Nuffnang

Saturday, November 05, 2011

MEMENUHI JEMPUTAN TUHANKU

Ya, aku percaya ini kuasa Tuhan. Memang kuasa Tuhan. Ketika aku berada dalam keadaan kesedihan yang teramat sangat, tiba-tiba aku terdengar secara kebetulan akan sebuah lagu di radio Sinar FM. Lagunya bertemakan ibadah haji yang merupakan sebuah ibadah besar yang bukannya dapat dilaksanakan oleh semua orang. Jika orang yang tidak bernasib baik, sehinggalah ajalnya sampai pun dia tidak dapat menunaikan ibadah haji.

Aduhai...
Memang meruntun jiwa apabila mendengarkan alunan lagu ini yang merdu. Gugur air mata kesedihan bercampur keharuan kerana Tuhan masih sudi mempertemukan aku dengan sebuah ketenangan yang datangnya daripada sebuah lagu yang baik.

Judulnya Waiting For The Call.
Penyanyinya bernama Irfan Makki berasal dari Kanada.


Oh Tuhan, aku menunggu panggilan dari-Mu,
Berdoa untuk hari di mana diriku berada berdekatan dengan Kaabah-Mu...

Ya, mungkin juga Tuhan secara halus menegur aku ini yang selalu benar kelam-kabut dengan urusan dunia, padahal ada sebuah ibadah besar yang sedang berlangsung pada saat ini, dan ianya adalah haji. Orang-orang beriman sedang bersiap-sedia menunaikan wukuf, hari di mana kita serahkan segala-galanya kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku kira aku mesti cuba untuk menghayati perjalanan menyucikan diri daripada dosa itu. Ibadah haji banyak bersifat ajaib dalam menyucikan hati. Banyak perkara yang dilatih daripada setiap satu turutan rukun yang ada, terutamanya wukuf.

Dan aku kira, aku wajar menyerahkan segala-galanya, 
kepada Tuhan sekalian alam...
Semoga Tuhan menerima penyerahan aku...

Tuhan telah menjemput hamba-hamba-Nya sejak sekian lama. Tinggal hamba-hambaNya sahaja yang hendak memenuhi jemputannya apabila mereka mampu. Pun begitu, ianya di dalam kasih sayang dan rahmat Allah jua. Jika Tuhan belum mengizinkan, maka kita akan bertemu dengan banyak halangan. Kerana itulah kita disuruh perbanyakkan berdoa semoga Tuhan mempermudahkan urusan kita hendak bersiap sedia menunaikan haji dan dapat menunaikannya dengan sempurna.

Baitullah yang mulia

Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu,
Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu,
Sesungguhnya segala puji-pujian, nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu...

No comments: