Nuffnang

Saturday, January 15, 2011

3 IDIOTS VS SANG PEMIMPI

Saya kira, saya baru terperasan bahawa kedua-dua filem membawa cerita yang hampir sama. Cuma, latar masa, tempat dan masyarakat sahaja yang berbeza. Malah, tanah tempat kedua-dua filem ini dihasilkan pun amat jauh sama sekali. Satu di India, satu lagi di Indonesia. Namun, kedua-dua seolah-olah 'bersaudara' lantaran membawa tema yang sama. Perjuangan hidup manusia yang mencari jatidiri. Paling menarik, kedua-dua filem juga menonjolkan 3 watak utama yang merupakan pemuda yang 'struggle' menjalani hidup. Akan tetapi, saya kira ada beberapa perbezaan ketara antara kedua filem ini. Jika 3 Idiots, anda akan menemukan wataknya yang 'melawan' sistem. Sebaliknya, Sang Pemimpi menonjolkan wataknya yang cuba bertahan dengan sistem yang ada dan cekal melaluinya.

Dalam filem 3 Idiots, watak-watak utamanya cuba melawan sistem pembelajaran di mana ianya lebih kepada konsep berlumba untuk mendapat markah yang tinggi dan lulus sebagai pelajar cemerlang, kemudian dapat kerja yang baik, kumpul harta dan berbangga dengan harta yang ada.

Sang Pemimpi pula sedikit berbeza di mana watak-watak utamanya sedaya upaya bertahan dengan sistem yang sedia ada, dalam keadaan ekonomi negara yang terhimpit kesan kejatuhan harga timah dunia. Mereka bertekad ingin mengubah nasib keluarga dan ingin sekali belajar di luar negara. Mereka menjadikan niat mereka sebagai keterujaan untuk terus belajar, biarpun kalau dilihat dari segi kedudukan kewangan mereka, impian untuk ke luar negara itu adalah hampir mustahil sama sekali. Namun, optimis dan yakin dengan Tuhan yang merahmati orang yang sabar menjadikan mereka terus cekal.



Protagonis menonjol dalam 3 Idiots adalah Ranchoddas Shamaldas Chanchad (Aamir Khan), manakala Sang Pemimpi adalah Arai (Rendy Ahmad). Kedua-duanya memiliki perwatakan yang hampir serupa, iaitu optimis dengan kehidupan dan cuba menjadi manusia yang berjiwa besar, ertinya manusia yang tidak kalah dengan cubaan dunia yang sementara ini. Namun, perbezaannya adalah, Si Rancho datang daripada keluarga yang kaya (meskipun akhirnya kita tahu bahawa beliau hanyalah anak tukang kebun rumah orang kaya dan disara hidupnya) dan si Arai merupakan pemuda miskin yang hidup yatim piatu. Rumah si Arai terletak di pinggir hutan, di mana tempat kera bermain-main.

Kedua-dua mereka ini sememangnya minat belajar (menuntut ilmu). Jika Arai masih bersekolah menengah, Rancho pula sedang menuntut di kolej kejuruteraan yang teramat mengutamakan sistem gred berbanding cuba membimbing pelajar untuk hidup sebagai manusia yang berfikir, bukan mesin kilang seperti yang didakwa Rancho. Arai pula, sebagai manusia yang miskin dan hidup penuh keterbatasan, cuba menanggapi segala-galanya sebagai positif. Tidak ada yang negatif baginya melainkan menyerah kalah dalam menjalani ujian hidup. Itulah malang yang sebenar-benarnya. Dan saya kira itu adalah betul sama sekali. Bayangkan sahajalah kalau nabi kita menyerah kalah ketika berdakwah dahulu, apa akan jadi dengan kita ?

Nganga melihat poster filem perempuan seksi. Dari kiri, Jimbron, Arai dan Ikal

Kelewatan untuk menduduki ujian

Kalau Rancho begitu berani 'menentang' Dr. Viru (Boman Irani), Arai pula berani 'menentang' Pak Mustar (Landung Simatupang). Kedua-duanya memiliki karakter yang sama, iaitu garang dan keras dalam mengajar serta mengutamakan gred. Paling menarik, kedua-duanya menjalankan sistem yang hampir sama di mana Dr. Viru menentukan tempat duduk dalam majlis fotografi pelajar berdasarkan gred yang mereka dapat, manakala Pak Mustar pula menentukan tempat duduk ibu bapa berdasarkan gred saat mereka hendak mengambil buku laporan anak-anak mereka. Kalau anak-anak yang berperangai teruk, maka jauh ke belakanglah tempat duduk ibu bapanya. Itu bagi mereka adalah 'perang psikologi' antara pendidik dengan pelajar. Bezanya, 3 Idiots cuba menentang sistem itu, sebaliknya Sang Pemimpi cuba 'memesrakan' diri dengan sistem seperti itu. Namun demikian, Sang Pemimpi 'ditenangkan' dengan watak seorang lagi guru yang optimis iaitu Pak Balia (Nugie). Beliaulah yang bertanggungjawab menurunkan semangat untuk berani ambil risiko dan mengubah nasib mereka. Berbeza dengan Pak Mustar yang selesa dengan cara 'sedarlah diri kau tu' di mana baginya angan-angan yang tinggi melangit membahayakan dan boleh merosakkan pemikiran pelajar di sekolahnya. Justeru, wujud pertentangan di antara dua orang guru ini. Pun begitu, akhirnya kita faham mengapa sebabnya Pak Mustar berbuat begitu saat beliau cuba menasihati Ikal yang sudah patah semangat.

Dr. Viru (Virus)
Pak Mustar
Pak Balia

 3 Idiots memiliki dua lagi watak utama yang sering menjadi 'mangsa' kerja gila sang optimis Rancho, iaitu Farhan Qureshi (R. Madhavan) dan Raju Rastogi (Sharman Joshi). Kedua-duanya juga memiliki masalah peribadi masing-masing. Si Raju Rastogi terlalu risaukan masa depannya lantaran beliau harapan tunggal keluarganya yang miskin melarat. Manakala Farhan Qureshi pula hidup dalam keadaan tidak redha, di mana beliau lebih sukakan bidang fotografi, namun harapan ayahnya memaksanya untuk belajar bidang kejuruteraan, menjadikannya selalu mendapat markah yang rendah dalam setiap ujian.

Raju Rastogi
Farhan Qureshi

Sang Pemimpi pula, kita ada Ikal (Vikri Setiawan) dan Jimbron (Azwir Fitrianto) yang turut menjadi 'mangsa' idea-idea gila Arai. Itu kita dapat lihat saat mereka bertiga dikejar Pak Mustar dan Arai mencadangkan mereka melompat masuk ke dalam tong ikan yang besar untuk bersembunyi. Kemudian, juga babak di mana Arai mencadangkan mereka pergi menonton wayang setelah si Ikal tidak tidur lena kerana termimpi-mimpi watak perempuan filem itu yang seksi. Padahal mereka bertiga tahu bahawa Pak Mustar mengharamkan sama sekali para pelajarnya menonton wayang, kerana pada waktu itu (tahun 70-80-an), filem-filem Indonesia banyaknya berunsur seks (kata Pak Mustar) dan tidak elok sama sekali ditonton oleh orang-orang Islam. Padahnya, mereka ditangkap dan dihukum di sekolah.



Saat dikejar Pak Mustar

Rancho dan Arai membawa niat yang sama, iaitu membesarkan jiwa. Rancho sendiri mengatakan kepada Raju, "Belajar bukan untuk berjaya, tetapi belajar untuk membesarkan jiwa..." Saya kurang erti maksudnya itu, tetapi mungkin ada juga kebenarannya. Kerana apa ukuran sebuah kejayaan dalam pelajaran ? Semata-mata markah yang tinggikah ? Atau kita dikira berjaya apabila sikap kita berubah setelah belajar ? Berubah yang macam mana boleh dikatakan berjaya ? Itulah yang harus difikirkan setiap pelajar. Jika kita masuk universiti semata-mata mengejar gred dan kerja yang besar gajinya, makanya itu sahajalah yang kita dapat. Jiwa kita mungkin masih lagi tandus dalam keresahan. Tuhan tidak akan begitu mudah memerintahkan kita supaya membaca (Iqra') melainkan ada rahsia besar yang tersembunyi di sebaliknya.

Arai pun begitu juga. Segala cabaran di dunia ini adalah untuk dilalui, bukan dielakkan. Kerana hidup tanpa cabaran adalah semata-mata kering-kontang kerana kita tidak akan dapat membesarkan jiwa kita. Malahan kadangkala cabaran juga dapat menyucikan hati kita. Kesungguhan Arai meyakinkan rakan baiknya bahawa mereka pasti dapat ke Paris untuk menuntut di sana adalah sebuah keyakinan yang membawa kepada usaha yang luar biasa. Namun, keyakinan Ikal terganggu apabila PN Timah tempat ayahnya bekerja ditutup dan ayahnya kehilangan pekerjaan. Seolah-olah tidak ada lagi masa depan yang baik untuknya. Semua duit simpanannya diberikan kepada ibunya dan semangatnya mula luntur. Jadi, keadaan si Ikal hampir sama dengan Raju yang terlalu mengharapkan semuanya berjalan dengan baik tanpa ada gangguan. Kedudukan kewangannya yang kritikal menjadikannya seorang yang amat serius dan tidak optimis. Dia terlalu risaukan masa depannya, sama seperti Ikal yang berubah menjadi panas baran dan hampir-hampir menghempuk Jimbron dengan baldi ketika dihukum mencuci bilik air sekolah yang teramat kotor. Arai yang risau dengan keadaan Ikal cuba menangkan rakannya, sama seperti Rancho yang cuba menenangkan rakannya.

Masuk bab percintaan, di sini ada perbezaan ketara. Kalau si Rancho segan hendak melafazkan cintanya kepada Pia (Kareena Kapoor), Arai pula bersungguh-sungguh hendak menawan hati Zakiah Nurmala (Maudy Ayunda). Bagi Arai, Zakiah adalah hatinya. Langkahnya menjadi santun dan bicaranya menjadi pantun Melayu apabila berdepan dengan Zakiah. Malang sekali, Zakiah tidak mahu melayaninya. Berbeza pula dengan Pia di mana Pia memang jatuh cinta dengan Rancho, cuma menunggu Rancho sendiri melamarnya (barulah 'gentleman'). Saya kira, kewujudan watak-watak perempuan adalah warna tambahan yang unik kepada kedua-dua filem, di mana ianya semacam mengiyakan bahawa, di sebalik kejayaan lelaki, pasti ada perempuan menjadi tulang belakangnya. Ya, perempuan itu bukan sekadar awek ya, ibu kita juga perempuan.

Bang Zaitun menyerahkan gitar 'keramatnya' kepada Arai untuk memikat Akiah Nurmala

Zakiah Nurmala


Pia

 Dalam filem 3 Idiots ini, dialog yang paling popular adalah, "All is well." Ini adalah ungkapan untuk orang yang optimis. Rancho seperti yang diceritakan olehnya bahawa kalimah itu diucapkan oleh seorang buta di kampungnya yang bertanggungjawab mengawal kampung (orang buta ?). Pada suatu hari, berlaku kecurian di kampungnya, dan orang buta itu berterusan mengucapkan, "All is well..." dan orang kampung terus lena dibuai mimpi, sehinggalah esoknya mereka sedar bahwa kampung mereka telah berlaku kecurian. Kemudian, ia dituruti dengan nyanyian lagu temanya iaitu All Is Well. Memang sudah adat filem Hindustan, mesti ada nyanyian. Namun, bagi saya, lagu yang paling memberi kesan dalam filem ini ialah Give Me Some Sunshine yang didendangkan selepas Joy Lobo kecewa kerana projeknya ditolak kerana sudah terlebih tempoh tarikh penghantaran.

Dalam agama Islam, kita ada kalimah "Insya Allah" yang mana dengan izin Tuhan, segala-galanya akan menjadi baik. Justeru, dalam Sang Pemimpi, kita akan menemukan karakternya mengucapkan kalimah 'alhamdulillah'. Begitulah kita sepatutnya memuji Tuhan apabila berhasil dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kita juga dapat lihat Arai merupakan pemuda yang rajin solat dan pandai mengaji. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita juga seharusnya menjadi pemuda yang menjaga agama supaya kita tidak tersasar arah, dan sikap optimis kita juga sesuai dengan tuntutan agama. Kerana kita hanya berhak merancang, namun Tuhan jualah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Justeru, kita perlu banyakkan berdoa di samping usaha yang berterusan dan tawakkal kepada-Nya.

Kesimpulannya, saya bukanlah hendak menceritakan filem mana yang lebih hebat. Sebaliknya, saya hendak bercerita kesamaan dan perbezaan yang ada dalam kedua-dua filem ini dan nasihat-nasihat positif yang boleh kita gunapakai dalam kehidupan kita.

Kalau anda belum menonton kedua-dua filem ini, saya cadangkan anda menontonnya. :-)

Saya letakkan di sini lagu Give Me Some Sunshine. Semoga anda terhibur. :-)

5 comments:

farid zulfan said...

aku memang tertarik dengan susunan plot cerita yang kau cuba sampai untuk kedua- dua buah cite ni...kau huraikan cerita ni sungguh menanjubkan...btl kata rahco...belajar bukan untuk kejayaan tapi untuk menbesarkan jiwa..bermaksud..belajar untuk kte mengetaui seuatu yang baru...belajr dengan ada satu pengalaman yang telah di pelajari dan kenangan yang di cipta...

musafir kehidupan said...

Best...Walaupun saya hanya melihat filem 3 idiots tapi dari ulasan ini, teruja untuk melihat "sang Pemimpi"...Memang betul, apa2 pun filem, yang penting nilai yang kita boleh ambil daripadanya. Tidak juga sia-sia masa yang dilaburkan. InsyaAllah.

jay said...

kedua-duanya hasil yang sangat hebat, tapi bagi saya, untuk betul2 mendalami jiwa dan watak dalam sang pemimpi, kita harus baca novelnya, sangat2 berkesan di hati.

antara karya melayu terhebat setakat ini.

AKMAL_ALIF said...

jay,
Betul. Filem Sang Pemimpi hanya dapat dihayati dengan baik kalau kita dapat membaca novelnya dengan baik.

90% huraian mengenai tiap karakter di dalam filem itu terhurai di novel.

Jika kita belum membaca novelnya, saya rasa kita cuma dapat mengenali sisi luar mereka sahaja, padahal sisi dalam mereka amat unik sekali, dan hanya boleh didapati di dalam novel.

Mungkin kita boleh berterima kasih pada 'Ikal dewasa' yang bercerita sepanjang cerita berjalan...sedikit-sebanyak...

Anonymous said...

sila tgk filem terbaru riri riza: atambua 39. best!