Nuffnang

Tuesday, October 19, 2010

ANUGERAH YANG MAHA ESA... (UNTUK MIASARA NASUHA)

Ketika nabiku Muhammad s.a.w. mengajarkan berkat doa,
Ketahuilah wahai adikku,
Ianya sudah beribu tahun dahulu.
Untuk orang-orang sepertimu adik,
Diciptakan Allah dengan kejernihan wajah,
Keayuan wajah,
Kecomelan rupa paras,
Adalah petanda agungnya Sang Maha Pencipta.

Maka,
Ketahuilah dirimu wahai adikku,
Dikau yang kecil molek,
Perlulah mengenal siapa nabimu,
Supaya kelak dikau mengenal jua pesan-pesannya,
Untuk orang-orang sepertimu adik.


Telah berkatalah nabimu wahai adikku,
Bahawa anak-anak itu ibaratnya seperti kain nan putih,
Suci tanpa corak,
Bersih tanpa kotoran,
Maka ibu bapamu wahai adik,
Yang akan mewarnakan dirimu,
Dengan warna-warna kemuliaan,
Warna-warna kedamaian,
Demi kemuliaan seorang insan.

Sungguh nabimu telah mengajar wahai adik,
Berkat doa warisan,
Katanya,

Wahai Tuhanku,
Seperti mana Engkau telah memperelokkan rupa parasku,
Maka Engkau perelokkanlah jua akan akhlakku.

Demikian doa untuk kita wahai adik,
Tidak nabi tinggalkan kepada kita,
Melainkan kesemuanya telahpun sempurna wahai adik,
Ketahuilah,
Ketahuilah....

Adapun dirimu wahai adik,
Kelak dikau akan diwajibkan sembahyang,
Maka pelajarilah baik-baik pada usiamu,
Semoga dikau dapat menunaikannya,
Dengan penuh kesempurnaan.


Adapun dirimu wahai adik,
Kelak dikau akan diwajibkan berpuasa,
Maka ketahuilah wahai adikku sayang,
Jauhilah dirimu daripada banyak makan dan minum,
kerana abang khuatirkan penyakit bertandang dalam hidupmu.

Sungguh dirimu wahai adik,
Masih canggung dengan duniawi,
Maka abang hendak berpesan,
Akan dirimu berwaspadalah,
Kerana dunia ini banyaknya menipu kita,
Dustanya amatlah kotor untuk ia menyeliputi hati,
Sehinggakan banyak manusia,
Menjual agama demi dunia,
Maka berkatalah mereka sesuka hati,
Akan perkara agama itu barang mainan sahaja,
Mereka sesuka hati memperagakan aurat yang haram dipertontonkan,
Mereka bergaul bebas,
Mereka bercinta bebas,
Seolah-olah langit dan bumi meredhai perbuatan mereka ,
Maka untuk dirimu wahai adik,
Abang doakan kepadamu,
Supaya dikau selamat,
Daripada kekejian ini,
Kerna sungguh,
Tuhan dan segala hukumnya,
Bukanlah barang mainan...

Buat adik Miasara yang comel... :-)

Saya tidak pernah mengenal anak kecil yang molek sekali paras rupanya, sehinggalah rakan-rakan saya bercerita tentangnya. Sungguh, dia adalah anak yang cantik sekali. Demikianlah kurniaan Allah kepada sekalian ahli keluarganya. Semoga ibu bapanya menjaganya baik-baik, memberinya didikan agama yang sempurna, supaya kelak apabila besar, anak ini tahu membezakan mana yang benar dan mana yang salah serta mana yang halal dan mana yang haram.

Ada sebuah untaian kata-kata daripada sebuah lagu, khas untuk anak kecil ini:

Hadir kau cahaya,
Tika malam menjelma,
Sinari menyuluh lorong gelita,
Bila dewasa,
Jadi insan berguna,
Taat perintah-Nya sentiasa...
(Hujan Gerimis, Rast)

Wallahua'lam...

No comments: