Filem apa yang saya maksudkan ini ?
SEMERAH PADI. Dalam filem ini, ada dua hero iaitu P.Ramlee dan Noordin Ahmad. Noordin Ahmad ini, sebelum beliau berhijrah ke Cathay Keris, beliau bekerja di MFP. Namun begitu, bintangnya bersinar mekar di Cathay Keris.
Baiklah, tidak banyak lagu yang saya gemar di dalam cerita ini melainkan satu. Dan lagu inipun saya tidak tahu tajuknya yang sebenar.
Rasanya, lagu ini menguji kredibiliti beliau sebagai pencipta lagu berentak Tradisional. Berbanding dengan lagu-lagu dalam filem HANG TUAH, lagu ini lebih asli dan lebih keMelayuan.
Apa pun, dalam filem ini saya suka babak P.Ramlee melaungkan azan dengan suaranya yang 'misteri' itu. :-)
Kalau anda kagum dengan Trilogi The Lord Of The Ring dan segala macam sekuel filem mahupun prekuel filem, sebenarnya P.Ramlee terlebih sudah menyempurnakan kerja trilogi iaitu Trilogi Bujang Lapoknya yang popular itu. Namun begitu, ianya mungkin pada nama sahaja kerana ketiga-tiga ceritanya tidak ada kaitan langsung.
Dalam SENIMAN BUJANG LAPOK, tentunya saya suka dengan lagu temanya ketika mereka bertiga berbasikal sambil berkain pelikat hendak pulang ke rumah. Kalau anda perasan, kelihatan penduduk kampung berkumpul di tepi jalan melihat mereka berlakon. Saya fikir P.Ramlee sendiri dah 'tak kuasa' nak menyuruh mereka supaya 'jangan tengok mereka berlakon dan buatlah macam biasa'. Hehehe.
Kemudian, filem BUJANG LAPOK pula. Serius, filem ini seolah-olah filem muzikal kerana dalam cerita ini lagu yang dinyanyikan agak banyak juga, sekitar 3-4 lagu. Namun, kesemuanya sedap-sedap belaka, terutamanya NAK DARA RINDU. Aduhai, macam tengah jatuh cinta ketika mendengar lagu ini. :-)
Apa yang menariknya, lagu ini dicipta oleh P.Ramlee, namun iramanya disusun oleh Yusuf B, guru P.Ramlee sendiri.
Paduan guru dengan anak murid, hasilnya 'masterpiece' yang tiada tolok banding sehingga sekarang.
Lagu yang ini, judulnya saya tidak tahu. Namun ianya juga menarik dan sedikit keanak-anakan memandang si pelakon yang 'menyanyikannya' adalah bintang baru ketika itu iaitu Dayang Sofia. Ketika ini, beliau cukup cantik. Gandingannya adalah Datuk Aziz Sattar yang jatuh hati terhadapnya. Pun begitu, lagu ini bukan dinyanyikan oleh Aziz Satar, sebaliknya Jasni dan juga Saloma. Jasni ini merupakan ayah kepada Roseyatimah di dalam PENDEKAR BUJANG LAPOK itu.
Yang ini pula nyanyian P.Ramlee dengan Normadiah. Menariknya, suara Normadiah seakan-akan kena dengan lagu ini, meskipun agak nyaring dan kalau dibandingkan dengan P.Ramlee yang lebih tenang nyanyiannya. Pun Begitu, kedua-duanya tidak memerlukan sebarang mesin yang akan menukar suara mereka menjadi sedap malah apa yang anda dengarkan memang suara mereka yang sebenarnya.
Haa...lagu yang lagi satu ini pun saya tidak lupakan. Ya, seniwati yang pernah memegang peranan sebagai Tun Teja ini berperanan sebagai awek si Sudin dalam BUJANG LAPOK ini. Wataknya menggunakan namanya yang sebenar iaitu Zaiton. Namun, emaknya di dalam filem ini gemar memanggilnya Eton. Cantikkah dia ? Tentunya. Hehehe...
Apa yang sedikit melucukan saya ialah apabila dia menyanyi, bukan main besar lagi suaranya. Apabila dia bertutur, alahai halusnya macam budak-budak pula. Apa ertinya itu ? Ertinya itu bukan suaranya yang sebenar. Saya tidak tahu siapa penyanyinya. Namun, dia berupaya membuat mimik muka dan gerak badan seolah-olah dia sendiri yang menyanyikannya. :-)
Dahulu, saya tidak berapa minat menonton filem BUJANG LAPOK ini. Saya lebih suka PENDEKAR BUJANG LAPOK DAN SENIMAN BUJANG LAPOK. Namun, apabila TV2 menyiarkannya berulang-ulang kali, saya jadi suka kepada semua lagu-lagu di dalam filem ini.
Banyak lagu-lagu lama terutamanya lagu-lagu P.Ramlee membuatkan saya berfikir, kemajuan teknologi dalam bidang muzik rupanya belum tentu dapat melawan atau menandingi karya-karya lama. Apatah lagi mereka menghasilkannya dengan kepayahan dan kesusahan, berbanding sekarang yang semuanya sudah automatik.
Bersambung...
2 comments:
halo brader. ada satu scene dalam Bujang Lapok di mana sudin and ajis bersanding, ada lagu kahwin berkumandang dari gramaphone. lagu apakah itu??
Oo..saya tak tahu tajuk lagunya (agaknya Pengantin Baru kot ?).
Tapi penyanyinya suami kepada Neng Yatimah, Allahyarham Jasni.
Sedap suaranya.
Lagu yang Aziz Satar berduet dgn Dayang Sofia itu pun adalah suara Jasni dgn Saloma.
Post a Comment