Mereka semua akan berjaya. Saya yakin benar Tuhan akan menolong mereka semua. Mereka bukan berbuat maksiat. Mereka bukan berbogel di khalayak ramai atau berbikini macam Fasha Fandha di tepi pantai. Mereka bukan pergi disko. Mereka tidak minum arak. Mereka tidak tonton filem lucah. Mereka hanya mahu mempersembahkan dedikasi separuh hidup mereka di hadapan beberapa orang panel penilai terhadap hasil kerja mereka. Itu kita panggil Projek Sarjana Muda. Ya, kan Tuhan suka orang menuntut ilmu ? Justeru, tentulah Tuhan akan menolong mereka kerana mereka sedang berjuang menuntut ilmu dan mempersembahkan ilmu.
Kali ini adalah kali yang kedua. Tak ada yang ketiga. Yang pertama sudah berlalu. Ada yang memberangsangkan, dan ada juga yang teruk kena hentam. Hentam di sini bukanlah hentam hendak menjatuhkan. Sebaliknya, hentam untuk mengingatkan pelajar supaya berjaga-jaga agar kerja mereka tidak tersasar jauh daripada objektif asal mereka. Lebih malang, ada dalam kalangan kami mencipta objektif yang sukar dan hampir tidak masuk akal untuk dilaksanakan. Saya sendiri menghadapi masalah itu ketika VIVA 1. Terlopong saya dibuatnya apabila panel mempersoalkan itu-ini terhadap cadangan penyelidikan saya. Tahulah saya begitu banyak lompang yang perlu saya isi. Kedengarannya macam payah. Tapi bila saya tengok rakan-rakan lain yang pada hemat saya lebih sukar kerjanya berbanding saya dapat melakukannya, dengan izin Tuhan harap-harapnya saya juga boleh.
Malang sekali, saya tidak bersama mereka kali ini...
Apa pun, doa saya untuk mereka. Nanti kelak mereka juga, mungkin akan mendoakan saya. Siapa tahu...
Doa adalah tautan batin yang jarang-jarang kita amalkan.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment