Dalam banyak-banyak penyanyi tu, saya berani menyatakan yang saya membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham P.Ramlee. Ketika itu, ayah saya gemar merakam cerita-cerita P.Ramlee yang ditayangkan di televisyen ketika itu dengan perakam video yang besar gedabak.
Ya, siapa dapat menafikan kemerduan suaranya dan kesantunan iramanya ? Ramai mengiyakan yang tiada pencipta lagu dapat menyamai beliau dalam menyusun irama.
Seorang anak murid Allahyarham iaitu Kassim Masdor pernah berkata bahawa sesebuah lagu yang dicipta itu perlulah tidak terlalu rumit untuk didengar.
Apa agaknya ya maknanya itu ?
Saya bukan ahli muzik, oleh itu saya tidak tahu. Namun begitu, kebelakangan ini saya rasa semakin faham dengan pendapat Kassim Masdor itu. Ianya kerana banyak lagu masakini yang saya dengar amat 'rumit' dan 'celaru' sekali. Ya, kita tidak dapat nafikan banyak lagu kita merupakan saduran daripada lagu-lagu barat. Pun begitu, apabila berbicara mengenai asimilasi lagu itu dalam budaya setempat dan bahasa santun bangsa kita, kebanyakan lagu adalah canggung sama sekali. Makanya, apabila si penyanyi menyanyikan lagu itu, sudah tidak ada bezanya dengan penyanyi barat, ditambah pula dengan pakaian yang pelik dan mendedahkan aurat.
Baiklah, kembali bercerita tentang hidup saya dengan lagu-lagu P.Ramlee.
Ketika saya berumur sekitar 5 tahun, saya teramat suka menonton PENDEKAR BUJANG LAPOK. Entah mengapa. Mungkin kerana saya seronok melihat P.Ramlee dan rakan-rakannya menyanyikan lagu MAAFKAN KAMI itu dengan lenggok yang agak melucukan.
Punyalah syok mereka menyanyi sehinggakan apabila Si Aziz berhenti menepuk bongo itu, bongo itu masih berbunyi ! :-)
Itu kita belum kira lagi bunyi biola yang entah dari mana. Hehehe...Namun, di sebalik ketidaklogikan itu, masih lagi ianya menghiburkan jiwa kecil saya ketika itu.
Kalau ikutkan saya, dalam lagu itu, baris lirik yang paling menarik ialah:
"Nandung nandung...dayang si nandung..."
"Sedangkan nabi ampunkan umat..."
Satu lagi lagu yang menarik di dalam filem yang sama ialah lagu MALAM BULAN DI PAGAR BINTANG. Dahulu, saya ingatkan yang itu suara milik pelakon perempuan Roseyatimah, rupa-rupanya milik Salmah Ismail atau Saloma. Saya tidak pasti sama ada P.Ramlee sudahpun berkahwin dengannya ketika filem ini dihasilkan iaitu sekitar tahun 1957, jika saya tidak silap.
Namun, sedikit menggelikan kerana P.Ramlee tidak berbaju saat menyanyikan lagu ini dan hanya berkain pelikat. :-)
Saya percaya penyanyi lelaki sekarang pun tak nak berkain pelikat kalau menyanyi dalam filem. Tetapi, kalau si perempuan pula bukan main lagi. Kalau boleh hanya nak berbaju dalam dan seluar pendek sahaja ketika menyanyi. Maklumlah, fesyen barat semuanya begitu, dan artis masakini memang pengekor setia fesyen barat. Dunia dah terbalik.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment