Nuffnang

Tuesday, July 21, 2009

PEMBACA

Saya cukup kagum dengan sasterawan negara kita, Dato A. Samad Said yang hidupnya dipenuhi dengan pembacaan pelbagai buku.

Mungkin ada yang akan berkata, "Alah...,dia itukan seorang sasterawan, mestilah kena banyak membaca. Jika tidak, masakan dia boleh menulis."

Itu betul.

Tetapi, adakah motto 'hidup membaca' itu hanya untuk seorang sasterawan ? Tentulah tidak sama sekali. Seorang pelajar sekolah pun perlu membaca untuk menjadi seorang pelajar yang betul-betul 'pelajar'.

Menjadi seorang 'pembaca' bukanlah satu perkara yang mudah. Paling kurang pun orang kita ini hanya membaca surat khabar. Itu pun sudah dilangkau bahagian seperti ekonomi, luar negara dan sebagainya. Yang diteliti hanyalah berita rogol, rempit, bunuh, gosip artis, kekalutan ahli politik dan masalah sosial. Itu sahaja. Jadi, orang kita ilmunya pada hal-hal sebegitu. Apabila diminta pendapat dan pandangan, semuanya jadi takut dan cuba mengelak. Paling tidak pun, mereka menghentam tanpa mengetahui hal yang sebenar. Jadi, secara mudahnya orang kita ini tidak mahu 'mengkaji' dahulu sebelum menghentam. Ya, hal itu tidaklah semua. Namun, ramainya begitu. Sehinggakan perlakuan yang betul-betul tidak 'munasabah' pun boleh disokong malah dipuja pula. Semuanya gara-gara tidak mahu membaca dan mengkaji. Pecah kepala kononnya.

Justeru, ada sedikit keistimewaan kepada seorang pembaca tegar di mana sekiranya timbul isu-isu yang 'tidak kena', mereka tidak menghentam terus, sebaliknya mereka akan menyoroti kembali punca isu itu timbul dan mengkaji pembolehubah-pembolehubah yang ada yang menyebabkan isu itu terjadi sebegitu dan kesan serta akibat. Ya, perkara ini memerlukan latihan yang berterusan, dan tidak dapat dinafikan seorang pelajar boleh melatih diri mereka begini supaya tidak menjadi anak muda yang tidak tahu hala tuju hidupnya.

Bagaimana ulama-ulama terdahulu boleh menghasilkan karya yang hebat ? Tentulah pemulanya ialah banyak membaca. Dan mereka tidak 'membaca' sahaja, sebaliknya juga memahami dan menghayati apa yang dibaca.

Itulah yang masih sukar dilakukan oleh orang seperti saya yang hanya membaca untuk peperiksaan. Semoga perkara ini boleh diubah dengan perlahan-lahan. Tidak dipaksa-paksa sehingga boleh mewujudkan ketidakikhlasan dalam membaca.

Ya, membaca juga perlu ikhlas. Itulah tunggak kepada hadirnya keredhaan Tuhan dalam apa jua kerja yang dilakukan.

No comments: