Nuffnang

Thursday, July 22, 2010

PERTAMA RAMADHAN NANTI...


Apa yang anda mahukan ketika pertama Ramadhan nanti ? Bazar Ramadhan ? Makan sahur yang sedap ? Ya, itu tidak salah. Kerana memang resmi orang kita di Malaysia ini, bulan Ramadhan juga ialah bulan menambah rezeki dengan berniaga juadah berbuka dan juga bulan mengumpul pahala dengan menyediakan makan sahur untuk keluarga mahupun rakan-rakan. Baguslah begitu.

Itu dari sudut lahiriahnya. Dari sudut batiniahnya ? Apa pula yang kita mahukan pada pertama Ramadhan nanti ? Sengaja saya pilih frasa itu kerana kebiasaan umat Islam, apabila malam sebelum bermulanya hari berpuasa, segala macam itu-ini diniatkan. Nanti aku nak baca Al-Quran tiap Subuh, nanti aku nak berzikir sepanjang siang, nanti aku nak bersedekah setiap minggu, nanti aku nak tahan pandangan aku daripada perkara yang haram, nanti aku nak dekatkan diri dengan masjid, nanti aku nak bertarawih bersama jemaah, nanti aku nak itu-ini dan segala macam benda lagi yang diniatkan bersabit dengan bulan Ramadhan kelak. Ya, memang kebiasaannya tidak semua dapat kita buat dengan baik, kerana setelah beberapa bulan dari bulan 1 sehinggalah sebulan sebelum Ramadhan, perkara-perkara itu jarang-jarang dilakukan. Tiba-tiba hendak pulun selama sebulan, laratkah kita ? Tentunya tidak.

Oleh kerana itu, digalakkan kita melatih diri sekitar bulan Rejab lagi, supaya badan tidak kekok dan lelah melakukan amal ibadah. Ketika bulan Rejab lagilah kita hendak membaca Al-Quran selepas solat Subuh, mengurangkan berkata yang sia-sia dan banyak lagi amal ibadah yang mampu menyucikan jiwa. Apabila pertama Ramadhan telah tiba, maka diri kita sudah bersedia dengan kekuatan lahir dan batin yang kita latih dua bulan yang lalu. Makanya, Ramadhan adalah bulan kenikmatan untuk memperbanyakkan amal sunat dan menguatkan amal wajib. Jangan terlalu rajin bercerita tentang ibadah sunat jika ibadah wajib tunggang-langgang. Meskipun kata orang yang sunat itu menampung kekurangan amal wajib, namun seeloknyalah, yang wajib itu kita cantikkan dan sempurnakan terlebih dahulu.

Sebetulnya, kita wajar merasa cemburu dengan cara orang-orang alim menyambut ramadhan mereka yang pertama. Mereka bahkan menangis dalam kerinduan, menitis air mata dalam ketaatan. Ramadhan bagi mereka adalah bulan mengumpul pahala demi menyucikan dosa. Namun, kita ini ramainya masih lagi senang melambatkan solat ketika Ramadhan. Senang lagi berkata-kata perkataan kotor dan keji berbanding melembutkan lidah dengan zikrullah. Senang lagi berdua-duaan dengan kekasih pujaan hati sedangkan ada cinta Tuhan sedang menanti. Cinta sementara dikejar, cinta hakiki dipersiakan. Alangkah ruginya. Ramadhan datang bukan untuk menyambut manusia yang leka, bahkan Ramadhan datang untuk mereka yang bersedia menantinya dengan tenang dan sabar serta penuh kerinduan. Kata orang, bulan Ramadhan adalah bulan pesta ibadah. Erti pesta di sini ialah manusia berduyun-duyun memperbanyakkan amal ibadah demi meraih pahala yang dilipatgandakan oleh Allah Taala. Sekaligus bulan Ramadhan ini membuktikan kecintaan Tuhan kepada para hamba-Nya yang daif serta senantiasa memerlukan pertolongan Tuhan.

Bagi perantauan seperti pelajar dan sebagainya, pertama Ramadhan mengundang rasa syahdu kepada mereka lantaran tidak dapat bersahur bersama-sama dengan ibu ayah di rumah seperti waktu kecil dahulu. Maka, tidaklah hairan kalau ada pelajar sanggup pulang untuk berpuasa pertama Ramadhan di rumah kerana merindukan sahur bersama-sama. Nah, kiranya bulan Ramadhan ini juga berupaya menyatukan hati sebuah keluarga yang bahagia. Itulah petanda ianya bulan rahmat. Bersuka-rialah orang miskin kerana ramai pula orang bersedekah pada bulan rahmat ini lantaran mahu mengejar pahala sedekah yang banyak. Itu kita belum kira wang zakat yang dikumpul untuk diagihkan kepada fakir miskin.

Pertama Ramadhan ini, ramai manusia mengharapkan sesuatu yang baik. Semoga kebaikan itu datang ke dalam diri kita. Kepada mereka yang buat tak endah sahaja, ketahuilah ada benda berharga yang telah anda lepaskan dari dalam hidup anda.

Oh ya, ada satu untaian kata yang menarik untuk direnungkan,

Pertama Ramadhan ini, 
Aku tidak berlapar lagi,
Kerna mengingati-Mu,

Pertama Ramadhan ini,
Aku tidak kehausan lagi,
Kerna merindui-Mu,

Aku telah tahu segala-galanya,
Erti sebenarnya puasa...

Wallahua'lam...

Thursday, July 08, 2010

HADIS NABI TENTANG AKHLAK YANG BURUK

MEMUTUSKAN TALIAN PERSAHABATAN

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
"Tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan (memutuskan hubungan persaudaraan) saudaranya melebihi tiga hari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

TALAM DUA MUKA

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
"Kamu mendapati antara manusia yang terjahat adalah yang 'bermuka dua', ia mendatangi kelompok ini dengan satu wajah dan mendatangi kelompok yang lain dengan wajah yang lain." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

BERMUSUHAN

Daripada Aishah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda:
"Insan yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang amat keras permusuhannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

BERBOHONG DAN MEMBUAT PERANCANGAN JAHAT

Daripada Abdullah bin Mas'ud al-Ansari r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang menipu kami bukanlah daripada golongan kami; dan balasan bagi perancangan jahat dan tipu-daya adalah neraka." (Riwayat al-Tabrani)


Apa sahaja yang Nabi melarang kita daripada melakukannya, maka jauhilah ia sehabis daya kita, meskipun kita mendapat banyak keuntungan dunia dengan melakukan perbuatan keji itu. Semoga kita beroleh rahmat Tuhan dalam kehidupan dan dijauhi daripada sebarang bala bencana akibat daripada nafsu kita sendiri. Wallahua'lam.

Friday, July 02, 2010

NASI AMBANG @ AMBENG - CERITA MAKAN SEDULANG


Di mana ada orang Jawa, di situlah ada hidangan nasi ambang. Ini pendapat saya. Dan rasanya memang betul begitu. Hidangan nasi ambang bukan sekadar nasi biasa yang ditabur kuah di atasnya, bahkan ianya unik sekali kerana cara kita orang Jawa memakannya.

Oh ya, anda yang bukan orang Jawa memanggilnya Nasi Ambang, tapi kami memanggilnya Nasi Ambeng. Perkataan 'beng' itu bukan main sebut melainkan ada intonasi jawanya. Pun begitu, saya bukanlah orang jawa yang sejati atau disebut orang sebagai 'pure' seperti seorang rakan saya dari Selangor itu. Saya bahkan tidak reti berbahasa Jawa melainkan beberapa patah ayat yang dipelajari daripada orang-orang Rengit dan Parit Sulong yang bersekolah dengan saya satu ketika dulu. Namun, darah yang mengalir itu tetap ada jawanya. Buktinya, seorang anak jawa sejati pernah bertanya sama ada saya orang jawa ataupun tidak. Saya tanya mengapa bertanya begitu ? Jawabnya kerana dia dapat mendengar pelat Jawa sedikit dalam pertuturan saya. Hehehe...

Baiklah, nasi ambang@ambeng ini merupakan makanan orang-orang Jawa yang paling popular. Rasanya nasi ayam penyet pun tidak sepopular nasi ambang.

Ingat tak anda pada satu dialog dalam filem Pendekar Bujang Lapok ? Pendekar Mustar ada berkata:

"Nasi ambeng ? Nanti pak cik suruh mak ciknya masak kita makan ramei-ramei..."

Haa...kata kuncinya ialah 'ramei-ramei' atau 'ramai-ramai'. Nasi ambang amat istimewa kerana cara kita memakannya. Mengapa ? Kerana kita memakannya dalam satu dulang besar atau talam jawa secara beramai-ramai.

Satu ketika dahulu, saya hidup di dalam kalangan masyarakat Jawa yang ramai sekali di Daerah Kecil Labis. Di Kampung Sungai Gatom itu, ada ramai orang Jawa. Sehinggakan imam masjid itu sendiri namanya Haji Tukiran dan imam sambilannya pula bernama Haji Wagiman. Orang jawalah tu. Seorang cikgu sekolah agama saya pula namanya Jusman bin Masijan. Cikgu Matematik saya pula namanya Masnon bin Amat. Guru Penolong Kanan HEM pula Zahid bin Rahmat. Memang semuanya berdarah Jawa.

Kalau ada majlis di masjid, selalu benar dihidangkan kami dengan hidangan nasi ambang ini. Ertinya, kami akan makan di dalam dulang yang agak besar.

Caranya, satu dulang untuk 2-3 orang atau 4 orang. Kemudian, seorang akan membaca doa makan dan kemudian membahagikan lauk-pauk yang ada kepada orang yang lain. Lauk yang 'common' dalam hidangan nasi ambang adalah seperti ayam masak kicap, ikan masin, bihun goreng, tauhu goreng dan tempe goreng. Kadangkala, kami bernakal-nakal juga di mana kami akan 'membedal' lauk orang lain. Tapi tak apa, kami anggapnya sebagai gurauan sahaja dan kita akan saling bertukar lauk. Yang penting, tempe mesti ada kerana ianya 'makanan hakiki' kami. Seperti mana orang Kelantan dengan budu mereka, kami juga dengan tempe kami. Hehehe...

Untuk majlis peringkat daerah seperti maulidur rasul juga kadangkala dihidangkan dengan hidangan nasi ambang ini. Saya rasa salah satu sebabnya ialah ianya mudah disediakan memandangkan kesemuanya dhidangkan di dalam talam dan makan berkumpulan, maka kerja mencuci jadi sedikit mudah dan pinggan mangkuk tidak berlambak. Makanya, semua hadirin akan duduk di lantai beralaskan tikar, termasuklah para VIP. Namun, kita semua tidak kisah tentang itu, asalkan perut kenyang. Dan selalunya, memang kami kekenyangan meskipun makan beramai-ramai gitu. Mungkin kerana penyatuan hati, senyuman di antara kami membuatkan hidangan itu nampak banyak dan berseri-seri pula. Gelak ketawa tak usah cerita.

Sekarang ini, nasi ambang banyak dijual dalam bentuk bungkusan dan lauknya terhad. Untuk bertemu dengan hidangan talam sebegitu agak sukar jika tidak ada orang yang tahu menghidangkannya. Percaya atau tidak, hidangan nasi ambang tidak akan menjadi jika tukang atur lauknya tidak pandai meletakkan lauk di atas nasi itu.


Atuk dan nenek saya di Batu Pahat juga sering membawa balik nasi ambang dari masjid sekiranya ada majlis tahlil di masjid itu. Masalahnya, atuk selalu bawa sebungkus sahaja, padahal yang nak makannya ada dua-tiga orang yang dah lama tak nampak nasi ambang. Jadinya, berebut-rebutlah.

Pada mulanya, saya fikir tidak akan bertemu lagi dengan hidangan nasi ambang setelah berpindah ke Kulai. Rupanya tidak. Pejabat ayah saya juga ada memasak nasi ambang untuk hidangan maulidur rasul peringkat daerah. Ertinya, ada orang Jawa dalam kalangan tukang masak di situ. Hehehe... Kalau tidakpun, mungkin ramai yang sudah tahu dan belajar tentang cara hendak memasak nasi ambang ini. Kerana lauknya biasa sahaja, cuma hidangannya sahaja yang unik dan berbeza.

Begitulah saya yang membesar dalam kalangan masyarakat Jawa yang harmoni. Seperti yang pernah saya ceritakan dahulu, orang Jawa terkenal dengan sikap lemah-lembut dan bersopan-santun dengan tetamu. Mungkin dari situ, semangat nasi ambang yang menyatukan hati antara kami membuatkan kami terasa seperti satu keluarga. Bayangkan, kalau anda bermusuh, mahukah anda makan sedulang dengan musuh anda itu ? Tentulah tidak mahu, bukan ? Begitulah hidangan nasi ambang yang merupakan sebahagian daripada ikhtiar orang-orang Jawa untuk menyatupadukan masyarakatnya. Dan semangat itu amat baik sekali dan harus kita contohi dalam kehidupan seharian kita.

Saya pernah menyaksikan orang meninggalkan makanan dalam keadaan marah. Pada hemat saya, itu tidak elok sama sekali kerana berhadapan dengan rezeki perlulah dalam keadaan yang tenang serta penuh rasa syukur. Jadinya, kalaulah anda sedang makan sedulang nasi ambang begitu dan marah-marah, kita akan tenangkan anda dan beri anda banyak lauk untuk dimakan. Itu sebahagian daripada hikmahnya.Saya percaya tak akan ada orang yang ingin makan berkumpulan dalam keadaan marah-marah. Tentu sahaja orang yang marah-marah akan duduk jauh-jauh dan melayan kemarahannya sendiri.

Kesimpulannya, makanan dan minuman merupakan nikmat Allah yang amat berharga. Kita lihat saudara kita di kejauhan sana yang kelaparan kerana kekurangan makanan, namun kita di sini ada banyak makanan. Sewajarnya kita bersyukur atas pemberian Allah ini. Salah satu cara kita bersyukur dengan nikmat makanan dan minuman ini tentunya dengan menghidangkannya baik-baik sama ada untuk diri sendiri, keluarga mahupun tetamu yang bertandang. Ianya satu pahala. Hidangan yang baik tentunya mendatangkan rasa tenang di hati dan lapang dada serta berselera pula hendak memakannya. Itulah nikmat kesyukuran. Pun begitu, janganlah kita terlalu banyak makan kerana ianya akan membuatkan kita malas beribadah. Wallahua'lam.

P/s: Ada kawan saya cakap, dia tidak suka makan ramai-ramai dalam satu dulang...entah kenapa, saya pun tak tahu. Yang penting, dia bukan orang Jawa...hehehe...