Nuffnang

Friday, January 14, 2011

AYAH - LAGU DAN SEDIKIT CERITA

Oh ya, ayah saya, pada zaman muda remajanya tahu bermain gitar. Makanya, saya kira tidaklah langsung menjadi salah kiranya saya menujukan instrumental yang satu ini khas kepadanya. Memandangkan saya tidak tahu bermain lagu seperti ini yang kompleks susunan kodnya. Bahkan keenam-enam tali itu, setelah diamati telah diubahsuai tangga nadanya. Pada asalnya, setiap gitar bersusun talinya seperti berikut :

EADGBE

Namun, untuk lagu ini, si pemainnya telah mengubahnya. Ia bertukar menjadi berikut :

ECDGAB

Untuk mengubah tangga nada tali-temali gitar ini, selain anda sudah mahir dengan mendengar melalui telinga, anda memerlukan alat 'tuning' yang khas. Ianya dipanggil 'alternate tuning'.

KOMA

Ayah saya, ayah kita seraya ayah anda semua adalah manusia yang hebat. Bukan sembarangan orang boleh menjadi ayah yang baik. Ada manusia iaitu seorang lelaki yang gagal menjadi ayah yang baik. Bahkan anaknya pada kesudahan membenci pula ayahnya yang dahulunya amat kejam dan zalim.
Anda fikir, dengan lagu seperti itu, selayaknya ditujukan kepada ayah yang bagaimana ?
Tentulah ayah yang baik. Dan saya berdoa supaya sesiapa sahaja yang membaca entri ini memiliki seorang ayah yang baik. :-) Insya Allah...

Biarpun sabda nabi jelas bahawasanya seorang anak itu harus berbakti kepada ibu lebih daripada ayah, tidaklah bermakna sama sekali ayah itu harus senang-senang dilupakan terus. Salah kalau begitu sangkaan anda.

Bahkan, ada seorang penulis dari negara tetangga kita iaitu Indonesia pernah menulis bahawasanya seorang ayah yang pendiam itu, kasih sayangnya lebih kuat, utuh dan teguh. Kerana apa ? Kerana kasih sayangnya tidak hadir dalam bentuk semata-mata peluk manja dan tawa ceria, tetapi dengan ketegasan dan kejujuran, dengan harapan anaknya kelak akan menjadi manusia yang tidak terlalu memanjakan dirinya dengan segala kesenangan dunia. Perhatikanlah, berapa ramai anak yang rosak kerana terlalu dimanjakan dengan kesenangan dunia. Itulah petanda ayah yang gagal. Si anak pula, nanti kelak akan melupakan ayahnya kerana sudah lalai dengan kemewahan dunia. 

Memberi kesenangan kepada anak bukanlah semata-mata salah. Namun, kesenangan itu haruslah diturui dengan kawalan berpanjangan dan ketegasan dari jiwa seorang ayah. Jangan anak itu bermanja-manja dengan kesenangan sehingga dia tidak dapat menerima kesusahan. Kesusahan akan membuatkan dia terlalu kecewa dan mudah menyerah kalah. Namun, sekiranya si ayah berjaya mendidik anaknya supaya mensyukuri kesenangan dan senantiasa berwaspada dengan kesusahan, Insya Allah si anak akan selamat daripada terleka dengan kemewahan, bahkan kemewahan itu menjadikannya lebih takut kepada Tuhan dan membelanjakannya ke jalan kebaikan, bukan berhabis di pusat hiburan dan pusat permainan video.

KOMA

Ayah saya seolah-olah tahu, dan rasanya dia memang tahu bahawa saya ini merupakan seorang yang tidak sabar. Saya tidak sabar dengan harta kebendaan. Seperti mana manusia pernah diandaikan bahawa sekiranya diberikan sebuah lembah, maka pasti manusia itu berkehendakkannya lagi. Ertinya, nafsunya tidak pernah merasa cukup. Saya adalah manusia jenis itu. Makanya, saya dibataskan dalam banyak perkara. Tidak semua akan mudah saya dapat, kecuali dengan jalan sabar. Jalan sabar akan menjadikan saya lebih menghargai pemberian manusia, apatah lagi pemberian Tuhan. 

Kalau saya membentak-bentak memarahi kereta yang tidak semewah orang lain, makanya saya diajar untuk merenung-renung manusia banyak yang sepanjang hidupnya berjalan kaki dan berkenderaan awam sahaja. Owh, saya sudah bersalah pada sebuah harta kebendaan yang telah banyak menaburkan jasa kepada saya dengan membawa saya ke sekolah, membawa saya ke masjid, membawa saya ke tempat belajar dan membawa saya bersiar-siar, sedang orang lain menaiki motorsikal dan ditimpa hujan. Maka, wajib saya bersyukur. Begitulah ayah cuba memahamkan saya tentang hakikat sabar dan syukur. Rupa-rupanya, manusia yang sabar ialah manusia yang bersyukur, dan manusia yang bersyukur adalah manusia yang sabar.
KOMA

Saya pernah dikhabarkan oleh seorang ayah yang lain, bahawasanya cukup sukar menjaga anak perempuan. Sehinggakan disabdakan nabi bahawa memelihara anak perempuan sebaik-baiknya beroleh pahala yang besar. Kerana apa ? Kerana kelak si anak perempuan akan menjadi peneman hidup pada seorang lelaki yang soleh. Jika si anak perempuan tidak dijaga baik-baik, kelak akan menyusahkan suaminya. Dan anak perempuan juga, dalam masyarakat setempat sering menjadi buah mulut orang. Kerana itulah wajib dijaga anak perempuan elok-elok, sama juga dengan anak lelaki.
Seorang perempuan yang solehah adalah rahmat pada sebuah keluarga. Cukup indah melihat keluarga yang dilimpahi anak yang soleh dan solehah. Hasil kerjasama ayah dan ibu kita, maka kita tahu bagaimana menjadi anak yang baik. Ketika si anak perempuan usai bernikah dengan si lelaki, maka lepaslah sudah tanggungjawab ayah kita terhadap kita si anak perempuan. Tinggallah ia dengan suaminya dan tahap ketaatannya yang paling utama kini adalah kepada suaminya, bukan lagi ibu bapanya. menangislah si ayah kerana akan 'berpisah' dengan anak perempuannya. Justeru, berbaik-baiklah dengan ayah kita seperti mana Sayyidatina Fatimah az-Zahra begitu kasihkan ayahandanya Muhammad s.a.w..

Begitu keberatan Fatimah r.a. hendak berpisah dengan ayahnya lantara beliau akan bernikah dengan pemuda mulia Saidina Ali r.a. merangkap sepupu baginda Muhammad s.a.w. sendiri. Begitu kerinduan Fatimah r.a. kepada ayahandanya, sehinggakan ada jiran tetangga sanggup bertukar rumah dengan Fatimah r.a. semata-mata kerana rumah tetangga itu lebih dekat dengan rumah Rasulullah s.a.w.. Terubatlah kerinduan puteri kesayangan baginda itu kerana kembali berdekatan dengan ayahandanya.

Nah, begitu anak yang solehah. Dan begitu juga ayah yang soleh. Sehingga si anak tak mahu berpisah dengan ayah. Jangan pula nanti kita sudah berkahwin, ayah kita dilupakan terus. Hari raya barulah hendak pulang menjenguk. 

Suka diingatkan di sini juga, si ayah akan dianggap dayus di sisi agama sekiranya anak perempuannya dibiarkan bergaul bebas dan mendedahkan aurat sesuka hati (aurat di sini termasuklah bentuk badan yang zahir kesan daripada pakaian yang 'fit' atau ketat). Justeru, jagalah anak baik-baik wahai ayah, dan kepada anak, jadilah anak yang baik. Fahamilah ilmu agama baik-baik. Kepada anak lelaki juga, jadilah anak yang gagah dan kuat membantu ibu dan ayah. 

Wallahua'lam...

No comments: