Nuffnang

Wednesday, August 24, 2011

HARKAT 'EVERGREEN' (LAGU RAYA) Bahagian 1

Ah, dasar orang-orang Melayu. Kalau lagu raya tidak menghiasi hidup mereka ketika berada di penghujung Ramadhan sekitar barang 10 hari, tidak sah hidup mereka. Hatta seorang ustaz sekalipun yang sebelum ini menyeru orang ramai supaya kuat-kuatkanlah lagi ibadah pada 10 malam terakhir Ramadhan, untuk mengelak daripada turut sama merasa bahagia mendengar lagu raya adalah tidak boleh. Mereka juga manusia biasa. Lagipun, bukankah Syawal itu merupakan hadiah dari Tuhan kepada hamba-Nya yang berpuasa ? Cuma, bagaimana cara kita menyambutnya sahaja yang membezakan sama ada kita menyambutnya dengan cara yang betul ataupun cara yang sia-sia.

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, biarpun dihimpit dengan kerja-kerja yang bertimbun, apabila mendengar lagu raya, paling tidak stress mereka reda sedikit, atau mungkin sahaja makin stress kerana sudah tidak sabar hendak beraya. Hehehe...

Sepanjang hidup saya yang mencapai usia 23 tahun ini, seberapa hebat radio itu, tetap mereka akan menyiarkan lagu-lagu raya sekitar 60,70,80 dan 90-an. Namun, yang paling ketara ialah 70 dan 80-an, ketika zamannya Hail Amir, Uji Rashid, Noor Kumalasari, Sudirman, Aman Shah, dan entah siapa lagi yang saya tidak ingat namanya. Nah, mungkin saya boleh bercerita sedikit mengenai lagu-lagu raya yang saya minat dan pasti dengar ketika hari raya. Kalau diikutkan, lagu-lagu raya ini lebih 'berhantu' dan 'bertenaga' saat beberapa hari sebelum raya, ketika kita masih berpuasa. Begitulah rahmat Tuhan di dalam bulan Ramadhan, sehinggakan Aidilfitri itu lebih terasa ketika bulan Ramadhan berbanding Syawal itu sendiri. Rasa tak sabar hendak berbaju raya. Rasa tak sabar hendak makan ketupat. Rasa tak sabar nak makan lemang apabila mendengar lagu raya. Apabila raya pertama dan kedua sudah berlalu, lagu itu menjadi agak biasa-biasa. Namun, bagi mereka yang tidak dapat bercuti raya, rasanya sampai sebulan lagu-lagu raya akan tetap membuatkan mereka berasa sedih dan pilu.




Ketika saya berumur sekitar 9 tahun, siapa pun tidak akan dapat menafikan lagu raya yang didendangkan oleh Biduanita Saloma akan menjadi kegilaan. Entah kenapa, lagu ini amat sesuai dinyanyikan saat kita memusing-pusing bunga api di laman rumah atuk dan nenek. Hehehe...serasa serasi bersama pula. Nyatalah Saloma benar-benar menyanyikannya dengan semangat hari raya. Kalau saya tidak salah, terdapat versi yang lebih awal daripada versi ini. versi awal itu lebih perlahan sedikit rentaknya berbanding versi yang ini. Saya kira budak-budak amat meminati lagu kerana terdapat suara latar kanak-kanak di dalamnya. 'Kids giggling' adalah keramat dalam mana-mana lagu bersifat meraikan, seperti lagu Pulanglah Ke Desa nyanyian Nora. :-)


Ahah, potong jari kalau orang Melayu tidak tahu lagu klasik ini. Untuk mencapai harkat klasik sememangnya payah. Namun, sudah dasar manusia luar biasa, apa yang dihasilkannya akan dikenang orang sepanjang zaman. Beliaulah P.Ramlee dengan Dendang Perantaunya. :-) Semoga Allah Taala merahmati beliau dan isterinya, Saloma. Hairan juga, tidak ada lagu raya yang dinyanyikan secara berduet dengan isterinya.


Kemudian, satu lagi lagu ciptaan beliau yang berjudul Suara Takbir. Jujurnya, saya lebih menggemari lagu ini berbanding Dendang Perantau. Ya, mungkin kerana saya jarang merantau, jadi lagu itu kurang memberi kesan. Hehehe...


Saya tidak tahu pada tahun berapakah lagu ini dicipta. Mungkin sekitar pertengahan 50-an memandangkan kita dapat mendengar sedikit sebanyak pengaruh muzik era 50-an pada lagu ini. Jika lagu Dendang Perantau, kita tahu ianya dihasilkan awal 60-an memandangkan ada pengaruh gitar elektrik di situ. Ya, P.Ramlee mula cuba membiasakan lagu ciptaannya dengan gitar elektrik pada tahun 60-an, ketika Malaysia dilanda pengaruh muzik ala The Beatles. Makanya, P.Ramlee yang agak terkejut dengan fenomena tersebut saya kira cuba menyesuaikan keadaan, meskipun kita telah dikhabarkan bahawa P.Ramlee tetap teguh dengan muzik bawaannya.


Kemudian, lagu raya lain yang saya minati ialah lagu Selamat Hari Raya dendangan Ahmad Jais. Ya, penyanyi yang memiliki suara emas ini sememangnya amat popular dengan lagu ini. Bahkan, saya kira ianya lagu wajib untuk disiarkan ketika raya hampir menjelang tiba. :-)



Kalaulah anda perasan, Ahmad Jais adalah penyanyi era 60-an. Pun begitu, kita akan dapati kebanyakan lagunya akan diiringi sama ada dengan trompet atau saksofon (tenor saksofon ?). Hal ini termasuklah lagu ini dan juga seperti lagu Budi Setahun Segunung Intan. Padahal kebanyakan penyanyi pada era tersebut jarang memasukkan sama elemen trompet atau saksofon di dalam lagu-lagu mereka.

Pada usian emasnya kini, Ahmad Jais masih tetap memiliki suara yang amat bagus untuk mendendangkan lagu. Mungkin artis baru boleh menuntut daripadanya tentang penjagaan suara.


Yeargghh...!!! Siapa tidak kenal sama Black Dog Bone dengan lagunya Cahaya Di Aidilfitri. Penyanyinya boleh menyanyi dengan suara yang tinggi dan ianya menambahkan 'feeling' pada lagu ini. Ternyata percaturan penciptanya untuk mencipta lagu ini bagi dinyanyikan oleh kumpulan Black Dog Bone sehingga ia menjadi malar segar.


Lagu ini, bak kata adik saya intronya macam lagu mahu pergi perang. Hehehe. Tapi, liriknya nyata menceritakan tentang kesedihan beraya di dalam kepedihan dan kesusahan hidup. Ya, benar bahawa tidak semua orang menyambut raya dengan perasaan gembira. Meskipun kita tahu hari raya adalah hari kemenangan, tidak semua orang menyambut kemenangan dengan kegembiraan. 

Black Dog Bone amat popular pada tahun 70-an, jika saya tidak salah. Dan kumpulan mereka juga antara yang terkenal kerana 'menceduk' lagu orang putih kemudian diubah menjadi lagu mereka, seperti lagu Khayalan yang lagu asalnya saya tidak ingat apa. :-)

Bersambung...

No comments: