali 'rujukan' dari filem beliau yang aku gunakan dalam perbualan seharian aku, terutamanya dalam kalangan keluarga aku sendiri. Hehehe.

Okey, mungkin seeloknya aku bercerita bermula dengan filem beliau sekitar tahun 40-an. Ya, filem-filem beliau pada dekad ini aku tak berminat sangat atas beberapa sebab. Antaranya:


  • penggunaan dialog baku oleh para pelakon (mungkin kesan daripada pengarah ketika itu yang bukannya orang Melayu, tetapi orang India, dan juga kesan daripada penterjemahan skrip daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu),
  • Emosi yang ditonjolkan oleh para pelakon ketika itu lebih berat kepada ala Hindustan,
  • P.Ramlee sangat kurus dan tidak 'hensem',
  • elemen komedi lebih kepada slapstik ala-ala Charlie Chaplin.


Namun begitu, ada satu filemnya pada ketika ini yang berjaya menambat hati aku, iaitu filem IBU. Filem ini diarahkan oleh S. Ramanathan. Pelakon utama filem ini dah tentulah P.Ramlee sendiri dan juga rakan baiknya Neng Yatimah. Menariknya, nama komersial Neng Yatimah itu diberikan oleh P.Ramlee sendiri apabila beliau mendapat tahu yang Neng Yatimah itu berdarah Jawa.


Filem ini mengisahkan anak yang lupa diri kerana seorang perempuan sehingga mengabaikan ibunya sendiri. 'Simple' bukan ? Namun untuk era itu, filem seperti ini dah tentulah membawa kisah yang berat, iaitu pengabaian seorang anak terhadap ibunya lantara leka dengan seorang gadis yang buruk akhlaknya. Ya, sehinggakan P.Ramlee membenci gurunya sendiri yang telah membimbingnya hingga menjadi artis yang berjaya. Amacam, bukan ke hal seperti itu berlaku terhadap artis zaman sekarang ?

Kenapa aku menyukai filem ini ? Kerana salah satu lagu nyanyian beliau, iaitu Ibu. Dari situ barulah aku tahu siapa dia penyanyi asal lagu 'Ibu, engkaulah ratu hatiku, bila ku berduka, engkau hiburkan selalu...'

Namun begitu, untuk filem ini, lagu-lagunya telah dicipta oleh Ahmad Jaafar. Beliau boleh dilihat bermain piano di dalam filem itu.

P.Ramlee pada ketika ini masih lagi menggayakan 'trademark' seluar 'gedoboh' dan baju lengan panjang dilipat sampai ke siku. Ketika ini beliau tidak begitu kacak kerana terlalu kurus kering dan berjerawat batu yang jelas kelihatan di wajahnya.

Segala-galanya berubah apabila P.Ramlee mula berlakon dan mengarah untuk filem PENAREK BECHA.



Pada asalnya, aku memang tidak begitu berminat dengan filemnya yang ini kerana beliau tidak memasukkan elemen komedi. Ya, mungkin kerana P.Ramlee ingin mengambil sikap berhati-hati memandangkan ini filem pertama arahannya. Mujurlah beliau telah terlebih dahulu berpengalaman sebagai budak studio, jadi sudah tentulah sedikit sebanyak beliau faham bagaimana krew filem bekerja. Kemudian, beliau juga telah banyak berlakon sebelum mula mengarah. Oleh itu, beliau tentulah telah faham bagaimana hendak memberi arahan kepada pelakon di bawah arahannya. 

Namun, seperti mana yang dikhabarkan oleh ramai pihak, P.Ramlee memang masih berat ke arah elemen Hindustan untuk filem ini. Luahan emosi beliau dan juga watak heroinnya Azizah lakonan Saadiah Baharum amatlah Hindustan jika kita perhatikan. Walaupun begitu, ada beberapa babak yang aku lihat cuba disesuaikan dengan sosio-budaya masyarakat Melayu. Contohnya seperti perbualan anak-beranak Udo Omar, Saadiah dan emaknya selepas Saadiah pulang dari belajar menjahit yang santai. Kemudian babak di mana Saadiah belajar menjahit. Satu hal yang menarik, guru menjahit yang dilakonkan oleh Mak Dara aku lihat dari dari 'trademark' biasa pelakon ketika itu yang bertutur dengan bahasa baku, termasuklah P.Ramlee sendiri. Mungkin dari situlah bermula titik tolak perubahan filem Melayu yang menggunakan bahasa Melayu baku kepada bahasa Melayu pertuturan biasa kita sehari-hari. P.Ramlee mungkin secara halus cuba 'bereksperimen' di situ. Mungkin saja ya.

Namun begitu, P.Ramlee telah maju selangkah lagi apabila beliau juga bertindak sebagai pencipta lagu untuk filem ini. Sudah semestinya untuk filem ini, lagu yang paling popular ialah Azizah dan Engkau laksana Bulan.


Tetapi, bagi aku, lagu yang paling aku suka di dalam filem ini ialah Dengarlah Sang Ombak Berdesir. Aku tak tahu puncanya tapi lagu ini amat istimewa bagi aku. P. Ramlee telah berjaya menghasilkan sebuah lagu dengan suara harmoni yang dialunkan dengan baik oleh penyanyi latarnya. Ditambah pula dengan suara Momo Latiff yang klasik itu.


P.Ramlee telah mengajarkan kita pengajaran yang mudah tetapi sangat penting untuk kita, iaitu janganlah kita bersikap sombong terhadap orang miskin, kerana pada satu masa dan satu ketika, merekalah yang akan membantu kita. Ditambah pula, mereka juga manusia yang mempunyai untuk hidup di atas muka bumi ini. Bantulah mereka dengan kekayaan kita, mudah-mudahan kita diberkati.



Baik, filem SEMERAH PADI adalah filem kedua arahan P.Ramlee. Dan, filem ini langsung jauh berbeza daripada filem Penarek Becha arahan pertama beliau. Penarek Becha diarahkan pada tahun 1955 manakala Semerah Padi ini diarahkan pada tahun 1956. Menurut Aziz Sattar, filem inilah yang sebenar-benarnya mengangkat P.Ramlee sebagai pengarah filem Melayu terulung apabila beliau berani membuat perubahan tatkala penonton filem masih lagi asyik dengan filem-filem bergaya Hindustan. Beliau mengubah tema penceritaan, set, kostum, penataan cahaya, dialog dan juga muzik. Meskipun sebelum filem ini, P.Ramlee telah membintangi filem Hang Tuah yang diarahkan oleh Phani Majumdar. Namun begitu, memandangkan Phani Majumdar adalah pengarah dari India, kesannya dilihat jelas juga pada filem itu, di mana masih ada elemen Hindustan di dalamnya, meskipun filemnya bercorak purba.

Berbalik kepada filem SEMERAH PADI, P.Ramlee juga telah mengubah corak pertuturan dialog para pelakonnya, sesuai dengan filem bercorak purba. Malah temanya sendiri sudah dilihat 'terlalu berani' untuk sebuah filem ketika itu, iaitu berkisar tentang Islam dan hukum-hakam syariahnya. Malah timbul pula kontroversi apabila P.Ramlee dikritik kerana hukuman sula yang dijatuhkan kepada pesalah zina, sedangkan tidak ada dalam Islam. Sedangkan apabila kita selidik, perkara itu memang ada kerana ketika itu masyarakat Melayu masih mengamalkan undang-undang adat. Si pesalah zina itu bukan saja berzina, malah mereka membunuh orang yang tidak berdosa.

Ok, tentang lakonan, aku amat suka stail yang telah dipupuk oleh P.Ramlee kepada rakan baiknya Noordin Ahmad (al maklum, kedua-duanya orang utara). Dari sinilah ketokohan beliau sebagai pelakon filem purba mula terserlah. Begitu juga dengan stail P.Ramlee sendiri yang aku lihat seakan-akan cuba untuk tidak terlalu menonjol sedangkan beliau adalah pelakon utama, sebaliknya beliau semacam sengaja untuk dibayangi kehebatan Noordin Ahmad di dalam filem ini. Saadiah ? Ah, tak usah cerita, beliau tetap hebat dengan gayanya sendiri yang unik. Aku boleh bayangkan Saadiah mengawal pernafasannya untuk dialog-dialog yang memerlukan beliau untuk lebih 'feeling', terutama apabila Aduka (P.Ramlee) dilihat jelas cuba menjauhi Dara (Saadiah) lantaran beliau telah bertunang dengan Taruna (Noordin Ahmad). Oh ya, di dalam filem ini juga, sekali lagi Salleh Kamil memegang watak jahat selepas filem Penarek Becha. Beliau yang membawa peranan Borek sebagai kepala penjahat telah melakonkan wataknya dengan baik sekali, ditambah pula kelincahannya di dalam aksi perlawanan dengan P.Ramlee. 

Tentang set, aku memang tabik kepada P.Ramlee dan krew beliau untuk set filem ini. Kawasan kampung dan hutan itu sememangnya dibina di dalam studio. Namun, kehebatan penataan cahaya dan sudut kamera telah menjadikan set itu kelihatan sangat 'real'. Sehingga sekarang, aku masih tertanya-tanya bagaimana mereka membina set pokok-pokok hutan itu di dalam studio mereka. Cuma ada beberapa keadaan saja di mana P.Ramlee menggunakan latar di luar studio seperti di tanah sawah dan juga sungai tempat perahu nelayan berlayar.

Dan, yang paling kerap dibincangkan ialah pengaruh filem luar untuk filem ini. Dikhabarkan bahawa P.Ramlee amat terkesan dengan sebuah filem tersohor dunia iaitu Rashomon yang diarahkan oleh Akira Kurosawa. Oleh itu, ada beberapa 'shot' di dalam filem ini digunapakai oleh P.Ramlee, iaitu babak Aduka mencari Dara dan juga babak Borek cuba merogol Dara. Rashomon diterbitkan pada tahun 1950, manakala filem ini diterbitkan pada tahun 1956. Makanya, tidak diketahui bila agaknya P.Ramlee menonton Rashomon itu.

Pada asalnya, aku tidak mengetahui sangat tentang filem ini ketika aku kecil. Aku mula menonton filem ini berulang kali ketika aku bersekolah menengah, kerana pada mata aku, filem yang ini amat berbeza sekali. Ya, ketika ini, P.Ramlee masih belum mengarahkan sebarang filem komedi. Oleh itu, dapat aku simpulkan sememangnya komedi bukanlah pilihan utama P.Ramlee apabila mengarah filem. Namun, apabila beliau diminta untuk mengarah sebuah filem komedi, beliau tidak pula mengarahkannya dengan sambil lewa. Habis dicurahkan segala jiwa dan raganya untuk filem itu. 

Di dalam filem Semerah Padi, aku melihat kisah ketaatan anak-anak kepada kedua ibu bapa yang tidak ada tolok bandingnya. Namun, kesilapan sendiri telah mengundang padah, dan ibu bapalah yang turut sama menanggung malunya. Di dalam filem ini juga, aku melihat P.Ramlee cuba dengan sinis memberitahu kita bahawa iman manusia itu ada naik dan turunnya. Meski Aduka dan Dara adalah manusia yang cukup jaga akhlak dan pergaulannya, namun dek kerana nafsu, tersungkur mereka berdua ke kancah penzinaan yang amat 'taboo' oleh masyarakat pada ketika itu. 

BERSAMBUNG...