Zikir itu, seperti yang kita telah sedia maklum adalah sebahagian daripada saranan utama agama kita dalam menyucikan hati yang kotor. Firman Allah s.w.t.:
"Sesungguhnya, dengan mengingati Allah itu (bizikrillah), hati akan menjadi tenang." (Ar-Rad : 28)
Ayat tersebut jelas menyatakan bahawa hati itu hanya akan menjadi tenang dan tenteram dengan mengingati Allah. Di dalam ayat tersebut ada kalimah bizikrillah, maka zikir itu ertinya ingat. Zikrullah itu ertinya mengingati Allah. Dan cara berzikir itu adalah dengan menyebut dan memuji Allah Taala seperti 'Subhanallah', 'Alhamdulillah', 'Allahuakbar' dan banyak lagi zikir-zikir yang lain.
Allah s.w.t. juga berfirman :
"Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar." (Al-Ahzab : 35)
Oleh itu, kasihan sekali kita ini kepada budak-budak ini yang tersengih-sengih macam kerang busuk dan terkinja-kinja macam beruk melantunkan bacaan zikir tetapi bukan dengan tujuan keinsafan, sebaliknya untuk bermain-main dan bersenda-gurau.
Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda:
"Dua kalimah yang ringan di lisan, berat di mizan, disukai oleh al-Rahman: Maha Suci Allah dan segala puji-pujian untuk-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini jelas menunjukkan kemuliaan zikir dan pahalanya yang juga besar. Oleh itu, mempersendakan zikir adalah hal yang tidak dapat diterima terutamanya ia dilakukan oleh orang-orang Islam sendiri (perempuan pula tu).
Ketahuilah wahai perempuan-perempuan yang mempersendakan zikir, perbuatan anda yang tidak senonoh itu dimurkai Allah, kerana zikir yang anda persendakan adalah amalan nabi, para sahabat dan juga para ulama. Maka perlu apa hendak bermain-main begitu sedangkan ada lagi permainan yang boleh anda main ?
Adalah jelek sama sekali anda terkinja-kinja begitu sambil mengucapkan hasbi rabbi jallallah...
Macam manusia tidak cukup sifat dan akal sudah terencat. Nah, sekarang Tuhan sedang membalas. Perbuatan anda telah diketahui ramai, dan orang ramai mengecam dan mengeji perbuatan anda. Ya, mungkin perbuatan anda tidak seteruk orang yang berzina dan buang bayi, akan tetapi kalimah zikir dan nama Allah bukanlah barang mainan dan ejekan. Justeru, ia juga adalah perbuatan yang tidak elok. Apa yang tidak elok, janganlah diperbuatkan. Hairan sekali mengapalah anak muda sekarang senang melakukan perbuatan yang memalukan maruah mereka sendiri.
Daripada al-Nawwas bin Sam'an r.a. :
"Aku bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang kebaikan dan dosa, lalu baginda menjawab: "Kebaikan adalah akhlak yang baik, manakala dosa ialah apa yang berbolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya." (Riwayat Muslim)
Kalaulah anda wahai budak-budak perempuan berasa 'bangga' apabila perbuatan tidak senonoh anda ini menjadi 'popular', maka persilakanlah tempatkan diri anda dalam kalangan orang-orang yang tidak berkahlak.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment