Nuffnang

Friday, June 11, 2010

BILA MAHU GUGUR ?

Yeah...! Mereka sudah kembali. Jika dulu, ketika saya baru sahaja berpindah ke Kulai, saya menemukan pokok durian ini yang nampak gayanya macam 'merajuk' dengan penghuni rumah yang baru. Apa tidaknya, tidak ada satu putik durian pun yang mahu tetap di pokoknya, semuanya gugur ke tanah. Namun begitu, selepas setahun, 'rajuknya' hilang. Ia mula membuahkan hasilnya, dan saya tentunya gembira kerana saya kaki durian.
Dalam kalangan keluarga saya, adik saya yang paling kecil amat menyukai durian. Sampaikan tangannya dari siang sampai ke malam bau durian, meskipun sudah disental dengan 3 jenis sabun. Ibu dan ayah saya juga menyukai durian si raja buah itu. Kalau ada lebih, ibu saya akan membuat bubur durian sebagai modal untuk menghabiskan durian yang berbaki dan tak larat dihabiskan.
Hmm...Pak Ngah saya juga tidak terlepas daripada menyukai durian ini. Memang ayah saya akan menyuruh Pak Ngah dan Mak Ngah saya bertandang ke rumah untuk sama-sama menghabiskan durian yang dikutip. Ini belum kira durian yang kawan-kawan ayah saya beri lagi. Lagilah banyak duriannya.
Oopp...terlupa. Nenek dan atuk sebelah mak saya juga amat menyukai durian. Mereka berdua sanggup datang dari kampung untuk menjamu durian yang ada di rumah. Maklumlah, kadang-kadang ayah saya tidak berkesempatan pulang ke kampung. Jadinya, merekalah yang bertandang ke rumah saya.
Menurut cerita orang-orang Melayu, durian ini dikatakan 'malu' hendak gugur pada waktu siang. Oleh sebab itu, pemungut durian akan berkampung di dusun pada malam hari membawa ke subuh demi menunggu durian gugur dan mengutipnya. Lama dahulu, ketika saya masih kecil, ayah saya sering ke kampung untuk mengutip durian. Bahkan, ayah saya membina sebuah pondok kecil untuknya berehat dan minum air. Yang pastinya, pondok itu dibina agak tinggi kerana pada malam hari dikhuatiri babi hutan datang menyondol. Pondok yang pertama saya lihat agak besar. Ketika itu umur saya baru 5 tahun. Kemudian, ketika saya tingkatan 2, ayah saya membina pondok yang baru di kebun yang satu lagi. Melihat keadaan pondok itu, hanya mereka yang tidak gentar sama pontianak, pocong, jerangkung, harimau dan babi sahajalah yang layak duduk di situ untuk menunggu durian. Dengan berlampukan lampu minyak tanah,memang menyeramkan sekali. Ketika inilah segala macam bunyi hutan berkumandang. Ada yang semacam bunyi mengilai, ada yang seperti bunyi melolong dan sebagainya.

Ada satu cerita menarik mengenai kebun durian milik arwah datuk saya di kampung. Selepas arwah atuk saya meninggal dunia, dikhabarkan yang semua pokok durian tidak berbuah selama 15 tahun. Arwah datuk saya meninggal dunia pada tahun 1988. Ertinya, sehingga tahun 2003 ianya langsung tidak berbuah. Ayah saya menyatakan yang semua pokok-pokok durian itu berkabung selama 15 tahun. Hmm...memang misteri. Pada awal tahun 2004, barulah berbuah semula, dan ianya semacam rahmat pula apabila buahnya banyak sekali dan berduyun-duyunlah pencuri durian datang mencuri sehinggakan ayah saya terpaksa berkampung di tengah dusun itu untuk menghalang pencuri durian daripada menceroboh.

Jika saya perhatikan, kisah durian ini juga mengeratkan hubungan kekeluargaan saya. Kita berbual-bual, ketawa, hulur-menghulur ulas durian dan sama-sama mencampak bijinya ke dalam plastik sampah membuatkan hati serasa bertaut. Itulah penangan durian pada sebuah keluarga yang sukakannya.

Semoga durian terus berbuah di tanah air kita ini...

Oh ya, mungkin anda fikir yang rumah saya ini di kawasan kampung atau FELDA...

tetapi tidak...
Rumah saya amat dekat dengan jalan utama Batu Pahat-Kulai-Skudai...dan rumah saya ialah kuarters kerajaan. Terima kasih kepada sesiapa yang telah menanam segala macam pokok buah-buahan di rumah saya bertahun-tahun dulu. Pahala buat mereka... :-)

2 comments:

afin said...

salam..
haish..
jeles..jeles...
sy pn suka durian gaks..
tp ngat mal..
jgn makan bnyk2 laks..

AKMAL_ALIF said...

badan jd panas...tp buleh minum air pangsa durian, nanti panas turun...