Ramadhan yang dahulu kita nantikan dengan sabar kian hampir ke penghujungnya. Aduhai, bagi orang-orang soleh, tentunya ia mengundang kepiluan dalam diri lantaran bulan penuh rahmat ini bakal berakhir dan entahkan dapat atau tidak bertemu dengannya kembali pada tahun mendatang. Bagi kita ini, ramainya 'buat dek' saja. Yang lebih difikirkan sekarang ini ialah raya, raya dan raya.
Memanglah hari raya itu lambang kemenangan mengharungi bulan Ramadhan. Walaupun begitu, perlu kita fikirkan, adakah benar kita telah berjaya mengharungi sebagaimana yang sepatutnya, ataupun kita hanya mengharungi lapar dan haus sahaja ? Sedangkan kelebihan-kelebihan lain kita tidak ambil peduli pun. Kita masih suka mengumpat, kita masih senang menayangkan aurat, kita masih leka dengan hiburan sia-sia, kita masih berani berdua-duaan dengan kekasih. Bagaimana Ramadhan kita boleh dikatakan berjaya diharungi ?
Satu hal yang amat dinanti-nantikan adalah sebuah malam yang misteri, iaitu malam al-Qadar. Malam pengampunan, berkat, rahmat dan segala macam kurniaan Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Untuk mencarinya bukan macam mencari juadah berbuka puasa, melambak di sana-sini. Bahkan, ianya menjadi tanda tanya sehingga kini lantaran nabi tidak memberitahu kepada kita tarikh sebenarnya. Namun, petunjuk utama adalah 10 malam terakhir Ramadhan.
Firman Allah s.w.t. :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadr 97: 1-5)
Hadis nabi s.a.w. :
"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].
Begitu hebat malam ini, dan nyatanya ia di dalam bulan Ramadhan, bukan bulan-bulan yang lain. Dan tidak pula pada tiap-tiap bulan. Jadi, bayangkan sahajalah jika kita abaikan kemuliaan malam ini kerana fikiran asyik teringat tentang raya, raya dan raya sahaja. Alangkah ruginya. Padahal nabi telah memberitahu bahawa salah satu kelebihannya ialah diampunkan segala dosa-dosa kita yang lalu sekiranya kita ikhlas beribadah pada malamnya dan memohon ampun kepada Tuhan.
Ya, bagi pelajar seperti saya, mungkin akan sedikit terganggu aktiviti malam kerana ada kerja yang hendak dibereskan dan juga ujian yang akan dilalui. Pun begitu, kita jangan lupa, belajar dan menyiapkan tugasan yang diamanahkan juga adalah ibadah. Justeru, kita ambillah keberkatan 10 malam terakhir itu dengan bersungguh-sungguh bekerja dan luangkan juga masa untuk sujud, berzikir dan menghisab kembali diri yang lemah ini. Insya Allah kerja kita akan diberkati.
Kita juga tidak dapat mengelakkan diri daripada bercerita berkenaan tanda-tanda malam al-Qadar itu.
Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.
Lailatul Qadar adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.
Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat
pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.
Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
Ada yang berkata doa permohonannya makbul.[1]
Maha suci Tuhan yang mengurniakan rahmat kepada hamba-hamba-Nya. Kita sahajalah yang tidak mahu bersyukur dan sombong dengan pemberian Tuhan. Kita bahkan leka dengan dunia yang sementara. Kita senang berbicara perkara yang sia-sia berbanding melembutkan lidah untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran serta berzikir pada siang dan malamnya.
Semoga Tuhan mengampunkan kita pada Ramadhan kali ini. Insya Allah.
Wallahua'lam...
Rujukan:
[1] Lailatul qadar, http://razzyy.com/ibadat/lailatul-qadar.html