Nuffnang

Friday, April 24, 2009

LASKAR PELANGI - HADIAH DARI SERUMPUN

Seumpama hadiah yang berharga. Demikian saya dapat menyifatkan filem Laskar Pelangi arahan Riri Riza. Ya, Laskar Pelangi merupakan filem tanah seberang. Kebelakangan ini, orang seberang sering 'menyerang' tanah kita dengan karya-karya yang hebat dan mengharukan. Laskar Pelangi ini salah satunya. Asalnya merupakan sebuah novel, dan kemudian diadaptasikan menjadi filem.

Jika di Malaysia, ramuan untuk menjadikan sebuah filem itu satu fenomena tentunya kena ada hero dan heroin yang tampan, cantik, segak dan bergaya. Kosmetik di dalam filem juga perlulah cantik. Kos produksinya tentulah perlu ada nilai juta-juta. Jika tidak, tidak dianggap sebagai sebuah filem yang hebat .

Laskar Pelangi dengan rendah dirinya tidak menawarkan semua itu. Laskar Pelangi cuma menawarkan 10 orang anak-anak miskin yang selekeh,comot,kulit berminyak dan tidak cukup serba-serbi serta lincah sebagai watak utama, dibantu pula dengan dua orang guru yang cekal semangat, Bu Muslimah dan Pak Harfan lakonan Cut Mini dan Ikranagara.

Apabila menonton Laskar Pelangi, segera teringatkan Tentang Bulan. Namun, Tentang Bulan gagal meraih penonton yang ramai untuk menonton dan pengkritik juga kurang berpuas hati dengan nilai yang ingin dibawa dalam filem sungguhpun dengan pendekatan humor. Berbeza sama sekali dengan Laskar Pelangi, nilai 'survival' anak-anak Belitung ini diolah dengan jaya dengan dialog yang kuat disulami dengan emosi pelakon yang mantap, walaupun anak-anak yang melakonkan watak laskar pelangi bersepuluh ini bukanlah pelakon yang sudah sedia mahir, sebaliknya anak-anak yang diterima untuk berlakon setelah diuji bakat. Hal inilah yang turut menyebabkan filem ini tampak istimewa.

Ceritanya bermula dengan anak-anak keluarga miskin yang hendak bersekolah di SD Muhammadiyah di Gantung. Namun, pihak berwajib telah menetapkan syarat. Sekiranya murid yang hendak belajar di situ tidak cukup seramai sekurang-kurangnya 10 orang, sekolah itu akan ditutup. Mujurlah di saat-saat Pak Harfan menyampaikan ucapan penutupnya, ada seorang budak yang istimewa menyelamatkan keadaan.

Dari situ, ceritanya berkembang dengan baik dan indah, disertai dengan latar Pulau Belitung yang cantik dan masih penuh dengan kehijauan. Emosi sedih, lucu silih berganti di dalam cerita, namun semuanya dijalin dengan baik oleh dialog yang mantap.

Antara dialog yang tidak boleh dilupakan ialah dialog antara Pak Harfan dan Pak Zul tentang sistem nilai di dalam pendidikan. Begitu juga dialog tentang warna rambut yang asalnya putih tetapi ditutupi seketika dengan warna hitam sehinggalah ia kembali putih oleh Lintang dan Ikal.
Ada banyak dialog yang mempersoalkan tentang nilai di dalam hidup manusia yang banyaknya kini disandari dengan nilai material semata-mata tanpa mempedulikan nilai kerohanian di dalam diri manusia. Riri Riza berjaya meletakkan dialog-dialog seperti itu pada tempat yang sesuai di dalam babak-babak tertentu.

Khabarnya filem ini adalah filem yang paling terlaris dalam sejara perfileman di Indonesia. Di samping ia mengetengahkan nilai-nilai murni, Laskar Pelangi juga mengulang kembali nostalgia hidup di dalam tahun 70-an yang memang menuntut jiwa 'survival' yang teramat tinggi.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang filem ini, bolehlah melawat laman web utamanaya di sini.

No comments: