Nuffnang

Sunday, December 12, 2010

SAYA MEMBESAR DENGAN LAGU-LAGU P.RAMLEE (3)

Ahh...dah lama tidak bersantai-santai begini. Beberapa entri yang lepas, saya cuba untuk 'serius'. Kali ini, saya mahu rileks-rileks saja.

Pada 20 dan 21 April yang lalu, saya telah menulis dua entri berkenaan dengan lagu-lagu P.Ramlee. Saya memang berhajat untuk menyambungnya namun sehingga hari semalam, saya langsung tidak tergerak hati untuk menulisnya. Nah, kini saya sambung semula.

Semua orang di Malaysia ini tahu P.Ramlee dan kenal beliau melalui filem-filemnya serta lagu-lagunya yang menusuk jiwa dan kalbu kita. P.Ramlee dikurniakan Tuhan dengan suara yang luar biasa dan hanya MILIKNYA. Biarpun ada beberapa manusia lain yang cuba menirunya seperti Musli Ramli dan Kahar Hamid, namun mereka meniru atas dasar kasih dan sukanya mereka pada P.Ramlee, bukan mahu menggantikan P.Ramlee.

Baiklah, belum habis kita bercerita tentang lagu-lagu P.Ramlee. Memandangkan lagunya hampir 300 buah, adalah mustahil saya menceritakan semuanya. Cukuplah sekadar yang saya minat dan hafal.

Anda pernah tonton filem Antara Dua Darjat ? Tentu pernah, bukan ? RTM dan ASTRO sudah banyak kali menayangkan filem itu. Ianya merupakan antara filem P.Ramlee yang mendapat pujian kerana usaha P.Ramlee cuba menampilkan tema berkenaan kelas sosial yang wujud di dalam masyarakat Melayu iaitu satu kelas bangsawan dan satu lagi kelas bawahan atau biasa seperti kita ini. Menurut dokumentari P.Ramlee di History Channel, filem ini dihasilkan P.Ramlee ketika rumah tangganya bergolak. Ya, ketika itu isterinya adalah bekas permaisuri istana di Perak. Dek kerana pergolakan rumahtangganya, mungkin P.Ramlee cuba mengenang kembali saat-saat mereka begitu sukar bercinta memandangkan taraf mereka yang jauh berbeza. Saya boleh bayangkan pada tahun 60-an, sistem kelas memang masih kuat diamalkan, bukan ? Apatah lagi melibatkan keluarga diraja.

Ok, terdapat beberapa lagu yang saya minat di dalam filem ini. Antaranya ialah ALUNAN BIOLA. Lagu ini dihasilkan P.Ramlee dalam rentak keroncong.


 

Pada pendapat saya, irama keroncong amat enak didengar kalau penyanyinya memiliki suara yang 'dalam' seperti P.Ramlee ini. Amat menyentuh jiwa mendengarkannya. M.Nasir pernah cuba mengubah irama Srikandi Cintaku yang pada mulanya berentak rock kapak. Hasilnya, teramat-amat menarik dan kenalah pula dengan suara M.Nasir yang lunak itu.
Menariknya, ada sebuah filem moden yang seakan-akan menyamai babak ini iaitu filem Mukhsin. Kita dapat lihat Adibah Noor menyanyikan lagu keroncong Hujan dan ketika itupun hari sedang hujan.

Satu lagi yang saya musykilkan, agaknya berapa banyak air yang digunakan P.Ramlee untuk babak ini. :-)

Seperti biasa, sesuatu filem P.Ramlee itu amat dibantu dengan kekuatan lagu-lagunya. Lagu lain yang sememangnya menjadi 'agung' dalam industri muzik tanah air ialah lagu GETARAN JIWA. 


Saya kira Sudarmadji telah berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan lirik sebagus ini untuk sebuah lagu yang bertemakan cinta. Pada hemat saya, Tengku Zaleha 'sangkut' pada 'Ghazali' apabila sampai pada bait lirik,

"Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa hampa..." :-)

Kita umpamakanlah yang lagu itu mewakili Ghazali dan irama mewakili Tengku Zaleha. Bayangkan sebuah lagu dengan irama yang buruk, lagu akan menjadi buruk sama sekali. Kita tentu pernah mendengar orang bertanya, "Lagu apa ini ? Kenapa teruk sangat ?" Ha, itulah bahana irama yang rosak dalam sebuah lagu. Sebab itulah lagu dan irama tidak boleh dipisahkan.
Ini pendapat saya saja.

Filem lain yang pada mulanya saya tidak berapa suka ketika kecil dahulu iaitu IBU MERTUAKU. Kenapa saya tidak suka pada mulanya ? Kerana penamatnya amat mengecewakan. Sudahlah ditipu Sabariah dan Dr.Ismadi serta ibu mertuanya, dicucuk pula matanya dengan garfu. 

Kalau saya menjadi Kassim Selamat @ Osman Jailani, saya akan mencekik Nyonya Mansur dan menampar muka Sabariah laju-laju di samping menyepak punggung Dr. Ismadi yang kononnya cuba menebus dosa 'merampas' Sabariah dengan 'memulangkan' penglihatan Kassim Selamat. Perghh...itu adalah falsafah yang hebat.

Baiklah, lagu 'berhantu' yang amat saya minati di dalam filem ini ialah JANGAN TINGGAL DAKU dan DI MANAKAN KU CARI GANTI.




Jangan Tinggal Daku amat menggamit orang-orang macam Sabariah. Hehehe...tengoklah bagaimana dia mendengar lagu dendangan Kassim Selamat dengan orkesnya sampai berguling-guling sambil membuat muka 'bernafsu'. Aduhai...
Di Manakan Ku Cari Ganti menjadi teramat berbeza selepas dokumentari P.Ramlee ditayangkan. Saya hampir menangis ketika mendengarkan lagu ini. Masakan tidak, sedangkan Hashimah Yon sendiri menangis ketika melihat P.Ramlee menyanyikan lagu ini untuk rakaman. Janji P.Ramlee pada Hashimah Yon ketika itu, bahawa lagu ini akan terus dikenang orang walaupun 40 tahun mendatang. Dan benarlah dan tepatlah janjinya itu, padahal P.Ramlee tidak pernah sempat melihat janjinya menjadi kenyataan.

Jika saya tidak salah, P.Ramlee pernah menyanyikannya semula di dalam filem ENAM JAHANAM. Tetapi malang sekali, dengan keadaan studio yang serba kekurangan di Kuala Lumpur, lagu ini menjadi hambar di dalam filem itu. Tidak menusuk kalbu seperti dalam filem Ibu Mertuaku. Padahal punca lagu itu sama, kerana kematian seorang isteri. 

Ibu Mertuaku mula saya minati ketika saya mula tahu bagaimana seharusnya kita menentukan jalan hidup. Ketika nafsu menggila, boleh saja kita tersalah memilih jalan dan menjahanamkan diri sendiri. Kerana itulah, iman amat penting dalam diri kita di samping ibadah yang berterusan. Kassim Selamat tersalah langkah dengan 'enjoy' semahu-mahunya dengan duit ibu mertuanya, sehingga padahya, beliau terpaksa berpindah ke bawah kolong rumah orang, sedang isterinya sarat mengandung. Siapalah yang tidak tertekan dan bersedih. 

Dalam filem SUMPAH ORANG MINYAK, terdapat dua buah lagu yang menjadi kesukaan saya. Pertama ialah lagu TARI TUALANG TIGA dan TUDUNG PERIUK.
Tari Tualang Tiga dinyanyikan oleh Saloma. Tariannya amat menarik sekali. Kedengaran pula para penari itu menepuk-nepuk peha mereka ketika menari. :-) Koreografer tarian ini adalah NORMADIAH yang bergandingan dengan P.Ramlee dalam filem BUJANG LAPOK yang memegang peranan tuan rumah. Menurut cerita, P.Ramlee amat berpuas hati dengan tarian ini kerana ianya amat sesuai dengan lagu itu sendiri.


Haa...bagi yang bukan peminat P.Ramlee. Lagu ini dikira asing, betul tak ? Sudahlah tajuknya pun pelik, TUDUNG PERIUK. Boleh ke tudung periuk dibuat lagu ? Boleh sahaja kalau sudah penciptanya orang yang luar biasa. 


Tudung Periuk adalah merupakan antara lagu tradisional ciptaan P.Ramlee yang 'luar biasa'. Iramanya sungguh merdu untuk dilupakan begitu sahaja. Anda boleh dengar bagaimana P.Ramlee melontarkan suaranya pada harkat Qarar. Dalam sistem bacaan berlagu Al-Quran, ketika P.Ramlee menyanyikan bait lirik, "Kainlah yang buruk hai berilah kami..." itu adalah merupakan harkat paling rendah atau disebut sebagai qarar. Kalau anda hendak membaca al-Quran dengan berlagu, inilah tingkatan suara yang perlu dilatih terlebih dahulu, sebelum melontar suara jawabul jawab atau tingkatan yang tinggi.

Inilah keunikan lagu Tudung Periuk. Anda boleh perhatikan bahawa lagunya bukanlah berkenaan dengan tudung periuk semata-mata. Tudung periuk itu seolah-olah hanyalah pembayang sahaja, sedangkan maksudnya lebih bertumpu kepada luahan Si Bongkok kepada Afidah yang pernah membantunya dahulu ketika dibalun oleh Salleh Kamil (saya lupa nama wataknya). 

Inilah lagu yang saya selalu berulangkali mendengarnya selepas lagu NAK DARA RINDU yang amat romantik itu.

Kita bercerita tengan filem komedi beliau pula. Filem komedi LABU-LABI juga terdapat beberapa buah lagu yang menarik.  Paling saya suka ialah lagu YANG MANA SATU. Melihat P.Ramlee dan M.Zain cuba berebutkan Manisah amatlah melucukan. Dalam lagu itu, mereka cuba menonjolkan kehebatan masing-masing. Manisah pula cuba menyindir. :-)


Pada mulanya, saya ingatkan suara yang kedua itu memang milik M.Zain. Tetapi rupanya tidak. Ianya juga merupakan suara P.Ramlee. Hehehe...

Namun begitu, ianya menjadi berbeza apabila P.Ramlee merakamkannya semula untuk piring hitam. Kelihatannya suara P.Ramlee menjadi sengau pula di dalam rakaman piring hitam. Sedangkan suaranya di dalam filem kelihatan seperti meneran habis-habisan. Hehe...

Kalau anda dengar betul-betul, terdapat bunyi saksofon di dalam lagu ini. Haa...itulah dia Yusuf B. Anda boleh melihat beliau ketika Saloma mendendangkan lagu Bila Larut Malam di dalam filem ini.

Ahah, sebuah lagi filem komedi P.Ramlee ketika di Singapura yang amat saya minati ialah NUJUM PAK BELALANG. Lagu temanya sendiri amat saya minati. Namun, saya lebih suka versi filem berbanding versi piring hitam kerana versi piring hitam lebih perlahan berbanding versi filem yang agak rancak.


Entah apa kenanya, filem Nujum Pak Belalang ini ada beberapa 'error', Maksud saya di sini, ada sesetengah babak semacam dipotong. Seperti lagu KALAU KACA MENJADI INTAN, apabila sampai bahagian P. Ramlee menyebut, "Kalau mati dulu..." terus pergi kepada "Ooo..."


Saya mengandaikan bahawa mungkin liriknya itu ada semacam tidak elok ataupun mungkin sahaja negatif filem ini sedikit rosak. Mungkin.

Begitu juga ketika bunyi dentuman meriam daripada bahtera Sultan Masai. Apabila datang seorang utusan yang kelam-kabut cuba memberitahu ketibaan bahtera tersebut, secara tiba-tiba babak itu dipotong dan terus sambung kepada titah sultan yang menyuruh askarnya menyambut ketibaan bahtera itu mengikut niat mereka.

Lagu lain yang saya amat suka di dalam filem ini ialah KETIPANG PAYUNG. Aww...penyanyinya RAHMAH RAHMAT amat cantik dan cun sekali di dalam filem ini. Saya rasa setakat ini, tidak ada gandingan beliau dengan P. Ramlee di dalam mana-mana filem melainkan dalam nyanyian sahaja.


Seorang kawan saya pernah memberitahu, "Aku tak pernah dengar lagu yang boleh bercerita pasal daun, lepas tu jadi pantun..."

Hahaha...itulah kehebatan P.Ramlee dan penulis lirik gandingannya, iaitu Sudarmadji.

Rahmah Rahmat juga pernah berduet dengan P.Ramlee di dalam lagu JANGAN ADIK ANGAN-ANGAN dari filem MUSANG BERJANGGUT. Ya, ini juga merupakan lagu kesukaan saya. 

BERSAMBUNG...

4 comments:

rosputeh said...

olahan tuan adalah olahan yang terbaik pernah saya baca di laman sesawang..

AKMAL_ALIF said...

rosputeh,
Saya menulis hanya sebagai seorang peminat setia P.Ramlee. Semuanya mengikut pengalaman dan 'rasa' terhadap lagu-lagu dan filem-filemnya... :-)

mawar kamila said...

Asalam. sy jumpa blog ni time search pasal lagu2 p.ramlee.
lagu2 arwah memang puitis. saya suka...saya suka. ^_^"
adik yg umo 6 thn pun suka tengok citer p.ramlee. terutama trilogi bujang lapok. adik sy cyap nangis lg tengok ibu mertuaku. budak 6 tahun pon phm. :)

AKMAL_ALIF said...

Mawar Kamila,

Terima kasih... jadinya kita ada 'mutual interest'...hehehe...

Ibu Mertuaku memang filem yang sedih. Budak-budak jarang suka tengok Ibu Mertuaku...hehe...