Nuffnang

Wednesday, March 26, 2008

Tidur...

Huarrgggghhhh...., mengantuknya! Ungkapan biasa yang kita dengar setiap kali seseorang itu ingin tidur. Mulut ternganga lebar sambil udara dilepas keluar dan anak tekak terbuai-buai lembik, itulah tanda sudah sampai masanya seseorang itu melingkar di mana-mana kawasan 'panas' untuk bermimpi indah atau ngeri. Apa istilah untuk semua ini? Tidur!!! Ya, manusia perlu tidur untuk merehatkan otaknya.



Seharian otak kita bekerja, sudah semestinya sampai satu tahap ia perlu berehat. Hah, masa bilanya 'dia' nak berehat? Masa kita tidurlah. Tumpuan penulis ialah adab-adab sebelum tidur. Dalam agama Islam, banyak panduan diberikan untuk kita amalkan sebelum tidur. Kalau petua Melayu, disuruhnya kita cuci kaki dahulu sebelum tidur kalau tidak mahu tidur diganggu mimpi buruk. Jangan tidur di bawah alang nanti dihempap hantu dan macam-macam lagi. Nampak macam remeh, tetapi ada hikmah di sebaliknya. Kita tentu pernah diajar supaya baca surah al-muawwizatain sebelum tidur. Surah ini disebut juga surah 3 Qul iaitu Al-Ikhlas,Al-Falaq dan An-Nas. Diajar juga supaya membaca ayat Kursi sebelum tidur untuk mengelakkan diganggu syaitan dan ditimpa sebarang musibah semasa tidur.
Ha, itu semua dilakukan sebelum tidur. Letak badan semasa tidur pula bagaimana? Mudah saja, ikut cara nabi kita tidur. Nabi tidur sambil mengiring ke kanan sambil tangan kirinya memegang perut. Dipercayai kita lebih mudah bangun subuh dengan cara begini. Di samping itu, proses penghadaman makanan juga menjadi sempurna.
Masalah kita sekarang ini ialah kegemaran tidur cara koboi. Nampak saja bantal empuk, terus labuhkan kepala dengan tak gosok gigi dan tidak mengambil wuduk sebelum tidur. Lepas itu, air liuhnya meleleh ke bantal untuk membentuk peta tanah semenanjung yang permai lagi indah. Lagi menarik jika seseorang itu berjaya 'ngompol' di atas katil. Hal ini semua berpunca daripada sikap tidak peduli tentang adab-adab tidur. Nampaknya remeh, tetapi ternyata ianya amat penting. Lepas ni, jaga adab-adab tidur anda supaya tidur dengan lebih lena.

No comments: