|
HARRISON FORD |
Lebih makan garam. Itu kata orang Melayu apabila bercakap tentang usia tua. Usia tua selalunya disamaertikan dengan apa ? PENGALAMAN.
Orang Melayu pernah berkata bahawa pengalaman mendewasakan kita. Maknanya, semakin meningkat usia, semakin banyaklah pengalaman hidup. Jatuh bangun hidup ini semuanya dah dirasa. Letaklah diri dalam keadaan apa sekalipun, pengalaman adalah guru yang paling hebat. Ia tidak ada silibus. Ia tidak ada modul pengajaran, bahkan kadangkala ia mengajar tanpa kita tahu bahawa kelak ia akan menjadi sebuah pengalaman sama ada baik ataupun buruk.
Hmm...anda kenal lelaki di atas ? Kalau anda tidak kenal, mungkin anda mengenali salah satu watak lakonannya yang paling berpengaruh di Hollywood iaitu Indiana Jones. Ada 3 siri pada mulanya. Siri pertama berjudul Raiders Of The Ark, kedua berjudul The Temple Of Doom dan ketiga berjudul The Last Crusade. Ketiga-tiga filem itu dilakonkan ketika usia mudanya. Maka dapatlah kita lihat kegagahannya dan ketampanannya dengan diiringi pelakon wanita cantik (tipikal filem Hollywood). Namun, tahun 2008 menyaksikan Indiana Jones yang sudah tua kembali beraksi. Kingdom Of The Crystal Skull memperlihatkan Indiana Jones yang sudah tua. Lihatlah perubahan fizikalnya daripada seorang lelaki gagah kepada seorang lelaki separuh abad.
|
SEAN CONNERY |
Satu yang menarik tentang umur tua, orang Melayu juga ada memperingatkan bangsanya tentang umur tua tidak menjamin kematangan dalam berfikir dan tindakan. Malah tidak dapat kita nafikan bahawa orang-orang tua juga ramai yang bodoh dalam bertindak. Jika tidak, masakan kita dapat melihat orang tua menjual air daun ketum di rumahnya. Masakan juga kita dapat melihat seorang mak cik membakar diri kerana marahkan anak. Itu bukanlah tindakan orang bijak, dan bijak tidak mengira umur. Kerana itu timbullah peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa
kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Kalau mengikut sejarah, kita dapat mengetahui betapa bijaknya Nabi Ismail a.s. ketika memperbetulkan pengadilan ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. terhadap dua orang lelaki. Kita juga dapat mengetahui betapa cerdasnya pemikiran baginda Muhammad s.a.w. saat umur mudanya di mana berlaku pergaduhan meletakkan hajarul aswad dan baginda menyelesaikannya dengan serban baginda sahaja. Inilah sedikit sebanyak bukti bahawa tua tidak menjamin kematangan.
Kenal lelaki di atas ? Kalau anda pernah menonton siri James Bond tahun 60-an, maka inilah dia heronya, yang selalu benar bergomol dengan perempuan di dalam lakonannya. Sekarang, beliau sudah tua. Kepala pun semakin 'terang'. Beliau juga pernah bergandingan dengan Harrison Ford di dalam siri Indiana Jones dengan memegang peranan bapa. Satu hal yang menarik di Hollywood, pelakon tua tidak dipinggirkan terus, malah mereka masih dapat memegang watak utama dan tetap diminati ramai.
|
TOM HANKS |
Dalam mana-mana bangsa di dunia, orang tua adalah untuk dihormati. Tidak terkecuali bangsa Melayu. Malah agama Islam sendiri mewajibkan kita menghormati orang lain. Apatah lagi jikalau orang tua itu adalah ibu bapa kita. Tentu kita masih ingat gelaran yang diberikan untuk orang tua iaitu warga emas. Kenapalah agaknya dipanggil begitu ? Mungkin kerana banyaknya ilmu ada pada mereka, dan orang-orang mudalah yang bertanggungjawab menggali ilmu daripada mereka. Begitulah sewajarnya orang-orang menjalani hidup, pendapat orang-orang tua jangan dilupakan terus, malah ada banyak panduan daripada mereka yang boleh kita gunapakai dalam kehidupan seharian.
Cukup menghairankan apabila orang tua dahulu dapat menunaikan haji dengan duit menoreh getah sedangkan kita sekarang yang berjawatan besar masih tak menunaikan haji. Adakah semata-mata tuntutan kerja yang menghalang kita menunaikan ibadah, atau kita tak pandai mengurus duit macam orang tua kita ? Bagaimana nanti usia tua kita kalau pada usia muda kita tidak pandai mengatur duit ? Tentulah habis hidup kita nanti.
Lelaki di atas bernama Tom Hanks pernah menghangatkan dunia perfileman Hollywood apabila membawa watak Forrest Gump yang dikenali sehingga ke hari ini. Watak itu begitu hebat sehinggakan John Travolta berasa menyesal kerana tidak menerima tawaran melakonkan watak itu pada mulanya. Ataupun saya kira Tuhan telah mentakdirkan watak itu berjaya di tangan Tom Hanks. Tom Hanks kini sudah berusia, dan tampaknya watak yang sering dibawa akhir-akhir ini adalah seperti pengkaji (The Da Vinci Code, Angel & Demons) dan sebagainya berbanding waktu dahulunya beliau gagah membawa watak angkasawan (Apollo 13), askar (Saving Private Ryan), polis penjara (The Green Mile) dan sebagainya.
|
JACKIE CHAN |
Saya kira, perihal tua ini sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa umur kita sentiasa dalam perhatian Tuhan. Tuhan menjaga umur kita. Persoalannya, apakah umur kita diberkati ? Apakah kita menjalani umur kita ini dengan perkara yang disukai Tuhan atau dibenci Tuhan ? Kalaulah Tuhan membenci kita, bagaimana halnya kita ini apabila sampai umur tua nanti ? Adakah masih ada harapan untuk hidayah mendatangi kita sedangkan kita tahu Tuhan berhak menutup pintu hati hamba-Nya yang mungkar sehinggakan akhir hayatnya pun masih senang berbuat maksiat. Itulah yang sepatutnya kita risaukan, bagaimana agaknya umur tua kita nanti ? Alasan tua nanti baru bertaubat adalah tidak boleh diterima kerana jika begitulah keadaannya, tidak perlulah nabi bertaubat setiap hari dahulunya. Kerana apa ? Kerana taubat juga adalah ibadah orang-orang yang bersyukur. Syukurnya baginda Muhammad s.a.w. kerana terpelihara daripada dosa sehinggakan baginda bertaubat setiap hari tanda kesyukuran. Begitu kemuliaan seorang insan. Tua baginda adalah tua bijaksana. Meski baginda sudah tua pada usianya, namun kegagahan imannya mengatasi fizikalnya sehinggakan baginda masih mampu membuka Kota Makkah pada usianya itu bersama dengan para mukmin yang lain.
Siapa tidak kenal Jackie Chan ? Usahanya memperkenalkan aksi 'prop fighting' berhasil apabila ianya menjadi 'trademark' sepanjang hayat Jackie Chan. Namun, beliau juga banyak melakonkan babak perlawanan 'one by one' yang hebat dan dikenangi sepanjang zaman. Tentu kita masih ingat kung fu mabuknya yang popular itu. Sekarang, beliau sudah tua. Lihatlah wataknya di dalam filem terbaru Shaolin di mana beliau menjadi tukang masak dan beliau memang telah dimakan usia lanjut. Mujurlah sahaja beliau ini seorang yang aktif, makanya beliau masih kelihatan tegap dan kuat. Oh ya, paling menarik pada diri Jackie Chan ini ialah usahanya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris yang wajar dipuji. Mungkin orang kita juga boleh belajar daripadanya.
|
JULIE ANDREWS |
Orang berkata umur semakin meningkat. Kalau ikut erti sebenarnya, umur kita bukanlah meningkat. Sebaliknya, umur kita semakin berkurang ke penghujungnya. Umur kita telah diketahui Tuhan penghujungnya. Justeru, umur yang kita jalani ini adalah umur yang telah diketahui penamatnya oleh Tuhan. Oleh kerana itu, janganlah kita berbangga dengan umur yang banyak, kerana umur itu tidak bererti apa-apa sekiranya kita tidak menjalaninya dengan perkara-perkara yang diredhai Tuhan. Sudah umur 25 tahun tapi masih liar dengan perempuan yang bukan muhrim. Apalah guna umur 25 tahun itu. Lihatlah bagaimana umur para ilmuwan yang kebanyakannya tidak panjang tetapi mereka mempergunakan umur mereka dengan baik. Lihatlah bagaimana Ibnu Sina dan kitab perubatannya itu, padahal umurnya tidak sampai 50 tahun pun. Begitulah orang yang diredhai umurnya. Baginda Muhammad s.a.w. juga sama. Umurnya hanyalah sekitar 63 tahun, tapi lihatlah bagaimana baginda mengubah dunia, khususnya tanah Arab terhadap penyaksian Tuhan yang Esa. Pembukaan Kota Makkah adalah puncak segala-galanya.
Julie Andrews yang saya tahu hanyalah melalui dua filem sahaja, iaitu Mary Poppins dan Princess Diaries. Mary Poppins adalah sebuah filem muzikal mengenai seorang wanita yang boleh terbang dengan payungnya. Semacam hantu pula beliau dengan gaun labuh, bertopi, berpayung dan boleh terbang di langit. Kini, beliau juga sudah dimakan usia. Namun, kita jangan lupa bahawa mereka juga banyak duit untuk melakukan pembedahan plastik.
|
RISHI KAPOOR |
Umur kita adalah kurnia dari Tuhan. Marilah kita gunakan ia sebaik-baiknya. Menuntut ilmu adalah salah satu cara terbaik untuk mempergunakan umur ke jalan kebaikan. Dan sememangnya pun kita ini tidak akan berhenti belajar sehinggalah kita masuk ke dalam liang lahad. Menuntut ilmu adalah berterusan. Sama-samalah juga kita berdoa kepada Tuhan supaya umur kita diberkati oleh-Nya dan dipanjangkan juga umur kita supaya dapatlah kita gunakan ia untuk berbuat amal kebajikan.
Wallahua'lam...
Ok...Rishi Kapoor...saya tidak ingat apa filem lakonan beliau. Tetapi, yang saya tahu beliau pernah mengarah sebuah filem yang berjudul Ab Ab Laut Chalen. Entahlah apa maknanya itu... :-)
2 comments:
Sangat mengesankan hati...
Terima kasih... :-)
Post a Comment