Nuffnang

Sunday, May 25, 2008

SEDERHANA

Saya baru sahaja pulang dari majlis perkahwinan abang sepupu saya yang bertuah ini. Beristerikan seorang guru. Alangkah beruntungnya ! Saya tiba di rumah pengantin jam 2.00 petang. Beberapa minit sahaja sebelum beliau bersanding. Semasa dalam perjalanan, saya membayangkan sebuah majlis yang mewah dan hebat. Dipenuhi dengan segala macam hiasan perkahwinan yang mengancam. Namun, bayangan saya meleset sama sekali.

Apa yang saya lihat hanyalah sebuah majlis perkahwinan yang sederhana. Tidak terlalu mewah. Tetapi cukup membangkitkan rasa kesyukuran kerana meraikan hari yang bahagia. Sesungguhnya, saya setuju dengan pendekatan bersederhana begini. Ya, sebenarnya kita tidak perlu terlalu mewah dalam mengadakan majlis perkahwinan. Kebelakangan ini, saya perhatikan banyak pihak mengadakan majlis perkahwinan secara berlebih-lebihan. Dalam erti kata yang lain ialah membazir. Bagaimana ini ? Hendak meraikan hari yang bahagia tetapi dengan cara yang dibenci ALlah, iaitu membazir. Lalu di mana keberkatannya ? Sedangkan manusia yang membazir itu sahabat syaitan.

Satu contoh mudah. Artis kita cukup suka memberi hantaran yang terlalu mahal. Hingga 5 angka jumlahnya. Saya tertanya-tanya, untuk apa hantaran yang semahal itu ? Sedangkan dalam Islam, hantaran itu sewajarnya tidak terlalu membazir. Paling menarik, hantaran yang mahal, majlis yang mewah, pakaian perkahwinan yang mengancam, kemudian penyudahnya bercerai kerana salah sendiri. Kemudian menyalahkan jodoh yang kononnya sudah habis dan bermacam-macam alasan lagi.

Bukankah dalam Islam itu menyuruh kita bersederhana ? Bersederhana itu penawar. Itukan hakikat.

Kepada pasangan pengantin, saya doakan semoga kalian berbahagia hingga ke akhir hayat. Kepada pihak keluaga yang mengadakan majlis perkahwinan, tahniah saya ucapkan kerana bersederhana. Bersederhana itu penawar. Majlis anda tetap meriah dan gembira walaupun sederhana.

No comments: