Nuffnang

Wednesday, March 26, 2008

Makanan dan Minuman Kegemaran

Sungguh seronok apabila bercerita fasal makanan ini. Sebabnya mudah, makanan di Malaysia ni semuanya enak-enak belaka. Tak hairanlah kalau ramai rakyat Malaysia yang berperut besar. Sehinggakan nama seseorang itu disesuaikan dengan keadaan perutnya seperti Ali boroi, Awang gendut, Man Gemuk, Wan buncit dan macam-macam lagi. Semuanya berakar umbi daripada makanan. Ha, kali ni penulis nak bercerita tentang makanan dan minuman kegemaran penulis.


Penulis memang menggemari teh tarik. Terutamanya teh tarik buatan nenek penulis sendiri. Nenek penulis dahulunya ada membuka sebuah gerai makan di kampung. Apabila penulis pulang ke kampung, memang teh tariklah hidangan minuman utama bila bertandang ke kedainya yang hanya terletak di sebelah rumah. Tapi dia taklah 'tarik' teh tu macam mamak kat restoran. Sekadar ulang tuang aje. Itupun buih-buih yang terbit di permukaan teh tersebut sudah cukup untuk penulis hirup teh itu semahu-mahunya. Beberapa tahun yang lepas, ada pihak yang mengaitkan teh tarik dengan faktor rakyat Malaysia menghidap kencing manis paling tinggi di Asia. Penulis panik jugak. Tetapi bila teringatkan petua nabi kita supaya makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang sudah cukup untuk penulis berhati-hati agar tidak selalu meminum teh tarik. Cukuplah sekadar minuman di waktu santai.

Ha, penulis juga menyukai nescafe atau neskopi. Tidak kiralah sama ada dibubuh susu atau tidak. Pokoknya, asalkan nescafe memang penulis 'bedal' sampai habis. Dalam keluarga penulis, Mak Long penulis memanglah 'kaki nescafe'. Asal dia balik kampung, adalah segelas nescafe bertutup rapat dengan penutup periuk atas meja. Janganlah sesiapa sentuh airnya atau dihukum supaya buat nescafe yang baru untuk dia. Huh, kejamnya. Namun, ada seorang mak cik menasihati penulis agar tidak selalu minum nescafe ni.

"Kenapa pula, Mak Yah? Bukannya racun pun", penulis menyanggah.

"Nanti kau senang kena pening kepala", Mak Yah memberi penjelasan ala kampungnya itu.

Pada mulanya penulis ambil mudah pesanan dia tu. Namun, sejak akhir-akhir ini, keadaan penulis yang sering sakit kepala membuatkan penulis terpaksa mengenang kembali nasihat Mak Yah itu.

Nasi goreng kampung memanglah sudah menjadi menu tetap penulis bila bertandang ke kedai makan di sekitar daerah Kulai ini. Nasinya yang pedas lagi berapi itu membuatkan penulis sentiasa berpeluh bila penulis memakannya.

"Tak ada menu lain ke yang kau nak 'order', balik-balik nasi goreng kampung!" Ibu penulis pernah menegur.


"Hahaha, sudah memang ini makanan kegemaran, nak buat macam mana", penulis hanya berseloroh. Memang ya, tidak ada alasan yang kukuh untuk penulis utarakan tentang makanan kegemaran penulis yang satu ini. Namun, ibu penulis sering mengingatkan, jangan selalu makan makanan yang terlalu pedas. Nanti padahnya tanggung sendiri. Penulis bertanya,"Apa padahnya?" Ibu penulis hanya menjawab, "Buasir." Ye ke? Apa-apa pun, makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.


Ahah, ayam goreng! Memang 'favourite food'. Penulis memang suka meratah ayam goreng sambil menonton TV. Kalau nak dibandingkan dengan ayam KFC, memang berbeza sungguh. Namun, warnanya yang kuning keemasan memang menggamit selera sesiapa sahaja yang gemar memakan daging ayam. Walaupun begitu, kita tidak boleh selalu memakan ayam goreng. Kelak kata orang-orang tua, nanti tembam pipi dengan dagu berlapis. Kita perlu ingat, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

"Pagi ni nak sarapan apa?"


"Mi goreng!!!"


Dialog ni biasanya kedengaran di ruang dapur rumah penulis bila hari minggu atau hari cuti sekolah. Mi goreng memang salah satu hidangan menyelerakan ketika sarapan pagi. Orang lain makan roti bakar, telur tiga suku, kami sekeluarga pula 'melantak' mi goreng. Rencahnya bawang merah dan bawang putih dikisar lalu ditambah dengan lada kisar manakala mi kuningnya akan digaul dengan tauhu. Bila dah siap dihidangkan, memang sedap baunya. Terliur beb!! Sarapan pagi memang menyelerakan. Namun demikian, ingatlah pesan, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.


Lauk yang terpampang di sebelah ini merupakan lauk kegemaran penulis sejak kecil lagi - asam pedas. Hidangan asam pedas waktu tengah hari memanglah membuka selera sesiapa sahaja. Kegemaran penulis ialah ikan merah masak asam pedas. Ha, ditambah pula dengan hidangan minuman air oren sejuk, fuh, nampaknya memang tak cukup sekali makan, mesti nak tambah 2-3 kali. Pesan mak penulis, seeloknya nak masak asam pedas, guna lada yang kita rebus dan kisar sendiri, jangan guna yang dalam paket. Ada lain sikit pada rasanya. Hmm, entahlah. Apa pun, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.
Kesimpulannya, makan dan minum itu suatu nikmat pemberian Tuhan. Hargailah ia. Bersyukurlah kerana keadaan di Malaysia ini tidak sama dengan negara-negara yang kekurangan bekalan makanan. Perkara yang paling penting ialah makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang kerana bersederhana itu penawar. Jangan sampai timbul frasa, "orang lain mati kerana kurang makan, orang kita mati kerana banyak makan".

No comments: