Nuffnang

Monday, December 20, 2010

SAYA MEMBESAR DENGAN LAGU-LAGU P.RAMLEE (4)

Meskipun filem-filem P.Ramlee keluaran Studio Merdeka tidak pernah lagi mengulang kejayaan filem-filemnya di Jalan Ampas, namun ianya tetap menarik untuk ditonton. Malah, pada pendapat saya, ada juga beberapa filem yang meninggalkan kesan di hati penonton seperti Ahmad Albab, Do Re Mi, Masam-masam Manis, Ragam P.Ramlee dan lain-lain.

Baik, saya masih bercerita tentang lagu-lagunya yang saya gemari. Dalam filem beliau yang berjudul Ragam P.Ramlee, saya amat meminati lagu Aduh Sayang. Inilah kali ketiga P.Ramlee menjadi 'dua manusia' dalam satu babak yang sama. :-) Pertama yang kita ketahui adalah dalam filem Anakku Sazali, kedua dalam filem Ibu Mertuaku saat beliau menyanyikan lagu Di Manakan Ku Cari Ganti. Dan yang ketiga adalah filem ini.


Jika saya tidak salah, pemuzik yang meniup saksofon itu adalah Datuk Ahmad Nawab. Ya, di Kuala Lumpur, beliaulah sahabat P.Ramlee yang handal bermain saksofon. Jika di Singapura, Yusuf B. selaku guru beliau adalah pemainnya dan anda boleh lihat Yusuf B. di dalam filem Labu-Labi. P. Ramlee hanya membuat aksi sahaja, kerana menurut Datuk Ahmad Nawab, P.Ramlee tidak pernah tahu bermain saksofon.

Menurut P.Ramlee, filemnya yang satu ini adalah unik berbanding filem-filemnya yang lain kerana menampilkan kita bahagian yang berbeza iaitu muzikal, komedi dan drama secara berasingan. Bagi bahagian muzikal, saya tak ingat entah berapa lagu yang dinyanyikan P.Ramlee dan Saloma. Manakala bagi bahagian komedi, ianya berjudul Minta Nombor Ekor. Kalau anda tidak tergelak ketika menonton bahagian ini, saya rasa anda patut pergi buat pemeriksaan kerana dikhuatiri urat ketawa anda sudah putus. :-)

Namun demikian, amat malang sekali kerana Mintak Nombor Ekor diharamkan tayangannya. Kalau yang bernasib memiliki VCD terawal Ragam P.Ramlee, anda boleh menonton drama komedi itu.

Bahagian drama pula, P.Ramlee menampilkan drama bercorak purba iaitu Damaq. Menurutnya juga, skrip untuk drama ini telah siap ketika beliau di Singapura lagi di mana jalan ceritanya digarap oleh HM Rohaizad. Namun, tidak diketahui sebabnya mengapa P.Ramlee menangguhkan pembikinannya sehinggalah beliau berpindah ke Kuala Lumpur. Saya fikir, kalaulah ianya disiapkan di Singapura, pasti lebih menyerlah dan hebat memandangkan tenaga kerja di Singapura lebih mahir berbanding di Kuala Lumpur.

Dalam drama Damaq ini, anda akan menyaksikan banyak dialognya berbentuk pantun dan ianya amat menarik sekali. Mungkin kita boleh samakan dengan corak dialog dalam filem Sumpah Orang Minyak. Namun, saya dapati filem ini, bahasanya lebih indah.

Lagu lain yang saya minati ialah Rantai Terlepas. Lagu ini terdapat di dalam filem Do Re Mi.


Lagu ini, jika saya tidak salah liriknya ditulis oleh Ainon Jamal dan lagunya gubahan P.Ramlee. Do Re Mi dilihat sebagai cuba menyaingi atau mengenang kembali waktu beliau bersama-sama dengan Sudin dan Ajis di Jalan Ampas dahulu dalam trilogi Bujang Lapoknya. Namun, Do Re Mi gagal. Gagal di sini bermaksud gagal mencapai 'box office'. Namun, banyak juga dialog atau babak di dalamnya dikenang-kenang sampai sekarang. Hehehe...

Saya paling lucu melihat aksi Re (A.R. Tompel) memasak sambil bergurau-gurau dengan ahli mesyuarat tingkap (entah siapa namanya). Jika anda perhatikan, elemen komedi dalam trilogi Do Re Mi jauh berbeza dengan Bujang Lapok. Bujang Lapok tampak lebih sopan dan nakal dalam kehalusan. Sebaliknya, trilogi Do Re Mi terang-terangan menggunakan bahasa kasar seperti bodoh, bahalol, tolol, toyol, bentara guru (Pak Maon dan isterinya), anak haram (Laksamana Do Re Mi) dan banyak lagi bahasa kasar yang lain malah berunsur lucah pula.

Tapi, siapa dapat menafikan bahawa itulah realiti masyarakat kita bila masuk bab memaki orang. Itulah perkataan yang digunakan. Nah, bila kita lihat dalam filem, baru kita tahu kasarnya perkataan itu semua, namun kita selalu pula menyebutnya.

Kembali kepada lagu Rantai Terlepas, ianya dinyanyikan selepas P.Ramlee bercerai dengan isterinya akibat gagal dalam 'projeknya'. Hehehe...

Ahah, lagi satu lagu 'nakal' P.Ramlee dalam filem ini ialah Obat. Hehehe....
Saya fikir, inilah lagu nak 'kelentong' orang yang paling baik yang pernah dihasilkan...sehinggakan bila kita istilahkan orang yang kelentong orang lain sebagai 'jual obat'. Hehehe...itulah P.Ramlee yang berjaya menyuburkan istilah aneh dalam budaya masyarakat Malaysia.


Kalau anda perhatikan baik-baik, ada dua orang lelaki ketawa melihat aksi Ibrahim Din (Mi) menyanyi. Tak tahulah kenapa. hehehe... Paling best apabila tak pasal-pasal A.R. Tompel main suara tinggi bila masuk rangkap terakhir.

Nasib Do Re Mi merupakan sekuel kepada filem Do Re Mi. Menariknya, Sudarmaji yang satu ketika dahulu di Singapura merupakan penulis lirik beliau yang hebat di samping juga pelakon pembantu, turut sama bekerja dengan beliau di dalam filem ini sebagai penghasil jalan cerita dan P.Ramlee sebagai penulis skrip. Ceritanya berkembang lebih jauh dengan muncul watak baru seperti Pak Maon (Mahmud June) dan isterinya serta anaknya Nora (Mahyon Ismail). Dalam filem ini juga, anda dapat lihat Hussein Abu Hassan (suami Mahyon) berlakon sebagai salah seorang geng si Komeng (Idris Hashim). Namun begitu, di dalam kredit filem, anda akan ketemukan nama beliau sebagai Husni Hassan, bukannya Hussein Abu Hassan. Menurut cerita, setelah beliau menukar namanya kepada Hussein Abu Hassan, beliau menjadi terkenal terutama dengan gayanya yang unik. Ya, mungkin daripada ajaran P.Ramlee sendiri, siapa tahu ?

Kalau anda fikir pelakon sekarang banyak menggunakan nama komersial, artis dahulu pun sama. Nama sebenar pelakon Mariani adalah Mariam Ismail. Saloma pula bernama Salmah Ismail. Roseyatimah pula merupakan gabungan nama dengan ibunya Neng Yatimah. Jika saya tidak salah namanya ialah Rosnah. P.Ramlee yang telah mengilhamkan nama itu dan kekal hinggalah ke akhir hayatnya. Siput Sarawak sendiri bernama sebenar sebagai Ramlah Mohamad Sulaiman.

Anda tentu ingat Wahid Satay, bukan ? Wahid Satay itu sendiri bernama Wahid Ahmad. Kalau Mat Sentul pula, nama sebenarnya ialah Rasif bin Yahya. Haa...sekadar menyebut beberapa nama yang memang menggunakan nama komersial dalam lapangan mereka masing-masing.

Kembali kepada lagu, saya meminati Sua Sue Kemuning.


Kemudian, saya juga amat meminati lagu Malam Pesta Muda-mudi yang dinyanyikan Saloma itu. Dan, Saloma nampak comel menyanyikannya. Hehehe...


Filem Ahmad Albab merupakan antara 3 filem arahan P.Ramlee yang menggunakan latar negara Arab kononnya. Di dalam filem ini, P.Ramlee menjadi gembala kambing yang miskin dan memiliki pelat Arab yang paling teruk sekali. Hehehe...

Si Saloma pula ada bunyi Singapura pula. Hahaha...

Lagu yang saya minati di dalam filem ini ialah Pengantin Baru.


P.Ramlee menasihatkan kita bahawa kebahagiaan itu datangnya daripada Tuhan. Hal itu memanglah benar sama sekali. Menariknya, liriknya ini ditulis oleh A.R. Tompel manakala lagunya digubah oleh P.Ramlee. Menurut rancangan Gemilang Filem Melayu, P.Ramlee dan A.R. Tompel telahpun bekerja bersama-sama sejak di Jalan Ampas lagi. Kelebihan A.R. Tompel ialah beliau beliau mahir dalam penulisan Bahasa Melayu manakala P.Ramlee amat mahir berbahasa Inggeris. Justeru, pengarah-pengarah India ketika itu akan menyuruh mereka berdua menterjemahkan skrip dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. 

Baik, dalam filem Anak Bapak pula, terdapat tiga buah lagu yang saya suka, iaitu Terbang Burung Terbang, Kalau Jodoh Tak Ke Mana dan Keroncong Kuala Lumpur.


Kalaulah P.Ramlee boleh mengorat seorang perempuan dengan cara yang sebegini, maka saya tak hairanlah kalau permaisuri seorang sultan boleh 'sangkut' dengannya satu ketika dahulu. Lihatlah 'nakalnya' P.Ramlee mengorat Roseyatimah di dalam filem ini. 

Menariknya lagu ini ialah seakan-akan muzik berentak A go go yang dimainkan di dalam rumah itu cuba 'dimesrakan' dengan rentak lagu cara P.Ramlee. Sebab apa ? Sebab mana ada lagu A go go ada elemen biola di dalamnya. Dan hasilnya adalah apa yang anda tonton itu. Cukup manis dan menawan. Hehehe...


Pada pendapat saya, lagu ini sepatutnya dinyanyikan sebelum lagu Selamat Pengantin Baru. Barulah ada turutannya. Hehehe...

Begitu P.Ramlee memuji Kuala Lumpur, namun orang-orang di Kuala Lumpur atau rakyat Malaysia menyisihkannya. Sungguh malang... :-(

Oopps...saya terlupa filem Masam-masam Manis. Ya, filem ini, P.Ramlee sangat 'jahat'. Masakan tidak, tak putus-putus ideanya nak mengenakan jirannya yang juga sama cilakak sepertinya. Hehehe...

Dalam filem ini, P.Ramlee terpaksa melakukan banyak kerja seperti menulis skrip, mencipta lagu dan menyunting. Hal ini kerana di Studio Merdeka, tenaga kerjanya masih baru dan tidak mahir. Saya hairan juga mengapa tenaga kerja di Singapura tak mahu berhijrah beramai-ramai ke Studio Merdeka, barulah best, ye tak..?

Baik, dalam filem ini, menggemari lagu Ai Ai Twist. Hehehe...


Dan juga lagu ini iaitu Apa Guna Berjanji. Penyanyinya adalah Saloma dan dilakonkan oleh Sharifah Hanum. Bahagian permulaan adalah yang paling 'best' bagi saya. :-)


Lagu terakhir yang dapat saya ceritakan di sini ialah lagu Entah Di Mana. Ianya terdapat di dalam filem Keluarga 69.


Saya tak tahu kenapa, namun lagu ini amat istimewa. Dalam keadaan P.Ramlee dan muzik bawaannya ditolak, beliau masih dapat menghasilkan lagu seperti ini. Sayang sekali, kelihatannya heroin filem ini kurang menyerlah. Lebih menyerlah lagi Siput Sarawak yang memegang peranan sebagai ibu kepada si Milah dan isteri kepada Abu (Idris Hashim). Atau saya rasa heroin cerita ini yang sebenarnya adalah Siput Sarawak sebenarnya memandangkan beliaulah yang 'menerima' P.Ramlee ketika P.Ramlee 'jatuh'. Ya, saya kira filem ini seolah-olah refleks kepada kejatuhannya ketika itu. 

Ketika itu, P.Ramlee benar-benar kehilangan kawan. Ramai yang menyisihkannya. Dan 'kebetulan', dalam filem ini ada dialog, "Nak harapkan kawan, seorang pun tak boleh harap..." Kemudian ianya dijawab, "Memang adat dunia, cik. Kawan ketawa senang nak cari, kawan menangis seratus payah satu nak dapat !"

 ---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sejujurnya, P.Ramlee dan lagu-lagunya semacam telah menjadi sebati dengan hidup saya. Kebetulan juga ayah dan ibu saya gemar mendengar lagu-lagunya, maka saya juga terikut sama. Begitu juga atuk dan nenek saya serta saudara-mara saya, semuanya suka mendengar lagu P.Ramlee. Lebih mengharukan lagi, atuk saya dahulu pernah bekerja di Singapura dan selalu benar berjumpa dengan P.Ramlee dan rakan-rakannya. Dan atuk saya pun bersetuju dengan dokumentari P.Ramlee itu. Katanya, "Memang masa itu orang-orang entah siapa nak jatuhkan P.Ramlee."

Manusia yang baik memang tidak pernah dapat lari daripada orang-orang yang busuk hati. Sedangkan nabi pun dibenci ramai manusia, inikan pula kita orang-orang biasa.

P.Ramlee telah meninggalkan khazanah berharga, dan beliau diakui adalah sebahagian daripada sejarah penting negara. Kalau ada manusia di Malaysia ini yang tidak mengenal P.Ramlee, ertinya mereka masih belum kenal negara mereka yang satu ini. 


P.Ramlee juga mengiyakan, bahawa meskipun kita cuma 'kecil', namun hati dan semangat kita 'besar'...

Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah...

-TAMAT-

1 comment:

Ina Marlina Aziz said...

saya juga membesar dgn filem-filem dan lagu-lagu P.Ramlee.. sehingga hari ini kalau menonton filem Ibu Mertuaku tak pernah lagi airmata ini tak gugur.. confirm nangis punyer.. P.RAMLEE is LEGEND and his ability was GIFTED..