Nuffnang

Monday, August 16, 2010

HANYA LAPAR DAN DAHAGA


Mencari kesempurnaan semasa melakukan ibadah puasa adalah teramat sukar. Hal ini kerana kita sebagai manusia ini sememangnya senantiasa terdedah kepada melakukan kesilapan dan terleka menurut hawa nafsu sendiri.

Oleh itu, sepatutnya tidak ada siapa pun yang berani mengatakan bahawa dirinya telah sempurna dalam melaksanakan ibadah puasa. Kalaulah ada orang seperti itu, adalah yang tidak kena dengan hati nuraninya.

Puasa itu kalau kita dapat fahamkan secara mudah adalah menahan diri daripada lapar dan dahaga, bermula dari waktu subuh sehinggalah terbenamnya matahari. Itulah asasnya. Namun begitu, bukan itu sahaja yang agama kita kehendaki, bahkan lebih daripada itu. Ertinya, yang berpuasa bukan perut dan tekak sahaja. Bahkan tangan perlu berpuasa, kaki perlu berpuasa, mata perlu berpuasa, telinga perlu berpuasa dan mulut juga perlu berpuasa. Oh ya, tidak lupa juga hati pun perlu berpuasa.

Oleh itu, kita boleh kategorikan begini :

  1. Puasa perut    : Menahan diri daripada lapar dan dahaga
  2. Puasa mata     : Menahan diri daripada melihat perkara yang dilarang Tuhan
  3. Puasa telinga  : menahan diri daripada mendengar perkara yang sia-sia serta keji seperti pembohongan, umpatan dan sebagainya.
  4. Puasa tangan  : Menahan diri daripada menyentuh perkara yang haram seperti berpegangan tangan    antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
  5. Puasa kaki      : Menahan diri daripada melangkah ke tempat-tempat yang sia-sia seperti pusat karaoke, pesta ria dan sebagainya.
  6. Puasa hati       : Menahan diri daripada menurut hawa nafsu yang selama ini bermaharajalela di hati. Hal ini melibatkan penyucian hati seperti bertaubat, berzikir dan ibadah-ibadah lain.

Inilah yang dapat saya fahamkan secara mudah. Masalahnya sekarang ini kita jarang-jarang sekali dapat melakukan kesemuanya. Pasti ada yang kita dengan sengaja melakukan larangan-larangan itu, walaupun kita tahu benar yang ianya akan mengurangkan kualiti puasa. Puncanya ? Kita kalah dengan nafsu kita sendiri. Pengalaman saya sendiri sememangnya banyak jika hendak diceritakan perihal kalah dengan nafsu sendiri ini. Malang sekali, tidak pula kita usahakan baik-baik untuk mencegahnya. Kita tidak menyediakan rawatan untuk hati kita yang begitu lemah untuk melawan godaan hawa nafsu sendiri.

Kita tidak mahu membasahkan lidah kita dengan zikrullah. Padahal zikir yang paling mudah itu adalah Lailahaillallah. Mudah sekali. Itu pun kita payah nak menyebutnya. Kalau berbicara hal yang sia-sia, bukan main lagi lidah kita bekerja sampai berbelit-belit dibuatnya.

Kita tidak mahu meningkatkan kualiti ibadah wajib kita, tetapi kita sibuk bercerita tentang ibadah sunat. Memanglah kita faham bahawa ibadah sunat itu menampung kekurangan yang ada pada ibadah wajib. Namun, hal itu bukanlah alasan untuk kita melakukan ibadah wajib sambil lewa sahaja. Beria-ia solat sunat terawih di malam hari, tetapi petang tadi solat Asar ditinggalkan sebab terlajak tidur. Ibadah macam apa itu ? Oleh sebab itu, eloklah kiranya kita menjaga ibadah wajib terlebih dahulu.

Merenung Diri



Saya kira bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan yang terbaik untuk kita merenung kembali ke dalam diri kita yang hina ini. Bukanlah bermakna bulan-bulan yang lain itu tidak baik, akan tetapi keberkatan itu lebih pada bulan Ramadhan ini. Itu yang kita fahamkan.

Oleh itu, molek sekali kalau kita dapat tunduk sebentar selepas solat fardhu dan kembali menghisab diri kita. Banyak persoalan yang boleh kita tanyakan pada diri kita ini.

Apakah kita sudah menjadi hamba Tuhan yang taat ?
Apakah kita benar-benar sayangkan Nabi Muhammad s.a.w., padahal sikit sekali sunnahnya yang kita ikut ?
Apakah kita benar-benar melakukan ibadah dengan betul ?
Apakah kita sudah bertaubat kepada-Nya ?
Apakah kita banyak dosa kepada saudara-mara kita ?
Banyak lagi persoalan yang boleh kita utarakan semasa menghisab diri.

Sesudah itu, setelah menemui persoalan, perlulah kita mencari jawapannya. Jawapan itu perlulah menjawab kesemuanya persoalan itu dan dapat membaiki apa yang kurang, apa yang lemah dan apa yang salah. Itulah namanya menghisab diri.

Semestinya, kita agak kecewa dengan manusia yang merasakan bahawa dirinya tidak pernah bersalah dengan manusia, apatah lagi dengan Tuhan. Dia merasakan dia sahajalah yang betul. Jika dia bersalah sekalipun, dan ada orang menegurnya, dia akan memperlekehkan orang itu dengan berkata, "Alah, kau pun apa kurangnya. Blah la...!"


Orang seperti ini sebenarnya perlu membaca kembali kitab sejarah. Ada seorang ulama (maaf saya terlupa namanya) pernah mengembara mencari ilmu. Dan dia membawa segala macam kitab yang ada bersamanya. Satu ketika, dia telah ditahan perompak. Apabila ditanyakan, dia berkata bahawa dia hanya membawa kitab-kitab pelajarannya sahaja dan tidak ada satu pun barang berharga bersamanya. Perompak itu lantas mempersoalkan tindakan ulama itu yang membawa segala kitab itu berbanding menyematkannya di dalam hati. barulah ulama itu sedar dan bermula dari situ, beliau sedaya upaya menghafal semua kitab-kitab yang ada padanya.

Nah, kisah ini juga jelas bahawa nasihat yang berguna itu kadangkala datang daripada orang yang tidak kita sangka sama sekali. Bahkan ada satu kisah bahawa seorang lelaki dewasa jatuh pengsan setelah mendengar nasihat seorang budak kecil.

Jadi, siapa pula kita ini yang begitu lancang tidak mahu terima teguran orang lain ? Hakikatnya, itulah petanda bahawa kita berhati kering, bak kata orang Melayu. Oleh itu, perlulah kita suburkan hati kita itu kembali. Caranya ? Perbanyakkanlah membaca Al-Quran. Perbanyakkanlah mendengar nasihat-nasihat yang baik dan bergaullah dengan rakan-rakan yang baik. Baik di sini ertinya yang boleh menasihati kita kepada kebaikan. Kan agama itu nasihat. Oleh itu, kita tidak dapat lari daripada mendengar nasihat. Kalau kita cuba lari, ertinya kita cuba lari daripada agama. Kan malang hidup begitu.

Kesimpulannya, janganlah kita menjalani ibadah puasa yang hanya sekadar lapar dan dahaga sahaja, sedang hati masih tidak dapat diperbetulkan kepada yang lebih suci dan bersih daripada kehinaan dunia. Puasa sepatutnya mengajar kita tentang bahaya tipu daya dunia menginsafi kesusahan hidup orang lain serta mensyukuri nikmat kesenangan yang dikurniakan Tuhan kepada kita. Oleh itu, berbahagialah dengan puasa kita dan selamat menunaikannya dengan sebaik mungkin.

Wallahua'lam...

No comments: