Nuffnang

Monday, November 07, 2011

IBADAH YANG DIRAI

Memang kalau saya tengok-tengokkan, sangatlah penat mengerjakan ibadah korban ini. Keluar duit dalam jumlah yang banyak itu satu hal, untuk menyembelih lembu dalam jumlah yang banyak itu pun satu kerja yang payah juga. Jadi, berterima kasihlah ya wahai pak cik mak cik abang kakak yang membayar wang untuk melaksanakan ibadah korban kepada abang-abang dan pak cik-pak cik yang bersusah menumbangkan lembu dan menyembelihnya. Berterima kasihlah juga kepada ketua kumpulan (merangkanp imam masjid) yang membacakan nama anda semua saat parang sudah di leher binatang korban (di tempat saya memang lembulah).

Tahun ini, kampung saya menyempurnakan ibadah korban itu di sebuah kawasan ladang kelapa sawit yang agak lapang berbanding tahun lepas. Makanya, agak selesalah juga untuk kami ini bergerak dan mengerjakan lembu-lembu itu.


Tanyalah siapa-siapa pun, menumbangkan lembu bukanlah kerja mudah. Kena ada taktik, kata orang-orang tua. Tali yang disiap-siagakan untuk membuatkan lembu itu tersadung dan terus tumbang haruslah berada di tempat yang betul. Dan paling utama, keadaan orang kampung itu sendiri perlu dijaga untuk mengelakkan lembu itu menjadi takut dan meronta-ronta untuk dilepaskan. Setelah berjaya ditumbangkan, segera diikat kakinya. Kemudian, salah seorang petugas korban akan mencangkul tanah untuk menakung darah yang keluar setelah disembelih. Harus dalam juga sebab darah itu akan dikambus terus dan tak mahu bau hanyir darah menguasai kawasan ladang.

Ada dua batang kayu yang besar akan digunakan ketika menyembelih. Satunya yang dipanggil 'bantal' untuk diletakkan di bawah leher lembu dalam jarak beberapa inci daripada bahagian yang hendak disembelih. Yang satu lagi diselitkan di celah kakinya yang sudah diikat.

 Kemudian, sebatang besi akan dipacak di belakang kepalanya dan tali yang mengikat kepalanya akan dililit pada besi itu untuk mengelak kepalanya bergerak-gerak ketika disembelih. Ya, kepala lembu bukan macam kepala ayam. Lembu ini kederatnya memang kuat sekali. Salah cara, melambunglah orang yang berhampiran dengannya.

Selalunya, budak-budak dilarang berada berdekatan dengan tempat menyembelih. Tapi, peduli apa. Berkerumun semuanya nak tengok lembu disembelih. Sedikit sebanyak dapat juga mengajar budak-budak kita dari mana datangnya daging lembu yang mereka makan dan bagaimana mereka mengerjakannya.

Parang yang siap diasah memang milik penyembelih yang sudah mahir. Di tempat saya ini, ada beberapa orang yang saya kenal memang ahli sembelih korban, antaranya Pak Bakri (tak ada gambar) dan juga Imam Kasmuri (pun tak ada gambar). Kalau lihat mereka mengasah parang itu, seram dibuatnya. Hehe...

Yang menariknya juga, bentuk hulunya juga dipasang terbalik demi untuk memudahkan parang lekat ke leher lembu dan sembelihan jadi mudah.

Apabila saatnya, bersegeralah orang yang dalam lingkungan 5-10 orang memegang lembu dan nama-nama peserta korban pun dibacakan. Segeralah juga orang-orang bertekbir dan sembelihan dijalankan dengan sempurna.



Pada tahun ini, sebanyak 7 ekor lembu yang dikorbankan dan diagih-agihkan kepada mereka yang berhak. Menariknya, kerja mereka ini memang pantas. Selesai seekor lembu disembelih, datang sekumpulan yang lain untuk melapah dagingnya pula. Jadi, masa tidak dibazirkan. Datang lori dari masjid untuk mengangkut daging-daging yang siap dilapah untuk ditimbang di masjid dan diagih-agihkan.



Satu hal yang pastinya di dalam ibadah korban ini, ianya memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan orang-orang kampung. Sambil-sambil itu, macam biasalah. Tak sah kalau tak ada gurau senda di antara kami semua. Semua itu untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan ibadah korban ini juga adalah untuk meraikan saudara-mara kita yang tidak bernasib baik.

Berdoalah kita supaya ibadah korban kita ini diterima Tuhan. Ianya juga sebagai renungan buat kita, kerana menurut Ustaz Kazim, darah yang mengalir keluar daripada leher binatang korban yang disembelih itu kita umpamakan sebagai sifat-sifat kebinatangan di dalam diri kita yang perlu dibuang, seperti sifat dengki, tamak haloba, bakhil, pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Semoga kita dapat menjadi seorang Muslim yang baik budi pekerti dan beriman kepada Tuhan.

Wallahua'lam...

No comments: