Nuffnang

Monday, November 08, 2010

ANDY MCKEE, ANTOINE DUFOUR, SUNGHA JUNG, AKU DAN CERITA TENTANG GITAR

Kalau anda seorang yang sedang belajar bermain gitar dan berumur 21 tahun, kemudian anda melihat seorang budak yang berumur dalam lingkungan 10 tahun sudahpun mahir memetik gitar dengan kod yang kompleks, anda akan terasa seperti hendak menghempuk gitar anda ke skrin komputer.

Kata mudahnya JEALOUS. Ya, cemburu yang teramat sangat.

Suka kita ingatkan di sini bahawa setiap manusia itu ada bakatnya yang tersendiri. Ada orang yang sampai koyak-koyak hujung jarinya, namun kord gitar yang dia tahu hanya 3 sahaja. Sedangkan ada hamba Allah yang lain, telahpun mahir kord-kord yang lebih kompleks dan umurnya teramat muda !


Saya mula meminati gitar ketika umur saya 14 tahun. Melihat seorang penyanyi menyanyikan lagu sambil memetik gitar adalah teramat 'cool' bagi saya ketika itu. Dari situ, datang entah dari mana minat untuk saya belajar bermain gitar. Ya, khabarnya pandai bermain gitar akan menarik perhatian ramai gadis. Umur saya yang ketika itu 'mula tumbuh tanduk' semakin berkobar-kobar untuk belajar kerana hendak mengorat 'awek' di sekolah. Hehehe...teramat nakal.

Malangnya, saya tidak berduit. Maka, ayah sayalah menjadi 'mangsa'. Ayah saya pula bukan seorang yang manjakan anaknya. Justeru, amat sukar untuk memujuknya. Tambahan pula, ketika itu ayah saya cukup risau dengan keputusan peperiksaan saya yang tidak berapa baik.

Makanya, saya memendam rasa. Manalah tahu Tuhan akan melembutkan hati ayah saya dan membelikan sebuah gitar untuk saya. Nah, Tuhan mengkabulkan. Selang beberapa bulan, ayah saya membawa pulang sebuah gitar berwarna biru. Masih ingat saya pada namanya iaitu Omiya. Dan ayah saya tahu pula bermainnya. Nah, rupa-rupanya ayah saya juga pernah belajar ketika umur mudanya dahulu. Mungkin gen minat bermain gitar itu menurun pula kepada saya, sedikit.

Saya pun mulalah memetik gitar, dengan penuh seksa. Cis, saya ingatkan begitu mudah bermain gitar disebabkan melihat orang-orang mengadakan persembahan bermain gitar dan kelihatannya mereka begitu santai bermain gitar. Rupa-rupanya amat menyakitkan sekali. Jari-jari terasa seperti sedang dikoyak-koyakan oleh tali-temali gitar yang berbeza-beza saiz itu.

PMR telah menjadi penghalang tegar saya untuk terus belajar bermain. Sudahlah belajar tanpa guru, lagilah malas jadinya. Maka, gitar saya tinggalkan selama lebih 3 tahun. Sehinggalah pada tahun 2006, saya melayari internet suka-suka dan melawat laman YouTube. Sengaja saya menaip kata kunci gitar dan menjumpai ribuan video mengenai gitar. Namun, saya tertarik dengan satu nama yang membuatkan saya bersemangat kembali untuk bermain gitar. Beliau bernama Andy Mckee. Dan video beliau yang pertama saya tonton adalah Drifting. 


Cara bermain gitarnya yang teramat unik itu membuatkan saya ingin tahu siapa lelaki hebat ini. Maka, beberapa lagi videonya saya jumpai. Dan saya terus 'jatuh cinta' dengan salah satu lagu ciptaannya iaitu Rylynn. Menurut Andy Mckee, lagu itu dicipta sebagai dedikasi kepada seorang anak perempuan rakannya yang telah meninggal dunia.


Gitar saya yang telah berhabuk itu kembali saya sentuh setelah 3 tahun membiarkannya terperuk di satu sudut bilik. Kali ini, saya tidak lagi belajar kerana hendak mengorat perempuan, tetapi kerana minat lama kembali menghantui. Dan jari-jemari saya kembali sakit seperti dahulu, malah lebih susah kerana jari saya sudah keras kematu dan besar. Saya belajar berpandukan kepada cd interaktif belajar bermain gitar bagi seorang pemula. Satu demi satu pelajaran di dalamnya saya ikuti. Sehinggalah satu masa, ketika saya memetik tali-temali gitar itu, saya tidak lagi merasa sakit seperti selalu-selalu. Rupa-rupanya, kulit hujung jari saya sudah mengeras. Seolah-olah ada lapisan lain pada kulit itu. 

Ketika ini, seorang lagi pemain gitar yang saya minati adalah Antoine Dufour. Kalau Andy Mckee lebih selesa dengan irama yang lembut dan tenang, Antoine Dufour suka memainkan lagu yang agak rancak, malah-malah kadang-kadang lagunya seperti 'terloncat-loncat' jika kita mendengarnya.


Untuk menghafal kord-kord gitar bukanlah perkara yang mudah, kerana ianya terlalu banyak dan ada di antaranya teramat kompleks. Maka, saya mulakan dengan menghafal kord yang ringkas dahulu. Antaranya ialah kord Am dan juga G.

Kebiasaan bagi 'beginner', lagu-lagu yang dipelajari adalah lagu-lagu rock kapak ataupun lagu-lagu sekitar tahun 80-an dan 90-an. Kebanyakan lagu-lagu mereka ketika itu agak mudah kordnya untuk dipelajari. Salah satu lagu yang seolah-olah menjadi 'wajib' untuk dipelajari ialah lagu Kau Ilhamku nyanyian Man Bai. Ianya santai, rileks dan sesuai dipelajari oleh pemula memandangkan lagunya tidak terlalu laju. Ada juga yang selesa belajar kord daripada lagu-lagu Inggeris. Terpulang kepada diri masing-masing.

Saya mencari-cari lagi video pemain-pemain gitar yang hebat di YouTube, dan dengan takdir Tuhan, saya bertemu dengan seorang anak kecil yang amat luar biasa. Ya, kalau anda kata ianya biasa saja, sila berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan pada otak anda. Tuhan itu Maha Pemurah, Dia boleh memberikan kurniaan-Nya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya.

Nama anak itu ialah Sungha Jung.

Sungha Jung amat dihormati dalam kalangan pemain gitar profesional memandangkan umurnya yang teramat muda namun nampu bermain gitar dengan kord yang kompleks serta rentak lagu yang pelbagai. Ketika menonton videonya buat kali pertama, saya rasa seperti sia-sia belajar bermain gitar selama ini. Namun, kalau sudah orang itu berbakat dan bakat itu datangnya daripada Tuhan, mahu kata apa lagi. Kita tumpang gembira sajalah. 


Anak ini betul-betul membuatkan saya semakin teruja untuk belajar bermain gitar. Biarpun saya tak ada bakat, namun perlahan-perlahan belajar pun tak apa. Sekurang-kurangnya ada sedikit kepuasan dalam diri. Ayah saya agaknya tahu yang perangainya sedikit sebanyak menurun juga ke dalam diri saya, tidak cakap banyak tentang minat saya itu. Tapi, saya berhati-hati juga supaya dia tidak membebel mengatakan saya membuang masa.

Kalau ditanya-tanya orang, apa kebaikan belajar bermain gitar, saya pun tak tahu hendak kata bagaimana. Samalah seperti anda bertanya kepada orang yang suka menghias kereta dengan alatan entah apa benda, mereka tak akan mampu memberi jawapan yang tepat. Paling banyak yang kita dengar adalah minat dan kepuasan. Bermain gitar juga begitu. Paling penting, jangan sampai diabaikan kewajipan agama seperti solat dan sebagainya. Kalau ketika orang sedang melaungkan azan pun nak bermain gitar, maka hal itu adalah salah. Hormatilah hukum-hakam agama kita. Insya Allah hobi kita tidak akan memudaratkan kita.

Sebagai penutup, terimalah I'm Yours daripada Sungha Jung. :-)


No comments: